Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kongsi maklumat fenomena kepala air, orang ramai diminta berwaspada

SHAH ALAM, 14 NOV: Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan fenomena kepala air dan segera ke kawasan selamat sekiranya berlaku keadaan berkenaan.

Peringatan itu dikongsi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi poster dimuat naik di Facebook bagi memberi kefahaman kepada masyarakat.

LUAS memaklumkan segala maklumat diperoleh dari Ketua Pengarah Institusi Penyelidikam Air Kebangsaan Malaysia Datuk Dr Md Nasir Md Noh.

Poster berkenaan menjelaskan maksud fenomena kepada air selain tanda awal insiden itu.

Langkah-langkah berwaspada turut dimaklumkan sebagai persediaan sekiranya berdepan situasi berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk Yan terjejas banjir kembali semangat teruskan hidup

YAN, 13 SEPT: Masyarakat Yan yang terkesan dengan bencana banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai di sini, kembali bersemangat meneruskan kehidupan selepas hampir sebulan bencana itu berlaku.

Pegawai Daerah Yan Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah berkata sebelum ini penduduk berasa bimbang dan trauma dengan kejadian tersebut, namun hasil sokongan serta bantuan daripada pelbagai pihak perasaan tersebut kini beransur pudar.

“Sekarang ini sudah hampir sebulan (bencana) berlalu, dengan pelbagai bantuan yang kita terima daripada sukarelawan, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan, kita dapat lihat mereka semakin bersemangat

“Sebelum ini mereka agak trauma dengan bencana yang berlaku tapi kini saya lihat semangat mereka kembali pulih,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Mekar Prihatin Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama mangsa banjir Yan di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kira-kira 4,000 sukarelawan yang datang membantu dan menyampaikan pelbagai bentuk sumbangan kepada mangsa susulan bencana tersebut yang berlaku pada petang 18 Ogos lepas.

“Sekarang ini kita sudah dalam fasa pemulihan (selepas bencana), kita nak masyarakat di sini kembali kepada rutin mereka, dapat bekerja dan berniaga seperti biasa, selain pasar malam, pasar pagi dan pasar tani akan memulakan operasinya secepat mungkin,” katanya.

Mengulas mengenai keselamatan di Gunung Jerai, Tunku Iskandar Shah berkata Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) masih menjalankan siasatan dan kajian mengenai kejadian yang berlaku, dan akan mengesyorkan tindakan yang harus diambil sebagai persediaan menghadapi risiko kejadian itu berulang.

“Memang ada perbincangan dengan JMG dan laporan diberikan kepada saya sebagai Pengerusi Bencana Daerah. Kami sentiasa memantau perkara ini dan saya pasti JMG akan mengesyorkan pemasangan sistem amaran di gunung itu bagi memberi amaran awal kepada penduduk berhampiran,” katanya.

Bencana banjir ekoran fenomena kepala air itu mengorbankan enam nyawa, selain kira-kira 800 rumah di daerah Yan dan 200 rumah di daerah Kuala Muda terjejas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sukarelawan Selangor digerakkan ke Yan, bantu mangsa bencana

SHAH ALAM, 29 OGOS: Hampir 50 Sukarelawan Selangor (SERVE) digerakkan ke Yan, Kedah hari ini bagi membantu mangsa bencana fenomena kepala air.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata misi bantuan itu selaras dengan tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

“SERVE terdiri dalam kalangan belia malahan Perdana Menteri baharu (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) juga telah menekankan peranan belia dalam kerajaan baharu ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media selepas gimik pelepasan misi bantuan Kerajaan Negeri melalui Sukarelawan Selangor (SERVE) di Dataran Shah Alam pada 29 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Oleh itu, Kerajaan Negeri menyambut baik dan ini salah satu inisiatif kita bagi menyokong tema Hari Kebangsaan. Semoga bantuan ini mampu meringankan beban mangsa bencana tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program pelepasan peserta SERVE Misi Bantuan Kerajaan Selangor di Dataran Shah Alam pada jam 5 petang di sini hari ini.

Beliau menjelaskan misi selama tiga hari itu turut disertai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang akan tiba pada Selasa ini bagi penyerahan cek bantuan kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor.

Pada 18 Ogos daerah Yan dilanda banjir kilat dipercayai akibat fenomena kepala air dari kawasan air terjun di kaki Gunung Jerai sehingga memusnahkan beberapa kediaman dan meragut enam nyawa penduduk sekitar kawasan terbabit.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin mengalu-alukan belia menyertai SERVE dan ia boleh dimohon menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) berhampiran.

SERVE terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas dan ia adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.

Kerajaan Selangor menyasarkan 2,800 ahli atau 50 ahli di setiap 56 DUN pada tahun ini manakala pada tahun hadapan sasaran 5,600 ahli atau 100 orang di seluruh DUN.

Categories
AGENDA NASIONAL

Fenomena kepala air: Mayat keenam ditemukan bawah timbunan kayu

YAN, 23 OGOS: Mayat mangsa keenam yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air di Yan ditemukan di kawasan sekitar Titi Hayun di sini pada 1.30 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar berkata mayat Ridwan Poniman, 61, ditemukan pasukan penyelamat kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dipercayai dihanyutkan di Titi Hayun.

“Mayat mangsa yang terakhir ini ditemukan di bawah timbunan kayu dan mayat dalam keadaan masih sempurna,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat gerakan mencari dan menyelamat di Titi Hayun.

Shahnaz berkata seramai 400 anggota pasukan penyelamat termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta polis terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat hari ini.

Katanya mayat Ridwan dihantar ke Hospital Yan untuk bedah siasat.

Beliau berkata sehubungan itu pencarian mangsa hilang dihentikan selepas penemuan mayat terakhir tersebut.

Insiden pada petang Rabu itu turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di sekitar daerah Yan dan 200 di Kuala Muda.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir dukacita tragedi banjir sekitar Gunung Jerai

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi banjir susulan fenomena kepala air berlaku di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, Kedah, yang meragut empat nyawa setakat ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga empat mangsa terbabit dan berharap seluruh keluarga bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

“Seri Paduka turut menzahirkan harapan dan berdoa agar tiga lagi mangsa yang dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun dapat ditemukan dan diselamatkan dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua anggota agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa, termasuk penduduk terjejas akibat banjir berkenaan.

Seri Paduka turut menasihati penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta berpindah ke pusat pemindahan dengan segera sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa tempatan.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menyeru kerajaan dan badan bukan kerajaan supaya menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat bencana berkenaan.

Fenomena kepala air yang mencetuskan banjir di sekitar Yan dilaporkan berlaku pada kira-kira 5 petang, Rabu lepas dan setakat ini telah meragut empat nyawa.

Menurut kenyataan itu, antara lokasi terbabit banjir adalah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

Dilaporkan bagi daerah Yan yang terjejas akibat banjir dan fenomena kepala air itu, dua Pusat Pemindahan Sementara  (PPS) telah dibuka iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi dibuka untuk menempatkan mangsa positif Covid-19 dan individu yang dikuarantin.

Kedua-dua penempatan berkenaan bagaimanapun dipantau rapi oleh semua agensi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dilapor berkata kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai Kawasan Bencana Tahap 1 berdasarkan Arahan Tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Daerah Yan, Kuala Muda diisytihar Kawasan Bencana Tahap 1

ALOR SETAR, 19 OGOS: Kerajaan Kedah mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai Kawasan Bencana Tahap 1 berdasarkan Arahan Tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata sehubungan itu semua agensi kerajaan dan badan berkanun yang berkaitan dengan pengurusan operasi bencana kini sedang mengambil pelbagai langkah bagi memastikan musibah yang melanda dapat ditangani dengan berkesan.

“Pihak swasta dan juga badan-badan sukarela yang mahu membantu akan diberikan latihan mencukupi di bawah penyelarasan MKN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arahan MKN No. 20 merujuk mengenai dasar dan mekanisme pengurusan bencana secara lebih menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejadian bencana.

Pengurusan dan pengendalian kejadian bencana di kawasan yang dikategorikan sebagai Tahap 1 ditangani oleh agensi-agensi yang terlibat di dalam pengurusan bencana di peringkat daerah, sama ada tanpa bantuan luar atau dengan bantuan luar yang terhad.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri akan berusaha sebaik mungkin dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memulihkan keadaan dan kehidupan penduduk terjejas akibat banjir yang berlaku ekoran fenomena kepala air di kawasan sekitar Gunung Jerai, petang semalam.

“Meskipun kita sedang bergelut dengan musibah, saya ingin mengingatkan orang ramai terutama mereka yang terbabit, para petugas kerajaan dan juga sukarelawan yang turun membantu di lapangan agar sentiasa menjaga diri kerana ancaman Covid-19 masih berlegar di persekitaran kita,” katanya.

-BERNAMA