Categories
NASIONAL

Beli Saham FGVH: KWSP dan KWAP Didakwa Alami Kerugian RM75 Juta

Wong Chen

PETALING JAYA, 11 JAN : Dua dana pencen negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) didakwa mengalami kerugian atas kertas dengan anggaran nilai RM75 juta akibat membeli saham Felda Global Ventures Holding (FGVH).

Ini kerana dakwa Pengerusi Biro Pelaburan dan Perladangan PKR, Wong Chen, kedua-dua dana itu didapati terus membeli saham FGVH dari pasaran, walaupun penganalisis mendapati harga saham itu jatuh mendadak seawal 9 Ogos 2012.

Beliau berkata, tingkah laku pembelian saham oleh KWSP dan KWAP adalah amat bertentangan, malah tidak sepatutnya diamalkan oleh sesebuah dana pencen.

“Pada keseluruhannya, pembelian mereka dalam pasaran terbuka dari 29 Jun 2012 hingga 4 Januari 2013 telah menelan anggaran belanja sebanyak RM455 juta (KWSP) dan RM305 juta (KWAP).

“PKR percaya bahawa penyumbang KWSP dan penjawat awam mempunyai hak untuk mengetahui sama ada pembelian saham FGVH (yang sebahagian besar bertentangan dengan pandangan penganalisis dan pasaran) bermotifkan politik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Menurutnya, harga purata saham penganalisis bagi FGVH adalah RM4.19 dan jika ia jatuh ke tahap itu, maka KWSP dan KWAP masing-masing terus mengamali kerugian kertas bernilai RM146 juta dan RM129 juta.

“Dalam kes senario paling teruk, jika harga turun kepada sasaran Alliance Reserach iaitu pada harga RM3.53 (kedua terendah antara 12 analisis terkini mengenai saham FGVH), KWSP dan KWAP akan menimpa anggaran kerugian kertas RM327 juta dan RM295 juta,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Himpunan Kebangkitan Rakyat, Selangor Mobilasi 300,000 Peserta

Himpunan Kebangkitan Rakyat 02

PETALING JAYA, 7 JAN : Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan menggemblengkan 300,000 penyokong sebagai usaha untuk menghimpunkan sejuta rakyat di Kuala Lumpur pada Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu ini,

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, PR Selangor sentiasa komited terhadap usaha menggembleng suara rakyat bagi menyatakan pendirian berhubung isu pentadbiran negara, ekonomi, alam sekitar dan pilihan raya.

Justeru katanya, himpunan yang bakal berlangsung di Stadium Merdeka itu nanti merupakan wahana bagi rakyat untuk menyatakan pendirian mereka terhadap pentadbiran Kerajaan Umno-BN.

“Sehubungan itu, Pakatan Rakyat Selangor akan melakukan mobilasi rakyat untuk bersama-sama dalam himpunan ini yang bertunjangkan prinsip demokrasi, kebebasan dan kepentingan rakyat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, pagi tadi.

Hadir sama, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok dan Setiausaha Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Dr Rani turut menggesa agar peserta bergerak ke Kuala Lumpur sehari awal dan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

Sementara itu, Teresa yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor mengesahkan sehingga kini, tiada respon daripada polis mahupun pihak Stadium Merdeka berhubung kebenaran untuk mengadakan himpunan tersebut.

Bagaimanapun tegasnya, himpunan itu akan tetap dijalankan seperti yang dirancang di kawasan stadium walaupun tiada maklum balas daripada pihak berkenaan.

“Sebelum ini Perdana Menteri pernah beritahu sekiranya ingin mengadakan himpunan, kita boleh menggunakan stadium.

“Tetapi apabila kita sudah buat permohonan, tiada maklum balas yang diberi. Kita ingin lakukan secara aman, tetapi ia sering dijadikan provokasi oleh sesetengah pihak,” katanya.

Penganjur mensasarkan satu juta orang untuk hadir ke Stadium Merdeka pada 12 Januari dengan warna hijau anti-Lynas, kuning Bersih 2.0, oren pergerakan anti Felda Group Venture Holdings (FGVH) dan merah untuk kumpulan yang menuntut royalti.

Categories
NASIONAL

Saham FGVH Turun, Kakitangan Felda Turut Jadi Mangsa

SHAH ALAM 13 NOV : 60 peratus daripada jumlah kakitangan Felda kini turut menjadi mangsa kerugian besar apabila harga saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) semakin menjunam jatuh.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman berkata, perkara ini berlaku ekoran kadar unit dan lot saham yang ditawarkan kepada mereka jauh lebih besar berbanding peneroka Felda.

Katanya, pihaknya menerima aduan daripada beberapa kakitangan Felda yang mula mengeluh kerana mula membayar balik pinjaman bank dengan kadar RM400 sebulan sedangkan harga saham jatuh.

Beliau berkata keadaan itu akan terus membebankan peneroka dan kakitangan kerana terpaksa menanggung kerugian bayaran pinjaman bank apabila kadar faedah yang dikenakan lebih mahal daripada dividen yang diperoleh.

“Setakat ini terdapat 60 peratus kakitangan Felda yang masih belum menjual saham mereka.

“Mereka sudah menandatangani pinjaman bank yang melibatkan puluhan lot saham, jadi jumlah pinjaman mereka mencecah puluhan ribu, jadi dalam masa yang sama mereka juga terbeban,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, saham gergasi perladangan FGVH buat pertama kalinya diniagakan di bawah paras harga penyenaraiannya (RM4.55).

Saham tersebut mula diniagakan pada harga RM4.60 namun dan kemudiannya jatuh ke paras RM4.53 pada jam 10.46 pagi sebelum kembali melonjak.

Harga pasaran terakhir saham tersebut adalah RM4.57 ketika waktu rehat jam 12.30 tengahari.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata pemilik saham Felda akan mula menanggung kerugian apabila harga saham berada pada kadar RM4.78.

“Bila harga jatuh masa kini, ini keadaan yang sangat buruk. Bagi peneroka, jika mereka menanggung rugi, sekurang-kurangnya mereka mempunyai pakej bayaran balik RM50 sebulan kepada bank.

“Tetapi ia berbeza dengan kakitangan Felda, mereka akan dibebani dengan hutang bank. Bagaimanapun mereka ini terpaksa menutup kerugian mereka, mereka tidak menunjukkan yang mereka ini sudah rugi kerana mereka juga yang bersungguh-sungguh memaksa peneroka menandatangani pinjaman sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bayaran balik RM50 sebulan kepada bank oleh peneroka bukanlah satu jalan penyelesaian jangka masa panjang.

Jelasnya, sekiranya saham terus merundum, peneroka akan lebih banyak menanggung rugi dan bayaran balik itu akan memakan masa yang agak lama.

“Mungkin lebih dari 10 tahun. Peneroka terpaksa menanggung hutang itu selain kos sara hidup, tanaman semula dan pinjaman perumahan felda sekiranya mereka memohon. Ia bukan memberi manfaat kepada peneroka,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dua Bentuk Pinjaman Peneroka, Anak Mohon Penjelasan Felda

KUALA LUMPUR 11 SEPT : Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) menuntut penjelasan Felda berhubung penemuan kes peneroka mempunyai dua bentuk pinjaman daripada dua bank berbeza.

Pengerusinya, Mazlan Aliman mendakwa, wujudnya dua bentuk pinjaman ini setelah beliau mendapat aduan daripada seorang waris peneroka yang cuba untuk menyelesaikan baki pinjaman bapa mertuanya.

Jelasnya, pihak Felda cuba berbohong dengan menyatakan terdapat bentuk pembayaran secara potongan pendapatan pada kadar RM50 namun hakikatnya perkara ini tidak diketahui oleh pihak bank dan ibu pejabat Felda sendiri.

“Perkara ini dibuktikan apabila anak peneroka telefon HQ(ibu pejabat) Felda sambil disaksikan pengurus bank. Pegawai Felda beritahu mereka tidak menerima sebarang arahan mengenai pemotongan ini.

“Apa yang digembar-gemburkan merupakan satu gimik untuk meredakan kemarahan peneroka dimana dahulunya dikatakan percuma kini mereka terpaksa bayar,” katanya.

Beliau menambah, dalam keadaan isu pinjaman tidak selesai, spesifik kepada dua kes atas permohonan peneroka untuk menarik balik pinjaman mereka.

“Bank buat semakan dan mereka terkejut sekarang bukan satu pinjaman tetapi ada satu lagi pinjaman di bank lain.

“Jadi peneroka kena bukan satu tapi dua. Pinjaman kedua tidak tahu berapa jumlahnya. Bank sendiri tidak faham.

“Peguam kita beranggapan berdasarkan dokumen awal yang dibekalkan bank, disyaki satu penipuan sedang dibuat kepada peneroka. Mungkin saham yang diuruskan tidak mencukupi.

“Jadi secara senyap-senyap FGVH berurusan dengan bank tertentu diluar pengetahuan peneroka untuk masukkan satu lagi pinjaman.

“Dan sekarang ini jumlah yang telah diserahkan oleh bank kepada peguam kita dah hampir 40 orang

“40 orang ini adalah peneroka yang telah menarik balik pinjaman mereka. Yang 85 peratus peneroka yang telah tandatangan dari awal telah terkena dua kali pinjaman,” jelas beliau.

TV Selangor turut menghubungi Penasihat Undang-undang ANAK, Haris Abdullah bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini.

Ketika dihubungi, beliau mengesahkan perkara berkenaan dan setakat ini empat orang peneroka tampil mengemukakan aduan berkenaan.

Menurut Haris, pihaknya sedang mengumpul bukti dan satu sidang media mengenainya akan dibuat dalam minggu ini.

“Sekarang saya sudah dapat kesan empat kes. Dari empat kes melibatkan asalnya bank Maybank dan CIMB. Saya akan melihat adakah perkara ini satu kesilapan atau tidak,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Peneroka Tersentak Saham FGVH Bukan Percuma, Terpaksa Tanggung Hutang Bank

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kegembiraan peneroka menyangkakan bahawa 800 unit saham Felda Global Venture Holding Bhd (FGVH) yang ditawarkan kepada mereka adalah percuma bertukar menjadi mimpi ngeri apabila terpaksa membayar hutang bank bagi membolehkan mereka memiliki saham tersebut.

Kebanyakkan peneroka yang terpaksa menanggung hutang ini hanya menyedari kewujudan pinjaman ini apabila menerima surat bayaran semula pinjaman bernilai balik hutang berjumlah RM3,630 untuk pembelian 800 unit saham FGVH terlibat dari pihak bank baru-baru ini.

Demikian beritahu Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman ketika dihubungi TVS hari ini.

“Kebanyakkan mereka tak menyedari ada antara borang yang mereka tandatangani itu adalah pinjaman bank untuk beli 800 unit saham FGVH, sebab peneroka ini tidak diberikan penerangan yang jelas sebelum turunkan tandatangan.

“Rata-rata peneroka atau waris yang menemui saya menyangka 800 unit saham FGVH mereka dapat itu percuma.

“Mereka keliru kerana istilah yang digembar gemburkan adalah durian runtuh dan menyumpah bila terima penyata pinjaman dari bank terbabit,” kata Mazlan.

Malah menurut Mazlan, isu ini tutut menimbulkan perbalahan antara ahli keluarga sebilangan peneroka dan waris mereka.

“Ada seorang menantu peneroka mengadu pada saya, ipar duai dia bertengkar siapa yangg nak ambil tanggungjawab bila bapa mereka meninggal dunia bulan puasa baru-baru ni.

“Ada waris yang dinamakan sebagai peminjam pening kepala bila surat bank sampai; walhal yang beria-iya dulu suruh sain adalah adik beradik,” katanya lagi.

Menurut Mazlan, pinjaman yang dikenakan faedah sebanyak lima peratus itu dicah secara harian.

Jelas Mazlan, caj faedah harian tersebut berterusan meningkat selagi bayaran pinjaman tidak dijelaskan oleh peneroka terbabit.

Categories
SELANGOR

Mahfuz : Kelantan, Kedah Tak Pernah Serah Tanah Kepada FGVH

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Kerajaan Kelantan dan Kedah di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat tidak pernah bersetuju menyerahkan tanah rancangan Felda kepada Felda Global Venture Holding Bhd (FGVH) seperti yang tertera dalam propektus yang diterbitkan syarikat tersebut.

Demikian menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam satu sidang media di Lobi Dewan Rakyat hari ini.

“Kerajaan Negeri Kelantan dan Kedah tidak pernah setuju serahkan tanah kepada FGVH.

“Malah saya diberitahu perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri,” kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz memberitahu beliau telah menyarankan agar kerajaan kedua-dua negeri terbabit agar mengkaji tindakan yang boleh diambil oleh Kerajaan Negeri terbabit terhadap FGVH.

“Suruhanjaya Sekuriti boleh mengambil tindakan terhadap FGVH atas memberi maklumat tak tepat, palsu kepada pelabur,” katanya lagi.

Sementara itu dalam sidang media sama, Mahfuz turut membidas pemilihan slogan Sambutan Hari Kebangsaan 2012, ‘Janji Ditepati’ yang menurutnya jelas berbaur politik.

Mahfuz menganggap slogan yang dipilih lebih mirip kepada kempen BN dalam pilihan raya.

“Sebelum ini slogan ‘Kerana Mu Malaysia’ dapat dijiwai oleh seluruh lapisan masyarakat, tetapi sekarang kerajaan gagal pilih tema yang dapat meresap ke jiwa seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

KPF Tolak Isa Samad Keputusan Baik – ANAK

SHAH ALAM 22 JUN :Keputusan mesyuarat agung tahunan (AGM) Koperasi Permodalan Felda (KPF) Malaysia Berhad tidak meneruskan pelantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai anggota lembaga pengarahnya adalah keputusan yang baik demi masa hadapan Felda.

“Ia satu keputusan yang menggembirakan dan kita berkeyakinan dengan perkembangan mutakhir ini yang tidak memihak kepada mereka yang hendak menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings(FGVH), saya cukup optimis walaupun 28 Jun ini akan dimuktamadkan untuk penyenaraian FGVH ia akan menemui kegagalan,” kata Mazlan Aliman.

Mazlan yang merupakan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) berkata Isa Samad tidak layak menjadi ahli KPF kerana beliau bukan kakitangan tetap Felda.

Beliau berkata, adalah wajar KPF ini diuruskan oleh kalangan professional yang berkelayakan dan bukan daripada orang-orang politik yang mempunyai agenda sendiri.

“Bila ada campurtangan politik berlaku ia akan menyebabkan proses transformasi dasar-dasar KPF yang digariskan oleh Lembaga Pengarah sedia ada akan terencat yang akan menyebabkan nanti dasar-dasar ini nanti tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Jelas Mazlan, peningkatan dividen kepada 18 peratus pada tahun ini yang diberikan kepada pemegang-pemegang saham adalah kejayaan yang perlu dikekalkan tanpa campurtangan orang-orang politik yang dibimbangi boleh menjejaskan pencapaian cemerlang KPF kini.

“Dengan kepimpinan KPF sedia ada, saya percaya mereka mampu melonjakkan prestasi KPF sebagai peneraju koperasi terbaik di Malaysia,” ujarnya.

Di bawah Undang-undang Kecil fasal 36(1) dan 36(2), Lembaga Felda dikehendaki melantik tiga orang calon dari kalangan ahli koperasi untuk menganggotai Lembaga KPF.

“Sebab sekarang ini Isa Samad tidak boleh menguasai KPF adalah kerana beliau dan Lembaga Pengarah KPF sedia ada tidak senada dan sehaluan.

“Kalau Isa Samad dinobatkan sebagai pengerusi KPF, ia akan membawa KPF kepada penyenaraian,kerana itu adalah perancangan beliau,” ujar Mazlan.

Sebelum ini, keahlian Isa dibekukan sementara Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Hakim Abang Iskandar Abang Hashim mendapati terdapat merit untuk membenarkan empat peneroka Felda mencabar keahlian Isa dalam KPF.

Pembekuan keahlian Isa sekaligus menghalang beliau daripada dicalonkan sebagai Anggota Lembaga KPF.

Sekiranya berjaya menganggotai Lembaga KPF, Isa dijangka akan menjadi pengerusi KPF baru menggantikan pengerusi sekarang, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.

Global Felda Ventures Holdings (FGVH) dimiliki 100 peratus oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang mana 49 peratus pegangannya dimiliki oleh Felda Holdings.

Manakala, KPF yang dianggotai oleh kira-kira 112,627 peneroka dan 23,000 pekerja Felda pula memiliki pegangan sebanyak 51 peratus di dalam Felda Holdings.

Categories
NASIONAL

FGVH Memajak Tanah Rezab Melayu Di Pasaran Saham

SHAH ALAM, 28 MEI : Lebih 105,000 daripada 847,362 ekar tanah yang diusahakan Felda Plantations Sdn Bhd (Felda Plantations) untuk penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) adalah Tanah Rezab Melayu.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli mempersoalkan perkara itu kerana tindakan memajakkan tanah 105,382 ekar itu boleh melanggar matlamat pewartaan Tanah Rezab Melayu.

Malah, katanya, kedudukan FGVH di Bursa Saham Malaysia selepas ini juga tidak boleh dikira sebagai sebuah syarikat berstatus Bumiputra kerana jumlah pegangan saham Bumiputra tidak dapat disahkan.

“Setakat ini peneroka Felda hanya diperuntukkan 2.5 peratus dari jumlah pegangan saham sementara manakala kakitangan Felda pula hanya 3 peratus.

?Selebihnya melibatkan badan-badan lain yang dijemput masuk Pengerusinya, Tan Sri Isa Samad termasuk Louis Dreyfus iaitu sebuah syarikat antarabangsa yang dikuasai keluarga Yahudi terkenal dari Perancis.

“Oleh itu, Perdana Menterti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Isa wajar menjelaskan kepada rakyat kenapakah tanah-tanah berstatus rezab Melayu ini turut dipajakkan ke FGVH yang disenaraikan di pasaran saham?

?Apakah jaminan bahawa tanah-tanah ini akhirnya tidak bertukar tangan atau pembangunannya tidak bertentangan dengan semangat pewartaan Tanah Rezab Melayu yang digubal hampir 100 tahun yang lalu?,” soalnya dalam satu kenyataan dibuat di sini hari ini.

Mohd Rafizi berkata perkara itu disahkan berdasarkan salinan laporan yang diterima dalam perjanjian FGVH dan senarai tanah yang terlibat.

PKR menyeru setiap Kerajaan Negeri yang terlibat menolak sebarang usaha membatalkan status Tanah Rezab Melayu seluas 105,382 ekar itu.

Tanah rezab Melayu itu akan terletak di bawah pengurusan FGVH selepas penyenaraian dan boleh diusahakan mengikut syarat-syarat perjanjian.

Categories
NASIONAL

Peneroka Hanya Pemilik 2.5% Dalam Saham FGVH

SHAH ALAM, 28 MEI : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menarik semula peruntukan Tawaran Permulaan Awam (IPO) saham Felda Global Ventures Sdn Bhd (FGVH) yang diberikan kepada pelabur Bumiputera kerana didakwa melebihi keuntungan peneroka.

Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan, Wong Chen berkata, berdasarkan analisa 2.2 bilion saham FGVH yang akan dijual, 420 juta saham (11.5% daripada FGVH) diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, manakala peneroka Felda hanya menerima 91 juta saham, iaitu 2.5% daripada penyenaraian FGVH.

Sementara, dua peratus (73 juta saham) daripadanya akan diperuntukkan kepada awam, 41 peratus (1.5 bilion saham) diagihkan kepada pelabur institusi seperti KWSP, PNB, Tabung Haji dan Louis Dreyfus dan 109 juta saham (3% daripada FGVH) kepada pekerja Felda.

“Matlamat Felda ditubuhkan adalah untuk membantu Bumiputera miskin yang tiada tanah. Najib mengumumkan bahawa IPO FGVH ini adalah satu tindakan bijak yang akan memberi manfaat besar kepada peneroka. Tetapi cara saham diperuntukkan jelas menunjukkan bahawa Najib lebih berminat membantu golongan kaya.

“Kami menuntut MITI mengeluarkan senarai lengkap pelabur Bumiputera kaya yang akan menerima saham FGVH ini. Kami menuntut senarai ini kerana peneroka mempunyai hak untuk tahu mengapa golongan Bumiputera yang kaya ini berhak berlipat kali ganda lebih saham daripada mereka.,” ujarnya.

Katanya, peruntukan saham itu juga menimbulkan persoalan mengapa 112,635 peneroka mendapat saham kurang daripada 3,835 pekerja Felda.

Jelasnya, setiap peneroka hanya akan mendapat 810 saham seorang manakala kakitangan Felda akan mendapat 28,368 saham seorang. Secara purata, seorang pekerja Felda ditawarkan 35 kali ganda saham daripada seorang peneroka.

“Oleh kerana IPO ini adalah isu kepentingan nasional, kami percaya bahawa orang ramai juga berhak nak tahu sama ada mana-mana pelabur Bumiputera yang kaya ini ada atau tidak kaitan dengan Umno-BN,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

PKR : Asas FGVH Lemah, IPO Didorong Politik Bukan Ekonomi

PETALING JAYA,16 MEI : PKR menggesa Felda dan Kerajaan Pusat untuk mendedahkan secara terperinci mengenai yuran-yuran yang bakal diterima oleh pihak bank dan penasihat, hasil daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Saham Malaysia.

Pengerusi Biro Pelaburan Dan Perdagangan PKR, Wong Chen dalam sidang media di ibupejabat parti itu berkata, ‘Initial Public Offering’ (IPO) FGVH ini didorong oleh politik dan bukannya berdasarkan kekukuhan kewangan FGVH.

“Kami merujuk kepada laporan dari Wall Street Journal mengenai IPO FGVH, di mana kebimbangan dibangkitkan mengenai keuntungan FGVH kerana profil pokok kelapa sawit yang tersangat teruk,” kata Wong.

Wong menjelaskan sesebuah syarikat akan mencuba IPO di bursa apabila ia berada dalam kedudukan yang kukuh dan mempunyai prospek yang sangat cemerlang.

Menurut beliau, bisnes FGVH bukanlah berada didalam kedudukan yang kukuh dan masa hadapan untuk pertumbuhan yang tinggi adalah sangat terhad malahan Prospektus IPO mendedahkan bahawa kedudukan sebenar FGVH di dalam pengurusan perladangan adalah lemah.

“Pada asasnya, profil umur pokok sawit FGVH mendedahkan bahawa lembaga pengarah Felda tidak memberi tumpuan sewajarnya kepada pengurusan penanaman pokok.

“Sangat mengejutkan adalah 53 peratus daripada pokok-pokok sudah tua, 31 peratus muda dan tidak matang dan hanya 16 peratus pokok sawit pada tahap matang perdana.

“Bayangkan sebuah syarikat yang berprestasi hanya pada tahap 16 peratus daripada potensi sebenarnya membuat percubaan IPO,” jelas beliau.

Tambah Wong, sebagai perbandingan am, sebuah ladang yang sihat diurus dengan baik akan mempunyai profil pokok berusia tujuh peratus pokok tua, dan 15 peratus muda dan belum matang dan 78 peratus matang perdana.

FGVH perlu menanam balik dan menunggu selama sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum majoriti pokok pokok sawitnya menjadi matang perdana.

“Jadi jika anda membeli saham FGVH pada hari ini, kemungkinan besar anda perlu menunggu sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum FGVH pulih ke tahap pengurusan perladangan yang baik,” ujar beliau.

Justeru, Felda dan kerajaan perlu menjawab persoalan apakah tujuan utama mereka membuat penyenaraian itu yang mungkin mempunyai kepentingan politik.

“Adakah dorongan utama bertujuan untuk memperkayakan bank, dan penasihat, pengarah-pengarah Felda dan juga untuk menyediakan pembayaran durian runtuh kepada peneroka untuk membeli sokongan politik di dalam pilihanraya yang akan datang.

“IPO FGVH adalah satu IPO yang sebesar RM10.2 bilion, ianya yang kedua di dunia tahun ini dan pihak bank dan penasihat kepada IPO ini akan untung yuran berpuluh-puluh juta ringgit,” katanya.

Categories
NASIONAL

“Haram Jadah” Najib Pecah Belahkan Masyarakat

SHAH ALAM 10 MEI : Ungkapan ‘haram jadah’ Datuk Seri Najib Razak terhadap peneroka yang menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holding(FGVH) ke bursa saham menunjukkan Perdana Menteri gagal menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin negara, kata Khalid Samad.

Label ini diberi Najib semasa mengumumkan pemberian RM15,000 kepada setiap peneroka Felda hasil penyenaraian itu di Felda Jengka 8 baru-baru ini.

“Haram jadah mereka itu jangan terima kebaikan daripada penyenaraian itu.. saya nak tengok muka-muka ini, durian runtuh itu mereka hendak terima atau tidak..haram jadah saya tak redha mereka ini menerima,” Najib dipetik berkata..

Jelas Khalid, Najib tidak sepatutnya mengeluarkan perkataan itu bagi memaki hamun peneroka yang tidak bersetuju dengan penyenaraian FGVH.

Katanya, setiap keluarga peneroka berhak mendapat habuan mereka kerana tanah mereka dicagarkan.

“Sebelum ini, ramai pihak tidak bersetuju dengan penyenaraian itu kerana tanah Felda digunakan sebagai cagaran tetapi mereka teruskan juga.

“Apabila mereka teruskan, jadi secara tidak langsung peneroka berhak mendapat duit mereka, kalau sudah dicagarkan kenapa duit tidak boleh ambil, duit itu pun bukan duit bapak dia (Najib),” katanya dalam satu sidang media, di pejabatnya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu menambah, sebagai Perdana Menteri, Najib seharusnya bersikap adil tanpa mengira kedudukan pembangkang atau penyokongnya.

“Memilih bulu itu bukan cara untuk menyatupadukan rakyat,” katanya.

Malah, niat Najib dalam kenyataan mahu membubarkan parlimen selepas pemberian itu juga menunjukkan ia politik semata-mata.

Categories
NASIONAL

Kesahihan EGM KPF Diragui, ANAK Sedia Bawa Ke Mahkamah

SHAH ALAM, 23 APR: Mensyuarat Agung Luar Biasa(EGM) Koperasi Pelaburan Felda (KPF) akan terbatal sekiranya bukti diperolehi bahawa mesyuarat tersebut dijalankan dengan cara tidak sah, tegas Mazlan Aliman hari ini ketika dihubungi.

Mazlan yang juga Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) bersedia untuk memohon pembatalan  setelah menerima beberapa aduan yang mendakwa terdapat penyelewengan pihak Felda dalam mesyuarat tersebut bagi membolehkan penyenaraian Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVH) dilaksanakan.

“Sebenarnya kita masih meneliti perjalanan EGM tersebut sebab kita menerima aduan pertama sekali tentang perwakilan yang dipilih dalam EGM itu, statusnya adakah mereka benar-benar dapat mandat daripada koperasi felda di peringkat rancangan.

“Saya difahamkan seramai tiga orang dipilih dari setiap Felda. Isunya sekarang tiga orang itu dipilih dari kaedah bagaimana.

“Adakah mereka dipilih berdasarkan persetujuan atau mandat yang diperolehi dalam mesyuarat di peringkat koperasi mereka.

“Ataupun dia dipilih atau dilantik oleh pihak pengurusan. Kita kena semak semua itu dahulu sebab mereka dipilih untuk mewakili kepentingan koperasi mereka.

“Ini merupakan antara proses terpenting yang akan kita lakukan. Peguam ANAK sedang menelitinya, kalau laporan dengan bukti-bukti yang nyata menunjukan terdapat unsur di atas kita akan memohon pembatalan di mahkamah,” kata Mazlan.

Selain tidak menolak berlaku tekanan dan paksaan terhadap perwakilan dalam mesyuarat EGM terbabit, Mazlan turut mendakwa terdapat unsur sogokan agar usul penyenaraian FGVH tersebut diluluskan.

“Tekanan, ya itu sudah tentu, sebab itulah mereka dikawal yang saya difahamkan daripada rumah mereka lagi.

“Ada setengahnya dibawa oleh pengurus, ‘dientertain’ dan kita juga tidak menolak imbuhan-imbuhan yang diberi mungkin mereka gunakan alasan sebagai duit perjalanan dan sebagainya.

“Jadi kita tidak menolak kemungkinan paksaan, tekanan supaya menyokong penyenaraian dan sekiranya unsur-unsur seperti yang disebutkan tadi memang ada kita minta mereka buat laporan polis dan kita akan mohon supaya EGM itu dibatalkan,” kata Mazlan.

Mazlan turut mendapat maklumat bahawa perwakilan hanya memberikan persetujuan ke atas usul penyenaraian FGVH tersebut setelah usul asal tersebut dibuahsuai.

“Keduanya, usul yang dibawa oleh lembaga pengarah KPF. Adakah maksud sebenar usul itu dan juga persetujuan bagaimana yang dibuat oleh perwakilan sebab saya dapat maklumat bahawa usul itu ada pengubahsuaian dan mandat yang diberikan perwakilan bergantung kepada pengubahsuaian yang dibuat.

“Ada terma-terma usul awal itu sudah berbeza dengan sebelum darinya.

“Contohnya jumlah ekuiti KPF dalam FGVH, kemudian wakil-wakil yang diletakan di bawah FGVH atau istilahnya anggota lembaga yang ditempatkan di bawah ‘invesment holding company’.

“Maknanya itu terma-terma yang dikaji semula oleh pihak KPF yang saya difahamkan ia tidak dipersetujui oleh kerajaan dan semua pengubahsuaian ini sedang kita teliti,” ujar Mazlan lagi.