Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Nostalgia filem pecah panggung MGR, Rajni

Masih jelas dalam ingatan anak keempat Veraman dan Bullama. Beliau yang bersekolah bersama lapan beradik sangat meminati bintang filem India, MG Ramachandran.

Acapkali terpandang misai nipis pada wajah pelakon yang popular dengan nama MGR, hatinya mesti melompat riang. Poster sedemikian banyak menghiasi pawagam di Teluk Intan, Perak ketika itu.

Kenangannya pada dekad 1970-an cukup mengusik jiwa EXCO Kebajikan Masyarakat, Pekerja & Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau. Bagi beliau, dalam banyak-banyak filem lakonan MGR, filem Tamil klasik Padagotti paling meresap ke jiwanya.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Pekerja & Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau

Arahan T Prakash Rao, filem ini mengisahkan dua kampung nelayan sering bertelagah berikutan didalangi seorang kaya yang menguasai ekonomi kampung itu. MGR memegang watak hero bernama Manickam yang memimpin salah satu kampung berkenaan.

Manickam yang perwatakannya digambar sebagai jujur dan berprinsip telah jatuh cinta dengan anak kepada ketua kampung yang memusuhi kampungnya.

Kemuncak plot, orang kaya itu cuba mengurung perempuan dicintai Manickam. Pemuda itu kemudian menyelamatkannya.

Filem yang mula ditayangkan pada 1964 di India, banyak menelusuri isu sosioekonomi dan budaya masyarakat nelayan negara itu. Sikap tamak menjadi tema utama kepada karya berkenaan.

“Saya suka filem ini kerana ceritanya ada unsur perjuangan dua kampung nelayan tetapi sebenarnya yang jadi kaya-raya adalah orang kaya yang memberi pinjaman kepada mereka, juga yang memborong ikan, kalau nelayan beli sampan, pukat dan bermacam lagi kena beli dengan dia.

“Orang kaya ini akan pecah dan perintah dua kampung ini dan penduduk pula terlalu taasub dengan kampung masing-masing. Akhirnya penduduk dua kampung ini sedar,” kata Ganabatirau yang berkongsi minatnya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Filem kegemaran

Selain Padagotti, bapa empat anak itu menyenaraikan filem lakonan Rajinikanth sebagai kegemarannya. Paling diminatinya, filem Muthu lakonan bintang hebat itu.

Pelakon terkenal India Rajinikanth

Diterbitkan pada 1995, filem turut dibintangi Meena, Sarath Babu, Ponnambalam dan Senthil. Jalan ceritanya memberi kesan mendalam, malah mengajak penonton untuk menghormati orang lain tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

“Filem lakonan Rajinikanth tiada yang gagal. Sama seperti Shah Rukh Khan, walaupun sudah tua tetapi kita masih terbayangkan dia muda. Orang masih boleh terima dia.

“Saya nampak dalam cerita ini menunjukkan kalau seseorang ada integriti, dia boleh berjaya sama seperti Muthu yang sebenar pewaris sah harta keluarganya,” katanya.

Menariknya, filem arahan K S Ravikumar menjadi filem Tamil pertama menembusi pasaran Jepun sekali gus kutipannya pecah panggung di Negara Matahari Terbit itu.

Filem itu mengisahkan seorang pekerja bawahan yang setia (Muthu) terlibat dalam percintaan tiga segi dengan seorang artis pentas. Beliau dipandang rendah oleh orang kaya di tempat tinggalnya. Tanpa diketahui, Muthu sebenarnya pembesar wilayah (zamindar) yang mewarisi kekayaan luar biasa keluarganya.

Sebagai ahli politik, filem Tamil berjudul Kamaraj arahan A Balakrishnan yang diterbitkan pada 2004 memiliki daya tarikan tersendiri buat Ganabatirau.

Walaupun pelakon filem tersebut kurang terkenal, antaranya Richard Madhuram, Sambathraj Sumant, Mahendran dan Vijayan, tetapi ia memberi inspirasi untuk beliau berkhidmat penuh dedikasi di Selangor.

“Watak utama dalam cerita ini tidak pernah dapat pendidikan tetapi beliau adalah pejuang kemerdekaan India, membela rakyat Tamil Nadu yang miskin dan kurang berpendidikan,” katanya merujuk filem biografi mengenai ahli politik Tamil Nadu era 60-an, K Kamaraj.

Romantis

Seperti kelaziman, tidak lengkap sambutan Deepavali tanpa tayangan filem bertema percintaan. Bagi Ganabatirau pula, filem Sangam jadi pilihan utama.

Filem itu meletup di pawagam termasuk Malaysia ketika ditayang pada 1964, bahkan kekal sebagai karya Hindi terbaik pernah dihasilkan. Ganabatirau menganggapnya antara karya klasik paling romantis.

Poster filem Sangam lakonan Raj Kapoor

“Bukan orang India sahaja, orang Melayu juga ramai suka cerita ini kerana kisah percintaan yang sangat romantis, jalan cerita dan dilakonkan pula oleh Raj Kapoor,” katanya.

Arahan Raj Kapoor, filem yang dibintangi Rajendra Kumar dan Vyjayanthimala mengisahkan Sundar, Gopal dan Radha bersahabat baik sejak kanak-kanak tetapi setelah dewasa mereka terperangkap dalam percintaan tiga segi. Sundar jatuh hati kepada Radha tetapi Radha mencintai Gopal. Demi sahabat baik, Gopal mengorbankan perasaan cintanya.

Sebuah lagi kisah percintaan yang mendapat tempat di hati Ganabatirau ialah Kabhi Khushi Kabhie Gham. Filem Hindi itu ditayangkan ketika beliau masih belajar di Universiti Malaya.

Filem tersebut mengingatkannya supaya tidak membezakan kedudukan seseorang dan menjauhi sifat ego selain betapa pentingnya hubungan kekeluargaan.

Terbit pada 2001, filem arahan Karan Johar dibarisi Shah Rukh Khan, Kajol, Amitabh Bachchan, Kareena Kapoor, Hrithik Roshan, Rani Mukerji, Jaya Bachchan dan Farida Jalal.

Banyak lagi filem menjadi kegemaran beliau antaranya filem keluaran 1998, Kuch Kuch Hota Hai lakonan Shah Rukh Khan, Kajol dan Rani Mukerji, Mohabbatein (2000) juga dibintangi Shah Rukh Khan di samping Shamita Shetty, Jugal Hansraj serta Preeti Jhangiani.