Categories
AGENDA NASIONAL

Pensyarah UPSI dilantik CEO baharu Finas

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Prof Dr Md Nasir Ibrahim dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu, bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa esok (1 Nov) hingga 30 Okt 2023.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Seri Mohammad Mentek dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan itu bagi menggantikan jawatan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang berakhir 15 Okt lepas.

Beliau berkata Md Nasir mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada 2008 serta Pasca Kedoktoran dalam bidang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom pada 2014.

“Pengalaman luas dan ketokohan beliau dalam bidang pengurusan industri kreatif serta pembangunan polisi, tadbir urus dan pendidikan seni budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa terbukti, dengan kecemerlangan menggalas tanggungjawab termasuk sebagai timbalan rektor Hal Ehwal Akademik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“KKMM yakin kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang industri kreatif, khususnya seni budaya mampu memacu Finas sebagai badan peneraju yang menggalak, memelihara dan menyumbang kepada kemajuan industri perfileman negara.

“Saya percaya sinergi antara beliau dan ahli-ahli Perbadanan Finas akan memantapkan hala tuju, perancangan serta pelaksanaan yang lebih komprehensif bagi melonjakkan industri filem dan ekonomi kreatif di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggambaran filem, drama hanya di studio rasmi sepanjang PKP 3.0

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Aktiviti rakaman bagi penggambaran filem, drama, dokumentari, animasi, produksi muzik dan seumpamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dibenarkan bagi rakaman dalaman di studio rasmi yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sahaja.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam satu kenyataan memaklumkan studio rasmi ialah seperti studio Finas, Studio Iskandar Malaysia dan Studio Jelas Juta dengan operasi bermula 25 Mei dari 8 pagi hingga 8 malam.

Selain itu, aktiviti penggambaran yang dijalankan adalah dengan jumlah kru minimum tanpa penonton serta perlu membuat permohonan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) selain tertakluk kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) industri kreatif yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Finas juga ingin mengingatkan kepada semua pihak untuk mematuhi SOP ditetapkan MKN serta semua garis panduan meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Finas akan memaklumkan perincian SOP industri kreatif yang baharu pada Isnin ini dan perkembangan terkini melalui hebahan media, laman sesawang www.finas.gov.my serta media sosial Facebook, Instagram dan Twitter.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM, Finas pantau pematuhan SOP pawagam, kekang Covid-19

PUTRAJAYA, 25 DIS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memantau pelaksanaan dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang Covid-19 di pawagam seluruh negara.

Dalam kenyataannya hari ini, Finas berkata satu Program Lawatan Santai ke Pawagam telah diadakan di Golden Screen Cinemas (GSC) di Alamanda di sini semalam, bertujuan memantau pelaksanaaan dan pematuhan SOP di pawagam itu.

Program itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek dan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) KKMM Tan Chuan Ou serta Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Mohammad turut melawat Bilik Projektor GSC bagi memantau operasi dan proses penayangan filem di pawagam.

Menurut Finas, sesi lawatan santai itu berupaya mengukuhkan hubungan strategik antara KKMM, Finas dan pemain industri pawagam dalam mendepani cabaran pemulihan ekonomi impak penularan Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelakon veteran Zulkifli Zain meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain, 76, meninggal dunia di kediamannya di Ukay Perdana pada kira-kira 7.30 malam tadi akibat komplikasi pelbagai penyakit.

Perkara itu disahkan anaknya, Norzaza ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Normala Omar dan anak-anaknya.

Sebelum ini, Zulkifli yang juga bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung serta buah pinggang dan telah beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Allahyarham memulakan karier sebagai pelakon melalui filem Jiwa Remaja pada tahun 1975 dan telah muncul dalam lebih sepuluh buah filem serta beratus-ratus drama sepanjang menceburi dunia hiburan.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas Zohor esok.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu lesen Finas: Saifuddin mohon maaf secara terbuka

ISKANDAR PUTERI, 9 OGOS: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menzahirkan permohonan maaf kepada pengguna media sosial atas kesilapan kenyataannya berhubung isu lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), baru-baru ini.

“Sebagai menteri, saya kena minta maaf kerana ketika menjawab soalan itu di Dewan Rakyat pada 23 Julai, saya jawab lurus sangat.

“Rupanya orang politik tidak boleh lurus, bila lurus kena pelangkung (hentam),” katanya.

Beliau berkata selepas 20 jam menjawab soalan itu, beliau telah bincang perkara itu di Kabinet dan Kabinet putuskan orang ramai bebas menggunakan YouTube, Tik Tok untuk memuat naik kandungan.

“Jangan risau, tidak akan dikenakan apa-apa tindakan. Kebebasan itu dijamin sepenuhnya,” katanya.

Saifuddin membuat permohonan maaf itu ketika berucap merasmikan Bengkel Kemahiran YouTube dan Komuniti Sinema 2020 Zon Selatan di Iskandar Malaysia Studios, hari ini.

Kejujuran beliau itu disambut dengan tepukan dan sorakan gemuruh oleh lebih 200 hadirin pada majlis berkenaan termasuk Youtuber atau penggiat YouTube popular Mat Dan dan Tuah Adzmi.

Kedua-dua mereka antara selebriti YouTube yang diundang sebagai panel dalam program itu yang bermula hari ini hingga esok.

Program anjuran Finas bertujuan mendedahkan bakat muda dengan ilmu media baharu khususnya YouTube dalam menjana pendapatan.

Pada 23 Julai lalu, Saifuddin menjadi topik hangat warganet apabila dilaporkan berkata penerbit filem termasuk media baharu seperti YouTube diwajibkan memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP), bagi penerbitan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

Kenyataan beliau itu mengundang kritikan pelbagai pihak khususnya generasi muda yang merupakan pengguna majoriti media sosial.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FINAS sasar lebih banyak karya tempatan ke persada dunia

SHAH ALAM, 17 JAN: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyasarkan lebih banyak filem tempatan menembusi pasaran antarabangsa tahun ini.

Mengakui tidak mudah, namun pengerusinya Datuk Hans Isaac berkata hasrat itu boleh direalisasikan dengan kerjasama semua pihak, lapor BH online.

“Hendak cakap dan kritik senang tetapi bukan mudah mahu memasarkan filem tempatan ke luar negara.

“Kami memerlukan sokongan semua bahagian penggiat industri kreatif. Kami mahu bersikap adil dan memberi peluang kepada penggiat seni,” katanya pada sidang media pengumuman Festival Filem Malaysia ke-31 di Kompleks FINAS di Hulu Kelang, semalam.

Sebanyak 67 filem bersaing merebut 32 kategori pada festival bertemakan Inspirasi Sinemaku: Tanpa Sempadan di Encore Melaka pada 18 April ini.

Karya yang bakal dipertandingkan merangkumi 35 filem Bahasa Malaysia, Mandarin dan Kantonis (15), Tamil (12), animasi (empat) serta sebuah filem yang mewakili kategori lain-lain.

Categories
NASIONAL

FINAS: Penerbit perlu hasil lebih banyak filem animasi

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Lebih banyak filem animasi tempatan perlu diterbitkan dalam usaha menembusi pasaran filem di peringkat antarabangsa, kata Pengerusi Perbadanan Filem Nasional (FINAS), Datuk Gerald Hans Isaac.

Beliau menggesa syarikat produksi filem tempatan memanfaatkan industri animasi kerana ia semakin menjadi pasport segera untuk menerobos ke pasaran antarabangsa.

“Filem animasi boleh memasuki pasaran banyak negara dengan pelbagai bahasa, faktor bahasa bukan lagi menjadi isu, contohnya seperti filem “Upin dan Ipin”.

“Saya harap syarikat produksi filem kita akan dapat mencipta laluan untuk menembusi pasaran negara seperti China, Eropah, Amerika Syarikat dalam usaha mencapai pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu majlis pengumuman mengenai perkongsian pemain industri antara KRU Animation Studios dan KidZania Kuala Lumpur, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri; Presiden dan CEO Kumpulan KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim dan Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur, Shahrul Nizar Ahmad.

KRU turut menjemput 30 kanak-kanak yang tidak bernasib baik dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad yang mendapat sumbangan ‘duit raya’ dan hadiah penghargaan sebagai sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Menerusi perkongsian ini, KRU akan memperkenalkan studio animasi mereka di KidZania dalam usaha meningkatkan pengetahuan berhubung industri animasi di kalangan generasi muda.

Golongan muda yang berkunjung ke KidZania akan dapat mempelajari proses membuat filem animasi, termasuk dari segi penyediaan jalan cerita, mencipta karekter dan melajar membuat ‘voice over’.

KRU turut menawarkan program yang dinamakan AfterClass bagi pelajar pr-sekolah dan pelajar sekolah rendah bagi meningkatkan minat mereka dalam seni dan produksianimasi,yang akan banyaka membantu semasa mereka menyertai industri itu di masa akan datang.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SENI

FINAS bakal perkenal KWSP, PERKESO untuk penggiat seni

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi melindungi kebajikan penggiat seni bebas.

Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, skim itu bukan sahaja bakal menjamin masa depan pelakon tetapi juga kru produksi termasuk jurumekap, ‘runner’, pemandu serta penjaga busana.

“FINAS sudah ada kertas kerjanya. Perbincangan untuk mekanisme pelaksanaan caruman akan dibuat bersama kedua-dua badan terbabit. Syarat dan kaedahnya akan diberikan oleh mereka bagi mengaplikasi sistem itu dalam industri seni.

“FINAS juga akan bertemu dengan pihak pengurusan stesen televisyen dan syarikat produksi karyawan bebas ini bekerja. Ada banyak proses yang perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaan itu dapat dijayakan,” katanya kepada pemberita sempena hari pertamanya memasuki pejabat, di FINAS hari ini.

Hans Isaac, berkata sudah tiba masanya untuk industri seni diiktiraf sebagai profesional, justeru dengan adanya kedua-dua skim terbabit, pengiktirafan itu akan dapat direalisasikan.

Katanya, pengenalan skim terbabit adalah satu daripada 15 manifesto yang dirangkanya bersama Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang baru sebulan memegang jawatan itu.

KUALA LUMPUR, 11 April — Pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Pelakon, penerbit dan pengarah filem, Datuk Gerald Hans Isaac (kanan) pada sidang media di Finas hari ini.
Perlantikan itu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 8 April lalu.
Turut kelihatan, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan 14 lagi manifesto, dengan berkata, “Saya tidak mahu hanya berjanji, saya mahu jayakan sesuatu pelan itu dahulu, pastikan ia dilaksanakan dan apabila dapat keputusannya nanti, baru saya umumkan.”

Pada masa sama, Hans Isaac memberi jaminan beliau tidak akan bersikap berat sebelah dan memihak kepada kroni atau rakannya dalam memberikan sebarang dana atau geran daripada FINAS untuk produksi filem dan televisyen.

“Jika sesuatu permohonan itu membabitkan konflik kepentingan, saya akan tinggalkan mesyuarat dan biarkan lembaga pengarah membuat keputusan. Jika mereka mendapat geran daripada FINAS berdasarkan merit, tiada siapa boleh persoalkan,” katanya.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang ragu dan skeptikal dengan pelantikannya Ahmad Idham, supaya memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan hasil kerja.

“Bagaimanapun, saya menerima maklum balas positif, hebat dan mengagumkan daripada pemain industri berhubung pelantikan saya sebagai pengerusi,” katanya.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengumumkan pelakon, pengarah dan penerbit itu dilantik sebagai pengerusi FINAS bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa Isnin lalu bagi menggantikan Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas Pemangku Pengerusi sejak lebih empat bulan lalu. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ahmad Idham dilantik CEO baharu FINAS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 MAC: Pengarah dan pelakon terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pelantikan itu bagi tempoh dua tahun dan mula berkuat kuasa 11 Mac lalu.

Katanya, keputusan dibuat hasil keputusan Lembaga FINAS berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 bagi menggantikan pemangku, Shakib Ahmad Shakir, yang sudah menjalankan tugas empat bulan lalu.

“KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia) mengucapkan terima kasih kepada Shakib untuk perkhidmatan beliau dalam menjalankan tugas sebagai pemangku jawatan itu.

“Kementerian optimis CEO baharu iaitu Ahmad Idham akan berkhidmat sebaiknya untuk meningkatkan usaha FINAS bagi membangunkan industri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Gobind berharap Ahli Lembaga FINAS akan memberi kerjasama penuh kepada CEO baharu dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan.

Ahmad Idham adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA dan mempunyai kepakaran serta pengalaman luas dalam industri kreatif selama lebih 25 tahun, selain pernah mencatat rekod juga menerima pelbagai anugerah dalam dan luar negara.

Categories
NASIONAL SENI

Rombakan FINAS mampu rangsang pengeluaran karya

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) berharap rombakan dalam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dapat mewujudkan suasana yang merangsang aktiviti pengeluaran khususnya dari segi pengkaryaan pengarah, penerbit dan karyawan lain.

Timbalan Presidennya, Dr Mahadi J. Murat berkata, sudah tiba masa untuk melakukan penambahbaikan kerana industri filem tempatan sedang beralih kepada fasa baharu.

“Dulu, tumpuan kami berasaskan Dasar Perfileman Negara yang bertolak daripada Akta FINAS, yang ditambah baik sebanyak dua kali dan sekarang ini kami memasuki era baharu yang memerlukan satu set agenda yang mesti difahami semua pemain industri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di sini, malam tadi.

Beliau yang juga penerima Anugerah Pengarah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-12 berkata, apa yang penting bukan sahaja dari segi konsep dan teknologi pengeluaran filem tetapi agenda negara yang membawa pembaharuan.

“Karyawan filem memerlukan panduan yang dapat memberi rangsangan untuk menambah baik terutama daripada aspek pembangunan industri.

“Penuntut bidang perfileman di institusi pengajian tinggi juga sedang melihat apakah sebenarnya pengisian agenda yang hendak dilakukan. Kami tidak boleh bertangguh lagi dalam soal ini,” katanya.

Menyentuh peranan karyawan dalam menterjemahkan misi kerajaan, Mahadi berkata, karyawan sendiri perlu meningkatkan daya kreativiti dan keupayaan teknologi bagi menghasilkan produk filem berkualiti.

Katanya, FDAM mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan tahap profesionalisme pengarah supaya mereka dapat menunaikan tanggungjawab untuk menyediakan kandungan yang kompetitif.

“Contohnya, kami mewujudkan Kod Amalan Profesional sebagai panduan kepada karyawan filem bagi memastikan penyampaian mereka mencapai tahap dikehendaki,” katanya.

Pada Disember 2018, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, mengumumkan barisan anggota baharu Lembaga Pengarah FINAS, diketuai Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Samsuni Mohd Nor, sebagai Pengerusi.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

KKMM alu siasatan SPRM terhadap FINAS

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu kewangan membabitkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Justeru, Menterinya, Gobind Singh Deo berharap suruhanjaya itu akan memberi respon segera bagi mendapatkan gambaran jelas terhadap pentadbiran FINAS selama ini.

“Saya mengalu-alukan siasatan SPRM ini dan minta dipercepatkan keputusannya kerana ia membabitkan jumlah yang sangat besar,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Terdahulu, laporan Ketua Audit Negara menyatakan kedudukan kewangan FINAS dan prestasi kewangan serta aliran tunai, pada 31 Disember 2016 tidak selaras dengan piawaian pelaporan ditetapkan.

Laporan itu turut menghuraikan 11 sebab sebagai asas kepada pendapat bertentangan dengan Penyata Kewangan FINAS.

“Saya memandang serius laporan Ketua Audit Negara ini dan laporan bahawa Penyata Kewangan FINAS tidak memberi gambaran benar dan saksama adalah berat serta sama sekali mematahkan integriti sistem kewangan FINAS sepert diharapkan di dalam penyata kewangan itu.

“Ia menunjukkan sistem perakaunan FINAS sangat lemah dan tidak boleh diterima serta tiada akauntabiliti bagi jumlah wang sangat besar,” kata Gobind lagi.

Laporan itu menghurakan antaranya cukai pendapatan lebih RM6.2 juta dan RM3.2 juta bagi tahun taksiran 2006 sehingga 2015 dan RM2.1 juta bagi 2016; ketepatan baki bank (RM11.5 juta); baki pendahuluan dan penghutang pinjaman (RM2.4 juta) dan (RM3.04 juta); penghutang sewaan (RM81,707) di mana identiti penghutang sewaan tidak dapat dikenal pasti; baki penghutang pelbagai sebanyak RM146,107 dan berbaki kredit sebanyak RM12.6 juta yang tidak dapat dikenal pasti; pelbagai pemiutang (RM1.3 juta) dan RM30.1 juta yang tidak dapat dikenalpasti; keraguan berkaitan deposit filem berjumlah (RM18.4 juta) dan sebagainya.

Sehubngan itu, katanya, satu lembaga perbadanan baharu FINAS dilantik terdiri daripada individu berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang perfileman, karyawan serta perakaunan.

“Saya akan umumkan badan baharu ini pada minggu depan dan berharap mereka dapat meningkatkan prestasi FINAS supaya kita boleh berjaya dalam industri ini, bukan sahaja di Malaysia tetapi di pentas dunia,” katanya.

Categories
NASIONAL

Audit dalaman FINAS sedang berlangsung-Gobind

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI BESI, 11 OKT: Kerajaan menafikan pertukaran Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Fauzi Ayob dan Timbalannya, Datuk Azmir Saifudin Mutalib mempunyai kaitan dengan isu penyelewengan dana yang sedang disiasat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pertukaran itu dibuat selaras hasrat penstrukturan semula FINAS seperti diumumkan sebelum ini, memandangkan badan perfileman terbabit berdepan masalah kewangan dan amalan sistem kewangan.

“Kita sudah mulakan audit dalaman dan ia membabitkan banyak akaun serta mengambil masa.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita dalam proses penstrukturan semula dan saya akan umumkan pasukan baru dalam masa terdekat.

“Pertukaran Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan audit dalaman yang sedang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Sidang Kemuncak Keusahawanan e-dagang anjuran Malaysiakini, di Royal Ballroom, Palace of The Golden Horses.

Gobind berkata, hasil laporan audit dalaman akan diumumkan kelak selepas ia selesai sepenuhnya, sementara sebarang bentuk tindakan susulan seperti laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis turut akan dibuat kemudian jika perlu.