Categories
SELANGOR

Pasangan 16 anak, Tokoh Keluarga Mithali 1435H/2013M

TOKOH KELUARHA MITHALI - TUAN HAJI MOHD DAWAM BIN DOLLAH DAN PUAN NORAISAH BINTI HASSANSHAH ALAM 5 NOV : Pasangan suami isteri, Mohd Dawam Dollah dan Noraisah Hassan dianugerahkan Tokoh Keluarga Mithali dalam Majlis Ambang Hijrah dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1435H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, malam tadi.

Mohd Dawam, 64, pesara guru agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menetap di Sungai Nibong, Sekinchan masih berkhidmat sebagai ketua kampung Sungai Nibong Batu 23, Sekinchan dan dilantik sebagai Pengerusi Ketua-Ketua Kampung Daerah Sabak Bernam.

Katanya, dia dan Noraisah, 60, mempunyai 16 orang anaknya dan 10 daripadanya sudah bekerja, manakala enam lagi masih menuntut dalam pelbagai bidang di universiti dan sekolah menengah.

“Biarpun sibuk membesarkan dan mendidik anak, tenaga dan keringat tetap saya dan isteri sumbangkan dalam mengurus dan mentadbir masjid, koperasi guru serta aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Pada majlis sama, Tokoh Saudara Kita 1435H/2013M dianugerahkan kepada Lim Jooi Soon, 44, yang memeluk Islam ketika berusia 28 tahun, pada 9 Januari 1997.

Katanya, dia pernah menuntut di Islamic Education Trust di Nigeria selama 12 tahun dan di Australia selama empat tahun dalam Bible student dengan niat untuk mendalami ilmu agama.

Jooi Soon bertugas sebagai pendakwah bebas, selain banyak menyumbangkan tenaga, idea dan pengalaman dengan menyampaikan ceramah di dalam serta luar negara, malah kini masih aktif sebagai pelatih kader dakwah kepada muallaf juga bukan Islam selain menguruskan kes murtad.

Selain itu, beliau turut terbabit dalam menganjurkan kursus ‘Training The Trainer’ anjuran Nuruddin Lemu dan Aisyah Rodrigo daripada Islamic Trust Nigeria, selain berperanan sebagai penganjur kbagi Kursus Interaktive Dakwah Training, di samping menjadi panel dalam forum perbandingan agama.

Bagi Anugerah Badan Dakwah Sukarela Terbaik 1435H dianugerahkan kepada Pertubuhan Sukarelawan Islam Hospital Selangor (SAHABAT) yang banyak menjalankan aktiviti dakwah kepada pesakit dan keluarga mereka ketika dirawat di hospital.

Semua anugerah disampaikan Tengku Panglima DiRaja Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang turut dihadiri, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; pembesar negeri, EXCO Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan lebih 1,000 hadirin.

-NFN-

Categories
SELANGOR

SPR dan SPRM ‘tertidur’ di Sg Limau, rasuah berleluasa

PRK DUN Sungai Limau

SHAH ALAM 3 NOV : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi ‘kayu mati’ yang gagal menghalang rasuah pilihanraya yang berlaku secara berleluasa dalam PRK N20 Sungai Limau.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pemberian dilakukan secara terang-terangan dalam bentuk pemberian wang ringgit, dan barangan atas pelbagai nama.

Katanya, ia dilakukan secara terbuka oleh pimpinan kerajaan, di samping penggunaan hampir seluruh jentera kerajaan kecuali Jabatan Kaji Cuaca sahaja yang tidak kelihatan.

“SPRM yang diharap menjadi agensi penguatkuasaan pencegahan rasuah serta pihak polis menjadi pemerhati kosong di atas apa yang berlaku.

“Alasan yang sering kali didengar ialah ianya bukan diberi oleh calon atau wakil calon, maka ianya bukanlah rasuah,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim berkata, kegagalan Kerajaan Umno-BN untuk mengambil contoh pencegahan rasuah negara luar menjadi bahan ketawa pemerhati asing.

“Kini ia menjadi budaya yang diterima oleh umum, menyebabkan penduduk yang terpinggir dan miskin akan bergantung kepada pilihanraya kecil untuk kawasan mereka diberi perhatian, paling tidak, pelbagai janji yang memenuhi impian mereka,” kata beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mentaliti Kerajaan Nepal lebih maju, miliki 127 akhbar banding Malaysia

Nepal punyai 172 akhbar berbanding malaysia

SHAH ALAM 30 OKT: Nepal dilihat lebih telus dan terbuka apabila mempunyai 127 akhbar, berbanding Malaysia yang dilihat kurang memberikan kebebasan media.

Kerajaan Nepal percaya dengan memberikan kebebasan media mampu membawa kepada kemajuan mentaliti pemimpin dan rakyat negara Asia Selatan itu.

Walaupun Nepal masih dikategorikan sebagai negara dunia ketiga daripada segi pembangunan fizikal, tetapi mentaliti pemimpin negara itu dianggap lebih maju berbanding Barisan Nasional (BN).

Bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hatta Wahari berkata, hal itu dibuktikan apabila sehingga kini Nepal mempunyai 127 akhbar tidak termasuk akhbar yang diterbitkan peringkat negeri.

“Walaupun kita membangun dan mempunyai prasarana seperti negara maju tetapi mentaliti kerajaan masih di tahap negara dunia ketiga kerana mereka ingin mengawal media. Sebenarnya, semua kerajaan ingin kawal tanpa beri ruang kebebasan kepada media dan masyarakat,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Hatta turut mengutuk tindakan Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan untuk menutup akhbar yang menerbitkan kenyataan beliau dalam satu program di Melaka, baru-baru ini.

“Ini kenyataan paling kurang ajar yang keluar daripada seorang pemimpin dan beliua mempunyai mentaliti dunia ketiga dengan beranggapan mempunyai kuasa dan boleh kawal kebebasan media. Pemimpin seperti ini kita kena tolak,”katanya.

Menyentuh kemenangan portal berita Malaysiakini dalam kes rayuan KDN yang menolak permit penerbitannya, Hatta berharap kemenangan itu akan menjadi contoh kepada media lain supaya berani menerbitkan media seimbang dan telus.

“Kemenangan Malaysiakini patut dijadikan contoh kepada media lain dan saya harap industri media kita lebih bebas serta maju,” katanya. -NFN-

GST : Pendapatan rakyat perlu dipertingkat – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 31102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan segala bentuk kebocoran, rasuah dan sistem monopoli yang membengkak dalam negara perlu dihentikan terlebih dahulu sebelum memikirkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

2. Tindakan kerajaan pusat memansuhkan subsidi barangan keperluan rakyat pada pembentangan Bajet 2014 adalah satu ‘hukuman berat’ kepada rakyat sedangkan pentadbiran kerajaan tidak mengamalkan cara berhemah berbelanja sehingga menyebabkan berbilion wang rakyat.

3. Masalah jenayah harus ditangani secara holistik dan bukan hanya tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata, tegas Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor anjur Bazar Darul Ehsan untuk usahawan

Dr Daroyah Beri Tumpuan Bangun Infrastruktur 01

SHAH ALAM 31 OKT : Selangor akan melaksanakan program Bazar Darul Ehsan untuk membantu usahawan di negeri itu mengembangkan perniagaan, selain berpeluang memasarkan produk mereka di segenap daerah, memjelang awal tahun depan.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi, berkata program ini akan mengumpulkan usahawan di setiap pelusuk negeri untuk bersama-sama mempromosi produk mereka kepada orang ramai dengan lebih meluas.

“Program ini memberi ruang kepada semua usahawan pelbagai bidang seperti veterinar dan industri asas tani untuk mengembangkan sayap perniagaan mereka supaya lebih maju. Sehingga kini, program itu sudah mula dilaksanakan di daerah Kuala Langat.

“Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan hab halal di Pulau Indah tidak lama lagi untuk kita pasarkan produk halal secara global,” katanya ketika merasmikan seminar Usahawan Retail 200 di Hotel De Palma, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar dan disertai kira-kira 500 peserta.

Seminar itu terbuka kepada orang ramai khususnya usahawan yang berminat dalam bidang peruncitan untuk mengetahui aspek perniagaan daripada tokoh perniagaan berjaya. -NFN-

Categories
NASIONAL

Najib, KDN digesa beri respon isu perisikan Amerika

anwar najib

KUALA LUMPUR 31 OKT : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa terkejut kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengeluar kenyataan berhubung laporan Kedutaan Amerika Syarikat menjadi pusat operasi aktiviti perisikan.

Katanya, tindakan Najib dan KDN itu dilihat umpama “nampak terlalu lemah” walaupun perkara berkenaan terlalu serius.

“Ini perkara serius untuk negara. Kami minta Perdana Menteri, KDN memberi respon berkenaan perkara ini supaya kita tidak dilihat terlalu lemah.

“Tidak ada negara yang boleh bertoleransi dengan kegiatan perisikan,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekas kontrakor agensi keselamatan kebangsaan Amerika Syarikat, Edward Snowden mendedahkan, Amerika dan Australia menggunakan kedutaan untuk melakukkan aktiviti perisikan serda mengumpul data negara berkenaan.

Mengikut laporan, antara negara yang menjadi sasaran aktviti perisikan itu termasuk Benua Eropah dan Benua Asia. -NFN-

Categories
NASIONAL

Kerajaan perlu turun harga bahan api ikut pasaran dunia

ron95

KUALA LUMPUR 31 OKT – Pakatan Rakyat (PR) mempersoalkan tindakan kerajaan menaikkan subsidi bahan api sebanyak RM2.326 bilion dalam pembentangan Belanjawan Negara 2014 kerana kerajaan mensasarkan penjimatan sebanyak RM3.3 bilion tahun hadapan.

Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik, berkata pertambahan subsidi menjadikan jumlah perbelanjaan meningkat kepada RM22.341 bilion, namun hanya RM20.015 diperuntukkan dalam Belanjawan Negara 2013.

“Subsidi minyak untuk tahun depan akan meningkat sebanyak 11.62 peratus iaitu daripada RM20 bilion ditingkatkan kepada RM22 bilion. Harga subsidi minyak perlu ditingkatkan bukan dikurangkan.

“Jadi kita ada persoalan besar, kenapa subsidi perlu meningkat secara mendadak kerana pengumuman Perdana Menteri menjelaskan bahawa RON95 dan Diesel ditingkatkan 20 sen membolehkan penjimatan RM3.3 bilion dicatat tahun 2014, pada September lalu,” katanya pada sidnag media, di Parlimen, di sini, hari ini.

Wei Aik berkata, harga minyak semasa dunia menurun berikutan keredaan krisis di Syria dan Iran ke paras USD102 satu tong dan beliau turut mendesak kerajaan menurunkan harga bahan api selaras dengan penurunan harga pasaran dunia.

“Harga bahan api adalah masalah besar yang membebankan rakyat kerana mereka ingin harga diturunkan bukan semakin bertambah,” katanya.

Antara negara yang mengurangkan harga minyak adalah India, Taiwan, Ghana, Vietnam, Bermuda, Afrika Selatan, Georgia dan China, dalam tempoh hampir tiga bulan lalu. -NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Gula punca kantin sekolah naik harga makanan dan minuman

Gula naikSHAH ALAM 31 OKT : Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima aduan beberapa kantin sekolah sekitar Lembah Klang menaikkan harga makanan dan minuman.

Pengerusinya, Yahya Sahri, berkata pihaknya menerima aduan itu selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik subsidi gula sebanyak 34 sen.

Katanya, selain kantin sekolah, peniaga gerai turut menaikkan harga makanan dan minuman dengan bayaran dikenakan hampir sama dengan kopitiam.

“Kita ada terima banyak aduan berkenaan peniaga gerai dan kantin sekolah yang bertindak menaikkan harga makanan dan minuman di kedai premis mereka.

“Tiga anggaran minimum sehari aduan kenaikan harga yang diterima kami. Bagaimanapun, pengadu tidak memberikan maklumat terperinci dan menyebabkan kami tidak dapat membuat pemantauan,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor, di sini, hari ini.

Yahya berkata, terdapat empat sekolah yang menaikkan harga makanan dan minuman mengikut aduan yang diterima daripada ibu bapa pelajar.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinngi membuat pemantauan dan tindakan terhadap kantin sekolah di seluruh negara supaya tidak menaikan harga makanan dengan sewenangnya.

“Harga makanan dan minuman tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana pihak pengusaha kantin terikat dengan perjanjian kontrak harga makanan, jadi pihak kerajaan perlu memantau masalah ini.

“Kita juga mahu kerajaan pusat membuka ebih banyak peluang dalam industri gula supaya tidak hanya memberikan peluang kepada syarikat duopoli bagi mewujudkan peluang persaingan harga pasaran gula.

Beliau turut menyarankan pengguna supaya membuat aduan kepada Biro Kepenggunaan PKR jika terdapat peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah-Sekolah, Hamzah Omar berkata, pihaknya akan memastikan pengusaha kantin tidak menaikkan harga makanan dan minuman disebabkan kenaikan harga gula sebanyak 34 sen kerana sudah termaktub dalam perjanjian kontrak bahawa mereka tidak boleh menaikkan harga sesuka hati. -NFN-

Categories
SELANGOR

Wong Chen : Tangani jenayah secara holistik

jenayah wong chenSHAH ALAM 31 OKT : Masalah jenayah harus ditangani secara holistik dan bukan hanya tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata, tegas Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Wong Chen berkata, aspek ekonomi juga harus diberi perhatian sama serius seperti penguatkuasaan undang-undang dalam mengekang kes jenayah di negara ini.

“Andaikan seorang penjenayah melakukan rompakan bersenjata setiap hari, negara bakal menyaksikan 365 kes jenayah sepanjang tahun.

“Bayangkan kalau 10 ribu penjenayah dengan komitmen yang sama. Jadi berapa banyak anggota polis diperlukan untuk tangani masalah ini?,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Wong Chen berkata, beliau mengesa Kerajaan Pusat bersikap lebih prihatin dengan pengurusan pentadbiran yang lebih cekap dalam memberi suasana ekonomi yang lebih baik kepada rakyat terbanyak.

Gesaannya itu diambil kira dari kehidupan rakyat yang semakin menekan ekoran desakan ekonomi yang saban hari semakin merunsingkan.

Kata Wong Chen, penjenayah di negara ini seakan komited menjadikan jenayah sebagai satu kerjaya tetap sehingga sanggup menyeludup senjata api dari negara jiran.

“Orang terdesak berisiko besar terjerumus dalam kancah jenayah. Jika kerajaan terus-terusan tidak prihatin dengan perkara ini, maka lebih ramai rakyat negara ini akan terjerumus dengan jenayah.

“Atas faktor ini, ekonomi memainkan peranan penting sekiranya peluang pekerjaan untuk rakyat lebih terjamin dengan pulangan pendapatan lebih memberangsangkan, jenayah tidak lagi menjadi pilihan kerjaya mereka,” ujarnya.

– EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBPJ tambah CCTV bagi pertingkat keselamatan

cctv mbpj

PETALING JAYA, 31 OKT : Majlis Bandaraya Petaling (MBPJ) mengambil langkah proaktif dengan menambah lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di laluan pejalan kaki di sekitar stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Kelana Jaya berhampiran Taman Mayang, di sini.

Tindakan itu dilakukan susulan kematian seorang pelajar, Dickson Wong dari Sarawak yang diragut berhampiran stesen LRT berkenaan kira-kira dua hari lepas.

Unit Perhubungan Awam MBPJ dalam satu kenyataan berkata, usaha menambah CCTV di kawasan itu sudah mendapat kelulusan Datuk Bandar, Datin Paduka Alinah Ahmad dan akan dilakukan dalam tempoh dua minggu lagi.

“Pihak Majlis juga akan mensyaratkan kepada premis kormesial dalam pembaharuan lesen supaya mengadakan dan memasang CCTV di premis masing-masing untuk membantu mengawal keselamatan bersama,” kata kenyataan media itu.

Selain pemasangan CCTV, pihak Majlis juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat rondaan di sekitar kawasan itu.

Terdahulu, Dickson yang koma selepas diserang peragut di Taman Mayang ditemui terbaring dan berlumuran darah berhampiran stesen LRT itu.

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mansuh subsidi hukuman berat kepada rakyat

Jom Shopping Deepavali anjuran DUN Gombak Setia 1

GOMBAK 31 OKT : Tindakan kerajaan pusat memansuhkan subsidi barangan keperluan rakyat pada pembentangan Bajet 2014 adalah satu ‘hukuman berat’ kepada rakyat sedangkan pentadbiran kerajaan tidak mengamalkan cara berhemah berbelanja sehingga menyebabkan berbilion wang rakyat.

Jom Shopping Deepavali anjuran DUN Gombak Setia 3

Adun Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan, berkata golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan terus dihimpit dengan kekangan ekonomi hasil daripada tindakan pemansuhan subsidi itu.

“Kita melihat ini sebagai satu bencana kepada rakyat apabila bajet baru-baru ini menarik beberapa subsidi barang keperluan rakyat seperti gula apatah lagi bila menjelang perayaan,” kata beliau kepada TV Selangor.

Hasbullah berkata, kerajaan pusat perlu mengamalkan konsep perbelanjaan berhemah dan mencari jalan mengatasi defisit negara.

“Kerajaan perlu memikirkan langkah mencari alternatif lain untuk mengurangkan defisit dan kelemahan mereka dalam mentadbir.

“Tapi janganlah rakyat yang sudah sedia mengalami kenaikan harga barang ini dihukum lagi dalam bajet,” kata Hasbullah.

Hasbullah sebelum itu menemani peserta Jom Shopping Deepavali anjuran DUN Gombak Setia selain mengambil peluang beramah mesra dengan pengunjung lain di pusat membeli-belah Giant Batu Caves.

Seramai 300 orang peserta yang layak menerima baucar membeli belah sebanyak RM100.

Jom Shopping Deepavali anjuran DUN Gombak Setia 2

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor tawar 300 rumah mampu milik

Rumah Debbin PKNS 3

SHAH ALAM 30 OKT – Kerajaan Selangor menawarkan Rumah Mampu Milik “Rumah Selangorku” kepada 300 orang pemohon yang layak menduduki mengikut kriteria yang ditetapkan.

Rumah Selangorku yang ditawarkan ini dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen U12 Shah Alam dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Sutera Damansara, Petaling Jaya.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka, Iskandar Abdul Samad, berkata PKNS sedang membina 104 unit pangsapuri sementara PNSB sedang membina 236 unit pangsapuri.

“Dijangkakan pangsapuri itu boleh diduduki pada akhir tahun 2016,” kata Iskandar dalam satu kenyataan.

Iskandar berkata, sebahagian dari unit-unit kediaman itu akan dibeli oleh Kerajaan Negeri untuk dijadikan rumah sewa kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk membeli rumah mereka sendiri.

Pemilihan adalah semata-mata berdasarkan merit dan tidak langsung mengambil kira surat sokongan dari mana-mana pihak.

Jelasnya pemohon-pemohon berjaya adalah di antara 2,244 pemohon yang mengisi borang khas yang dikeluarkan oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk membeli Rumah Mampu Milik.

“Pemilihan dibuat menggunakan sistem merit. Setiap pemohon akan diberikan markah untuk kriteria mereka.

“Contohnya untuk bilangan anak atau tanggungan, lebih ramai anak atau tanggungan maka lebih tinggi markah yang akan diberi.

“Di antara kriteria lain yang dinilai adalah pendapatan isi rumah, lama tinggal di Negeri Selangor dan jarak tempat tinggal sekarang dari lokasi projek.

“Pemohon-pemohon yg mendapat markah tertinggi akan ditawarkan untuk membeli rumah-rumah tersebut,” katanya.

Kata Iskandar, pemohon yang berjaya akan diberitahu melalui surat pada bulan Disember ini dan nama mereka akan dipamerkan di laman web Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) untuk dua minggu.

Kedua-dua projek ini adalah antara 35,000 Rumah Mampu Milik yang akan bina di Selangor menjelang 2018.

Projek Rumah Mampu Milik pertama PKNS adalah di Bandar Baru Bangi dengan 124 unit kediaman dan akan mula diduduki tahun hadapan.

Mereka yang berminat untuk membeli rumah-rumah tersebut boleh memuat turun borang permohonan daripada laman web LPHS – http://lphs.selangor.gov.my mulai bulan Disember ini.

-EZY