Categories
AGENDA NASIONAL

Dakwaan remaja mati 18 hari selepas divaksin, KKM tunggu laporan penuh

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum menerima laporan penuh forensik dan patologi berhubung kematian remaja berumur 13 tahun yang didakwa meninggal dunia selepas 18 hari menerima vaksinasi COVID-19.

Ketua Pengarah KKM Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di akaun Twitter berkata ketika ini Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sedang bekerjasama rapat dengan pasukan klinisian dan forensik dalam siasatan itu.

“Saya masih belum menerima laporan penuh forensik dan patologi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa serta anggota keluarga remaja itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitternya turut menyampaikan ucapan takziah kepada ibu bapa remaja itu dan meminta Dr Noor Hisham mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu secepat mungkin.

Sebelum ini media melaporkan bahawa ibu bapa remaja itu telah meminta supaya satu siasatan dijalankan bagi mencari punca kematian remaja berkenaan.

— BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Kementerian Kesihatan sedia lakukan ujian forensik

GUA MUSANG, 10 Jun : Kementerian Kesihatan bersedia untuk melakukan ujian forensik terhadap 12 lagi mayat Orang Asli daripada suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh di sini yang didakwa telah meninggal dunia akibat radang paru-paru atau pneumonia sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya bersedia untuk melakukan ujian itu jika diminta berbuat demikian bagi membantu mengesan penyakit mereka dan punca sebenar penyakit itu merebak kepada sebahagian besar kaum terbabit di kampung sama.

Bagaimanapun, kata beliau, perkara itu terserah kepada polis untuk menggali semula kubur mangsa yang ditanam secara adat kerana setakat ini hanya dua mayat mangsa yang sudah dilakukan bedah siasat dan kebumikan cara Islam.

Katanya, kementeriannya juga sudah melakukan siasatan berhubung perkara itu di Kampung Kuala Koh tetapi sukar mengesan kubur mereka yang didakwa ditanam di dalam hutan.

“Bila kita tanya keluarga mereka dan semuanya menjawab tidak tahu,” katanya kepada pemberita selepas mendapatkan taklimat berhubung perkara itu dan melawat pesakit Orang Asli yang dirawat di Hospital Gua Musang (HGM) di sini, hari ini.

Seramai 50 penduduk kaum itu yang masih menerima rawatan di tiga hospital di negeri ini termasuk 37 orang di HGM, 12 orang di Hospital Kuala Krai (HKK) dan seorang lagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Dzulkefly juga mengingatkan orang ramai supaya tidak melawat kampung berkenaan buat masa ini berikutan penyakit itu mudah berjangkit dan jika perlu pengunjung mesti memakai pakaian khas.

“Kita bimbang jika langkah seumpama itu tidak diambil akan menyebabkan penyakit itu boleh merebak ke kawasan lain,” katanya.

Beliau juga menafikan penyakit itu yang bermula batuk, demam, selesema dan berlakunya sesak nafas berpunca akibat kencing tikus tetapi berkemungkinan juga akibat virus lain yang mudah berjangkit melalui pernafasan.

“Kita sudah melakukan kajian berhubung perkara itu dan tunggu keputusan untuk saya umumkan dalam masa terdekat ini,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

70 keranda mangsa nahas MH17 sudah diperiksa untuk proses forensik

SHAH ALAM, 31 JULAI: 70 keranda mayat mangsa pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 sudah diperiksa untuk proses forensik dan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) di fasiliti ketenteraan di Hilversum, Amsterdan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata 70 daripada 227 keranda yang diterbangkan dari Kharkiv, Ukraine sudah dibuka sehingga semalam.

“Berdasarkan pasukan DVI kami di fasiliti itu, dijangka proses berkenaan boleh diselesaikan dalam tempoh dua atau tiga minggu,” katanya yang dipetik dari BERNAMA.

mhPenerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia, pada 17 Julai lalu.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 penumpang dan anak kapal itu dipercayai ditembak jatuh tetapi setakat ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

Dr Subramaniam berkata, kementerian sudah mengumpulkan semua cap jari, DNA dan rekod pergigian untuk 43 warganegara Malaysia yang menaiki pesawat berkenaan.

Beliau berkata, rekod pergigian itu siap minggu lepas, manakala cap jari dikumpulkan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran.

MH17“Semua data rekod sudah dimuat naik ke sistem penyiasatan Interpol di Belanda untuk pramortem,” katanya.

Dr Subramaniam menjelaskan, kementerian itu juga sudah mengumpulkan DNA saudara-mara di Malaysia untuk keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan anak mereka yang terkorban dalam tragedi itu.