Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Air : Pertembungan Buku Dengan Ruas

Faekah Forum Air

PANDAN INDAH, 22 FEB: Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin memaklumkan langkah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan usaha pengambilalihan ini meskipun dipertikaikan beberapa pimpinan Umno-BN disifatkan sebagai pertembungan ‘buku dengan ruas’.

Jelas Faekah lagi, Menteri Besar memaklumkan kepada beliau langkah pengambilalihan air ini bukan gimik politik tetapi ia lebih besar daripada pengambilalihan saham Guthrie pada tahun 1981.

Justeru, bagi menyelesaikan masalah ini rakyat perlu memastikan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya akan datang dan menguasai Putrajaya bagi memudahkan urusan pengambilalihan air daripada syarikat konsesi yang masih berdegil untuk menerima tawaran yang dikemukakan.

“Ini kerana, Kerajaan Pusat, saham emas (golden share) berjumlah satu peratus boleh digunakan secara mutlak bagi mengarahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menerima tawaran yang dikemukakan Kerajaan Selangor bagi membolehkan pengambilalihan operasi pengurusan air di Lembah Klang dan Selangor dilakukan,” katanya pada Forum Air Selangor di Pandan Indah.

Tambahnya, jika syarikat konsesi menolak tawaran ia bukan lagi diklasifikasikan sebagai transaksi perniagaan tetapi sudah dipolitikkan, maka Kerajaan Selangor akan bertindak balas secara politik.

Menurutnya, Kerajaan Selangor hanya akan menawarkan harga pengambilalihan pada kadar jumlah potongan 50 peratus daripada harga sekarang sekiranya syarikat konsesi masih berkeras dan menolak tawaran harga yang dikemukakan.

“Bubarlah dewan (Dewan Negeri Selangor), bubarlah Parlimen, air milik anda (rakyat) dan kita ambil.

“Dan kalau mereka (syarikat konsesi) tolak, sekarang kita tawarkan RM9.65 bilion. Kita (kekal) perintah Selangor, kita dapat Putrajaya, kita akan tawarkan tidak lebih daripada RM5 bilion. Itu pelan kita,” katanya

Jelasnya, dengan tawaran bernilai RM9.65 bilion yang diumumkan oleh Abdul Khalid pada pertengahan minggu ini, syarikat konsesi tidak boleh menolak harga yang ditawarkan melainkan mengemukakan bantahan harga tawaran bagi proses timbang tara harga seperti yang termaktub dalam perjanjian penswastaan air 2004.

Tawaran itu akan memberi pulangan 12 peratus setahun terhadap ekuiti kepada syarikat-syarikat tersebut dan merupakan usaha terkini Kerajaan Negeri untuk menstruktur semula industri air supaya menjadi lebih cekap.

Pada ketika ini, operasi air terawat dikendalikan syarikat konsesi Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd.

Categories
SELANGOR

Pakar Air : Data Yang Menyokong Langat 2 Tidak Tepat, Lemah

SHAH ALAM 14 JUN : Laporan yang digunakan untuk justifikasikan projek mega Langat 2 bagi memindah air mentah dari Pahang ke Selangor, tidak tepat and mengandungi kelemahan.

Malah laporan itu, Kajian Sumber Air Negara 2000 (NWRS2000), tidak mencerminkan tahap penggunaan air sebenar di Selangor dan didakwa cuba memperbesarkan tahap permintaan air bagi mewajarkan projek berharga RM 6 billion itu.

Menurut Dr Lee Jin dari pertubuhan Coalition for Sustainable Water Management (CSWM) statistik permintaan air di Selangor yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat ini jauh tersasar dari realiti sebenar.

“Kajian NWRS menunjukkan beberapa kelemahan seperti angka bagi permintaan air perkapita sengaja ditambah.

“Kaedah untuk menganggar permintaan alam industri air dan pertumbuhan ekonomi turut menampakkan kecacatan.

“Ia sengaja dilakukan untuk meningkatkan keraguan terhadap daya maju perancangan Negeri Selangor untuk ambil alih pengurusan air dan cubaan mewajarkan projek pemindahan Air Mentah Pahang-selangor.

“Pada tahun 2009, CWSM menjalankan analisis laporan NWRS 2000 kerana Pakatan Rakyat tidak percaya anggaran permintaan air yang digunakan untuk mewajarkan pemindahan air dari Pahang ke Selangor,” ujar Dr Lee Jin dalam kertas kerjanya yang dibentangkan di Forum Air Selangor baru baru ini.

Kerajaan Pusat sendang mendesak Selangor untuk meluluskan projek Langat 2 kerana ia mendakwa Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mengalami masalah bekalan air pada masa akan datang.

Manakala Kerajaan Selangor berpendirian projek tersebut terlalu mahal dan tidak diperlukan kerana Selangor mempunyai kebolehan untuk membekalkan air dengan cukup jika industri air distruktur semula.

Malah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pernah berkata harga air akan melonjak sebanyak 100 peratus jika Langat 2 dibina. Manakala penstrukturan semula lebih menjimatkan dan harga air tidak akan naik lebih dari 12 peratus.

Forum yang dihadiri kira-kira 200 jemputan itu memperlihatkan sebanyak sembilan kertas kerja dibentangkan oleh pakar industri air dan agensi pengurusan air Selangor seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Forum itu bertujuan membincangkan isu-isu berkaitan penyusunan semula industri air di selangor seperti yang termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Turut hadir Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, MP Klang Charles Santiago, MP Petaling Jaya Utara Tony Pua, MP Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tarif Air Umno-BN Naik 62 Peratus, Pakatan 12 Peratus

SHAH ALAM, 13 JUN: Meskipun kos pengurusan industri air semakin meningkat, Kerajaan Selangor hanya akan menaikan kadar tarif air tidak melebihi 12 peratus untuk tempoh tiga tahun.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata ketetapan itu akan berlaku sekiranya industri air distruktur semula dan pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor memansuhkan satu perjanjian pada 2004.

“Apabila perjanjian ini dimansuhkan dan penyusunan semula dilakukan kenaikan tarif air hanya berlaku tiga tahun sekali dan tidak melebihi 12 peratus.

?Berbanding sekarang, kalau perjanjian diteruskan, sekarang juga air sudah kena dinaikan sehingga 62 peratus,” kata Khalid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Forum Air Selangor yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre semalam.

Perjanjian 2004 yang dimeterai Kerajaan Pusat, Kerajaan Selangor Umno-BN yang lalu dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menetapkan kenaikan tarif air sebanyak 37 peratus pada 2009, 25 peratus pada 2012 dan 20 peratus pada 2015.

“Kerajaan negeri tidak mahu teruskan perjanjian yang ditandatangani pada 2004 sebab dalam Akta 655, perjanjian boleh dirombak atau boleh digantikan dengan usaha penyusunan semula industri air Selangor,” kata Abdul Khalid.

Pada forum itu, Pengarah Kawal Selia Air Selangor Datuk Noordin Sulaiman berkata kenaikan tarif sebanyak 12 peratus adalah munasabah memandangkan peningkatan kos operasi pengurusan air.

Selain itu Nordin turut memberitahu aset pengurusan air yang sedang digunakan Syabas bukan milik syarikat terlibat, sebaliknya milik kerajaan negeri.

 

Categories
SELANGOR

Penstrukturan Semula Industri Air Selangor Akan Menggunakan Model Holistik

SHAH ALAM, 13 JUN : Kerajaan Selangor akan menggunakan model holistik dalam penstrukturan semula industri air jika berjaya dilaksanakan.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Noordin Sulaiman berkata, matlamat penstrukturan air ini adalah mempraktikkan model holistik dimana rawatan dan agihan air dilakukan oleh satu operator sahaja.

“Kos operasi melalui model holistik ini tidak membebankan iaitu kurang daripada RM0.36 per unit di mana Operator Rawatan dan Agihan (SPV) tidak akan dibebani dengan terma pembelian minima atau caj kapasiti yang tinggi,” katanya ketika membentangkan model tersebut di Forum Air Selangor di Shah Alam Convention Centre (SACC).

Beliau berkata, model ini melalui syarikat SPV yang memiliki majoriti atau dikawal kerajaan negeri dimana operator tersebut dilesenkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Katanya, semakan awal terhadap bayaran jualan pukal serta bayaran kapasiti yang dituntut oleh pemegang konsesi sedia ada menunjukkan pemegang konsesi mengaut pulangan tinggi berbanding kos pembangunan, cukai dan faedah institusi kewangan.

“Syarikat SPV yang baru akan dipantau bagi memastikan keuntungan yang tidak melampau iaitu sehingga satu peratus sahaja seterusnya dapat menjamin kadar tarif yang munasabah iaitu tidak lebih dari 12 peratus setiap tiga tahun sekali,” katanya.

Sementara itu, syarikat SPV tidak dibebani dengan Kos Pembangunan (CAPEX) kerana ia akan diambil alih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan syarikat SPV hanya akan membayar pajakan kepada PAAB atas aset-aset yang digunakan.

Sehubungan itu, Noordin turut menekankan kerajaan negeri menitik beratkan faktor kepentingan pengguna dan nilai pasaran semasa yang akan ditawarkan kepada Syarikat Konsesi Air supaya penstrukturan ini tidak membebankan pengguna atau merugikan mana-mana pihak.

“Tiga tawaran telah dikemukakan sejak tahun 2008 oleh kerajaan negeri bagi mengambil alih syarikat konsesi air namun tidak dipersetujui atas alasan nilai yang ditawarkan adalah rendah dan tidak cukup menampung hutang pemegang konsesi,” katanya.

Selain itu, katanya, penstrukturan semula industri perkhidmatan air ini adalah kesan struktur kawal selia yang lemah, pengembalian kos yang perlahan serta menggunakan modal yang tinggi dan perkhidmatan kepada pengguna tidak cekap.

“Terdapat pelbagai kelemahan dalam industri perkhidmatan air semasa yang mendorong kerajaan negeri untuk bercadang mempraktikkan model holistik ini supaya masalah-masalah ini dapat dikawal,” katanya.

Categories
SELANGOR

Air Bawah Tanah Mampu Menampung Permintaan Di Selangor

SHAH ALAM, 12 JUN : Air bawah tanah mampu menjadi sumber air alternatif bagi menampung permintaan di Selangor yang akan meningkat selari dengan pertumbuhan penduduk dan industri di masa akan datang.

Pengerusi Water Resources Erinco Sdn.Bhd, Azuhan Mohamed berkata, kajian dan pembangunan sistematik sumber air bawah tanah menunjukkan ianya bersih dan selamat daripada pencemaran.

Azahan turut berkata, air sungai boleh digunakan sewaktu musim hujan dan air bawah tanah digunakan sewaktu musim kemarau dengan mengepam air tanah ke sungai.

Katanya, air bawah tanah adalah air yang memenuhi ruang-ruang diantara butiran pasir dan ceruk batu di dalam tanah.

Menurut Azahan, kekurangan sumber air atas tanah dan kualitinya yang semakin tercemar mengharuskan kerajaan membangunkan pengalian dan penggunaan air bawah tanah.

“Kesan kitaran air semulajadi bermula daripada penyejatan air di permukaan bumi dan turunnya hujan menyebabkan kewujudan air bawah tanah.

“Walaupun air tanah adalah selamat, namun ianya amat mudah untuk dicemari dan memerlukan pakar yang sesuai untuk mengenalpasti kawasan yang sesuai untuk memulakan proses penggalian,” katanya.

Beliau berucap ketika membentangkan kertas kerja di Forum Air Selangor di Shah Alam Convention Centre hari ini.

Forum sehari ini turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, ahli-ahli parlimen dan ADUN.

Menurut Azahan, air bawah tanah adalah selamat kerana ditapis secara semulajadi oleh pasir dan batu bagi membuang bahan pencemar. Ini mampu menjimatkan kos rawatan air seperti yang dilakukan sekarang.

Namun, beliau menyatakan pembangunan air tanah memerlukan pakar-pakar khusus dalam bidang ini bagi mengenalpasti kawasan terdapatnya air tanah yang bersih.