Categories
NASIONAL

Cadangan jawatan tetap guru KAFA akan dibentangkan ke Kabinet

 

KUALA LUMPUR, 29 Mei: Cadangan lantikan guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke dalam skim perjawatan tetap dijangka akan dibentangkan ke Kabinet sebelum Julai ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

“Semalam saya telah meneliti perkembangan kertas Kabinet tersebut dan saya ada beri lagi input selain perlu mengemaskini beberapa perkara… harap ia dapat dibentangkan sebelum Julai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Waqaf Al-Quds di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Fuziah berharap perkara ini dapat diselesaikan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Dianggarkan terdapat 31,460 orang guru KAFA bertaraf kontrak berkhidmat di 5,609 premis KAFA seluruh negara ketika ini.

Mengenai Program Waqaf Al-Quds yang bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat Palestin sekaligus mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa, Fuziah berkata tabung waqaf akan diwujudkan di 100 masjid sekitar Wilayah Persekutuan dengan sasaran kutipan kira-kira RM6,000 bagi setiap masjid.

“Hasil kutipan sumbangan tersebut akan digunakan untuk tujuan sosial, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wajib selesai sisa buangan walaupun berpindah – Fuziah

KUANTAN, 20 Mei: Kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas (Malaysia) Sdn Bhd (Lynas) wajib menyelesaikan masalah sisa buangannya di Gebeng di sini, walaupun memindahkan operasinya ke negara lain.

Pengerusi Pakatan Harapan Pahang, Fuziah Salleh berkata, Lynas juga perlu bertanggungjawab kepada nasib pekerja mereka dan mematuhi hak yang dijamin di bawah Undang-Undang Buruh jika mereka menamatkan operasi di sini.

“Lynas wajib menyelesaikan masalah sisa buangan di Gebeng walaupun sekiranya mereka berpindah. Itu adalah tanggungjawab mereka. Keluar dari Malaysia tidak bermakna (mereka) tidak perlu menyelesaikan masalah sisa buangan yang banyak di sini.

“Mereka boleh keluar (dari Malaysia) tetapi mesti bertanggungjawab ke atas pekerja dan sisa buangan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Fuziah yang juga Anggota Parlimen Kuantan berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita hari ini, yang melaporkan Lynas Corp telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Blue Line Corp yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat untuk membina kilang baharu di negara itu.

Tindakan itu didakwa dibuat berdasarkan perkembangan di Malaysia yang mengarahkan Lynas untuk mengeluarkan sisa buangannya sebelum lesen operasinya yang dijadual tamat pada 2 Sept ini dapat diperbaharui. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Fuziah sedia jumpa Sajat, Safiey bantu krisis identiti

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 JUL: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh bersedia menemui dua usahawan kosmetik Nur Sajat Kamaruzzaman dan Safiey Ilias.

Fuziah berkata, dia bersedia membantu dua usahawan itu yang dikatakan menghadapi konflik identiti sekaligus membantu mereka kembali kepada fitrah.

Katanya, konflik dalaman kedua-dua personaliti itu perlu diselesaikan dengan pendekatan berhemah, bukan dengan membenci mereka.

“Saya tidak mengatakan apa ydilakukan mereka itu betul dan boleh diterima kerana yang haram tetap haram, tapi pendekatan dakwah perlu diambil, bukan dengan cara menghukum,” katanya dipetik BERNAMA.

Beliau berkata demikian ketika Jamuan Aidilfitri Maahad Tahfiz Negeri Pahang di Kuantan semalam.

Memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah turut mempunyai Ijazah Sarjana Muda Psikologi Kaunseling dari United Kingdom.

Katanya, pengalamannya sendiri pernah menyaksikan golongan lelaki yang menyerupai wanita kembali kepada fitrah apabila didekati secara berhemah.

“Kita bersedia membantu untuk selesaikan masalah mereka,” katanya.

Sebelum ini, Nur Sajat dan Safiey Ilias dipercayai menghadapi konflik identiti diri dan saling menyindir antara satu sama lain di laman sosial masing-masing.

 

Categories
NASIONAL

Mangsa banjir Kuantan marah, mahu ‘benam’ Bung Mokhtar

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 9 DIS: Kemarahan mangsa banjir di Kuantan terhadap pemimpin BN khususnya Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin meluap-luap sehingga mengancam tidak membenarkan beliau menjejakkan kaki di Kuantan.

Fuziah SallehAhli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata luahan kemarahan itu disampaikan kepada beliau ketika beliau sedang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan banjir sekitar daerah terbabit.

“Rata-rata mangsa banjir tahu isu saya membawa usul isytihar darurat di Kuantan, tetapi dibantah keras Bung Mohtar dalam Dewan Rakyat Selasa lalu. Memang ramai yang cukup marah.

“Oleh sebab itu, mereka cukup marah pada Bung Mohtar, mereka anggap Bung Mohtar tidak peka penderitaan mangsa banjir, hingga mereka kata tidak akan benarkan Bung Mohtar datang ke Kuantan tetapi kalau datang juga nak dibenamkan Bung Mohtar,” kata Fuziah ketika dihubungi Selangor Kini hari ini.

fuziahBagaimanapun Fuziah, sebagai pemimpin di kawasan itu menasihati agar mangsa banjir di pusat pemindahan banjir terbabit supaya bertenang dan bersabar dengan tidak terlalu mengikut emosi yang dalam kemarahan.

Kemarahan itu diluahkan gara-gara tindakan Bung Mohtar yang mempersendakan usul perisytiharan darurat di tiga kawasan yang dilanda banjir besar, Kuantan Indera Mahkota dan Paya Besar yang dibawa Fuziah.

Usul tersebut kemudiannya ditolak speaker dengan alasan setiap usul yang mahu dikemukakan sepatutnya hendaklah mengemukakan notis dua hari dan secara bertulis.

Bagaimanapun, mengenakan syarat notis selama dua hari untuk usul kecemasan seperti ini dianggap tidak masuk akal kerana ianya melibatkan keselamatan ribuan rakyat yang memerlukan tindakan segera.

Fuziah memberitahu perisytiharan darurat diperlukan bagi memastikan semua agensi kerajaan dan pasukan keselamatan boleh dikerah ke tempat bencana bagi memberi pertolongan seperti bantuan memindahkan penduduk, selimut, makanan, tempat tidur dan lain-lain.

Di beberapa tempat di Pantai Timur baru-baru ini dilanda bencana banjir paling teruk sejak lebih sedekad lalu sehingga melibatkan hampir 50,000 penduduk.

Bagaimanapun kerajaan didapati gagal mengambil tindakan segera dengan berkesan hingga menyebabkan mangsa banjir terpaksa kelaparan dan kesejukkan kerana terpaksa tidak dibekalkan makanan, selimut dan tidur terpaksa tidur di atas lantai simen.

-EZY