HULU KELANG, 18 OKT: Pembinaan balai polis baharu di Taman Melawati dekat sini mencapai kemajuan 85 peratus dengan jangkaan beroperasi akhir tahun ini.
Projek pengubahsuaian galeri jualan Sime Darby Property kepada balai polis atas tanah seluas 0.6 ekar berjalan lancar sejak dimulakan Mei tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pembinaan menelan kos RM1 juta adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pemaju hartanah terbabit.
“Balai polis sedia ada terletak di bangunan rumah kedai dan tidak lagi sesuai untuk menampung keperluannya. Jadi dengan adanya bangunan khas yang lebih luas, ia akan memberi keselesaan kepada polis untuk menjalankan perkhidmatan.
“Pembinaannya juga sesuai dengan pembangunan yang begitu rancak di kawasan sekitar termasuk Melawati Mall dan beberapa pangsapuri ,” katanya selepas melawat tapak balai polis berkenaan sempena program Jelajah Prihatin di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Dato’ Azmir Merican dan Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Ampang Superintendan Mohd Azam Ismail.
Dalam lawatan tersebut, Amirudin turut menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Mohd Azam untuk memenuhi keperluan balai polis berkenaan.
Sementara itu, Amirudin turut menggalakkan mana-mana pemaju hartanah mengambil langkah sama dilakukan Sime Darby Property berikutan banyak balai polis di negeri ini perlu dinaik taraf.
“Berdasarkan laporan pihak polis memang banyak (balai polis perlu dinaik taraf). Cuma isunya kos pembinaan selain tanah yang perlu ditampung di bawah KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan polis,” katanya.