Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: MySEL bantu selesai 445 kes mohon warganegara

SHAH ALAM, 22 MAC: Sebanyak 445 isu kewarganegaraan melibatkan perkahwinan antara warga tempatan dan asing berjaya diselesaikan unit khas Kerajaan Negeri, MySEL sehingga 11 Mac lalu.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata jumlah itu membabitkan empat kategori kes meliputi warganegara (267), anak angkat (88), sijil kelahiran (32) dan kad pengenalan merah (58).

Menurutnya, kelulusan permohonan tertinggi diberikan kepada kaum Melayu dengan 50 peratus, Cina (25 peratus), India (15 peratus) dan lain-lain (10 peratus).

“Sejak program pusat dokumen pengenalan diri diperkenal pada 2018, sebanyak 2,554 kes dibuka berdasarkan kategori tersebut termasuk (kes) imigresen dan lain-lain,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya melantik dua pegawai khusus bagi mengendalikan program tersebut dengan memastikan setiap permohonan dikemukakan kepada agensi dan jabatan berkaitan adalah lengkap serta teratur.

“Mereka (pegawai) tiada sebarang kuasa diberikan kerajaan pusat (meluluskan permohonan) sebaliknya mereka bergerak dengan kuasa kecil dan elaun daripada saya. Mereka juga perlu melalui proses sama seperti individu lain.

“Namun, atas semangat dedikasi, mereka bawa kes berkaitan ke Jabatan Pendaftaran Negara, Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri selain sentiasa membuat kemas kini bersama pihak terbabit sehingga kes selesai,” katanya.

MySEL diwujudkan bagi membantu golongan miskin yang tidak mempunyai pengetahuan dan saluran betul membuat permohonan mendapatkan dokumen pengenalan diri, kewarganegaraan, sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Pegawai MySEL juga berperanan menyelesaikan masalah anak tidak memiliki surat beranak disebabkan sindiket perkahwinan di sempadan termasuk kegagalan ibu bapa mendaftar kelahiran anak mereka atas perkara tertentu.

 

Categories
SELANGOR

Lebih 20,000 dijangka meriahkan sambutan Deepavali

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 4 NOV: Kira-kira 20,000 masyarakat India di negeri ini dijangka akan memeriahkan sambutan hari Deepavali yang diadakan di Jalan Tengku Kelana, bermula semalam.

Exco Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, Deepavali atau Diwali tahun ini lebih bermakna apabila bertukar kerajaan.

Beliau menyifatkan seakan suatu ‘cahaya’ yang menerangi perayaan itu tahun ini, selepas ‘kegelapan’ selama 61 tahun berakhir.

“Deepavali atau dikenali sebagai pesta cahaya. Sudah tentu sambutan kali ini sangat bermakna selepas negara diselubungi kegelapan selama lebih 60 tahun.

“Ia menjadi cahaya yang sangat istimewa kepada rakyat seluruh negara apabila kerajaan Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu,” katanya kepada SelangorKini di Malam Kebudayaan Deepavali, di sini, semalam.

Ganabatirau berkata, sambutan kali ini turut akan diserikan dengan kehadiran Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shaari, malam ini (4 November).

Katanya, majlis rumah terbuka Deepavali yang diadakan setiap tahun ini dapat mewujudkan suasana serasi antara satu sama lain di kalangan rakyat di negeri ini.

“Ramai yang dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang beragama Hindu dan kita mesti mengukuhkan lagi perasaan muhibah dan harmoni.

“Bukan hanya Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, semua boleh berkumpul merasa makanan dan memahami budaya semua kaum yang ada di negara ini, dan suasana harmoni begini perlulah dikekalkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan sebanyak RM1.8 juta juga diperuntukkan kepada penerima Jom Shopping Deepavali bagi tahun ini.

=EZY=

Categories
SELANGOR

V.Ganabatirau dakwa SPR tidak jalan tugas dengan sempurna

OLEH HAZIQ ISMAIL

Shah Alam, 9 MEI: Peti mengundi berada dalam kedudukan terbalik dan tidak di ‘seal’ antara kekurangan yang dikesan dibeberapa pusat mengundi di Sekolah Rendah Taman Sri Muda dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning N50, V. Ganabathirao berkata, perkara itu dikesan susulan lawatannya ke pusat-pusat mengundi sejurus proses mengundi berjalan jam 8 pagi tadi.

“Dalam lawatan saya ke Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Muda yang dijadikan sebagi pusat mengundi mendapati, peti undi tidak di ‘seal’, maka kami buat aduan akhirnya mereka membuat ‘seal’ balik.

“Di Sekolah Kota Kemuning pula di mana peti-peti di letak dengan cara berbeza maka orang ramai yang undi dia masukkan ballot paper tu, parlimen dia masukkan dalam negeri, negeri pula ke parlimen,” katanya selepas membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Khe Beng di sini, hari ini.

Tambahnya, penjelasan turut diminta dari Ketua pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berkenaan isu kedudukan peti undi yang berbeza itu.

“Katanya mereka akan selesaikan dengan cara masa mengira nanti mereka akan keluarkan kertas yang berkaitan,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai jumlah pengundi yang keluar untuk mengundi, beliau berkata orang ramai telah mula keluar mengundi pada awal pagi,

“Mereka telah bersedia untuk melihat perubahan kerajaan di Putrajaya nanti. Saya amat terharu melihat rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama mahukan perubahan,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco teguh berdiri belakang MB sokong pendirian tegas Raja-Raja Melayu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 OKT: Exco Kerajaan Negeri berdiri teguh di belakang Dato’ Menteri Besar bagi mendukung pendirian tegas Raja-raja Melayu berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni rakyat Malaysia.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata, hal ini berikutan kemajuan tidak akan dicapai sekiranya tiada rasa hormat menghormati di antara satu sama lain.

“Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dengan masyarakat menganut pelbagai agama dan perlu ada rasa hormat menghormati antara satu sama lain agar wujud keharmonian dalam masyarakat.

“Mereka mesti faham memahami antara satu sama lain, tidak boleh buruk sangka dan tuduh menuduh serta tidak cepat melatah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, kenyataan Dato’ Seri Azmin Ali itu sangat bertepatan dengan pendirian Kerajaan Negeri yang sentiasa mempertahankan kepentingan semua kaum dan agama di negeri Selangor.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman pula berkata, beliau menyokong pendirian Kerajaan Negeri yang menentang golongan ekstremis.

“Memang tepat pada masanya Dato’ Menteri Besar menjunjung titah Raja-Raja Melayu dan menyatakan tiada ruang untuk sebarang ekstremis dalam Malaysia dan Selangor khasnya.

“Saya sebagai Exco yang mewakili kaum India sangat bersetuju dan menjunjung titah Raja-Raja di mana golongan atau individu yang sewenang-wenangnya menggunakan kaum dan agama untuk memperlekehkan pihak lain harus ditolak,” katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini merupakan aset penting Negeri Selangor.

“Kemajmukan rakyat di Malaysia ini adalah aset penting negara dan Selangor khasnya. Inilah sebab kita menjunjung kasih sangat terhadap kenyataan ini kerana Raja-Raja Melayu memahami tentang situasi yang ada di negara kita bahawa kita ini insklusif dan sememangnya benar.

“Orang luar sendiri kagum dengan keharmonian kaum yang ada di Selangor. Penegasan daripada Raja-Raja Melayu ini menambahkan lagi kebenaran hal ini,” katanya.

Jelasnya, tindakan menggunakan isu perkauman oleh sesetengah golongan bagi meraih kedudukan dalam politik merupakan sesuatu yang tidak wajar dan perlu dijauhkan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Isu Sri Aman diputar belit pihak tak bertanggungjawab

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MEI: Kerajaan Negeri menafikan dakwaan perobohan 30 rumah Kampung Seri Aman, Ijok sebaliknya isu terbabit didakwa diputarbelit dan diperbesarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau, percaya penyokong sebuah parti dan komponennya yang mahu dilihat menjadi hero kepada penduduk di kawasan itu.

GANAKatanya, pihak yang melakukan fitnah itu tidak pernah menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat ketika memerintah Selangor.

“Satu kelompok yang bukan duduk di situ mewakili satu parti dan bekas Adun kawasan itu yang sebelum ini tidak pernah membantu mendapatkan geran sebelum ini mereka membuat drama hari ini.

“Saya percaya tidak ada penduduk tempatan yang terlibat dalam kawasan itu,” katanya dalam sidang media, di pejabatnya.

Hari ini viral di laman Facebook dan hebahan Whatsapp tentang sebuah parti yang didakwa dihalang oleh Kerajaan Negeri apabila cuba mempertahankan 30 keluarga dihalau kelua dari rumah.

Dalam gambar menunjukkan antara tiga individu ditahan kerana bertindak mempertahankan 30 buah rumah daripada dirobohkan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memberi hak milik kepada 172 keluarga di Kampung Seri Aman dan Kampung Seri Sentosa.

Ganabatirau berkata hanya empat keluarga berdegil untuk berpindah sedangkan mereka sudah ditawarkan dua lot kediaman dan pertanian.

“Katanya, tindakan itu tidak terburu-buru kerana pemilik rumah itu diberikan pampasan RM5,000 dan dua tanah lot membabitkan kediaman dan pertanian.

“Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Negeri juga katanya lagi memberikan tanah pertanian untuk pemilik rumah yang diarahkan berpindah hari ini.

“Majlis Tindakan Ekonomi Negeri memutuskan supaya empat rumah yang terlibat dalam rizab jalan kerajaan diberikan pampasan sewajarnya,” katanya.

Ganabatirau berkata notis pengosongan diberikan dua kali iaitu pada Julai 2015 dan Januari 2016 disebabkan kediaman setinggan mereka termasuk dalam Rizab Jalan untuk pembinaan Rumah Selangorku.

“Kerajaan Negeri beri arahan selepas mengambil kira hak mereka dipelihara. Kita perlu mengeluarkan dan mengosongkan tempat kerana Projek Rumah Selangor juga tidak boleh diabaikan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor prihatin kebajikan semua kaum

OLEH : SYASYA SUFIAN

PETALING JAYA 8 MEI: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.76 juta dalam Belanjawan 2016 bagi peruntukan kepada masyarakat beragama Hindu dan sebanyak RM254,000 diluluskan untuk pembangunan masyarakat Punjabi.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau, bagaimanapun peruntukan itu juga termasuk dalam pembinaan kuil hindu dan pembinaan rumah ibadat Gurdwaras.

Perayaan Vaisakhi“Tahun ini kita meluluskan RM200,000 untuk pembangunan rumah ibadat Gurdwara.

“Ia adalah hasil usaha bersama dari pejabat Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh yang sentiasa memohon perkara melibat perkembangan kaum Punjabi dan Gurdwaras,” katanya sewaktu Sambutan Hari Perayaan Vaisakhi 2016, di Padang Timur, Petaling Jaya, malam tadi.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa cuba membuat yang terbaik untuk semua masyarakat dan kaum yang ada.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dalam perkara yang menjaga keharmonian dan kebajikan semua kaum.

“Kerajaan negeri setiap tahun menganjurkan sambutan Hari Raya, Deepavali dan Tahun Baru Cina dan kali ini Kerajaan Negeri menganjurkan Hari Vaisakhi seperti perayaan lain sebagai program menyatukan semua kaum,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Jamal & konco cuba kaburi mata rakyat skandal 1MDB

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 10 OKT : Penganjuran himpunan mengkritik Kerajaan Selangor hanya tindakan terdesak Umno-Barisan Nasional (BN) untuk mengalih skandal pemimpin negara.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau, berkata tumpuan rakyat kini terarah kepada siasatan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion yang masih menjadi tanda tanya.

PC YB Ganabatirao (1)Justeru katanya kumpulan itu didakwa diwujudkan untuk mengaburi mata rakyat dengan mengaitkan agama, sentimen perkauman dan fitnah.

“Rakyat tanpa mengira agama atau kaum di seluruh negara sudah tahu kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak membimbangkan masa depan anak cucu kita.

“Maka diwujudkan kumpulan begini untuk mengaburi mata rakyat dan mengalih tumpuan sedangkan rakyat sudah bijak menilai perkara sebenar,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada himpunan “Selamatkan Negeri Selangor daripada Kerajaan Pakatan Cacamarba” yang dirancang di Ampang.

Himpunan itu akan dikepalai Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos, orang kuat di sebalik himpunan baju merah pada 16 September lalu.

EZY