Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Peruntuk lebih RM2 juta bantu pusat kebajikan, NGO

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM2 juta bagi menyantuni 103 pusat kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) sepanjang tahun ini, kata EXCO kebajikan masyarakat.

V Ganabatirau berkata sumbangan disalurkan menerusi program Dana Sukarelawan Kebajikan, Program Sinergi Prihatin, Program Lestari Kebajikan, Program Santuni Pusat Kebajikan dan Geran Pusat Penjagaan Warga Emas.

“Inisiatif ini membabitkan pusat kebajikan yang berdaftar antaranya pusat penjagaan warga emas, orang kelainan upaya (OKU), rumah anak yatim dan rumah perlindungan serta pemulihan.

“Kebanyakan program baharu dilaksana tahun ini bagi menggantikan beberapa program yang tidak dapat dianjur secara bersemuka akibat kekangan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Program Santuni Pusat Kebajikan Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Ganabatirau berharap penyelia pusat kebajikan memberi pengurusan rapi kepada penghuni yang memerlukan perhatian dan penjagaan kendiri.

“Terima kasih kepada semua pusat kebajikan di Selangor terhadap keprihatinan dan keikhlasan dalam memberi perkhidmatan dan perlindungan kepada golongan memerlukan penjagaan dan kasih sayang,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

337 murid SJKT terima anugerah cemerlang UPSR

SHAH ALAM, 4 DIS: Seramai 337 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2019 menerima pengiktirafan Kerajaan Negeri.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata daripada jumlah itu, seramai 101 murid memperoleh keputusan 8A menerima wang tunai RM200, 113 murid 7A (RM150) dan 123 murid 6A (RM100).

“Kerajaan Negeri memperuntuk RM49,450 secara keseluruhan bagi mengiktiraf usaha pelajar meskipun majlis keraian agak lewat selepas tertangguh selama dua tahun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Majlis yang diadakan pada setiap tahun sejak 2013 merupakan agenda pendidikan yang bertujuan menghargai kejayaan pelajar, guru dan pihak sekolah,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR bagi pelajar SJKT di Selangor.

Pada majlis sama, Ganabatirau turut menyampaikan anugerah Anugerah Tokoh Guru SJKT dan wang tunai RM500 kepada lima individu R Ramasamy, P Chelliah, K Chandrathevy, P Pachiappan dan L Balasundaran.

SJKT Simpang Lima pula meraih SJKT terbaik dan membawa pulang RM10,000 diikuti tempat kedua SJKT Kajang (RM6,000) dan SJKT Puchong (RM4,000).

Categories
AGENDA NASIONAL

MB akan nasihati EXCO, tangani isu dengan kakitangan JPS

KLANG,25 OKT: Insiden antara EXCO kebajikan masyarakat dan kakitangan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) akan ditangani dengan baik, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pihaknya akan memberi nasihat kepada mereka yang terlibat.

“Saya percaya semua ingin bekerja bersungguh-sungguh dan perlu diharmonikan satu sama lain. Perkara penting ialah kita ke arah penyelesaian masalah banjir bukan menuding jari satu sama lain.

“Isu diketengahkan patut diteliti kerana penduduk sering bertanya tentang langkah yang diambil. Namun, kaedah dan cara harus diperbaiki dan saya akan sampaikan nasihat kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, V Ganabatirau yang juga Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung tindakan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan JPS yang tular di media sosial.

Malah, beliau turut mengakui kesilapan yang dilakukan ketika melakukan tinjauan dan pemantauan banjir di Taman Sri Muda di Klang.

Sabtu lalu, Ganabatirau memuat naik video di Facebooknya memaparkan beliau meninjau dan memantau isu banjir dan tidak berpuas hati dengan alasan diberikan oleh JPS.

Susulan kejadian, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) mendesak ADN Kota Kemuning itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penjawat awam terutama kakitangan JPS.

Categories
ADN SELANGOR

Sistem parit dinaik taraf, atasi isu banjir kilat di Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 25 OKT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersetuju menaik taraf longkang dan sistem perparitan bagi mengatasi isu banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini sekali gus melegakan lebih 16,000 penduduk.

Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning V Ganabatirau memaklumkan projek tambah baik berkenaan dijangka bermula tahun depan, namun kos belum diperincikan.

“Kita nampak bahawa punca utama banjir di kawasan berkenaan disebabkan masalah sistem perparitan yang lemah. Jadi, saya percaya mereka (JPS) akan memulakan kerja berkaitan tahun depan.

“Saya berharap masalah ini tidak lagi berlarutan dan dapat diselesaikan semua pihak termasuk JKR (Jabatan Kerja Raya) yang juga perlu main peranan,” katanya pada sidang media di Bangunan SUK di sini hari ini.

Mengulas lanjut, EXCO pemberdayaan dan pembangunan sosio ekonomi dan kerajaan prihatin berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga merancang membina kolam takungan di sebuah padang sekitar kawasan terbabit.

Menurutnya, rancangan tersebut dipersetujui Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor selepas diusulkan dua minggu lalu.

“Terdapat kira-kira enam padang besar di Seksyen 25, salah satu akan ada di situ (kolam takungan). Jadi, beliau (Datuk Zamani) akan uruskan perkara dengan segera,” katanya lagi.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Manfaat sebaiknya bantuan kerajaan beri – Ganabatirau

DENGKIL, 13 OGOS: EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau mengingatkan penerima bantuan peralatan mesin bagi Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan untuk menggunakan kesemua barangan yang diberi dengan sebaiknya.

Beliau menegaskan, ia kerana pembelian peralatan termasuk pelbagai jenis mesin itu adalah hasil dari wang rakyat.

“Boleh jadi ‘haram’ jika anda tidak menggunakannya, apatah lagi pemimpin kawasan termasuk ketua kampung dan pengurusan di luar sana bertungkus-lumus untuk meluluskan bantuan anda, tetapi akhirnya ia langsung tidak digunakan.

Penyerahan mesin dan peralatan kepada penerima ketika Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Program Blueprint Pembasmi Kemiskinan Negeri Selangor Tahun 2019 bagi Daerah Sepang di Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil Sepang pada 13 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.

“Gunakalah ia sebaiknya, hargailah pemberian rakyat ini kepada anda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Bagi Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Daerah Sepang 2019 bertempat di Dewan Orang Ramai Dengkil, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah, ADN Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah dan Pegawai Daerah Sepang, Mohd Yazid Sairi.

Pada program berkenaan, seramai 73 penduduk Sepang menerima bantuan peralatan antaranya mesin jahit, peti ais, dapur memasak dan mesin pemerah santan yang kesemuanya bernilai RM301,250.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan miskin dan berpendapatan rendah menerusi projek ekonomi yang berdaya maju dan berpotensi untuk berkembang.

Kerajaan Selangor mahu meningkatkan pendapatan kumpulan sasar dengan menyalurkan bantuan berupa peralatan atau mesin yang diperlukan berdasarkan perusahaan atau perniagaan yang sedang dijalankan.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

INPENS jadi hab pendidikan tahap tinggi TVET jaya Industri 4.0

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 2 JUN: Kerajaan Negeri akan menjadikan Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) sebagai hab pendidikan kemahiran menawarkan pengajian tahap tinggi Latihan Pendidikan teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha menjayakan Industri 4.0.

Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, pendekatan itu adalah sama seperti mana diamalkan di Jerman dan Jepun akan ia akan banyak membari manfaat kepada kolej berkenaan.

“Langkah ini akan membuka ruang kepada INPENS untuk bekerjasama dengan lebih banyak industri bersatus multinasional sebagai galakan menyemarakkan gelombang Industri 4.0,” katanya dalam majlis perasmian Program Kasih Ramadan bersama pelajar INPENS di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri disuarakan Ganabatirau itu.

Beliau juga berkata, pemintaan terhadap kemasukan ke INPENS meningkat dengan drastik sejak beberapa tahun lebelakangan ini.

“Faktor peningkatan ini adalah kerana kebolehpasaran graduan kemahiran dalam pelbagai industri berimpak global selain peluang keusahawanan tinggi.

“Oleh itu INPENS komited dalam menaik taraf prasarana, mengerat hubungan dengan industri dan menambah nilai tenaga pengajar,” katanya.

INPENS kini membuka tawaran pembiayaan Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Smart Selangor) kepada mereka berkelayakan mengikuti kemahiran elektrik dan automotif bermula Julai ini.

Mereka memenuhi syarat, boleh membuat permohonan secara terus ke kampus INPENS atau memohon secara atas talian di www.inpens.edu.my.

=EZY=

Categories
SELANGOR

66 peserta terima Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 OGOS: Seramai 66 peserta daerah Hulu Selangor menerima peralatan bagi memulakan perniagaan menerusi program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, bantuan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM229,100.

Katanya, antara peralatan yang disumbangkan ialah mesin jahit, peralatan memasak apam balik, pam angin dan sebagainya.

“Program ini diteruskan setiap tahun bagi membantu golongan kurang bernasib baik menjana pendapatan tambahan, sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan rakyat Selangor.

“Peniaga yang ingin mengembangkan perniagaan bagi menambah pendapatan disarankan supaya memohon ini di Pejabat Tanah,” katanya kepada SelangorKini.

IMG_6928Ganabatirau berkata, program itu menerima sambutan menggalakkan di setiap daerah sejak dilancarkan 2008.

“Saya berharap bantuan ini mampu menjana dan meningkatkan pendapatan keluarga ke arah mewujudkan kehidupan yang sejahtera,” katanya.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor bertujuan menyalurkan bantuan berupa peralatan atau mesin diperlukan berdasarkan perusahaan dan perniagaan yang sedang dijalankan.

Program itu membabitkan golongan miskin dan berpendapatan rendah yang mempunyai kemahiran untuk meneruskan perusahan dalam bidang seperti jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak, perusahaan kecil dan kraftangan.

Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta setiap tahun dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi golongan sasar.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Nasib 17 keluarga pekerja ladang dibela

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 MAC: Nasib ai 17 keluarga pekerja di Ladang Semenyih milik Sime Darby, di sini, dibela selepas 13 tahun hilang mata pencarian apabila bakal menerima rumah yang akan dibina bulan depan berdekatan rumah ladang yang mereka duduki kini.

Setiap keluarga bekas pekerja ladang itu diberi rumah teres kos rendah satu setengah tingkat, bernilai RM40,000.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri komited membantu bekas pekerja ladang yang dinafikan hak mereka.

GANA LADANG (2)Katanya, sebelum ini, pihaknya membuat beberapa siri perbincangan dengan Sime Darby Properties & Plantations.

“Kerajaan Negeri menyatakan pendirian untuk menyelesaikan isu perumahan pekerja ladang dahulu. Jika tidak selesaikan, kami tak akan meluluskan permohonan mereka untuk membangunkan (kawasan ladang).

“Akhirnya, mereka dapat menawarkan beberapa tawaran. Tawaran awalnya hanya wang saguhati bukan perumahan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menolak tawaran asal daripada pemaju sebelum ini yang mahu memberikan mereka sebuah pangsapuri.

Sementara itu, bekas pekerja ladang terbabit turut akan diberikan pampasan faedah selepas diberhentikan kerja oleh Sime Darby, sejak 2004.

Bekas pengerusi Kesatuan Pekerja Ladang Semenyih, M Subramaniam berkata, pihaknya gembira dengan penyelesaian itu.

“Sebelum ini, rumah mereka di ladang itu menerima bekalan air tidak bersih oleh pihak tidak bertanggungjawab. Elektrik juga pernah tak ada sehari, kita buat laporan polis baru ada elektrik,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

10 anak pekerja ladang terima bantuan pengajian RM42,940

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 MAC: Nasib masyarakat pekerja ladang di bawah Kerajaan Negeri tidak pernah dilupakan apabila 10 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang juga anak kepada golongan itu diberikan bantuan pengajian RM42,940.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, fasa pertama bagi tahun 2017 itu dibayar terus kepada IPT terbabit sebagai yuran pengajian masing-masing.

“Bantuan ini diberikan melalui geran RM1 juta yang disediakan Kerajaan Negeri dan pagi ini setiap pelajar menerima bantuan antara RM2,500 hingga RM5,000 bergantung kepada keperluan yuran pengajian masing-masing.

Anak Pekerja Ladang (2)“Kita harap bantuan ini dapat membantu meringankan bebanan ibu bapa mereka, sekali gus membolehkan anak ini lebih fokus kepada pelajaran masing-masing,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Pengajian IPT Anak Pekerja Ladang 2017 di pejabat beliau di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Katanya, 10 penerima kali ini adalah anak pekerja ladang yang sedang mengikuti pengajian di Univesiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Selangor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Perlis, Management Science University, Koperasi Politeknik Seberang Prai, Tan Chong Education dan UCSI Education.

Katanya, beliau yakin akan menerima lebih banyak permohonan sepanjang tahun ini.

“Tahun lalu, kami meluluskan kira-kira 60 permohonan dan tahun 2015 pula lebih 30 permohonan bantuan pengajian tinggi ini,” katanya.

Katanya, antara syarat yang perlu dipenuhi pemohon anak pekerja ladang itu, ibu bapa mereka perlu berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan dan selain itu pihak beliau turut memberi keutamaan kepada golongan anak pekerja ladang yang terdiri daripada golongan kelainan upaya (OKU).

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco: “Jangan politikkan isu bunga api”

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 5 JAN: Kes letupan bunga api di Fiesta Gegar Klang baru-baru ini tidak seharusnya dijadikan isu politik bagi sesetengah pihak.

imageExco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri serius dalam menangani perkara terbabit.

“Kerajaan Negeri serius dalam perkara ini terutama membabitkan orang awam. Tolong jangan politikkan hal ini.

“Ketika ini, polis sedang menyiasat perkara ini,” katanya selepas melawat mangsa yang menerima rawatan di klinik di Majlis Perbandaran Klang (MPK), di sini, hari ini.
Ganabatirau berkata pihaknya percaya tuduhan liar yang dibuat atas MPK adalah tidak berasas.

“Kerajaan Negeri juga MPK bersedia memberi kerjasama dan tidak menyembunyikan apa-apa perkara,” katanya.

Sementara itu, Yang DiPertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memantau mangsa letupan bunga api setiap hari.

“Jawatankuasa ini akan menghubungi mangsa setiap hari bagi bertanyakan keperluan dan keadaan mereka.

“Kita juga menyediakan pengangkutan untuk membawa mangsa ke hospital atau klinik bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

3,788 anak pekerja ladang dapat peruntukan tambang bas sekolah RM1.3 juta

NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 NOV: Seramai 3,788 anak pekerja ladang menerima subsidi tambang bas sekolah dengan peruntukan RM1.3 juta, sejak tahun 2010 hingga tahun ini.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, jumlah penerima terbabit ditingkatkan setiap tahun supaya golongan itu secara terus menerima manfaat yang diberikan.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 315 (2010), 254 (2011), 525 (2013), 583 (2014), 1,477 (2015) dan 1,203 (2016).

pc-4-of-5“Manfaat ini terbuka kepada seluruh anak pekerja ladang di Selangor. Sebanyak RM300 diberikan kepada setiap anak pekerja ladang yang membuat permohonan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dan sumbangan adalah diberikan secara tunai.

“Program ini merupakan sumbangan yang terbuka keoada anak pekerja ladang dan bekas pekerja ladang. Ia bertujuan meringankan bebanan penjaga yang terdiri dalam kalangan pekerja ladang dalam membiayai sebahagian daripada kos tambang bas anak mereka ke sekolah,” katanya di Sidang Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Program terbabit terbuka kepada anak ekerja ladang atau bekas pekerja ladang yang bersekolah di Selangor dengan pendapatan ibu bapa atau penjaga mereka di bawah RM1,500 sebulan.

Seorang pelajar hanya layak menerima sumbangan subsidi dari Kerajaan Negeri sekali sahaja dalam tempoh satu tahun.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

154,304 lot kubur mengikut kaum dibina berperingkat

OLEH: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri komited mewujudkan tapak perkuburan wilayah bersepadu (PWB) dan kemudahan krematorium serta kolombarium di dalam satu kawasan dibangunkan secara bersepadu juga terancang.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, dianggarkan 154,304 lot perkuburan mengikut kaum akan dibina secara berperingkat, sehingga tahun 2060.

Katanya, jumlah itu membabitkan kaum Islam, Kristian, Hindu dan Buddha dengan pembinaannya di sekitar Sepang, Petaling Jaya, Shah Alam serta Kajang.

unnamed-11“Ia membabitkan 642.87 ekar. Manakala, bagi tahun ini dua di Sepang membabitkan keluasan 25 ekar dengan jumlah 25,730 lot kubur akan disiapkan.

“Selain itu, 88,781 lot kubur sedia ada dengan keluasan 369.89 ekar,” katanya di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Ganabatirau berkata syarat bagi pembangunan PWB perlu dilengkapi dengan kemudahan seperti pejabat pentadbiran, stor perkhidmatan, surau, rumah kakitangan, kompleks pembakaran mayat, kemudahan rumah ibadat selain Islam dan kemudahan meletak kenderaan.

Katanya, kawasan tadahan bagi setiap tapak perkuburan yang dicadangkan adalah bersesuaian dengan anggaran kira-kira 45 minit perjalanan atau jarak lingkungan radius 30 kilometer.

“Pembangunan ini juga hendaklah mematuhi keperluan sebagaimana termaktub dalam Manual Garis Panduan Piawaian Perancangan Selangor,” katanya.

-NFN-