Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya dua kes gangguan air akibat pencemaran direkod tahun ini

SHAH ALAM, 13 DIS: Hanya dua kes gangguan bekalan air akibat pencemaran direkodkan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) tahun ini berbanding tujuh kes tahun lalu.

Kedua-dua kes di Sungai Semenyih pada September lalu menyebabkan gangguan air tidak berjadual dan memberi kesan kepada pengguna, kata ketua pegawai eksekutifnya.

“Tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima. Kita tidak akan bertoleransi dengan pihak yang membuat pencemaran dengan membuang sisa toksik ke dalam sungai,” kata Suhaimi Kamaralzaman.

Bercakap dalam sidang media secara maya petang tadi, beliau berkata mustahil untuk mengelak gangguan bekalan air tetapi syarikat itu berusaha mengatasi pencemaran.

“Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada tuah dan harapan, sebaliknya ia memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya lagi.

Pada 3 September, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Wilayah terjejas ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air 50 kawasan di Kuala Lumpur pulih sepenuhnya

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Gangguan bekalan air di 50 kawasan sekitar ibu kota berikutan kebocoran paip pengepaman di Rumah Pam Segambut semalam, pulih sepenuhnya pada 3 petang hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan menzahirkan penghargaan kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

Sementara itu, pengguna juga disaran supaya mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air di laman web www.airselangor.com dan saluran komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh disalurkan menerusi talian 15300 atau ‘Help Centre’ di aplikasi Air Selangor.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LUAS pantau sungai 24 jam, elak gangguan air ketika Aidilfitri

SHAH ALAM, 12 MEI: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) giat memantau lembangan sungai bagi memastikan tiada insiden pencemaran air ketika sambutan Aidilfitri.

Agensi berkata usaha 24 jam itu bertujuan mengelak henti tugas loji rawatan air dan tidak mengganggu penyaluran bekalan ketika perayaan dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Operasi pemantauan tanpa henti dilaksanakan Skuad Pantas LUAS di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang termasuk empangan negeri.

“LUAS juga melaksanakan pemantauan statik (pensampelan in-situ) di kawasan strategik yang dikenal pasti berisiko selain pensampelan berkala seperti kajian kebersihan lembangan sungai bagi memantau status kualiti air dengan lebih berkesan.

Menurutnya, agensi sentiasa bersiap sedia melalui Operasi Pengepaman Air Kolam (Opak) sumber air alternatif seperti HORAS 600 dan ‘off-river storage’ (ORS) di Bestari Jaya.

“Ia bertujuan menyalurkan air sebagai sumber tambahan bagi membantu mempercepatkan langkah kawalan dan mitigasi sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini,” jelasnya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Bekalan air di Petaling pulih sepenuhnya, Klang 21 peratus

SHAH ALAM, 31 MAC: Sekurang-kurangnya 73 peratus akaun pengguna yang terlibat dengan gangguan air berjadual menerima semula bekalan petang tadi.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan berkata wilayah Petaling pulih sepenuhnya, Klang dapat bekalan sebanyak 21 peratus manakala sifar di Shah Alam.

“Sehingga jam 6 petang, bekalan air stabil di lapan dari 31 kawasan (26 peratus) yang terlibat dengan gangguan air,” kata syarikat itu.

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri memaklumkan tempoh gangguan dan pemulihan bekalan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

Air Selangor menasihatkan pengguna yang sudah mendapat bekalan menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar.

Gangguan air berjadual di Petaling, Klang dan Shah Alam berikutan kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu di Persiaran Selangor Seksyen 15 di sini mulai semalam.

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi, 1 April. Proses ini juga sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Senarai kawasan terjejas boleh didapati melalui semua media sosial Air Selangor termasuk Facebook, laman sesawang www.airselangor.com atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.

Categories
AGENSI SELANGOR

Paip putus, Petaling mungkin alami gangguan air

SHAH ALAM, 29 DIS: Beberapa kawasan sekitar wilayah Petaling dijangka mengalami gangguan bekalan air berikutan paip bersaiz 1,000mm terputus petang tadi.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan kejadian berlaku disebabkan insiden tanah runtuh, namun tidak dinyatakan lokasi.

“Paip ini mengagihkan bekalan air ke Damansara Utama, Seapark dan Seaport,” kata Elina Baseri dalam kenyataan di Facebook.

Perkembangan terkini berhubung insiden terbabit akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi Air Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tukar injap: 27 kawasan Kuala Langat, Sepang alami gangguan air

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Sebanyak 27 kawasan di Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 9 malam ini sehingga 5.30 petang esok.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Elina Baseri, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan, ia berikutan kerja penggantian penggantian injap pada paip agihan yang terletak di simpang Jalan Indah 1, Jalan B48 Pekan Sepang Lama.

“Bekalan air mula disalurkan kepada pengguna setelah kerja tersebut selesai dilaksanakan pada 5.30 pagi esok dan bekalan dijangka hanya pulih sepenuhnya di kawasan terlibat pada jam 5.30 petang esok,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com atau rujuk kesemua saluran komunikasi rasmi syarikat itu seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor kesal SPAN tidak maklum loji kumbahan IWK tercemar 4 Nov

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri kesal apabila Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tidak memaklumkan lebih awal pencemaran di loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) sedangkan ia berlaku pada 4 November lalu.

EXCO Alam Sekitar berkata pada tarikh berkenaan, IWK Taman Velox mengesan bahan buangan berwarna merah memasuki kolam mereka.

Hee Loy Sian berkata kemudiannya IWK membuat laporan kepada SPAN bagi membolehkan kerja di loji terbabit dapat dihentikan.

“Operasi di loji tersebut berhenti pada 4 November juga, tetapi saya hairan kenapa Kerajaan Negeri termasuk Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak dimaklumkan perkara berkenaan.

“Jika Kerajaan Negeri tahu lebih awal perkara ini, kita akan bertindak segera bagi mencari kilang atau premis yang lakukan pencemaran ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Loy Sian turut menggesa supaya Kerajaan Persekutuan membantu Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah pencemaran yang kerap berlaku di IWK.

Katanya, ia kerana loji IWK berada di bawah pentadbiran Kementerian Kewangan dan SPAN.

“Mereka perlu buat sesuatu kerana ini sudah kali keempat (pencemaran) berlaku, iaitu dua di IWK Semenyih, satu di Batang Kali dan satu lagi di IWK Taman Velox.

“Ini amat malang, loji rawatan air terpaksa dihenti tugas dan menyebabkan orang Selangor tak dapat bekalan air,” katanya.

Terdahulu, LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 ditutup jam 6 petang semalam susulan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

Henti tugas memberi kesan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun di 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat manakala pemulihan bekalan air bermula jam 3 petang hari ini.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Gangguan bekalan air berjadual di Kuala Langat, Sepang pada 20 Oktober

SHAH ALAM, 15 OKT: Sebanyak 27 kawasan di Kuala Langat dan Sepang bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual pada 20 Oktober ini bermula jam 9 malam.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan gangguan berikutan penggantian injap dan paip antara Jalan Indah 1 dan Jalan B48, Taman Desa Indah, Nilai, Negeri Sembilan.

“Pelaksanaan kerja-kerja ini membolehkan sistem pengagihan bekalan air berjalan lancar dan semua peralatan berkaitan berada dalam keadaan baik serta optimum,” kata agensi itu dalam kenyataan.

Air Selangor menjangka bekalan air pulih sepenuhnya pada jam 5 petang, 21 Oktober.

Jelasnya, tempoh gangguan dan pemulihan berbeza mengikut kawasan, bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan air pada sistem agihan.

Antara kawasan terlibat ialah:

1) Kuala Langat

– Kampung Kundang
– Tanjung Sepat New Village
– Taman Pelangi
– Taman Tanjung Sepat Indah
– Ladang Bedford
– Kuarters Estate Gadong
– Kampung Batu Laut
– Ladang Batu
– Kampung Orang Asli Tanjung Sepat
– Kampung Tanjung Sepat Darat
– Kampung Batu Untung
– Taman Batu Untung
– Taman Mutiara
– Kampung Tumbuk

2) Sepang

– Kampung Bukit Bangkong
– Kampung Orang Asli Bukit Bangkong
– Kem PKLS Haliza Ulu Teris
– Kampung Hulu Teris
– Tanjung Rhu
– Taman Seri Sungai Pelek
– Kampung Ulu Chuchoh
– Pekan Sungai Pelek
– Kampung Baru Sungai Pelek

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir 95 peratus kawasan pulih bekalan air, 65 dalam proses

SHAH ALAM, 8 SEPT: Sebanyak 1,156 daripada 1,292 kawasan pulih sepenuhnya daripada gangguan bekalan air setakat jam 12.30 tengah hari apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang henti tugas pada 3 September kerana pencemaran sumber air.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini berkata baki 65 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan dengan 94.97 peratus kawasan sudah pulih.

Kataya sebanyak lapan kawasan masih belum pulih sepenuhnya walaupun tersenarai di dalam kawasan kumpulan 1 yang sepatut pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam 7 September.

“Manakala, 54 kawasan yang berada dalam Kumpulan 2 juga masih belum mendapat bekalan air yang sepatutnya pada 12 tengah malam tadi.

“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan,” kata ketua komunikasi korporatnya.

Elina Baseri berkata pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menjimatkan penggunaan air bagi melancarkan proses pemulihan di kawasan masih terjejas.

Sehingga ini wilayah Petaling mencatatkan pemulihan hingga 97.37 peratus, Klang/Shah Alam (80.79 peratus), Gombak (98.18 peratus), Kuala Lumpur (92.71 peratus), Hulu Selangor (100 peratus), Kuala Langat (100 peratus) dan Kuala Selangor (100 peratus).

“Pengguna disarankan mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lain,” katanya.

Pengguna boleh merujuk aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi sosial media Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com untuk maklumat bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

20 kawasan di Gombak alami gangguan air mulai 11 Ogos

SHAH ALAM, 3 OGOS: Sebanyak 20 kawasan di wilayah Gombak mengalami gangguan bekalan air berjadual untuk tempoh 25 jam mulai 11 hingga 12 Ogos ini, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata gangguan itu disebabkan kerja tambah baik dan penggantian aset kritikal di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gombak yang dihenti tugas mulai jam 8.30 pagi pada 11 Ogos.

“Kerja ini bertujuan melancarkan loji agar dapat beroperasi dengan lebih cekap dan memastikan semua peralatan berada dalam keadaan baik,” kata Elina Baseri dalam kenyataan hari ini.

Kawasan terlibat ialah Batu 8, 9, 10 Jalan Gombak; Taman Permai Jaya Gombak; Kampung Sungai Salak; British Malaysian Institute; Sekolah Al Amin; International Islamic School dan Kolej Vokasional Gombak.

Turut terjejas, Sekolah Integrasi Gombak; Taman Mutiara; Kampung Sungai Cincin; Kampung Tengah Gombak; Kampung Sungai Pusu; Villa Bistari; Desa Gemilang; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA); Pangsapuri UIA; Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Hospital JHEOA.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakannya secara berhemah sepanjang tempoh gangguan yang dijangka pulih pada 12 Ogos jam 9.30 pagi.

Pelanggan boleh merujuk semua saluran rasmi Air Selangor (Facebook, Instagram, Twitter) termasuk laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com, aplikasi telefon pintar atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

45 kawasan mula terima bekalan air berperingkat

SHAH ALAM, 15 JULAI: Pengguna di tiga wilayah membabitkan 45 kawasan di Kuala Lumpur, Gombak dan Kuala Langat mula menerima bekalan air secara berperingkat sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan pengagihan bekalan dari Kolam Imbangan Bukit Tadun ke paip utama dan kolam bermula pada 9 pagi tadi.

“Agihan bekalan air ke kawasan terjejas akan mengikut jadual seperti yang dimaklumkan sebelum ini,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Air Selangor menasihatkan pengguna yang menerima bekalan air untuk menggunakannya secara berhemat bagi memastikan agihan air dapat disalurkan ke kawasan lain.

Kerja penggantian dan penambahbaikan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) siap sepenuhnya mengikut jadual pada 11 malam semalam.

Categories
AGENDA

Air Selangor guna 91 lori tangki hantar bekalan air

SHAH ALAM, 14 JULAI: Sebanyak 91 lori tangki membekalkan air bersih digerakkan ke 290 kawasan yang mengalami gangguan air sehingga Jumaat ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pergerakan lori tangki menghantar air hari ini dikhaskan ke premis kritikal seperti pusat dialisis dan hospital manakala kawasan perumahan bermula Khamis ini.

“Sembilan kerja utama utama di LRA SSP3 (Loji Rawatan Air SSP3) sedang dijalankan dan kerja penambahbaikan hanya dilakukan hari ini.

“Esok LRA SSP3 akan beroperasi seperti biasa dan dijangka kawasan terjejas akan menerima bekalan air secara berperingkat,” kata kakitangan Air Selangor melalui video siaran langsung di Facebook Air Selangor.

Menurut kakitangan itu, dijangka 48 peratus kawasan terjejas akan menerima bekalan air pada Khamis ini dan pulih sepenuhnya pada Jumaat jam 5 petang.

Bermula hari ini hingga Jumaat, kawasan di wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat mengalami gangguan susulan kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di Loji LRA SSP3 mulai jam 9 pagi ini.

Kerja bertujuan membolehkan loji beroperasi lebih cekap dan memastikan peralatan berada dalam keadaan baik.

Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan terjejas, bergantung kepada lokasi premis pelanggan.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://www.hentitugasssp3.airselangor.com/ untuk merujuk kawasan mengalami gangguan air bagi melihat peta kawasan terjejas.

Kawasan mengalami gangguan air. Foto Sumber: Air Selangor