Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Gangguan air: Lori tangki digerakkan, pengguna disaran rujuk laman sesawang

SHAH ALAM, 14 JULAI: Lori tangki bagi membekalkan air bersih digerakkan bermula hari ini ke hospital dan pusat dialisis di kawasan yang mengalami gangguan air.

Mengikut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), bantuan ke kawasan perumahan pula dilakukan pada Khamis dan Jumaat ini.

Lori tangki membekalkan air bersih digerakkan bagi membantu penduduk dan kawasan terjejas akibat gangguan air disebabkan penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di Loji Rawatan Air (LRA) SSP3. Foto: Air Selangor

Bermula hari ini hingga Jumaat, sebanyak 290 kawasan di wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat mengalami gangguan susulan kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di Loji Rawatan Air (LRA) mulai jam 9 pagi ini.

Kerja di LRA SSP3 bertujuan membolehkan loji beroperasi lebih cekap dan memastikan peralatan berada dalam keadaan baik.

Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan terjejas, bergantung kepada lokasi premis pelanggan.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://www.hentitugasssp3.airselangor.com/ untuk merujuk kawasan mengalami gangguan air bagi melihat peta kawasan terjejas .

Kawasan mengalami gangguan air. Foto Sumber: Air Selangor

 

Air Selangor menjangkakan LRA SSP3 beroperasi semula dan menyalurkan bekalan air mulai jam 9 pagi pada 15 Julai.

Sebanyak lapan pusat khidmat setempat (PKS) dibuka dengan menyediakan enam pili air awam mulai 16 hingga 17 Julai untuk kemudahan.

Bagi pelanggan komersial pula, pembelian air menggunakan lori tangki air dibuka di dua stesen pengisian air setempat.

Pelanggan komersial boleh membuat pembayaran pembelian air di sepuluh kaunter khidmat pelanggan Air Selangor.

Senarai lengkap kawasan terjejas, lokasi PKS, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh diakses melalui saluran rasmi media sosial, laman sesawang serta aplikasi telefon pintar Air Selangor.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh merujuk laman sesawang Air Selangor atau aplikasi telefon pintar yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple App store.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Operasi bersepadu hingga Aidilfitri elak gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 18 APRIL: Selangor menggerakkan Operasi Bersepadu Sumber Air (Op Sumber Air) hingga 31 Mei ini bagi mengelakkan pencemaran sungai sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga selesai sambutan Aidilfitri.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata operasi bermula semalam atas arahan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Rabu lalu.

“Dalam mesyuarat MMKN pada 15 April lalu, Dato’ Menteri Besar mengarahkan supaya Op Sumber Air bergerak semula mulai semalam (17 April) sepanjang PKP dan bulan Ramadan sehingga selesai Hari Raya Aidilfitri pada 31 Mei 2020,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam kenyataan meminta kerjasama semua pihak untuk menjalankan pemantau mengikut peruntukan bidang kuasa masing-masing seperti dilaksanakan ketika Tahun Baharu Cina.

“Operasi dengan kerjasama agensi Kerajan Negeri dan pihak berkaitan akan mencegah dan menangani sebarang aktiviti yang boleh mencemarkan sumber air.

“Bagaimanapun, pemantauan yang dijalankan perlu mengambil kira langkah keselamatan dan kesihatan sepanjang tempoh PKP akibat penularan Covid-19 ini,” kata kenyataan itu.

Kelmarin, Loji Rawatan Air Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor, yang berpunca daripada kolam ternakan ikan.

Categories
EXCO SELANGOR

Tingkat pantau sungai, elak gangguan air

SHAH ALAM, 18 MAC: Agensi berkaitan perlu mempertingkatkan pemantauan lembangan sungai bagi mengesan kegiatan menyebabkan berlakunya pencemaran, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata Kerajaan Negeri berusaha mengelakkan gangguan bekalan air kepada pengguna sehingga menjejaskan Perintah Kawalan Pergerakan untuk mencegah penularan Covid-19.

“Pemantauan pihak berkuasa terus dilakukan di kawasan sungai berpotensi tinggi berlaku pencemaran dan menjadi komitmen Kerajaan Negeri memastikan tidak berlaku gangguan air,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Penemuan bau seakan pelarut di Sungai Gong dan Sungai Bakau, Rawang punca empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas selama tiga jam, petang semalam.

Pencemaran tersebut dipercayai dari kawasan perindustrian kecil Sungai Bakau, Country Home, Rawang yang dianggarkan pada jarak 17km dari LRA Rantau Panjang dengan anggaran bau sekitar empat ton.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan LRA Sungai Selangor Fasa 1 , Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang beroperasi semula pada 10.30 malam tadi.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memuji usaha petugas yang bertungkus-lumus memastikan bekalan air kepada pengguna berterusan susulan henti tugas empat LRA.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sungai Semenyih tercemar, 372,031 pelanggan bakal terputus bekalan air

SHAH ALAM, 28 SEPT: Pencemaran bau dengan bacaan lima ton di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah bagi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sungai Semenyih) menyebabkan loji rawatan itu terpaksa dihentikan tugas serta-merta hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, beberapa kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan terkesan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden terbabit.

“Loji terpaksa dihenti tugas ekoran pencemaran bau menyebabkan sebanyak 204 kawasan melibatkan sejumlah 372,031 akaun pelanggan berdaftar akan terjejas dengan gangguan bekalan air.

“Insiden pencemaran ini adalah kali keempat bagi tahun ini melibatkan loji-loji utama terpaksa dihenti tugas dan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar membabitkan kawasan yang luas,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Abdul Raof berkata, pihaknya sudah beberapa kali membawa isu pencemaran air mentah untuk perhatian pihak berkuasa kerana dibimbangi akan mengganggu bekalan air kepada pengguna jika isu berkenaan tidak dibendung.

“Unit Pasukan Pemantau Sungai Air Selangor (PASKAL) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengesan punca pencemaran yang berpunca dari Loji Rawatan Kumbahan di Bandar Bukit Mahkota dan meminta pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan segera menghentikan pencemaran ini,” katanya.

Beliau berkata, tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan tidak dapat ditentukan buat masa ini serta bergantung kepada tahap pencemaran.

“Kami akan mengeluarkan hebahan dan makluman serta status terkini dari semasa ke semasa termasuk mengambil segala tindakan bagi mengurangkan impak gangguan kepada pelanggan.

“Sila rujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang kami www.airselangor.com untuk maklumat yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Gangguan air di Penjara Sungai Buloh pulih

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Gangguan bekalan air di Penjara Sungai Buloh sejak Selasa (27 Ogos) akibat paip pecah telah pulih dan rutin di penjara itu kembali seperti biasa.

Seorang jurucakap penjara itu ketika dihubungi Bernama berkata, bekalan air pulih semalam apabila masalah kebocoran paip utama di situ ditangani oleh pihak berkenaan.

“Bekalan air telah pulih sepenuhnya pada jam 2 petang Sabtu. Tiada lagi kekurangan bekalan air seperti yang dilaporkan oleh media hari ini,” katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh gangguan, pihak penjara menerima bekalan air daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi kegunaan penghuni dan dapur penjara.

Sebuah portal berita melaporkan tentang maslah kekurangan air yang teruk di Penjara Sungai Buloh sejak lima hari lepas sehingga menyukarkan kehidupan seharian para penghuni.

Laporan itu memetik seorang peguam Hannan Ishak sebagai berkata, gangguan bekalan air itu menyukarkan penghuni penjara untuk ke tandas, membersihkan diri dan menunaikan solat.

Hannan menceritakan tentang keadaan yang dialami oleh anak guamnya yang kini ditahan reman di penjara Sungai Buloh itu.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Gangguan bekalan air pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 29 JUN: Bekalan air di kesemua kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang yang mengalami gangguan tidak berjadual ekoran henti tugas loji rawatan air berpunca daripada pencemaran bau di Sungai Semenyih pulih sepenuhnya.

“Pihak kami merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit termasuk agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan dan persatuan penduduk yang menghulurkan bantuan sepanjang tempoh gangguan serta pemulihan bekalan.

“Air Selangor komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami dan akan sentiasa berusaha untuk meminimumkan gangguan bekalan air kepada pengguna,” kata syarikat itu dalam kenyataan, hari ini.

Syarikat itu turut menghargai kerjasama pelanggan dan menyeru semua pengguna untuk bersama menjaga sumber air serta menggunakan air dengan berhemah.

Untuk maklumat berkenaan bekalan air, muat turun aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau Appstore.

Categories
SELANGOR

Gangguan air: Kerja baik pulih paip pecah siap 20 peratus

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JUN: Kerja pembaikan ekoran paip pecah di jajaran paip utama 1800mm di Setia Alam berada pada tahap 20 peratus sehingga jam 9 malam tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, pengagihan semula bekalan di sistem agihan dan kawasan terkesan sudah dapat dikurangkan.

Katanya, bagi kawasan Wilayah Klang hanya 35 dari 84 kawasan terjejas dan sembilan kawasan Kuala Langat masih tersenarai selepas pengagihan semula bekalan dilaksanakan.

“Senarai kawasan terlibat di Klang antaranya Bandar Klang (Bt 1 – 3 Jln Meru); Kampung Pulau Indah; Perumahan Bandar Sultan Sulaiman Fasa 3; Bandar Parkland; Kampung Teluk Gong; seluruh Batu Belah dan Teluk Kapas; Glenmarie Cove; Keseluruhan Berkeley/Eng Ann; seluruh kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman serta Perdana Ind Park.

“Glenn Cruise; keseluruhan Taman Sri Andalas; seluruh Kawasan Perindustrian Bukit Raja Selatan; Jalan Kapar Bt 1 – 5; Kg Keretapi Seluruh Perepat; Jalan Pelabuhan Utara; Pangsapuri Sri Perantau; seluruh Sementa; Jalan Raja Lumu; Pelabuhan Utara; Seluruh Sg Putus; Jalan Kastam Perindustrian Pulau Indah Fasa 1 dan sepanjang Jalan Goh Hock Huat.

“Jalan Kem; Perindustrian Pulau Indah Fasa 2; Sg Sireh; Jalan Limbungan; Persiaran Raja Muda Musa; Taman Sentosa; Jalan Syahbandar; Perumahan Bandar Sultan Sulaiman Fasa 1; Wisma Polis Marin Pulau Indah; Kampung Kastam Perumahan dan Bandar Sultan Sulaiman Fasa 2.

“Di Kuala Langat antaranya Batu 9 Kebun Baru; Kampung Medan; Taman Seri Medan; Eco Sanctuary; Sijangkang Batu 7 – Batu 9; Taman Sijangkang Jaya; Jalan Sijangkang Utama; Taman Perwira dan Tropicana Aman,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Abdul Raof berkata, bantuan bekalan air melalui lori tangki juga terus digerakkan selain pengaktifan lima buah Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan tiga lokasi Pili Awam bagi menyalurkan bantuan kepada pelanggan.

Katanya, status terkini akan dikemaskini di laman sesawang www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan Facebook Air Selangor dari semasa ke semasa.

Categories
SELANGOR

Gangguan air susulan paip pecah di Wilayah Klang dan Kuala Langat

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 3 JUN: Beberapa kawasan di Wilayah Klang dan Kuala Langat bakal terjejas dan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran insiden paip pecah di jajaran paip utama di jajaran utama 1800mm di Setia Alam.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya akan menjalankan kerja pembaikian.

“Kami memohon maaf atas kesulitan ekoran insiden tidak dijangkakan ini dan akan mengambil segala usaha serta tindakan yang perlu.

“Kami akan mengemaskini status dan perkembangan ganguan bekalan air itu dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara kawasan Wilayah Klang yang terjejas ialah Ambang Botanik, Armada Putera, Bandar Bestari, Bandar Botanik, Bandar Bukit Tinggi 1, Bandar Bukit Tinggi 2, Bandar Klang (Bt 1-3 Jalan Meru), Bandar Parkland, Bandar Puteri 2, Bandar Puteri.

Manakala di Wilayah Kuala Langat, Batu 9 Kebun Baru, Eco Santuary, Jalan Sijangkang Utama, Kampung Medan, Sijangkang Batu 7-Batu 9, Taman Perwira, Taman Seri Medan, Taman Sijangkang Jaya dan Tropicana Aman.

Pada masa sama, pihaknya giat melakukan persiapan bagi menggerakkan bantuan lori tangki air ke kawasan yang terjejas dan mengaktifkan Pusat Khidmat Setempat (PKS) pada 3 petang, hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Raof berharap pelanggan memberi kerjasama sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

Status terkini kerja baik pulih boleh diperoleh menerusi laman Facebook, Twitter @air_selangor dan memuat turun aplikasi Air Selangor.

 

Categories
SELANGOR

Kerja-kerja pembaikan pam SSP3 disasar siap seawal pagi esok

SHAH ALAM, 16 MEI: Kerja-kerja pembaikan kerosakan peralatan pam air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3) disasarkan siap seawal pagi esok.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, kerja-kerja pembaikan salah satu pam utama di loji berkenaan masih giat dijalankan.

Katanya, pam berkenaan akan kembali beroperasi sejurus kerja-kerja pembaikan siap bagi penyaluran bekalan ke sistem agihan dan kolam perkhidmatan seterusnya pelaksanaan proses pemulihan secara berperingkat.

“Pihak kami akan mengemaskini status dari semasa ke semasa dan segala usaha diambil bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan kepada pelanggan yang terjejas.

“Bantuan lori-lori tangki terus digerakkan dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) kami akan terus beroperasi hingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh gangguan dan pemulihan ini amatlah dihargai dan pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan,” katanya dalam kenyataan.

Untuk sebarang pertanyaan dan bantuan, orang ramai boleh menghubungi Air Selangor di talian 15300 atau Whatsapp ke 019-2816793 atau 019-2800919.

Orang ramai juga boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang www.syabas.com.my untuk maklumat dan status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bekalan air di Klang pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 14 MEI: Bekalan air pulih sepenuhnya di semua kawasan di Klang yang terbabit gangguan bekalan air berjadual ekoran tiga paip utama pecah berhampiran projek Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya memohon mohon maaf kepada semua pelanggan yang terkesan dengan gangguan dan tidak dapat menepati sasaran awal jadual kerja pembaikan dan tempoh pemulihan bekalan yang disasarkan.

“Ini adalah disebabkan kerumitan perlaksanaan kerja-kerja pembaikan yang perlu dilaksanakan dengan berhati-hati dengan keadaan tapak pembaikan yang berisiko tinggi bagi mengelakkan perkara yang tidak di ingini kepada pekerja dan aset aset di tapak.

“Sepanjang kerja-kerja pembaikan awal yang dilaksanakan, telah juga berlaku pergerakkan tanah dan kebocoran di lokasi lain di jajaran paip yang sama.

“Situasi ini telah menyebabkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air yang disasarkan tertunda beberapa kali.

“Sehubungan itu, bagi mengurangkan impak gangguan kepada pelangan yang terjejas pihaknya mengambil tindakan segera bagi memulihkan bekalan melalui sistem bekalan alternatif dan melaksanakan kerja-kerja pemasangan dan pengalihan jajaran paip baharu 1,400mm yang telah pun siap pada jam 3.00 petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Raof berkata, pemasangan jajaran paip baharu adalah penyelesaian kekal bagi penyaluran bekalan air kepada pelanggan yang menerima bekalan dari Kolam Lipat Kajang dan telah dapat meningkatkan kapasiti bekalan air terawat dan pemulihan sepenuhnya ke semua kawasan yang terjejas.

Dalam kenyataan sama, Air Selangor turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga kerja dan kontraktor lantikannya yang bekerja 24 jam sehari tanpa henti sejak bermulanya insiden paip-paip utama ini pecah.

“Penghargaan juga kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara yang telah memberikan kerjasama serta panduan kepada kami.

“Tidak ketinggalan, sokongan yang diberikan Kerajaan Negeri Selangor, wakil-wakil rakyat, persatuan penduduk dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memberikan kerjasama amatlah dihargai,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jadikan krisis air Klang sebagai pengajaran

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 MEI: Krisis ketiadaan bekalan air hampir lima hari di beberapa lokasi sekitar Klang perlu dijadikan iktibar buat pihak bertanggungjawab, kata Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis,
Ahmad Zawawi Mohd Mughni.

Katanya, insiden itu diharap dapat membuka mata pihak berkaitan supaya meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan membaiki kelemahan serta kekurangan menghadapi bencana.

“Sesungguhnya pengalaman ini amat berharga dan banyak hikmah yang dipelajari daripada krisis ini.

“Marilah kita bersama-sama memberikan perkhidmatan terbaik untuk kesejahteraan hidup bersama,” katanya dalam kenyataan.

Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Klang berlaku susulan tiga paip utama pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, kontraktor Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terpaksa bekerja 24 jam bagi melaksanakan kerja pembaikan paip.

Ia ekoran mereka perlu mengambil masa membaiki tiga paip besar berukuran 1400mm, 900mm dan 600mm yang pecah, pada 5 Mei lalu.

Pada masa sama, Ahmad Zawawi turut mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan Air Selangor yang sabar dan tabah menghadapi cabaran Ramadan.

“Tahniah kerana bersabar menghadapi reaksi yang pelbagai daripada masyarakat.

“Tidak ketinggalan pasukan sukarelawan dan petugas dari Pusat Khidmat DUN Sungai Kandis yang bekerjasama serta membantu menyelaras bantuan air,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pemulihan bekalan capai 91.5%

SHAH ALAM, 11 MEI: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan pemulihan bekalan mencapai tahap 91.5 peratus setakat jam 6.00 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, aktiviti pemulihan dengan meningkatkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi menstabilkan bekalan di tumpukan ke kawasan yang masih dalam proses pemulihan.

“Status pemulihan dikemaskini dari masa ke masa dan pelangan yang masih terjejas boleh menghubungi di talian 15300 untuk bantuan atau rujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor untuk maklumat terkini.

“Bantuan dan permohonan bagi bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki air akan terus digerakkan di samping Pusat Khidmat Setempat yang masih terus beroperasi hingga bekalan pulih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan sama juga merakamkan ucapan terima kasih atas segala kerjasama diberikan pelangan serta memohon maaf atas segala kesulitan.

Berikut adalah kawasan yang masih dalam proses pemulihan sepenuhnya:

1. Batu Belah
2. Bandar Sultan Sulaiman Fasa 1 & 3
3. Bandar Puteri & Putera 2
4. Berkeley/Eng Ann
5. Jalan Kapar Batu 1 – 5
6. Jalan Limbungan
7. Jalan Syahbandar
8. Kg Keretapi
9. Pangsapuri Sri Perantau
10.Parkland
11. Perindustrian Bdr Sultan Sulaiman
12.Perindustrian Bukit Raja Selatan
13.Pelabuhan Utara
14.Sungai Putus
15.Sungai Sireh
16.Taman Sentosa