Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Bekalan air di Klang pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 1 MAC: Air Selangor memaklumkan bekalan air di 11 kawasan terjejas di Klang sudah pulih sepenuhnya pada jam 4 petang tadi.

Insiden paip pecah di Jalan Seruling 59, Taman Seri Andalas, Klang pada jam 8 malam semalam, menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan berkenaan.

Kawasan terjejas adalah Bandar Putera 2, Bandar Puteri, Jalan Bendahara, Jalan Bentara, Jalan Laksamana, Jalan Raja Nong, Jalan Seri Sarawak, Jalan Sg. Jati, Jalan Temenggung, Taman Rakyat dan Taman Sentosa.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com. Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor,” katanya menerusi aplikasi Air Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kebakaran di loji, 200 kawasan di Johor alami gangguan bekalan air

JOHOR BAHRU, 13 OKT: Kira-kira 200 kawasan di bandar raya ini, Kulai dan Iskandar Puteri mengalami gangguan bekalan air luar jangka berikutan dua unit transformers di Loji Air Semangar, Jalan Kulai-Kota Tinggi di Kota Tinggi terbakar, semalam.

Ranhill SAJ Sdn Bhd menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini memaklumkan antara kawasan terjejas melibatkan Senai, Skudai, Pulai, Austin, Sedenak, Seelong, Kempas, Kulai, Gelang Patah dan Nusajaya.

“Kebakaran itu mengakibatkan loji dihenti tugas. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya memadamkan kebakaran dan tiada korban nyawa dilaporkan. Pihak kami sedang berusaha bersama pihak berkaitan menyelesaikan masalah ini bagi memastikan kawasan terjejas menerima bekalan air bersih secara berperingkat.

“Mengikut maklumat terkini, sekiranya kerosakan berjaya diperbaiki dalam masa terdekat, anggaran tempoh pemulihan bekalan air adalah selama 12 jam selepas loji beroperasi semula dengan kapasiti penuh,” menurut Ranhill SAJ.

Syarikat pembekalan air bersepadu di negeri itu memaklumkan selain kawasan perindustrian dan taman perumahan, kawasan terjejas termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Laut Marin, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Taman Tema Legoland dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi Penolong Kanan Penguasa Azman Jantan menerusi kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada 2.57 petang.

“Seramai 12 anggota termasuk pegawai dari BBP Kota Tinggi bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian. Didapati berlaku kebakaran dua unit transformers kira-kira 80 peratus setiap satu.

“Kebakaran mengakibatkan kesan jelaga pada bilik tersebut. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada 4.45 petang, semalam.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sukarelawan digerak bantu pengguna ketika kerja selenggara loji rawatan air

SHAH ALAM, 7 OKT: Kerajaan Selangor sedia menggerakkan kumpulan sukarelawan sepanjang kerja penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 yang bermula pada minggu depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kumpulan berkenaan akan membantu pengguna yang memerlukan bekalan air.

“Sebagai persediaan kita gerakkan sukarelawan peringkat DUN, Team Selangor, Selangor Volunteer (Serve), Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan ketua kampung.

“Air Selangor (Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd) juga menggerakkan 105 lori tangki terutama ke hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian selain sediakan 18 pili awam serta empat stesen pengisian air untuk pelanggan komersial,” katanya pada sidang media hari ini.

Baru-baru ini, Air Selangor meminta penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan air secukupnya.

Kerja penyelenggaraan yang dijadual bermula jam 9 pagi pada 13 Oktober dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air lima kawasan Hulu Langat dijangka pulih pagi 30 September

SHAH ALAM, 17 SEPT: Lima kawasan di Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air berjadual pada 28 September ini dengan jangkaan pemulihan sepenuhnya dua hari kemudian.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan gangguan berikutan pelaksanaan kerja-kerja penggantian injap di tiga lokasi iaitu Taman Sri Indah Balakong, Inlet Cheras dan hadapan pencawang pembahagi utama The Mines.

“Kerja-kerja ini bagi memastikan sistem pengagihan bekalan air berada pada tahap yang terbaik demi keselesaan para pengguna di masa hadapan.

“Gangguan bekalan air berjadual akan bermula jam 9 malam, 28 September dan bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi, 30 September,” katanya menerusi Twitter.

Antara kawasan terjejas termasuk Balakong, Green Park Resident, Bandar Sungai Long (SL 6, 9, 10, 11), Taman Bukit Palma, Bandar Mahkota Cheras (Jalan Putera, Jalan Puteri, Jalan Bendahara, Jalan Mahkota).

Air Selangor juga menasihatkan pengguna agar menyimpan air secukupnya untuk kegunaan seisi rumah dan pastikan semua bekas simpanan ditutup dengan selamat.

“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di Sepang, Putrajaya pulih lebih 50 peratus

SHAH ALAM, 4 SEPT: Lebih 50 peratus bekalan air di Sepang dan Putrajaya yang terjejas akibat pencemaran bau Sungai Semenyih kembali pulih setakat jam 9 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan sebanyak 80.4 peratus pemulihan di Sepang dan Putrajaya (56.5 peratus).

Manakala pemulihan bekalan di Kuala Langat masih di paras 25 peratus, sementara Hulu Langat dan Petaling belum pulih sepenuhnya.

“Air Selangor ingin menyarankan agar para pengguna yang mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor juga berharap pengguna menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” menurut kenyataan di Facebook.

Semalam, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Wilayah terjejas ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang http://www.airselangor.com.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gangguan bekalan air di Selangor, Putrajaya pulih sepenuhnya Isnin ini

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Gangguan bekalan air di 463 kawasan berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas sementara akibat insiden pencemaran bau, dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi Isnin ini (6 Sept).

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan hari ini berkata LRA Sungai Semenyih telah mula beroperasi.

“Bekalan air bagi kawasan terjejas akan mula disalurkan secara berperingkat mulai 6 petang hari ini. Sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan terjejas dan premis-premis kritikal sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya.

Elina berkata Air Selangor memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih, terutama semasa peningkatan kes Covid-19, sehubungan itu syarikat berkenaan sedang mengambil segala usaha untuk meminimumkan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas.

Gangguan bekalan air itu melibatkan 172 kawasan di Petaling, 54 di Hulu Langat, 23 di Putrajaya dan 20 di Kuala Langat.

Orang ramai boleh mendapatkan laporan terkini mengenai gangguan bekalan air menerusi akaun media sosial rasmi Air Selangor iaitu Twitter, Facebook dan Instagram dan laman web http://www.airselangor.com atau hubungi pusat panggilan 15300.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Paip pecah di Jalan Kuari, bekalan air pulih 75 peratus

SHAH ALAM, 10 JUN: Sebanyak 75 peratus daripada 13 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di sekitar Kuala Lumpur akibat paip pecah kembali pulih setakat jam 3 petang ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pihaknya masih  menggerakkan lori tangki menghantar bantuan air kepada kawasan yang masih terjejas.

“Air Selangor memohon kerjasama orang ramai mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Agensi meminta pengguna merujuk saluran komunikasi rasmi seperti laman sesawang Air Selangor di http://www.airselangor.com,  aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram, Twitter atau Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 bagi mendapatkan status terkini.

Gangguan bekalan tidak berjadual bermula petang semalam melibatkan Kampung Cheras Baru, Pandan Mewah, Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan dan Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra dan Taman Mestika.

Air Selangor menjangkakan gangguan akan pulih sepenuhnya jam 8 malam ini selepas bekalan mula disalurkan secara berperingkat jam 3.30 pagi tadi.

Categories
AGENDA

Bekalan air 13 kawasan pulih jam 8 malam, lori tangki digerakkan

SHAH ALAM, 10 JUN: Bekalan air di 13 kawasan sekitar Kuala Lumpur yang mengalami gangguan berikutan paip pecah di Jalan Kuari dijangka pulih sepenuhnya jam 8 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air telah mula disalurkan secara berperingkat bermula jam 3.30 pagi tadi.

“Hingga jam 7 pagi tadi, pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas sudah mencapai tahap 50 peratus. Pemulihan sepenuhnya bekalan air kawasan terjejas dijangka selesai jam 8.00 malam ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Air Selangor berkata, bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki terus digerakkan di kawasan yang masih terjejas.

Semalam, 13 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dengan bekalan air ditutup pada jam 4 petang bagi membaiki paip pecah di Jalan Kuari.

Kawasan terjejas adalah di Kampung Cheras Baru, Pandan Mewah, Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra dan Taman Mestika.

Categories
AGENDA NASIONAL

Paip pecah: Gangguan bekalan air di 13 kawasan di KL

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Sebanyak 13 kawasan di sekitar Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di Jalan Kuari, di sini hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Elina Baseri menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bekalan air ditutup pada 4 petang tadi bagi pembaikan paip itu yang dijangka siap 4 pagi esok.

Elina berkata kawasan yang terjejas adalah Kampung Cheras Baru, Pandan Mewah, Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra dan Taman Mestika.

“Bekalan air akan mula disalurkan semula setelah kerja-kerja pembaikan siap sepenuhnya. Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Air Selangor sedang menggerakkan lori-lori tangki ke kawasan terjejas. Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki itu,” katanya.

Menurutnya, pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, laman sesawang Air Selangor di http://www.airselangor.com, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Selenggara paip: 58 kawasan Gombak, KL alami gangguan air mulai esok

SHAH ALAM, 5 APRIL: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menjalankan proses gantian injap jajaran air paip mentah dari Empangan Klang Gates selama tiga hari mulai esok.

Agensi berkata susulan itu operasi Loji Rawatan Air Wangsa Maju dan Bukit Nanas akan dihenti tugas.

“Sebanyak 58 kawasan sekitar Gombak dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula jam 9 pagi esok dan dijangka pulih jam 5 pagi pada 9 April.

“Pengguna dinasihatkan menyimpan air secukupnya untuk kegunaan seisi rumah dan pastikan bekas simpanan ditutup,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Pengguna boleh melayari https://www.airselangor.com/scheduled-water-supply-disruption-notice/ bagi mendapatkan maklumat lanjut atau menerusi media komunikasi rasmi Air Selangor.

Antaranya aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram serta laman sesawang http://www.airselangor.com.

Berikut adalah kawasan terjejas:

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Orang ramai di 30 kawasan diminta bersedia alami gangguan air berjadual esok

SHAH ALAM, 29 MAC: Penduduk di 30 kawasan di Selangor diminta bersedia menghadapi gangguan bekalan air susulan kerja penyenggaraan paip mulai pagi esok di Persiaran Selangor Seksyen 15 di sini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan minggu lepas berkata gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam akan berlaku mulai jam 9 pagi 30 Mac.

“Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada kuantiti bekalan air, jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

“Air Selangor ingin menasihatkan pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan berjadual ini,” kata syarikat berkenaan.

Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri menjelaskan penyenggaraan tersebut bertujuan agihan bekalan air di masa depan pada tahap baik.

Maklumat gangguan bekalan air di Petaling, Klang dan Shah Alam seperti berikut:

– Kerja pengalihan dan penyambungan paip pada 30 Mac, jam 9 pagi hingga 9 malam

– Membabitkan lima kawasan di wilayah Petaling, Klang (14) dan Shah Alam (11)

– Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi 1 April

Gangguan bekalan air secara berjadual ini sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Senarai kawasan terjejas boleh didapati melalui semua media sosial Air Selangor termasuk Facebook, laman sesawang http://www.airselangor.com atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Kerja selenggara paip Air Selangor dijangka selesai lebih awal

PETALING JAYA, 28 MAC: Kerja penyenggaraan paip yang menyebabkan gangguan air berjadual bermula Selasa ini dijangka dapat diselesaikan lebih awal, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia berikutan usaha dilakukan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) sebelum ini yang dapat menyiapkan kerja itu lebih cepat dari tarikh ditetapkan.

“Untuk kemudahan awam, kita akan percepatkan kerja penyenggaraan ini. Sekiranya bermula awal, maka kerja baik pulih akan dapat selesai lebih awal. Sekali gus membolehkan bekalan air terus dapat diagihkan kepada penduduk.

“Ini kerana pengalaman sebelum ini, jika tiada aral melintang, kita akan bermula awal dan dapat selesaikan lebih cepat baik pulih berkenaan,” katanya pada Majlis Jasamu Dikenang, Budimu Disanjung di Sunway Hotel Spa, malam tadi.

Amirudin menjelaskan kerja baik pulih yang menyebabkan ketiadaan bekalan di beberapa kawasan di Lembah Klang merupakan gangguan air berjadual.

“Saya yakin orang ramai sudah ambil maklum perkara ini lebih awal, namun masyarakat perlu tahu kerja penyenggaraan ini diambil kerana kita mahu memastikan selepas ini tidak berlaku gangguan bekalan air lebih lama.

“Pelaksanaannya juga bagi memastikan keselesaan rakyat,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan sebanyak 89 kawasan di wilayah Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam akan mengalami gangguan air berjadual antara 48 hingga 68 jam bermula 30 Mac dan 6 April depan.

Ia berikutan kerja penyelenggaraan secara berjadual untuk beberapa aset utama Air Selangor tahun ini.