Categories
AGENDA NASIONAL

Ebit Lew mengaku tidak bersalah atas 11 tuduhan hantar gambar, perkataan lucah

TENOM, 18 FEB: Pendakwah bebas terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali Ebit Lew mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas 11 pertuduhan berhubung kes gangguan seksual.

Ebit Irawan, 38, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Tertuduh didakwa membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp di daerah Tenom antara Mac hingga Jun tahun lepas.

Semua pertuduhan itu adalah di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nur Asyraf menetapkan jaminan RM1,000 untuk setiap pertuduhan dengan dua penjamin manakala 20 April ini sebagai sebutan semula kes.

Ebit Irawan membayar wang jaminan itu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah Muhammad Ilmami Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan dalam sidang media di sini hari ini berkata pada 7 Ogos tahun lepas, pihak polis menerima laporan berkenaan pendakwah itu dan sejumlah tiga laporan atas kesalahan tersebut telah diterima.

Beliau berkata siasatan telah dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan tuduhan fitnah yang turut melibatkan pengadu di Sabah serta Semenanjung.

“Jika orang ramai mempunyai maklumat luar kes ini, sila tampil ke hadapan bantu pihak polis untuk siasatan yang lain, kalau ada kes kita jalankan siasatan menyeluruh dan perkara yang sama akan dirujuk kepada pendakwa raya.

“Pihak polis memohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan prosiding perbicaraan berjalan lancar,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gangguan seksual, mesej ‘spam’ judi dalam talian tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Isu gangguan seksual dan mesej ‘spam’ yang mempromosi perjudian dalam talian akan menjadi antara persoalan dibangkitkan dalam Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-12, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, pertanyaan itu diajukan Noorita Sual (PH-Tenom) pada sesi soal jawab yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan komitmen kerajaan dalam memperkenalkan Akta Gangguan Seksual serta garis masa akta itu akan dibentangkan.

Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pula bertanyakan Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai usaha drastik dilaksanakan kementerian bagi mengatasi isu mesej ‘spam’ yang mempromosikan perjudian secara dalam talian.

Mohd Nizar juga mempersoalkan sama ada wujud sebarang penglibatan pengendali syarikat telekomunikasi yang bersekongkol dengan sindiket berkenaan bagi menjual data peribadi pengguna.

Menurut takwim Parlimen, Persidangan Dewan Rakyat dijangka diteruskan dengan sesi penggulungan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) oleh kementerian terlibat bermula hari ini hingga Khamis.

Sebelum ini, seramai 131 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang serta Bebas mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar Bajet 2022 selama tujuh hari bermula 1 November lepas.

Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Disember ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

NGO gesa henti gangguan seks, lindungi kanak-kanak di sekolah

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Engender Consultancy, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Kementerian Pendidikan agar menangani isu berkaitan gangguan seksual dan melindungi kanak-kanak di sekolah.

NGO itu dalam kenyataan semalam memaklumkan semua sekolah diminta untuk menerapkan dan menerbitkan prosedur menangani rungutan yang menyediakan penyelesaian segera dan adil terhadap aduan gangguan seksual.

“Ini perlu mengambil kira suara pelajar; apabila pelajar menimbulkan ketakutan atau kebimbangan, sekolah harus memberi perhatian dan bertindak balas bagi memastikan perlindungan dan kesejahteraan mereka (pelajar).

“Sekolah juga harus bertanggungjawab atas segala persekitaran permusuhan yang wujud, termasuk oleh kakitangannya sendiri. Gangguan berdasarkan gender di sekolah perlu dihentikan segera,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyatakan beberapa kejadian yang berlaku baru-baru ini seperti pemeriksaan haid di sekolah dan pelajar sekolah menengah mendakwa seorang guru membuat gurauan tentang rogol semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan.

Jelasnya, kejadian terbaharu itu menyebabkan pelajar terbabit menerima ugutan rogol daripada rakan sekelasnya, menunjukkan kelemahan sistemik terhadap sensitiviti gender di persekitaran sekolah.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Ketahui hak anda jika berlaku gangguan seksual

Oleh Jeiilnyly Masal

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Apa hak anda sebagai orang awam sekiranya polis menghentikan kenderaan anda ketika sekatan jalan raya?

“Jika seseorang itu tiada lesen tetapi mempunyai kad pengenalan, saman boleh dikeluarkan tetapi bukan untuk ditahan kerana ia bukan kesalahan yang membolehkan kita ditangkap atau diminta nombor telefon peribadi,” jelas Pensyarah Fakulti Undang- Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian yang sedang tular di media sosial apabila seorang pengguna Twitter mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang anggota polis ketika sekatan jalan raya di Jalan Duta pada 12 Februari.

Berdasarkan bebenang di akaun Twitter pengguna tersebut, beliau mendakwa polis bertugas menuduhnya tidak memakai pakaian dalam serta mengancam akan mengeluarkan saman kecuali jika beliau membuktikan sebaliknya.

“Selepas itu dia berkeras untuk bertukar nombor telefon dengan saya walaupun saya telah memberitahu yang saya tidak selesa,” jelas pengguna Twitter itu lagi.

Berhadapan Situasi Gangguan Seksual

Lebih daripada 300 sekatan jalan raya dilaksanakan di seluruh negara ketika pusingan kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini, namun ramai yang masih belum jelas mengenai hak mereka ketika berdepan situasi seperti ini.

Sekatan jalan raya dilakukan oleh anggota polis dan tentera di laluan keluar masuk Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam pada 16 Januari 2021, hari keempat Perintah Kawalan Pergerakan. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Ingat di mana ia berlaku, nama atau nombor di uniform dan segera buat laporan polis. Dalam apa juga keadaan kaum wanita mesti sentiasa berhati-hati dan beringat bahawa gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana tanpa mengira jawatan atau kerja,” kata Noor Aziah yang juga Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Jika polis mengugut untuk menangkap dan meminta “bayaran” dalam bentuk seksual (raba, sentuh, pandang), ia adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 509 atau Seksyen 354 dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Tampil Buat Laporan Polis

Noor Aziah juga menggesa mangsa tampil membuat laporan polis sekiranya berlaku sebarang salah laku termasuk yang melibatkan gangguan seksual oleh agensi penguatkuasaan ketika melaksanakan sekatan jalan raya semasa PKP.

Jelas beliau lagi, polis mempunyai tatacara operasi prosedur (SOP) apabila melakukan sekatan jalan raya ketika PKP.

“Polis diberi kuasa untuk menahan pemandu, mereka boleh bertanyakan destinasi (ketika tempoh PKP) dan sama ada merentas daerah atau negeri. Mereka juga dibenarkan untuk meminta lesen dan kad pengenalan untuk pemeriksaan.

Anggota polis dan tentera memeriksa penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA

“Sekiranya merentas daerah, perlu ada surat kebenaran polis balai berdekatan rumah dan mereka boleh arahkan untuk berpatah-balik sekiranya kita tiada surat tersebut,” katanya.

Noor Aziah juga mengingatkan agar semua agar sentiasa cakna hak dan keselamatan diri.

“Sebagai manusia dan rakyat Malaysia, kita ada hak asasi untuk hidup selamat. Pihak berkuasa seperti polis perlu menghormati hak itu,” katanya.

Walaubagaimana pun, tindakan pengguna Twitter tersebut menularkan kejadian ini di media sosial kurang wajar serta tidak melalui saluran yang betul.

“Berdasarkan undang-undang, sesiapa yang membuat aduan perlu diberi peluang didengar bagi mempertahankan diri dan jika tidak benar mereka boleh didakwa kerana membuat berita palsu.

“Tiada suatu kuasa yang tanpa had. Semuanya jelas diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 5 – hak untuk hidup dan kebebasan diri ) dan dalam menjalankan tugas perlu berlandaskan undang-undang dan etika kerja serta SOP yang ada,” tambahnya lagi.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat dakwaan anggota trafik buat gangguan seks di sekatan jalan

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Siasatan ke atas dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wanita semasa sekatan jalan raya di Jalan Duta melibatkan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sedang dijalankan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata pihaknya membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang wanita mengenai perkara itu yang tular di media sosial hari ini.

“Siasatan sedang dijalankan melibatkan seorang anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya mengesahkan polis menerima satu laporan berkaitan gangguan seksual melibatkan anggota polis semasa sekatan jalan raya dan pihaknya sedang menyiasat perkara itu.

“Ya, pihak JIPS memang ada terima laporan dan ia sedang disiasat,” katanya ringkas kepada Bernama.

Hari ini, tular di media sosial seorang wanita dalam ciapan Twitternya mendakwa beberapa anggota polis cuba mengugutnya, selain terima gangguan seksual semasa di sekatan jalan raya Jalan Duta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata kejadian berlaku apabila pengadu yang merupakan seorang wanita berumur 23 tahun ditahan oleh seorang anggota polis semasa melalui SJR tersebut pada kira-kira jam 7.30 malam semalam, sebelum diminta mengemukakan lesen memandu.

“Pengadu mendakwa didatangi seorang anggota polis yang memintanya menunjukkan buah dada selain mengugut akan mengeluarkan saman sekiranya pengadu enggan.

“Pengadu juga diminta oleh anggota polis berkenaan untuk memberikan nombor telefon miliknya sebelum dibenarkan beredar setelah ketulenan identiti kad pengadu selesai diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Anuar menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, orang ramai diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan, katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis siasat kes dakwaan gangguan seksual

SHAH ALAM, 18 MEI: Beberapa saksi dipanggil untuk siasatan sebelum sebarang tindakan diambil berhubung kes bekas pembantu seorang anggota parlimen di Perak yang mendakwa diganggu secara seksual oleh anggota parlimen itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata, menerusi laporan polis yang dibuat oleh wanita berusia 47 tahun itu pada Khamis lepas (16 Mei) beliau menyatakan telah dicabul dan diaibkan oleh seorang lelaki yang merupakan seorang anggota parlimen.

“Wanita itu yang merupakan bekas pegawai penyelidik mendakwa kejadian itu berlaku beberapa kali sejak Disember 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Fadzil kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan 509 Kanun Keseksaan.

Media tempatan terdahulu melaporkan yang bekas pembantu anggota parlimen itu membuat laporan polis yang beliau telah diganggu secara seksual.

Laporan itu turut menyebut wanita itu mendakwa anggota parlimen berkenaan telah menunjukkan buku ‘Kamasutra’ dan gambar lucah kepadanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kesavan serah polis siasat dakwaan lakukan ganguan seksual

IPOH, 18 MEI: Anggota Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan yang dihadapinya kerana melakukan gangguan seksual ke atas seorang wanita.

Kesavan berkata, beliau akan memberi keterangan kepada pihak berkuasa dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan yang bakal dijalankan termasuk menyerahkan bukti berkaitan kepada polis.

Pada sidang media hari ini, Kesavan mengakui mengenali wanita itu sekitar tahun 2017 semasa mengendalikan kempen membantah pemindahan pengundi hantu ke kawasan Dewan Undangan Hutan Melintang semasa beliau menjadi ADUN kawasan itu.

“Saya dihubungi oleh wanita terbabit yang pada ketika itu memaklumkan mahu membantu kempen saya bagi menghalang pemindahan pengundi hantu ke kawasan DUN Hutan Melintang.

“Saya menerima tawaran bantuan itu dengan terbuka kerana dia mahu menjadi seorang sukarelawan yang mahu membantu kempen saya, seperti juga ramai sukarelawan parti yang lain,” katanya.

Jelas Kesavan, lama kelamaan, wanita itu mulai campur tangan dalam hal rumahtangga dan memburuk-burukkan isterinya.

“Menjelang September 2018, saya mula menjadi kurang selesa dengan kelakuan wanita berkenaan yang mula berubah dari seorang yang mengaku mahu menjadi kawan, kepada seorang yang mula mempunyai perasaan terhadap saya.

“Sejak beberapa bulan lepas, dia mula mengaku bahawa dia pembantu khas saya. Dia menelefon pegawai-pegawai kerajaan (termasuk Penolong Pegawai Daerah) dan memberi arahan bagi pihak saya, yang tidak disenangi pegawai-pegawai kerajaan,” katanya.

Menjelas lebih lanjut, Kesavan berkata, kerana enggan memalukan wanita berkenaan yang sudah mempunyai suami dan dua anak, beliau tidak mahu membesarkan hal itu.

Katanya, selepas berbincang dengan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, beliau membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Sungai Siput pada 4 Mei lepas.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bekas pembantu ahli Parlimen dakwa terima gangguan seksual

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Polis mengesahkan menerima laporan daripada bekas pembantu seorang ahli Parlimen di Perak yang mendakwa diganggu secara seksual oleh ahli Parlimen itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan itu yang dibuat di Selangor tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya sahkan yang polis terima laporan berhubung kes ini dan siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya.

Media tempatan semalam melaporkan bekas pembantu ahli Parlimen itu membuat laporan polis bahawa beliau diganggu secara seksual.

Laporan itu turut menyebut wanita itu mendakwa ahli Parlimen berkenaan menunjukkan buku ‘Kamasutra’ serta gambar lucah kepadanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tapis pemohon pekerja elak ganguan seksual kanak-kanak

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Individu memohon pekerjaan melibatkan kanak-kanak perlu diwajibkan melalui tapisan penilaian bagi mengelakkan gejala seksual berlarutan.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, pendedahan identiti pesalah kepada umum semata-mata tidak memberikan penyelesaian mutlak.

“Kita perlu melakukan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden ini berulang.

“Pelbagai kejadian seksual dilaporkan melibatkan guru dan kanak-kanak sekolah.

“Adalah penting untuk membuat pemeriksaan pra-pekerjaan dan pemeriksaan polis bagi guru, sukarelawan dan mereka yang bekerja atau mempunyai akses dengan kanak-kanak,” katanya.

Charles berkata, Timbalan Ketua Unit Penyiasatan Seksual (D11) Bukit Aman, Tan Gee Soon dilaporkan berkata, Malaysia di tangga ketiga di negara Asean untuk memiliki dan mengagihkan potnografi kanak-kanak.

Agensi berita Reuters turut melaporkan sebanyak 12,987 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan kepada antara Januari 2012 dan Julai 2017.

Daripada jumlah itu, 2,189 kes dibawa untuk pendakwaan dengan hanya melibatkan 40 sabitan.