Categories
AGENSI SELANGOR

Polis tumpaskan sindiket dadah rumah setinggan, tahan lapan individu

SHAH ALAM, 17 NOV: Polis merampas 40.3 kilogram ganja bernilai RM117,009 selepas menyerbu sebuah rumah setinggan di Jalan Melawis, Klang minggu lalu.

Ketua polis daerah Klang Selatan memaklumkan pihaknya turut menahan lapan lelaki tempatan berusia 21 hingga 49 tahun dipercayai ahli sindiket berkenaan.

“Ketika serbuan, tiga suspek berada di hadapan manakala lima lagi dalam rumah. Dadah ditemui dalam tong ikan yang dibungkus kecil serta berbalut plastik hitam,” kata Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli.

Bercakap dalam sidang media hari ini, beliau berkata rumah berkenaan dijadikan stor pembungkusan ganja sejak dua bulan lalu selain bekalan air serta elektrik disambung secara haram.

Shamsul Amar menjelaskan ganja berkenaan berkemungkinan baharu sahaja diperolehi sebelum dijual dalam bungkusan kecil berharga RM10 sepeket.

“Berdasarkan jumlah ganja yang dirampas, ia boleh dibekalkan kepada 10,000 penagih,” katanya menambah suspek direman hingga 19 November dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Categories
AGENDA NASIONAL

Doktor hospital kerajaan antara enam ditahan edar ganja

PETALING JAYA, 29 APRIL: Seorang doktor hospital kerajaan antara enam ditahan polis dipercayai terbabit pengedaran dadah di Taman Sri Manja di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata semua suspek lelaki berusia 26 hingga 30 tahun itu diberkas sekitar jam 10 malam.

Katanya, dalam serbuan berkenaan pihaknya menemui 11 paket plastik lut sinar berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja seberat 1.9 kilogram dengan nilai rampasan RM4,900.

“Hasil analisa rampasan dadah jenis ganja ini boleh dibekalkan kepada lebih 1,913 penagih. Turut dirampas wang tunai RM1,450 dan lima kenderaan dianggarkan bernilai RM139,500.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati lima daripada suspek positif dadah dan kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 5 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan 12 individu, rampas ganja RM2.16 juta

GEORGE TOWN, 15 NOV: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dari Laos selepas menahan 12 individu termasuk seorang wanita warga Laos dan merampas 865.7 kilogram (kg) ganja bernilai RM2.16 juta dalam lapan serbuan di Pulau Pinang dan Kedah, Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata dalam operasi bermula 12.15 tengah malam hingga 6.30 pagi itu, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 56 tahun yang juga dalang utama sindiket di sebuah premis di Jitra, Kedah.

Berikutan itu, polis kemudiannya menahan seorang wanita warga Laos berusia 40an di Bedong, Kedah yang dipercayai berperanan sebagai perantara bagi sindiket itu kerana dadah yang dibawa masuk dipercayai dari Laos melalui Thailand sebelum ke negara ini menggunakan jalan laut.

Dalam pada itu, Razarudin berkata menerusi serbuan pertama, polis menahan dua lelaki di kawasan Sungai Nibong di sini serta pemeriksaan dalam kereta yang dinaiki suspek menemukan 250 ketul ganja dipercayai baru diambil daripada sindiket pengedaran dadah dan mahu dihantar kepada pembeli.

“Berikutan itu polis menahan seorang lagi lelaki di Sungai Nibong sebelum menyerbu sebuah bengkel membaiki bot di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan dan menjumpai 622 ketulan dadah dipercayai ganja disembunyikan di situ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang berperanan sebagai penjaga bengkel berkenaan bagi memastikan semua dadah tersimpan dalam keadaan selamat.

“Polis kemudiannya menahan empat lagi lelaki di sekitar negeri ini yang merupakan nelayan serta ahli sindiket tersebut dan peranan mereka adalah membantu membawa masuk dadah melalui jalan laut ketika mereka menangkap ikan di perairan termasuk sempadan negara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Razarudin berkata susulan penahanan semua ahli sindiket pengedaran dadah yang mempunyai hubungan dengan rangkaian dadah antarabangsa itu, polis turut menyita enam buah kenderaan antaranya jenis BMW, Isuzu Dmax, Perodua Myvi dan Honda City dan bot fiber, enjin bot serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM280,752.

“Tiga daripada mereka yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah manakala empat lelaki positif dadah. Semua mereka kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 2.9 juta penagih,” katanya.

Menurut beliau, penutupan pintu sempadan Malaysia-Thailand berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyumbang kepada peningkatan rampasan dadah, manakala sindiket pula mengalih modus operandi penyeludupan menerusi jalan laut dengan menggunakan bot fiber atau nelayan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AADK: Kerajaan belum putus benar ganja dalam perubatan

SEREMBAN, 14 OKT: Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan membenarkan ganja digunakan bagi tujuan perubatan di negara ini, seperti mana yang telah dilakukan di negara lain, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata, pada masa ini undang-undang sedia ada iaitu Akta Dadah Berbahaya 1952, masih terpakai dan menjelaskan bahawa tidak ada lagi kajian yang diterima Kementerian Kesihatan yang menunjukkan ganja boleh dijadikan kajian perubatan, setakat ini.

“Kalau ada kaedah di bidang perubatan, maka pihak-pihak tertentu perlu membawa kepada Kementerian Kesihatan sebagai satu kuasa (authority) dan Kementerian Kesihatan akan menentu dan melakukan apa-apa kajian sebelum hendak menerima sesuatu produk itu sebagai bahan perubatan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Pemerkasaan Wanita Dalam Memerangi Dadah Peringkat Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut dihadiri, Pengarah AADK negeri, Dr Nazira Sadiron.

Sementara itu, Aminuddin berkata wanita turut berperanan dalam memerangi najis dadah memandangkan mereka merupakan orang yang paling hampir dengan anggota keluarga yang terjebak dadah.

“Oleh itu, wanita harus mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang sepatutnya supaya mereka mampu untuk menangani najis dadah ini.

“Penagih wanita di Negeri Sembilan setakat September lalu adalah seramai 125 penagih daripada 2,252 penagih iaitu sebanyak 4.8 peratus.

“Mengikut statistik AADK Negeri Sembilan, dadah jenis methamphetamine atau syabu adalah dadah yang sering digunakan oleh kebanyakan kes penagihan dalam kalangan wanita di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Dr Nazira dipilih untuk menerima Anugerah Inspirasi Wanita 2019 manakala Marziah Mohammad (Anugerah Wanita Hebat Kekal Pulih) serta Nur Ashikin A. Mutalib dan Suhailyna Sulaiman (Anugerah Sokongan Tiada Penghujung Kepulihan-Kategori Keluarga OKP).

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Guna ganja, Sofi Jikan diperintah bela diri

PETALING JAYA, 13 MEI: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan pelakon Sofi Jikan membela diri atas pertuduhan menggunakan dadah jenis ganja, pada tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membangkitkan kes prima facie, pada akhir pendakwaan.

Justeru, mahkamah kemudian menetapkan 28 Jun sebagai tarikh prosiding bela diri.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam bela Datuk Haniff Hassan.

Sofi, 48, atau nama sebenarnya Mohammad Shoffi Jikan memilih untuk memberi keterangan bersumpah di kandang saksi.

Bagaimanapun, Haniff juga memberitahu jika ada saksi tambahan, pihaknya akan memaklumkan kepada mahkamah.

Pada 13 Februari lalu, Soffi mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis THC (11 – nor delta-9 tetra hydrocannabinol -9) ke dalam badannya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya pukul 11.15 malam pada 6 Februari 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, dan diwajibkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun, jika sabit kesalahan.

—BERNAMA

Categories
SELANGOR

Tanam cili lebih baik daripada ganja – Khairuddin

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Mohd Khairuddin Othman menegaskan Kerajaan Negeri komited untuk memastikan anak muda di negeri ini tidak terbabit penyalahgunaan dadah.

EXCO Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan itu berkata, terdapat banyak lagi tanaman yang lebih berfaedah termasuk menanam cili berbanding penanaman ganja bagi tujuan perubatan.

Katanya, walaupun sebelum ini Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad menyebut penggunaan dadah dalam perubatan tetapi kini ia disalahgunakan.

“Remaja di Malaysia ini terlalu kreatif, orang beri mercun buat main bunga api hari raya dia buat meriam. Dalam soalan Ijok ada cakap bahawa dadah sebelum ini digunakan sebagai perubatan tetapi masa kini ia disalahgunakan.

“Saya ingin memberitahu Yang Berhormat, sekarang Yang Berhormat hidup dalam zaman ini, bukan zaman dahulu,” katanya ketika sesi penggulungan pembahasan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Beliau berkata, walaupun tidak menafikan kebaikan penggunaan bahan jenis ganja untuk perubatan namun peruntukan undang-undang jelas menyebut mengenai hukuman terhadap pihak yang didapati menanam pokok ganja.

Katanya, Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 secara jelas menyebut pihak yang menanam pokok ganja atau pokok yang boleh menghasilkan candu mentah boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan.

Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri mempunyai banyak program menangani masalah dadah menerusi perbincangan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) termasuk mengkaji untuk mengadakan program ganjaran dan pelaporan (reward and report).

“Kita mahu maklumat sampai kepada kita dan ada tindakan tegas terhadap penagih dadah ini.

“Selangor sehingga 2017 mempunyai seramai 2,305 penagih dadah dan masih dalam kawalan.

“Kita ingin kekal dalam nombor yang kita boleh kawal dan tidak mahu ada unsur yang boleh mendedahkan anak muda kita kepada dadah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Ganja: Tunggu masa KDN buat keputusan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MAC: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat keputusan sama ada membenarkan penanaman ganja spesis hemb untuk tujuan perubatan atau sebaliknya.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, ia selepas satu mesyuarat yang dihadiri beliau beberapa bulan lalu membabitkan beberapa pakar, Menteri-Menteri Persekutuan seperti Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertanian.

“Dalam mesyuarat itu, dibentangkan oleh pakar-pakar yang menganggarkan (hemb) mampu memberi pulangan 4 juta dolar Amerika Syarikat atau RM16 juta bagi setiap ekar setahun.

“Bagaimanapun ini melibatkan isu keselamatan. KDN pun sedia maklum perkara ini dan akan membuat keputusan sama ada membenarkan menanam hemb ini atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, orang ramai jangan terkeliru berikutan terdapat dua spesis dalam keluarga ganja atau nama saintifiknya kanabis iaitu spesis jantan yang dipanggil hemb dan spesis betina yang terkenal dengan nama marijuana.

Katanya, walaupun mempunyai rupa yang sama tetapi Marijuana mampu membuat seseorang khayal berbanding hemb tidak memberi kesan khayal.