Categories
AGENSI SELANGOR

Ajaran sesat gerakan akhir zaman, Jais pantau penyebaran

SHAH ALAM, 27 JAN : Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memantau penyebaran ajaran sesat Gerakan Akhir Zaman (Gaza) yang didakwa mula disebarkan di negara ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata setakat ini Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) belum menerima sebarang aduan berhubung perkara itu di negeri ini.

“Ajaran sesat di Selangor banyak ia sentiasa berkembang dari satu masa ke satu masa. Ajaran sesar Gaza ini mungkin baharu atau datang daripada ajaran lama sebelum ini.

“Kita akan siasat perkara ini, saya sudah berbincang dengan pengarah Jais dan ketua polis negeri untuk menyiasat perkara, kemudian baru kita ambil tindakan susulan jika ada,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perutusan Pengerusi Mais dan Pelancaran Platform K-Guam di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sebelum ini, tular mengenai kumpulan berasal dari Indonesia yang diberi nama Gaza itu mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah dalam mimpinya.

Categories
AGENDA GLOBAL

Mercy Malaysia salur bekalan makanan, ubat kepada Gaza

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Mercy Malaysia telah menyalurkan bantuan kecemasan dan perubatan fasa pertama bernilai RM500,000 kepada penduduk Palestin selepas serangan awal rejim Zionis Israel di Masjid al-Aqsa pada awal bulan ini.

Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata antara bantuan kecemasan yang dihantar menerusi fasa pertama ialah ubatan-ubatan serta alat kesihatan dan pembedahan (termasuk rawatan rapi).

“Bantuan itu disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Palestin yang akan mengagihkannya kepada 33 hospital di Gaza yang terjejas,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Mercy Malaysia juga sudah mula mengagihkan bantuan makanan dan perkakasan isi rumah kepada 100 keluarga (daripada 1,200 keluarga) selain peralatan dapur, bantal, selimut dan mesin basuh kepada 50 keluarga lain. Penerima manfaat adalah antara 72,000 keluarga yang terkesan akibat serangan rejim Israel.

Bantuan lain yang sedang dijalankan melalui fasa pertama bantuan ke Palestin ialah menyediakan tempat tinggal sementara di Gaza dan Timur Baitulmaqdis, meneruskan program bekalan air bersih serta program bantuan psikososial khususnya kepada mangsa trauma.

Katanya penghantaran kedua bantuan pula masih dalam perjalanan kerana sekatan di sempadan Rafah (pintu masuk Gaza).

Mercy Malaysia telah menghulurkan bantuan di bumi Palestin sejak Perang Gaza (2008-2009) hingga kini, dalam situasi perang dan bukan perang.

Dr Ahmad Faizal berkata Mercy Malaysia menyifatkan gencatan senjata di Gaza yang dicapai antara beberapa pihak di Palestin dan Israel hari ini sebagai perkembangan positif yang akan membuka laluan bagi bantuan kemanusiaan ke wilayah konflik itu.

Beliau berkata gencatan senjata itu akan meredakan ketegangan di rantau Asia Barat serta mengelakkan lebih ramai orang awam terkorban di wilayah konflik terbabit.

Kabinet Keselamatan Israel pada Khamis bersetuju menghentikan serangan di Semenanjung Gaza yang dikepung dan menerima perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.

Gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 2 pagi Jumaat (2300GMT Khamis) dan dipersetujui selepas 11 hari Israel melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung. Mesir bertindak sebagai perantara.

Sejak 10 Mei lepas, seramai 232 rakyat Palestin termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia kutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang mengakibatkan kematian orang awam Palestin, termasuk kanak-kanak, kata Wisma Putra.

Menurut kenyataan kementerian itu, serangan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) adalah berlebihan dan tidak seimbang, selain daripada tidak mengendahkan langsung semua undang-undang antarabangsa.

“Malaysia teguh dengan pendiriannya membantah sekeras-sekerasnya kepongan berterusan ke atas Gaza yang merupakan hukuman kolektif dan mengakibatkan penderitaan dan kesusahan yang memeritkan kepada penduduk Gaza dan organisasi bantuan kemanusiaan di Semenanjung dan kawasan-kawasan lain di Wilayah Palestin yang diduduki Israel.

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan serius bagi mengakhiri pendudukan haram Israel dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka,” katanya.

Ia juga menggesa kesemua pihak menahan diri dan menghormati perjanjian gencatan senjata untuk mengelakkan lebih ramai lagi orang awam terkorban.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kontena bawa sumbangan rakyat Malaysia tiba di Palestin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 MEI: Empat kontena yang membawa sumbangan rakyat Malaysia untuk diagihkan kepada penduduk Gaza di Palestin, selamat tiba di wilayah itu, pada 26 Mei lalu.

Berita gembira itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Ahmad Sani Araby dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

“Alhamdulillah bantuan hasil infaq rakyat Malaysia yang mengamanahkan MAPIM untuk disampaikan kepada saudara Islam di Gaza, Palestin sedang giat diagihkan.

“Bantuan ini menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia sentiasa bersama dalam membela bumi yang dijajah oleh Israel,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut terharu apabila penduduk di Gaza melambaikan tangan serta berteriak kuat dengan menyebut ‘thank you’.

“Jelas terpampang kegembiraan mereka tatkala melihat bendera Malaysia dan Gaza dipasang bersama pada lori kontena yang membawa kotak bantuan makanan.

“Terima kasih rakyat Malaysia yang peduli ummah,” katanya.

Categories
NASIONAL

IMARET sasar kutip derma RM20,000 ‘Funds for Gaza’

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) menyasarkan kutipan derma sekurang-kurangnya RM20,000 untuk ‘Funds for Gaza’ fasa kedua kali ini.

Ketua Koordinator Pasukan Tindakan IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata, kutipan itu adalah usaha NGO berkenaan, terutama untuk membiayai pembelian bahan api bagi keperluan bekalan elektrik di hospital awam Gaza serta pembelian bahan perubatan.

Beliau berkata, inisiatif kutipan derma yang digerakkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Gaza itu akan berlangsung selama sebulan, bermula semalam.

“Wakil Kementerian Kesihatan Gaza sendiri datang berjumpa wakil kami merayu memohon bantuan awal tahun ini. Alhamdulillah derma fasa pertama dahulu dari IMARET (Februari hingga April), sebanyak RM30,000 telah dihantar sempena misi ‘Miles of Smiles’ minggu lalu,” katanya.

Beliau ditemui Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di sini, semalam.

Sumbangan boleh dibuat kepada IMARET (Funds for Gaza) menggunakan akaun CIMB 8600 703 709 atau hubungi Dr Ahmad Munawwar di talian 013-9861898 untuk maklumat lanjut.

– BERNAMA

Foto: BERNAMA Radio

 

Categories
GLOBAL

UNRWA: Gaza mungkin berdepan kekurangan makanan menjelang Jun

GAZA, 14 MEI: Lebih separuh daripada penduduk Semenanjung Gaza mungkin tidak mempunyai makanan mencukupi menjelang bulan Jun, kata Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

“Ketika umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadat puasa pada bulan Ramadan, lebih separuh daripada penduduk di Gaza bergantung kepada bantuan makanan yang disediakan komuniti antarabangsa,” kata UNRWA dalam satu kenyataan akhbar rasmi, lapor agensi berita China Xinhua.

UNRWA menyuarakan kebimbangannya bahawa jika ia boleh mengumpul dana tambahan sekurang-kurangnya US$60 juta menjelang Jun, keupayaan agensi itu untuk terus menyalurkan bantuan makanan kepada lebih sejuta pelarian Palestin di Gaza akan terjejas teruk.

Pada tahun 2000, terddapat kurang daripada 80,000 pelarian Palestin yang menerima bantuan UNRWA di Gaza, katanya.

UNRWA dibiayai hampir sepenuhnya oleh sumbangan dan bantuan kewangan secara sukarela, bagaimanapun, Amerika Syarikat membuat keputusan untuk menghentikan pembiayaan kepada agensi PBB itu sebelum rakyat Palestin meneruskan semula rundingan damai dengan Israel.

Terdahulu pada hari sama, Nickolay Mladenov, utusan perdamaian PBB ke Timur Tengah, menggesa rakyat Israel dan Palestin untuk menstabilkan persefahaman gencatan senjata yang ditaja oleh Mesir, PBB dan Qatar.

Gesaan Mladenov dibuat pada taklimat berita yang diadakan di selatan Gaza ketika beliau memeriksa projek tenaga solar yang dibiayai Pertubuhan Kesihatan Sedunia di sebuah hospital di bandar Khan Younis.

“Kami berharap semua pihak akan mematuhi gencatan senjata ini supaya pelaksanaan projek bantuan kemanusiaan dapat diteruskan,” katanya kepada pemberita.

“Kami memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk Pihak Berkuasa Palestin, rakyat Mesir dan rakyat Israel, bagi memperbaiki kehidupan penduduk Palestin di Gaza supaya mereka mempunyai harapan untuk masa depan yang lebih baik,” kata pegawai PBB itu.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Seorang maut, 30 cedera di Semenanjung Gaza

 

GAZA, 11 MEI: Sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan Palestin terbunuh dan 30 yang lain cedera pada Jumaat semasa bertempur dengan tentera Israel yang ditempatkan di sempadan antara Semenanjung Gaza dan Israel, lapor agensi berita Xinhua.

Jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, Ashraf al-Qedra, memberitahu pemberita mangsa Abdulla Abdel Aal, 24, dari bandar Rafah meninggal dunia akibat kecedraan parah di perut selepas ditembak tentera Israel.

Sementara itu, katanya semua mangsa yang cedera termasuk anggota paramedik hanya mengalami luka ringan.

Pada Jumaat petang ratusan penunjuk perasaan Palestin menuju ke kawasan antara timur Gaza dan Israel sebagai protes terhadap pelan damai yang akan diumumkan Amerika Syarikat.

Terdahulu, kementerian itu berkata tentera Israel membunuh kira-kira 304 rakyat Palestin dan mencederakan 17,301 yang lain, termasuk 3,544 kanak-kanak dan 1,168 wanita, dalam perhimpunan mingguan Gerakan Pulang Besar-besaran atau Great March of Return.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Tindakan Israel biadap – Mufti Wilayah Persekutuan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 MEI: Tindakan tentera Israel menyerang penduduk Gaza dengan bedilan peluru ketika ambang Ramadan dianggap biadap, kata Mufti Wilayah Persekutuan.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia merupakan tindakan terkutuk, biadap dan tidak boleh diterima oleh umat Islam.

“Kami berdoa dan bermunajat kepada ALLAH SWT semoga diberikan kekuatan dan ketabahan kepada penduduk Gaza. Semoga kabus hitam ini berlalu pergi,” katanya menerusi catatan di instagramnya, hari ini.

Sementara itu, AFP melaporkan seramai 23 maut, iaitu masing-masing 19 rakyat Palestin dan empat penduduk Israel, dalam beberapa siri serangan roket yang dilancarkan tentera Israel dan pejuang di wilayah dikuasai Hamas.

“Secara keseluruhannya, 19 rakyat Palestin terkorban dalam serangan yang dilancarkan oleh tentera Israel ke wilayah berkenaan,” kata Kementerian Kesihatan wilayah itu.

Katanya, seorang wanita yang sarat mengandung dan bayi berusia empat bulan adalah antara mangsa yang maut dalam serangan itu.

Namun, tentera Israel enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan berkenaan.

Categories
GLOBAL

Israel larang bahan api, gas masuk Gaza

BAITULMAQDIS, 6 MEI: Pihak berkuasa Israel melarang bahan api dan gas dibawa masuk ke Semenanjung Gaza yang diduduki rejim zionis itu, berikutan peningkatan keganasan baru-baru ini, lapor agensi berita Anadolu.

“Semua import bahan api ke Semenanjung Gaza melalui Persatuan Kemanusiaan Kerem Shalom akan dihentikan,” kata Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah (Palestin) Mejar Jeneral Kamil Abu Rukun dalam satu kenyataan, semalam.

“Israel tidak akan membenarkan diesel dan petrol dibawa masuk ke Semenanjung Gaza melalui persimpangan Kerem Shalom esok,” kata pegawai Israel itu.

Katanya, langkah itu diambil sebagai tindak balas terhadap bedilan roket dan peluru mortar yang disasarkan kepada pihak Israel.

Sejak Sabtu, 25 Palestin termasuk dua wanita hamil dan dua bayi terkorban, manakala lebih 100 yang lain cedera akibat serangan udara Israel.

Keganasan memuncak di semenanjung itu apabila empat Palestin termasuk seorang remaja terbunuh dan 51 orang cedera selepas tentera Israel menyerang kubu Hamas pada Jumaat.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Israel cuba musnahkan masjid di Gaza – MAPIM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 MAC : Tentera Israel cuba memusnahkan masjid di Gaza, itulah berita yang dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Ahmad Sani Araby.

Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila masjid berkenaan adalah masjid sementara yang dibina selepas masjid asal musnah diserang tentera Zionis.

“Masjid Umar Abdul Aziz yang dibina MAPIM di Beit Hanun, Gaza telah dibom dan dimusnahkan.

“Kemudiannya penduduk membina masjid sementara bagi membolehkan penduduk Palestin menunaikan solat Jumaat.

“Tetapi akhirnya masjid iu juga cuba dimusnahkan. Zionis ingat kita akan berputus asa tapi sebaliknya, semua ini hanya akan menguatkan hati sukarelawan untuk terus membela bumi Gaza,” katanya.

Sani berkata, serangan itu adalah rentetan daripada ulangtahun pertama perarakan aman ‘The Great Return March’ oleh tentera Zionis pada Sabtu lalu, dengan berhimpun di sempadan Gaza.

Katanya, perarakan itu mengumpulkan kereta kebal selain meletakkan penembak tepat untuk berdepan dengan kanak-kanak Palestin.

“Mereka turut menyiapkan puluhan dron pesawat tanpa juruterbang dan kereta berperisai untuk berdepan wanita Palestin,” katanya.

Pada masa sama, MAPIM masih memerlukan RM3 juta untuk Tabung Kilat Bantuan Kemanusiaan Gaza.

Bantuan berkenaan khusus bagi pembelian ubatan terdesak, makanan serta bantuan kepada mangsa serangan yang kehilangan keluarga dan rumah.

Categories
GLOBAL NASIONAL

Israel lancar serangan udara di Semenanjung Gaza

GAZA, 28 FEB: Jet pejuang Israel melancarkan satu serangan udara, di selatan Semenanjung Gaza, pada awal Khamis, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan saksi.

Serangan udara itu dilaporkan terkena sasaran milik Briged Ezzedine al-Qassam, sayap tentera Hamas, di barat Khan Yunis.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, kata saksi.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan Palestin belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Ketegangan semakin memuncak berhampiran pagar Gaza-Israel susulan perhimpunan berterusan penunjuk perasaan yang menuntut hak untuk pulang ke tanah tumpah darah mereka, di bumi asal Palestin.

Perhimpunan itu bertujuan memecahkan kepungan Israel/Mesir ke atas Semenanjung Gaza sejak berdekad lamanya.

Lebih 230 penunjuk perasaan Palestin mati syahid ekoran ditembak tentera Israel sejak perhimpunan Gaza bermula, pada 30 Mac 2018.

*Sumber: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Penduduk Gaza siap sedia hadapi situasi terburuk

GAZA 14, NOV: Serangan Israel di bandar ini menyebabkan penduduk Palestin tidak senang duduk sepanjang malam tertanya-tanya jika satu lagi perang dahsyat sedang bermula, sementara ribuan rakyat Israel berlindung daripada serangan roket.

“Apa yang berlaku seperti gempa bumi. Seperti yang anda lihat, tiada lagi kedai runcit, farmasi, pejabat, dinding dan bangunan,” kata Abu Ayman Lemzeni yang tinggal berdekatan bangunan Al Aqsa TV milik Hamas di bandar ini musnah akibat serangan Israel.

“Kanak-kanak ketakutan. Kami tidak dapat tidur malam tadi atau pagi ini,” kata penduduk Gaza, Jamal Murtaja.

Ramai kesuntukan masa untuk berpindah dan mendapati diri mereka di jalanan berikutan ketiadaan pusat perlindungan selamat.

“Sebaik kami melihat peluru berpandu, kami lari ke dalam rumah. Kami orang awam. Kami tiada senapang atau roket,” kata Mohammed Aboud yang tinggal berhampiran bekas bangunan Al-Amal Hotel.

Hanya 20 kilometer dari situ, di sebelah pagar dikawal ketat Israel, lebih 128,000 penduduk di bandar tepi laut Israel di Ashkelon menghabiskan malam dalam serangan roket. Ada yang berlindung di pusat perlindungan.

Pihak berkuasa Israel mengarahkan penutupan sekolah dan tadika dan banyak jalan raya lengang.

Di bandar ini, sejumlah bangunan musnah dalam perang terakhir dengan Israel pada 2014 masih tidak dibina semula.

Jalanan di Bandar Gaza, biasanya sibuk dan bising, lengang pagi semalam.

“Kami belum lupa perang terakhir pada 2014. Rakyat lelah dengan perang. Cukup-cukuplah,” kata Mohamed Bulbul yang tinggal di bahagian selatan bandar itu.

Sementara itu, kedua-dua pihak menghentikan serangan jam 5 petang semalam susulan usaha pengantaraan Mesir, membawa keadaan tenang di barisan hadapan Gaza selepas serangan roket dan udara besar-besaran sejak perang 2014.

Seorang pegawai Palestin yang memberi taklimat berkaitan rundingan berkata, pihak Gaza menghentikan serangan sebagai sebahagian perjanjian dicadangkan Mesir. Pihak berkuasa Israel mengesahkan, Kaherah terbabit dalam perjanjian semalam.

Sejak Isnin lalu, serangan udara Israel mengorbankan tujuh penduduk Palestin, sekurang-kurangnya lima daripadanya pejuang dan memusnahkan beberapa bangunan digunakan pemerintah Islam, Hamas.

SUMBER: AFP/Reuters