Categories
ADN SELANGOR

Warga emas rosak saraf kaki, tidur luar kedai dobi dibantu ADN Kampung Tunku

SHAH ALAM, 24 FEB: Nasib seorang warga emas yang hidup dalam kedaifan hingga terpaksa tidur di luar kedai dobi di SS2 Petaling Jaya mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku.

Menurut Lim Yi Wei, gelandangan berusia 62 tahun itu dibawa ke Rumah Orang-Orang Tua Seri Setia di Kampung Baru Sungai Way kelmarin supaya mendapat penjagaan rapi.

Beliau berkata warga emas itu turut dibawa membuat saringan ujian pantas antigen (RTK) dan polimerase masa nyata (PCR) sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kami juga mendapati beliau mengalami kerosakan saraf pada kaki menyebabkan pergerakannya tersentak-sentak dan tidak stabil. Kami menyewa sebuah bilik di hotel bajet untuknya.

“Selepas disahkan negatif Covid-19, kami membawanya pula untuk menjalani ujian darah dan air kencing,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Yi Wei menambah lelaki terbabit kemudian dibawa ke pusat pemberian vaksin di Paradigm Mall bagi mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Semasa memapah pakcik ke klinik dan lokasi-lokasi lain, saya terkenang mendiang datuk dan nenek saya. Semoga pakcik hidup lebih baik bawah penjagaan warga Sungai Way,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

138 gelandangan Pelabuhan Klang dapat suntikan vaksin

SHAH ALAM, 20 SEPT: Seramai 138 gelandangan sekitar Pelabuhan Klang menerima suntikan vaksin jenis CanSino melalui program Vaksinasi Komuniti Gelandangan semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkata suntikan di Klinik Kesihatan Pelabuhan Klang bagi memastikan tiada penduduk tercicir daripada menerima pelalian.

“Ini merupakan inisiatif majlis dalam memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima pelalian selain langkah mencapai imuniti kelompok serta menjadikan Klang bebas Covid-19.

“Mulanya kita hanya sasar 70 individu sahaja namun sambutan daripada golongan ini menggalakkan dengan 138 orang dapat disuntik,” kata Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dalam kenyataan.

Beliau berkata kerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Pertubuhan Komuniti Sahabat Harmoni menjadikan MPK antara pihak berkuasa tempatan terawal melaksanakan inisiatif itu.

Ahmad Fadzli berkata kerjasama pelbagai agensi dan jabatan dibuat berikutan beberapa masalah membabitkan status kesihatan gelandangan dan dokumen pengenalan diri.

“Sepanjang program berlangsung, petugas dan sukarelawan berdepan macam-macam cabaran. Terima kasih kepada semua pihak yang komited sejak perancangan aktiviti ini,” katanya.

Program itu turut disertai Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri dan Ahli Majlis MPK Puspavali Mahalinggam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan 25 gelandangan disyaki terlibat dadah

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Polis menahan 25 gelandangan termasuk seorang wanita berumur antara 20 dan 61 tahun yang disyaki terbabit dengan pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam pemeriksaan narkotik di flat kawasan Jalan San Peng di sini, pada kira-kira pukul 7 pagi, tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata dua daripada suspek lelaki itu ditahan selama 60 hari di lokap Balai Dang Wangi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya 1985 kerana disyaki pengedar dadah.

Dalam satu kenyataan di sini semalam, beliau berkata polis turut merampas 13 paket plastik lutsinar disyaki mengandungi heroin seberat 23.9 gram, dan tiga paket plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja yang dianggarkan seberat lima gram.

Menurutnya, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Sementara itu, Mohamad Zainal berkata polis menahan dua wanita disyaki pelacur warga Thailand, seorang disyaki pelacur dari Uganda, dan seorang wanita Bangladesh yang menjadi ‘penjaga’ tempat pelacuran itu, dalam serbuan Ops Noda di sebuah hotel di Jalan Nagasari di sini, kira-kira pukul 5 petang kelmarin.

Katanya, kesemua suspek yang berumur antara 20 dan 50 tahun ditahan reman sehingga 17 April bagi membantu siasatan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

DBKL selamatkan 140 gelandangan sekitar ibu kota

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Seramai 140 gelandangan di sekitar ibu kota diselamatkan dan ditempatkan sementara di dua pusat sementara gelandangan (PSG) di Sentul Perdana dan Setiawangsa, di sini malam tadi, dalam usaha membendung penularan Covid-19 sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah berkata mereka dijangka ditempatkan di pusat itu hingga penghujung Februari ini sebelum dibawa ke Pusat Transformasi Gelandangan di Taman Desa (tapak bekas Desa Water Park) pada awal Mac dan dibantu mendapatkan pekerjaan.

“Di sini, mereka akan diberi latihan kemahiran supaya mereka boleh mendapat pekerjaan tetap bagi menyara hidup. Antara latihan yang dirancang adalah menjalankan pertanian bandar dan kemahiran lain yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malam tadi, Mahadi meluangkan masa menyertai operasi menyelamatkan gelandangan yang melibatkan 95 anggota penguatkuasa daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Imigresen.

Pada masa sama, Mahadi berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mencari penyelesaian menyeluruh untuk menangani isu gelandangan itu termasuk dengan menyediakan tempat perlindungan bagi mereka.

“Satu program yang lebih tersusun sedang dirangka bagi memudahkan pengurusan dari sudut pengagihan makanan kepada golongan ini oleh badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian.

“Sistem pengagihan makanan pada ketika ini dilihat tidak lagi sesuai dilakukan di pusat bandar raya kerana ia menyebabkan kesesakan lalu lintas dan meninggalkan kesan negatif dari aspek pengurusan perbandaran,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
RENCANA WAWANCARA

Masih ada sinar harapan untuk gelandangan bandar

Oleh Shanika AbdulLatib

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Di sebalik kegawatan penularan wabak Covid-19, jelas terpancar rasa gembira pada wajah 166 orang gelandangan yang selama ini hidup tanpa arah tujuan termasuk merempat di kota metropolitan Kuala Lumpur ini.

Mereka kini boleh berdikari menerusi program​ khas​​ ​penempatan pekerjaan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama ​K​ementeria​n Wilayah Persekutuan​, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Lumpur dan 19 agensi lain.

Program tersebut dilaksanakan selepas gelandangan ini “diselamatkan” dalam operasi DBKL di beberapa kawasan termasuk sekitar Masjid India, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Bangkok Bank semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas.

Setakat ini, seramai 70 daripada 166 orang gelandangan itu sudah mula bertugas di tujuh buah syarikat termasuk McDonald’s, Jaya Grocer dan Tesco.

Sementara 96 orang yang lain akan mengikuti program khas Projek Pembungkusan Sarung Tangan oleh Syarikat Top Glove Corporation Bhd. Program ini akan dilaksanakan di Pusat Transit Gelandangan, Jalan Ampang dan Anjung Singgah, Jalan Hang Lekiu (pusat bandar Kuala Lumpur).

Setakat April lepas, DBKL menyelamatkan 864 gelandangan dan menempatkan mereka di 12 pusat komuniti dan dewan serbaguna yang dijadikan penempatan sementara.

Majlis Perbandaran Klang melakukan operasi mencari dan memujuk gelandangan bagi melakukan saringan Covid-19. Foto Facebook MPK

Gelandangan dapat dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu penagih dadah, pesakit mental, pekerja yang tiada tempat tinggal dan juga penganggur yang tiada kediaman.

Sememangnya nasib baik gelandangan ini amat melegakan namun persoalannya, apakah ia akan berterusan selepas PKP nanti?

Pelbagai kerisauan

Walaupun Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan bahawa ​800 ​gelandangan​ yang diselamatkan sepanjang tempoh PKP​ akan ditawarkan bekerja di sektor perkilangan atau pekerja am bagi memastikan golongan itu tidak kembali merempat selepas tamat tempoh PKP, ia masih menimbulkan pelbagai kerisauan.

Paling utama, sejauh mana peluang gelandangan ini, terutama wanita akan ​mendapat pekerjaan memandangkan prospek ekonomi Malaysia diramal suram pasca pandemik Covid-19. Sebanyak 93 peratus syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka berdepan perniagaan tidak stabil dalam tempoh enam bulan​ akan datang.

Ini kerana gelandangan juga terpaksa bersaing dengan mereka yang diberhentikan atau kehilangan pekerjaan.

Menurut laporan media tempatan, pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu untuk membendung penularan wabak Covid-19 memberi impak besar kepada lebih 650,000 majikan di seluruh negara yang kedudukan mereka diibaratkan bagai telur di hujung tanduk. Sekurang-kurangnya juga 15,000 orang pekerja swasta sudah diberhentikan sejak Mac lalu.

​Tidak menolak kemungkinan jumlah gelandangan akan bertambah dalam fasa pemulihan Covid-19 di samping keadaan mereka khususnya gelandangan wanita tidak akan lebih baik apabila PKP berakhir nanti, Profesor Madya di Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rohaiza Rokis​ ​bagaimanapun menjelaskan ia semua bergantung kepada sikap gelandangan itu sendiri.

“Pertambahan atau pengurangan jumlah gelandangan ini turut bergantung kepada sektor​ pekerjaan yang dipilih​. Jika ia ​melibatkan sektor seperti pembersihan, m​u​ngk​i​n gelandangan wanita tetap ada peluang pekerjaan dan mendapat gaji tetap untuk ​mereka meneruskan kehidupan.

“Apa yang penting, jika golongan ini bena​r-benar​ ingin berubah k​e​p​a​da kehidupa​n yang​ lebih baik​, mereka jangan memilih kerja,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Cabaran kerajaan

Pengalaman ditindas serta dimanipulasi oleh dalang atau sindiket mengupah gelandangan ​juga akan menjadi antara cabaran pihak kerajaan untuk memastikan golongan ini kekal bekerja walaupun ditawarkan gaji yang antara RM1,200 dan RM1,400.

Menurut Rohaiza, ada sindiket yang menjadikan gelandangan wanita yang bekerja dalam sektor pembersihan, warga emas dan mereka yang sukar mencari pekerjaan di pasaran buruh formal sebagai sasaran untuk dimanipulasi dengan pilihan pekerjaan yang terhad serta bekerja berjam-jam dengan gaji rendah​.

“Pada masa yang sama, kewujudan stigma terhadap mereka yang kehilangan tempat tinggal sering mengakibatkan golongan ini berdepan dengan diskriminasi untuk mendapat tawaran pekerjaan, sedangkan gelandangan ini mungkin bekas pekerja profesional yang mencari pekerjaan di pasaran buruh secara formal,” katanya.

Rohaiza menambah, terdapat pelbagai faktor mengapa seseorang itu memilih untuk menjadi gelandangan.

Malah ada kajian turut mendapati situasi ini boleh berlaku akibat krisis jangka panjang atau pendek, yang sekaligus menyebabkan seseorang itu lebih selesa untuk terus menjalani kehidupan demikian.

Beliau menjelaskan, krisis jangka pendek meliputi isu pengusiran dari kediaman asal, kehilangan pekerjaan, ketidakstabilan kewangan sementara atau bencana alam.

Jenis gelandangan ini bersifat sementara dan biasanya dapat diselesaikan dengan bimbingan, bantuan dan sokongan.

Namun yang lebih merisaukan ialah melibatkan krisis jangka panjang, di mana mereka akan terus menjadi gelandangan hampir seumur hidup mereka.

“Bagi gelandangan wanita, kehilangan tempat tinggal sering disebabkan oleh hubungan yang terputus dan dikaitkan dengan trauma yang berulang seperti serangan pasangan, keganasan rumah tangga dan penolakan keluarga sendiri,” tambahnya.

Pun begitu, Rohaiza tidak menolak tanggapan bahawa gelandangan wanita lebih mudah untuk dipulihkan jika program latihan pekerjaan untuk wanita diberikan secara konsisten.

“Program motivasi diri untuk mereka agar bersedia menerima tanggungjawab dengan bekerja demi kelangsungan diri juga perlu diberikan dari semasa ke semasa. Dalam masa yang sama, masyarakat perlu membuka lebih banyak ruang melibatkan anak-anak gelandangan ini.

“Wanita yang tiada tempat tinggal sering menghadapi kesukaran untuk membesarkan anak mereka tanpa sumber pendapatan tetap. Oleh itu, jika masyarakat dapat menaja anak-anak mereka untuk pendidikan, ia akan mengubah hidup gelandangan ini,” jelasnya.

Selesa menjadi gelandangan

​Bagi​ Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa’ad​, ​ banyak aspek yang perlu diteliti dalam usaha memulihkan kehidupan gelandangan agar dapat berdikari dan hidup di tengah-tengah masyarakat.

Diakui, gelandangan ini boleh kembali ke dalam masyarakat, dengan syarat ada pekerjaan dan gelandangan wanita ini boleh bekerja namun jangan terkejut jika mereka kembali menjadi gelandangan ‘secara sambilan’ disebabkan keputusan wang.

“Perkara ini biasa berlaku dan ia akan terus berulang kerana ada antara mereka yang sudah terlalu lama berada di jalanan,” katanya.

Fauziah menjelaskan ada juga gelandangan wanita yang tidak berminat malah enggan menetap di pusat transit yang disediakan kerajaan kerana bimbang anak mereka diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Untuk makan, mereka tidak bimbang sebab selalu akan ada yang memberi. Untuk keselamatan, mereka selalunya akan jaga antara satu sama lain malah tidur beramai-ramai bagi mengelakkan daripada dirogol, diganggu penagih dadah atau dirompak.

“Bagi yang pernah dirogol dan akhirnya menjadi gelandangan, mereka ini tidak kisah untuk menjadi pelacur sebab perlukan duit bagi kelangsungan hidup walaupun sedar risiko keselamatan da​​n kesihatan yang akan dihadapi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong kurnia sumbangan pada komuniti gelandangan

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada komuniti gelandangan di Pusat Penempatan Gelandangan Desa Tasik Cheras di sini.

Pemberian sumbangan yang disempurnakan Al-Sultan Abdullah bersempena Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia.

Ini aktiviti pertama Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat hadir, yang diadakan di luar Istana Negara, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada 11 pagi disambut Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Seramai 49 gelandangan menerima sumbangan berbentuk barang keperluan harian dan wang tunai pada majlis itu yang berlangsung mengikuti tatacara kebiasaan baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke majlis itu mencerminkan keperibadian tinggi menyantuni golongan gelandangan di Kuala Lumpur.

“(Ia juga mencerminkan) keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap golongan ini yang memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis itu dianjurkan bersama oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah untuk membantu golongan berkenaan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lebih 6,000 gelandangan daftar masuk ke Anjung Singgah

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Seramai 6,936 gelandangan mendaftar masuk secara sukarela ke lima buah fasiliti Anjung Singgah, di seluruh negara sejak ditubuhkan, pada 2011.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, daripada jumlah itu, seramai 5,022 orang sudah mendapat padanan kerjaya.

“Penekanan dalam aspek kaunseling, bimbingan dan motivasi dilaksanakan kepada penghuni bagi meningkatkan daya tahan dan daya juang dalam mengharungi cabaran kehidupan serta memangkin perubahan sikap juga tingkah laku,” katanya.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PAKATAN-Ledang) berhubung usaha kementerian dalam menangani dan memberi bantuan kepada gelandangan.

Pada masa sama, Yeoh berkata, sebanyak 799 gelandangan direkodkan di sekitar ibu negara, sehingga tahun lalu.

“Fokus kita untuk memberi mereka kerjaya dan dari Januari hingga Mac tahun ini di Anjung Singgah Kuala Lumpur, 67 orang sudah didaftar masuk dengan 38 orang mendapat padanan kerja, iaitu peratus kejayaan ialah 56.72 peratus,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkenaan jumlah gelandangan dan cerita kejayaan hasil program membantu golongan berkenaan.

Anjung Singgah adalah pusat khidmat bantuan sosial yang ditubuhkan sebagai tempat perlindungan sementara bagi golongan itu yang tidak memiliki tempat tinggal dan pekerjaan tetap. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerabat Selangor cemar duli bantu gelandangan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 JUN: Status diraja tidak menghalang kerabat diraja Selangor mencemar duli turun padang membantu golongan memerlukan bagi kerja khidmat komuniti.

WhatsApp Image 2017-06-25 at 12.08.09Berkongsi pengalaman itu di Instagram, Tengku Puteri Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan khidmat bakti itu dilaksanakan bagi memastikan rakyat yang memerlukan terus dibantu dan diraikan Syawal ini.

“Kami kerabat Selangor terpanggil untuk melakukan pengalaman berharga kepada komuniti dengan memberikan bantuan makanan dan kelengkapan raya kepada golongan gelandangan.

“Tentunya pengalaman berharga ini tidak kesampaian tanpa kerjasama baik @kecharasoupkitchen juga penghargaan kepada Segi Fresh yang sudi menaja kelengkapan tajaan bagi program ini,” titah baginda.

Khidmat komuniti itu turut disertai Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah yang berkenan mencemar duli menyantuni golongan gelandangan, di ibu kota.

Selangorkini difahamkan, sebanyak 1,200 edaran makanan dan kelengkapan perayaan diagihkan kepada golongan gelandangan.

Categories
NASIONAL

Kiasan gelandangan “tak nak masuk barisan” kerana GST mencuit hati

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Reaksi seorang warga miskin bandar ketika dipelawa rakannya untuk mencelah di barisan hadapan berjaya mencuri perhatian wartawan Selangor Kini yang sedang membuat liputan program Dapur Jalanan baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku ketika kira-kira 150 orang warga miskin bandar sedang beratur untuk mengambil makanan dalam program mingguan Dapur Jalanan di Jalan Panggung.

Dapur Jalanan UNISEL (6)Warga miskin terbabit dengan bersahaja membalas pelawaan rakannya itu dengan kiasan yang dipercayai merujuk kepada Barisan Nasional (BN).

“Masuk ‘barisan’? Aku tak nak tetapi kalau beratur aku mahu,” kata lelaki yang enggan ditemuramah itu.

Apabila ditanya maksud sebenar jawapannya itu, lelaki berumur sekitar 40-an itu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindak-tanduk kerajaan dalam beberapa isu.

“BN ni tak tahulah hati perutnya macam mana, kami tidur di bangku pun tak dibaginya, jadi kesalahan pulak.

“Dahlah harga barang semua dah mahal sekarang tambah lagi pula cukai baru.

“Bayangkan orang seperti kami kena bayar cukai. Macam-macam hal BN ni,” kata lelaki terbabit dipercayai merujuk kepada perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April nanti.

Golongan miskin bandar tidak berumah atau dikenali sebagai gelandangan juga tidak terkecuali dikenakan GST.

Kebanyakkan mereka yang menyara kehidupan dengan mengambil upah di kedai makan, menjaga parkir, menjual barangan lusuh, mencuci kereta, meminta sedekah dan lain-lain secara purata memiliki pendapatan kurang RM800 sebulan.

EZY

Gelandangan bukan sampah untuk dibuang tetapi daif perlu sokongan

Akademi Belia menemukan Dapur Jalanan, Lawyers for Liberty dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencerakinkan isu gelandangan dalam bentuk yang lebih mudah difahami

Categories
NASIONAL

Gelandangan tidak dapat diatasi kerana Kerajaan tidak faham isu

Oleh NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 OKT: Kerajaan tidak mampu menangani isu gelandangan dengan berkesan kerana gagal memahami isu sebenar yang dihadapi golongan itu.

Malah, pihak berkuasa masih menggunakan Akta Papa 1977 yang dianggap tidak lagi releven ketika ini, menurut aktivis dan peguam dalam forum bertajuk ‘Gelandangan: Isu, penyelesaian dan masa depan’ anjuran Akademi Belia di Kuala Lumpur, semalam.

Peguam dan koordinator Lawyers for Liberty (LFL), Michelle Yesudas berkata Akta Papa 1977 perlu dimansuhka kerana tidak membela nasib golongan gelandangan.

Katanya, golongan gelandangan dianggap seperti penjenayah kerana definisi akta itu menetapkan sesiapa sahaja berpeleseran di jalanan, berpakaian compang-camping dan tiada tempat tinggal ditangkap.

gelandangan

“Dari segi definisi, pelaksanaan dan penggunaan secara diskriminasi dalam akta itu sama seperti Akta Hasutan dan ISA (Akta Keselamatan dalam Negeri).

“Gelandangan dianggap penjenayah hanya sebab mereka tidak mampu menyara diri.

“Adakah pihak berkuasa boleh menangkap seseorang yang tidak mempunyai keupayaan untuk menyara diri dan adakah ia jalan terbaik untuk bawa pergi seseorang itu tanpa pilihan?” katanya.

Michelle berkata peruntukan dalam akta itu juga tidak munasabah kerana bersifat menekan dan memaksa tanpa sukarela.

“Sebab itu dari segi definisi pun kita tidak setuju dan pelaksanaan juga tidak bersetuju,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan penggunaan akta itu yang tidak mencerminkan keadaan sebenar struktur ekonomi semasa negara ketika ini.

Sementara itu, koordinator Dapur Jalanan, Hadi Khalid pula berpendapat isu lebih besar yang perlu dilihat adalah faktor kemiskinan khususnya selepas peralihan ekonomi negara daripada pertanian kepada perindustrian.

“Isu sebenar di sini adalah kemiskinan. Selagi ia tidak ditangani, perkara ini tidak akan selesai.

“Semasa kami bertemu dengan kementerian, kami bangkitkan mengenai isu kemiskinan iaitu mereka yang tidak mampu membeli rumah dan tidak mampu mendapat kerja tanpa pendapatan tetap,” katanya.

Hadi berkata, isu tangkapan dan pengusiran gelandangan sudah berlaku sejak 1980an di mana ketika berlaku peralihan dasar ekonomi negara.

“Isu ini timbul sejak 1980an, perpindahan warga luar bandar ini bermula semasa dasar ekonomi negara yang bertukar daripada pertanian kepada perindustrian.

“Kebanyakan warga yang tinggal di luar bandar dahulunya digalakkan dan dijanjikan rumah serta peluang pekerjaan untuk menetap di kota.

“Jadi pada awalnya mereka diberikan status peneroka bandar tapi selepas 1980an bermulanya operasi membersihkan setinggan ini,” katanya.

HM

Categories
BERITA UTAMA

Sepi si gelandangan di pagi Syawal

Oleh: NAZLI IBRAHIM

‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. La Illaha il Allah. Allahu Akbar, Allahu Akbar. Walilahil Hamd’, kedengaran sayup takbir raya yang dikumandangkan dari Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Di perhentian bas yang terletak betul-betul di hadapan Restoran Nasi Kandar Yassen di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, seorang lelaki tua berkopiah kusam duduk berlapikkan kotak sebagai alas tempat pembaringannya.

Lelaki tua itu termenung jauh sambil menghabiskan sisa bungkusan teh ais yang dibelikan seorang hamba Allah yang tidak dikenalinya.

pak long gelandanganJika sebelumnya lelaki tua yang lebih mesra dengan panggilan Pak Long leka ‘menguruskan’ parkir kenderaan pengunjung restoran itu, tetapi malam itu fikirannya kerap melayang terkenangkan memori kemeriahan hari raya bersama arwah isteri dan empat putera serta puteri kesayangannya.

Tangan kasarnya menyeka air mata yang meleleh di pipi sambil menyeluk saku kemeja lusuhnya lalu membelek-belek sekeping tiket bas perjalanan ke Melaka untuk hari esok. Hatinya berbelah bahagi antara mahu beraya di ibu kota atau pulang ke kampung halaman ‘bertemu’ isteri dan empat anaknya.

Beraya di kota bermakna dia akan kesepian dalam keriuhan kota tetapi beraya di kampung halaman bakal mengundang memori pahit kehilangan anak-anak dan isterinya.

Masih segar diingatan Pak Long kira-kira dua tahun lalu, yang membawa kepada episod penderitaannya iaitu tragedi kemalangan maut yang berlaku di Melaka dan turut menjadi titik perubahan hidupnya.

gelandanganKejadian itu berlaku dengan pantas apabila dengan sekelip mata sahaja Pak Long kehilangan isteri dan empat anak kesayangannya.

Pak Long ketika itu gagal mengawal perasaan dan idak dapat menerima ketentuan ke atas dirinya. Dia seakan-akan tidak percaya mengapa kejadian seperti itu boleh menimpanya dan bukannya orang lain.

Selepas kejadian itu, setiap hari Pak Long banyak menghabiskan masanya di tanah perkuburan yang menempatkan isteri dan anak-anaknya di dalam satu liang lahad itu.

Bukan setakat tidak menghiraukan makan dan minumnya, malahan hampir setiap malam Pak Long tidur di atas tanah merah pusara anak dan isterinya itu. Pujukan kakak dan saudara-mara tidak Pak Long hiraukan.

Akhirnya, selepas lebih sebulan Pak Long berumah dengan beratapkan langit dan berlantaikan tanah merah di perkuburan itu, dia mengalah. Tindakannya itu bukan sahaja tidak mampu merawat luka hati, tetapi menambahkan lagi keparahan yang sedia dialami.

20140704_230147 aSelepas itu dengan berbekalkan wang beberapa puluh ringgit dan beberapa helai baju, Pak Long meninggalkan kampung halamannya menuju ke ibu kota tanpa arah tujuan yang pasti.

Setibanya Pak Long di tengah kota metropolitan Kuala Lumpur, dia mulai hidup bergelandangan. Makan dan minumnya tidak menentu sekadar mengalas perut supaya tidak kelaparan. Tidurnya beralaskan kotak dan beratapkan bumbung kaki lima atau perhentian bas.

Sejak itu sedikit demi sedikit Pak Long mulai menerima qada’ dan qadar yang ditentukan Allah SWT terhadap dirinya. Sejak itu juga hidupnya juga semakin berubah. Walaupun hidupnya bergelandangan, Pak Long semakin mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Dalam kesunyian pagi 1 Syawal 1435, di kota raya Kuala Lumpur, Pak Long melangkah perlahan menuju ke Masjid Jamek untuk mengerjakan solat sunat Aidilfitri.

Ketika ini hatinya mulai berbunga. Dia sudah tidak sabar walaupun hari raya tidak lagi sama seperti dahulu, dia tetapi terbayangkan kemeriahan berhari raya di kampung halamannya.

Dia juga terbayangkan rumah yang sudah sekian lama ditinggalkannya, pusara isteri dan anak-anak tercintanya yang akan dikunjungi nanti.

-NFN-