Categories
AGENDA NASIONAL

Gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi dibuka kepada semua negara

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dibuka kepada semua pelancong tanpa dihadkan kepada mana-mana negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata langkah itu diambil susulan terdapat prosedur ketat yang akan dilaksanakan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 di pulau pelancongan itu.

“Prosedur ini termasuklah memastikan dia (pelancong) mesti datang menggunakan khidmat ejen pelancongan yang berdaftar dengan kementerian.

“Ejen ini yang akan mengatur semua perjalanan dan mereka tidak datang terus ke Langkawi secara peribadi. Ini mekanisme yang kita gunakan kerana kalau ada apa-apa terjadi seperti berlakunya kes, ejen itu yang akan bertanggungjawab,” kata beliau.

Nancy berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media mengenai sama ada kerajaan akan mengambil langkah sama seperti Singapura dan Thailand dalam mengehadkan kemasukan pelancong luar untuk ke negara mereka.

Beliau ditemui di Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan dan Sumbangan kepada 15 Badan Bukan Kerajaan dan 20 Penggiat Seni di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), di sini hari ini.

Nancy berkata gelembung pelancongan antarabangsa itu diperkenalkan bagi membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, kerajaan tidak boleh menunggu untuk tempoh lama bagi membuka sektor pelancongan kepada pelancong luar kerana ini akan menyebabkan ramai penduduk tempatan kehilangan pekerjaan perlu berfikir secara berilmiah dan munasabah supaya langkah yang diambil membawa kebaikan kepada semua.

“Pada masa sama, perkembangan di Langkawi ini akan menjadi model kepada kita untuk meneliti kelakuan (behaviour) pelancong dalam membantu membendung penularan Covid,” katanya.

Beliau berkata sejak pengumuman gelembung pelancongan itu baru-baru ini, banyak rumah inap desa di Langkawi telah menerima tempahan pelancong terutama dari Eropah.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dimulakan pada 15 Nov ini dengan pematuhan beberapa tatacara operasi piawai (SOP).

Kumpulan sasaran bagi gelembung pelancongan itu ialah pelancong berkualiti dan individu yang telah lengkap vaksinasi Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Pelancongan cadang buka Langkawi kepada pengunjung luar negara

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan kepada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi, dibuka kepada pengunjung daripada beberapa negara luar.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu bagi membolehkan Malaysia mengembangkan ekonomi yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

“Saya cadangkan dibuka (sempadan) kepada (pelancong) beberapa negara untuk Langkawi sahaja dahulu, (iaitu) projek rintis Langkawi, kita dengarlah dahulu pengumuman daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebab kita sudah buka ruang ini kepada pihak luar.

“Ini salah satu cara kita mengembangkan ekonomi kita,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ahmad Yahaya, yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membuka ruang pelancongan bagi projek berkenaan kepada negara luar, khususnya negara ASEAN.

Terdahulu, Nancy berkata dari 16 Sept hingga 12 Okt, seramai 85,921 pengunjung telah mengembara ke Langkawi menerusi gelembung pelancongan tersebut melalui pintu masuk udara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan pintu masuk laut.

Katanya berdasarkan maklum balas Persatuan Hotel Malaysia (MAH), kadar purata penginapan di premis penginapan pelancong ahli MAH di Langkawi bagi tempoh tujuh hari pertama bulan ini adalah 45 peratus bagi premis penginapan pelancong bertaraf empat hingga lima bintang, manakala 21 peratus premis bertaraf tiga bintang dan ke bawah.

Nancy berkata demikian bagi menjawab soalan asal Ahmad yang mahu tahu sejauh manakah sambutan pelancong tempatan ke Pulau Langkawi, selepas dibuka semula pada 16 Sept lepas serta masalah berbangkit sejak hari pembukaan sehingga kini.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Projek rintis Gelembung Pelancongan Langkawi mula tunjuk kejayaan

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Pulau Langkawi di Kedah, yang menjadi projek rintis Gelembung Pelancongan di negara ini, mula menunjukkan kejayaan sejak ia dibuka pada Khamis lepas apabila merekodkan kedatangan pelancong seramai 9,500 orang.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata setakat ini, tiada kes Covid-19 direkodkan dalam kalangan pelancong seperti dimaklumkan Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo baru-baru ini.

“Kita dapat melihat potensi di Pulau Langkawi yang menjadi model yang telah menunjukkan kejayaan.

“Secara umumnya, destinasi pelancongan lain terutama di kawasan seperti Genting Highlands dan Fraser Hills sudah menjangkau 100 peratus kadar vaksinasi lengkap dan mereka sudah bersedia untuk dibuka… Esok, insya-Allah akan diadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai pembukaan perjalanan pelancongan antara negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Malaysia Petang Ini bertajuk ‘Pelancongan Kebangkitan Industri’ yang disiarkan di Bernama TV hari ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum ini menyasarkan kira-kira 200,000 pelancong domestik berkunjung ke Langkawi dari 16 Sept hingga Disember 2021 selepas industri pelancongan pulau itu dibuka semula di bawah projek rintis gelembung pelancongan.

MOTAC juga menyasarkan kira-kira 30,000 pelancong berkunjung ke pulau peranginan itu sepanjang bulan September.

Nancy berkata pihaknya telah mengemukakan cadangan penggiat industri pelancongan kepada Kementerian Kewangan yang diharap akan menjadi panduan dalam pembentangan Belanjawan 2022.

“Jumaat lepas, MOTAC bersama dengan agensi dan penggiat industri pelancongan telah mengadakan perbincangan kelompok sasaran bersama Kementerian Kewangan dan MOTAC telah kemukakan apa yang telah dicadangkan penggiat industri dan nampaknya positif.

“Tujuan kita adalah untuk bantu rakyat. Insya-Allah apa yang telah kita kemukakan kepada Kementerian Kewangan akan didengar terutama sekali demi kepentingan industri kecil dan sederhana sebab mereka yang paling banyak terkesan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat lagi kes positif Covid-19 dikesan sebelum ke Langkawi

SHAH ALAM, 17 SEPT: Hari kedua gelembung pelancongan Langkawi merekodkan empat kes positif Covid-19 hasil saringan di pintu masuk udara dan laut pada hari ini.

Ketua pengarah kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu adalah daripada 3,454 pelancong yang disaring.

“Empat kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi. Sejumlah 3,454 orang pelancong telah berjaya disaring,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata empat kes itu masing-masing dikesan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (satu), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (satu) dan Jeti Kuala Perlis (dua).

Semalam, sebanyak lima kes Covid-19 dikesan menerusi saringan sebelum berlepas ke Pulau Langkawi melalui pintu masuk udara dan laut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kes dikesan melalui ujian RTK-Ag dan berada pada tahap satu iaitu tidak bergejala.

“Kes-kes ini telah diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Langkawi terima lebih 3,000 pelancong, hari pertama gelembung pelancongan

LANGKAWI, 16 SEPT: Selepas sekian lama ditutup ekoran pandemik Covid-19, pulau pelancongan terkenal Langkawi kembali menerima kedatangan pelancong pada hari pertama gelembung pelancongan yang bermula hari ini.

Dianggarkan kira-kira 3,200 pelancong akan tiba di sini menerusi tiga trip perjalanan feri dari Kuala Perlis, Perlis dan 18 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Pesawat Boeing 737-800 MH1432 yang berlepas dari KLIA membawa 159 orang penumpang menjadi pesawat pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) pada pukul 10.45 pagi tadi.

Ketibaan mereka disambut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor selain wakil daripada pelbagai agensi berkaitan yang terlibat menjayakan projek rintis gelembung pelancongan itu.

Pekerja swasta, Rosmazaini Mohd Zain, 50, yang tiba bersama suami dan empat anaknya menerusi pesawat itu mengakui begitu teruja apabila dapat menjejakkan kaki di Langkawi selepas sekian lama ‘terkurung’ di ibu negara.

“Saya sudah membuat tempahan sejak Januari lepas untuk ke Langkawi, tetapi selepas itu berlaku beberapa kali ‘lockdown’ atau sekatan pergerakan menyebabkan percutian kami tertangguh beberapa kali ini sehinggalah kerajaan mengumumkan gelembung perjalanan di Langkawi.

“Walaupun saya buat tempahan awal tetapi saya tidak batalkan dan pihak hotel juga benarkan kami pilih tarikh dalam tempoh setahun dan akhirnya saya pilih 16 Sept kerana kebetulan cuti sekolah dan hari ini kami dapat ke Langkawi,” katanya ketika ditemui pemberita di LIA.

Berkongsi mengenai perjalanan hari ini, Rosmazaini berkata dia dan keluarganya perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 di KLIA dan proses tersebut disifatkannya berjalan lancar walaupun perkara itu baharu diumumkan oleh Kementerian Kesihatan, semalam.

Walaupun teruja berada di Langkawi, beliau tetap berasa sedikit bimbang untuk bercuti dalam suasana pandemik Covid-19 dan akan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menjaga prosedur operasi standard bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan.

Warga Sweden, Katarina Carlfalk, 43, pula berkata perjalanannya ke Langkawi hari ini cukup teratur walaupun melalui pelbagai proses yang diperlukan termasuk ujian pengesanan Covid-19 sebelum menaiki pesawat di KLIA.

“Rasa luar biasa berada di sini, ini kali pertama saya meninggalkan Kuala Lumpur sejak Disember. Malaysia memiliki banyak tempat menarik untuk dijelajahi dan saya tidak sabar untuk pergi ke pantai di Langkawi selepas sekian lama berada di Kuala Lumpur,” katanya yang bekerja di ibu negara.

Sementara itu, Nancy berkata kementeriannya juga teruja dengan kedatangan pelancong ke Langkawi pada hari ini di bawah projek rintis gelembung pelancongan yang akan menjadi kayu ukur untuk kerajaan membuka lebih banyak destinasi pelancongan pada masa akan datang.

“Langkawi adalah destinasi sesuai untuk kita laksanakan gelembung perjalanan kerana ia mempunyai semua produk yang diperlukan seorang pelancong. Jadi, kita akan gunakan Langkawi sebagai kayu ukur untuk pembukaan destinasi lain nanti.

“Kita sudah saksikan kumpulan yang pertama tadi sampai dengan wajah yang begitu gembira sekali…saya berterima kasih kepada semua pihak terutama kepada petugas barisan hadapan dan pihak Lembaga Pembangunan Langkawi yang banyak membantu kita untuk merealisasikan projek rintis ini,” katanya.

Muhammad Sanusi pula berkata seramai 2,200 pelancong akan tiba di Langkawi hari ini menerusi 18 penerbangan manakala kira-kira 1,000 lagi akan tiba menerusi tiga trip perkhidmatan feri dari Kuala Perlis, Perlis.

“Kita berdoa agar program rintis ini mencapai matlamat yang kita gariskan untuk menghidupkan semula sektor pelancongan di Langkawi dan memulihkan semula ekonomi pulau ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Air Asia: Muatan penerbangan penuh 100 peratus ke Langkawi

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Penerbangan sulung AirAsia dari Kuala Lumpur ke Langkawi pagi ini di bawah inisiatif gelembung perjalanan merekodkan muatan penerbangan 100 peratus, menandakan lantunan semula kukuh perjalanan udara domestik.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata penerbangan tersebut – yang pertama daripada sembilan penerbangan harian yang dijadualkan dari Kuala Lumpur — berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada 9.50 pagi menggunakan pesawat Airbus A321neo.

“Selain dari Kuala Lumpur (63 penerbangan mingguan), AirAsia juga mempunyai penerbangan ke Langkawi dari Pulau Pinang (14 kali seminggu), Johor Bahru (tujuh kali seminggu), Ipoh (tiga kali seminggu) dan Kota Bharu (tiga kali seminggu), menjadikan kesemua sekali 90 penerbangan seminggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata lebih 200,000 tempat duduk ke Langkawi terjual dalam masa kurang daripada seminggu.

“Bagi memudahkan pergerakan ini, kami telah telah membuat persiapan menyeluruh dan melaksanakan protokol kesihatan dan keselamatan yang padu dan komprehensif bagi memastikan semua tetamu kami boleh melakukan perjalanan dengan selamat, dengan kru dan petugas barisan hadapan kami 100 peratus telah lengkap menerima vaksin.

“Selepas melakukan persediaan selama berbulan-bulan, kami bersemangat untuk menyaksikan industri kembali rancak dan bersedia untuk meningkatkan operasi kami bagi memenuhi peningkatan permintaan.

“Kami berharap lebih banyak gelembung perjalanan diwujudkan di seluruh negara tidak lama lagi sejajar dengan peningkatan kadar vaksinasi dan seterusnya di seluruh rantau ini apabila telah selamat untuk berbuat demikian,” katanya.

AirAsia juga melancarkan perkhidmatan ‘ride-hailing’ di Langkawi hari ini dengan pemandu kenderaan 100 peratus telah divaksinasikan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengunjung Langkawi diingat patuh SOP, elak jangkitan Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi, Kedah di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dalam usaha mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup serta ekonomi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru semua pihak bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan tiada peningkatan jangkitan virus Covid-19 di pulau percutian itu.

“Kerjasama anda semua adalah sangat diperlukan,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebooknya.

Pada 9 Sept lepas, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang meningkatkan kapasiti dan kesiapsiagaan Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19 di Pulau Langkawi yang memerlukan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

HSM merupakan sebuah hospital hibrid yang merawat pesakit Covid-19 dengan 79 katil, manakala untuk bukan Covid-19 sebanyak 142 katil.

Dr Noor Hisham berkata melalui penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Langkawi International Shooting Range Malaysia (i-PKRC LISRAM) pada 4 Ogos lepas, sebanyak 60 katil tambahan berjaya diwujudkan bagi merawat pesakit Covid-19 kategori satu, dua dan tiga yang berisiko rendah.

“Bagi ICU, sebanyak lapankatil tambahan telah diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 dan daripada jumlah itu, sembilan katil adalah dikhususkan bagi merawat kes Covid-19,” katanya.

Selain itu, beliau berkata jabatan lain HSM, antaranya Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Patologi dan Transfusi Perubatan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsiagaan masing-masing bagi merawat kes Covid-19 yang mungkin akan bertambah.

“Melalui perbincangan yang diadakan bersama pihak HSM dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, beberapa cadangan penambahbaikan telah diberikan termasuk penetapan nilai ambang kadar kemasukan pesakit harian sebagai petanda amaran agar tindakan proaktif tertentu diambil.

“Ini termasuk keperluan menambah bilangan katil bukan ICU dan ICU untuk kes Covid-19, mobilisasi petugas kesihatan dan aset dari daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan oleh pihak swasta,” katanya.

— BERNAMA