Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor sedia berdepan gelombang kedua banjir

SHAH ALAM, 1 JAN: Kerajaan Negeri bersiap sedia berdepan gelombang kedua banjir sekiranya perkara itu berlaku.

Dato’ Menteri Besar berkata mesyuarat bersama Jawatankuasa Bencana semalam ada membincangkan kemungkinan tersebut dan bersedia sepenuhnya.

“Kita belajar daripada pengalaman lepas dan kena bersedia serta penambahan aset akan dilaksana untuk persediaan masa depan atau digunakan untuk membantu rakan-rakan ketika berlaku banjir.

“Selain itu, mesyuarat bersama EXCO juga membincangkan bantuan sokongan lain seperti institusi pendidikan, masjid, surau, perniagaan dan pertanian, namun kita fokus dahulu dengan Bantuan Selangor Bangkit (BSB),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada Program Selangor Memohon Kesejahteraan Allah Menjelang Tahun 2022 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunaikan solat hajat ketika Program Selangor Memohon Kesejahteraan Allah Menjelang Tahun 2022 peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 31 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tambah Amirudin, setakat ini BSB yang khusus untuk mangsa banjir meningkat kepada lebih 3,000 individu.

“BSB sedang giat diagihkan di setiap daerah dan yakin menjelang akhir Januari berjaya diselesaikan,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Sebelum ini, Amirudin menjangka bantuan terbabit selesai diagih hujung Januari ini.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Gelombang kedua banjir: Bomba sedia lima khemah bantuan di Hulu Langat

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menempatkan lima buah khemah bantuan banjir di Daerah Hulu Langat, dekat sini, sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua banjir di kawasan berkenaan.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata pihaknya menempatkan khemah berkenaan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua, Pejabat Penghulu Batu 14, Sekolah Rendah Sungai Serai, Dewan Orang Ramai Sungai Lui dan Agro Night Market Nanding di Hulu Langat.

Beliau berkata pihaknya turut menempatkan bot-bot bantuan sebagai langkah persediaan awal.

“Kami bimbang sekiranya kejadian banjir di Hulu Langat berulang semula. Oleh itu, anggota serta aset bot bomba sudah bersedia di daerah berkenaan susulan kilat dan awan mendung dilaporkan di lokasi terbabit,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas mengenai situasi semasa paras air di Sungai Lui, Norazam berkata paras air kembali normal namun bomba sentiasa membuat pemantauan paras air di sungai berkenaan.

Semalam, di media sosial tular beberapa gambar dan rakaman video berkaitan limpahan air yang berlaku di Sungai Lui dan penduduk di lokasi berkenaan dikatakan dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang berlaku semula banjir.

Sementara itu, mengulas mengenai banjir di Kajang, Norazam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.35 petang tadi daripada orang awam, memaklumkan berlaku limpahan air dari kolam berhampiran menyebabkan banjir kilat di kawasan perumahan Taman Lembah Mewah dan di Jalan Semenyih, Kajang.

Beliau berkata kejadian di kedua-dua lokasi berkenaan tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa dan banjir telah surut sepenuhnya pada kira-kira 7 malam hari ini.

“Tiada kerosakan yang serius dilaporkan oleh anggota bomba bertugas serta tiada pemindahan penduduk dilakukan di kedua-dua kawasan berkenaan,” katanya.

Hari ini, tular di media sosial beberapa video berdurasi di antara 10 hingga ke 15 saat memaparkan berlaku banjir kilat di lokaliti berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

10,500 JBPM sedia hadapi gelombang kedua banjir

KUALA KUBU BAHRU, 3 NOV: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga menggerakkan 10,500 anggota serta pegawai bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir dan banjir kilat berikutan peralihan Monsun Timur Laut.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, 400 pasukan bomba sukarela seluruh negara juga akan dikerahkan bagi membantu mangsa banjir di kawasan berdekatan bencana itu.

Menurutnya, gelombang pertama akibat peralihan monsun berlaku di enam negeri pada minggu lepas iaitu Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kedah dan Johor.

“Kami sentiasa bersedia menghadapi gelombang kedua yang dijangka berlaku di bahagian Pantai Timur negara dengan persiapan dari segi persediaan logistik iaitu pengangkutan air, operasi mencari dan menyelamat serta pesawat udara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan pertandingan Firefighters and Rescue Exercise Challenge (Farex) 2019, di sini, hari ini.

Katanya, latihan pengurusan banjir serta bencana bersama ketua masyarakat setempat turut dilaksanakan bagi menghadapi kemungkinan itu.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, pertandingan Farex adalah inisiatif jabatan berkenaan bagi menilai tahap kompetensi dan kecekapan anggota dalam bidang tugas kebombaan dan penyelamatan.

Menurutnya, seramai 176 pegawai dan anggota bomba dari seluruh negara yang mewakili kontinjen negeri masing-masing menyertai pertandingan yang pertama kali dianjurkan itu.

“Pertandingan ini dapat meningkatkan lagi semangat kerjasama dan persefahaman dalam kalangan anggota selain dapat meningkatkan daya saing dan ketahanan diri bagi menghadapi cabaran semasa tugasan di lapangan,” katanya.

Kontinjen Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang muncul juara keseluruhan pertandingan itu yang membabitkan enam acara termasuk ‘rescue challenge’ dan ‘warrior challenge’.

– BERNAMA