Categories
AGENDA NASIONAL

Gempa kuat di Utara Sumatera: Impak kepada Malaysia minimum – MetMalaysia

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Impak daripada gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Ricther yang melanda utara Sumatera, Indonesia hari ini, terhadap Malaysia adalah minimum, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah.

Menurut Muhammad Helmi jabatan itu turut mengesan dua kali gempa bumi susulan selepas gempa bumi kuat itu, manakala gempa susulan yang dikesan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia setakat pukul 4.50 petang tadi adalah 27 kali.

Katanya MetMalaysia akan terus memantau dan memaklumkan sebarang perkembangan sekiranya berlaku gempa susulan dan aktiviti seismik di sekitar kawasan terlibat.

“Sehingga kini, maklumat yang diterima menunjukkan impak atau kesan terhadap negara daripada kejadian gempa bumi ini adalah minimal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

MetMalaysia hari ini memaklumkan gempa bumi yang berlaku pada pukul 9.39 pagi dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu turut dirasai di kawasan barat Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Pada 12.02 tengah hari, gempa bumi lemah berukuran 4.9 pada skala Richter direkodkan di wilayah sama, bagaimanapun kedua-dua gempa itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Gempa bumi sederhana landa barat daya Sumatera

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Gempa bumi sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter melanda barat daya Sumatera, Indonesia pada jam 2.46 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berkata, pusat gempa itu terletak kira-kira 327 kilometer (km) selatan dari Bengkulu, Indonesia dengan kedalaman 10km.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berasingan melaporkan satu lagi gempa bumi sederhana berukuran 5.7 pada skala Ritcher berlaku di utara Laut Maluku, pada jam 8.10 pagi ini.

Pusat gempa itu terletak kira-kira 127km barat dari Ternate, Indonesia dengan kedalaman 10km.

Bagaimanapun, gempa itu juga tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia, menurut kenyataan itu.

*Sumber: BERNAMA