Categories
AGENDA NASIONAL

Gempa bumi kali kedua landa Sumatera, tiada ancaman tsunami

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Gempa bumi lemah berukuran 4.9 pada skala Richter melanda utara Sumatera pada 12.02 tengah hari tadi, susulan gempa bumi kuat di wilayah sama pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 87 km barat laut dari Payakumbuh, Indonesia dan 324 km barat daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Berdasarkan penilaian, gegaran dirasai di Lembah Klang,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, MetMalaysia memaklumkan gempa susulan daripada gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter pada 9.39 pagi tadi dijangka tidak akan memberikan ancaman tsunami terhadap Malaysia.

MetMalaysia bagaimanapun menasihati orang ramai untuk mencari tempat perlindungan dan keluar dari bangunan apabila merasai gegaran.

“Selain itu perlulah sentiasa peka dengan maklumat gempa bumi dan amaran tsunami yang dikeluarkan oleh MetMalaysia,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat gempa atau tsunami terkini melalui laman sesawang MetMalaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia serta menerusi talian 1-300-22-1638.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Tujuh terkorban dalam gempa bumi di Jawa Timur

JAKARTA, 11 APRIL: Kejadian gempa bumi kuat di Jawa Timur selatan semalam disahkan meragut tujuh nyawa setakat pagi tadi, selain menyaksikan lebih 800 kediaman dan bangunan runtuh serta rosak teruk.

Menurut Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Raditya Jati, tiga kematian dilaporkan di Kabupaten Malang sementara empat di Kabupaten Lumajang.

Hingga kini, BNPB masih mengumpul statistik di 17 kabupaten dan kota di Jawa Timur yang mengalami gegaran bermagnitud 6.7 pada skala Richter pada kira-kira 2 petang semalam, berpusat di 90 kilometer barat daya Kabupaten Malang.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia turut mencatatkan beberapa gempa susulan bermagnitud rendah masih berlaku di wilayah berkenaan, dan terbaharu bermagnitud 5.5 pada skala Richter pada 6.54 pagi tadi.

Kejadian gegaran semalam itu turut dirasakan di hampir seluruh wilayah Jawa Timur, termasuk beberapa kawasan di Jawa Tengah serta Pulau Bali dan Lombok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Kebimbangan ancaman gempa megathrust

JAKARTA, 4 OGOS : Gempa terbaru Jumaat lepas di Banten, yang jauhnya lebih 120km dari Jakarta, tetapi turut menggoncang ibu kota itu, kini memicu kebimbangan berlakunya gempa “megathrust” dan impaknya kepada Indonesia.

Pihak berkuasa Indonesia kini tidak lagi berselindung akan kemungkinan berlakunya gempa megathrust, berkekuatan magnitud melebihi 9 Skala Richter.

Terakhir gempa megathrust berlaku pada 2004, bermagnitud 9.1 hingga 9.3 Skala Richter, yang mencetuskan tsunami, memusnahkan Aceh, mengorbankan beratus ribu nyawa.

Pakar gempa dan tsunami Badan Pengkajian Penerapan Teknologi (BPPT) Widjo Kongko berkata gempa megathrust boleh berlaku berikutan pergerakan aktif dan pergeseran plat Indo- Australia dan Eurasia ketika ini.

Widjo Kongko dipetik media tempatan sebagai berkata bahawa sekiranya berlaku gempa megathrust melebihi 9 Skala Richter di Selat Sunda, ia boleh mencetuskan tsunami setinggi sehingga 57 meter.

“Potensi tsunami setinggi 57 meter di Kabupaten Pandeglang, Banten. Tsunami ini juga berpotensi akan mencapai Jakarta Utara. Namun, itu semua masih bersifat kajian awal kami,” katanya.

Ketua Pusat Data, Informasi, dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BPNB) Agus Wibowo berkata Presiden Indonesia Joko Widodo telah mengarahkan BPNB untuk membangunkan hutan pantai atau tanaman bakau, di kawasan- kawasan yang berpotensi besar terkena impak gempa megathtust itu.

Presiden Jokowi pada Julai lepas turut mengarahkan Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika Indonesia (BMKG) menyalurkan maklumat lengkap dan cepat berkaitan gempa kepada orang awam.

Jokowi dipetik agensi Antara, berkata, penyaluran apa jua maklumat berkaitan gempa, bukanlah bertujuan untuk meresahkan masyarakat, tetapi agar masyarakat mendapat maklumat dan berpengetahuan berhubung ancaman itu. -BERNAMA

Categories
GLOBAL

Gempa bumi sederhana landa Sumatera Utara

KUALA LUMPUR, 2 Jun : Gempa bumi sederhana berukuran 5.6 pada skala Richter melanda Sumatera Utara, Indonesia pada 11.03 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pusat gempa dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu terletak di 0.4 darjah utara dan 98.2 darjah timur, kira-kira 119km tenggara dari Nias, Indonesia.

Gempa itu bagaimanapun tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia, menurut kenyataan itu. -BERNAMA

Categories
GLOBAL

Gemba bumi sederhana di Mindanao, Filipina

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Gempa bumi sederhana berukuran 5.6 pada skala Richter melanda Mindanao, Filipina pukul 5.45 petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini menyatakan pusat gempa itu terletak di 6.0 darjah utara dan 126.6 darjah timur, kira-kira 143km tenggara dari Davao, Filipina.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia, menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Gempa bumi sederhanna di Luzon, Filipina

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Gempa bumi sederhana berukuran 5.3 skala Ritcher melanda Luzon, Filipina pada pukul 10.48 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata gempa dengan kedalaman 85 kilometer (km) itu dilaporkan pada koordinat 18.9 utara dan 120.5 timur pada jarak 78km utara dari Laoag City, Filipina.

Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia dan setakat ini belum terdapat laporan kesan atau impak gempa itu kepada penduduk serta kawasan setempat.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Gempa Filipina: Tiada laporan rakyat Malaysia terlibat

PUTRAJAYA, 23 APR: Kementerian Luar hari ini mengesahkan setakat ini, tiada laporan tentang rakyat Malaysia yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda Pulau Luzon, Filipina, semalam.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini turut menasihati rakyat Malaysia di Filipina, sama ada sedang melawat atau tinggal di kawasan yang terjejas, supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan daripada pihak berkuasa.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular juga dinasihati supaya menghubungi Kedutaan Malaysia di Manila,” jelas kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, Kedutaan Malaysia di Manila sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan nasihat dan maklumat terkini situasi.

Menurut laporan media, sekurang-kurang sembilan orang terbunuh dalam gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter yang melanda wilayah Zambales di Pulau Luzon.

Beberapa kawasan turut terjejas termasuk Metro Manila, Bulacan, Batangas, Bataan, Pampanga, Baquio City, Cabanatuan City, Palayan City, Gapan City, Santo Domingo and Talavera, Nueva Ecija Baler dan Aurora.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Gempa bumi sederhana di Laut Maluku Utara

KUALA LUMPUR 25 DIS: Gempa bumi sederhana 5.6 magnitud berlaku di Laut Maluku Utara, Indonesia pada 3.18 petang tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini, gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer dan berpusat 118 kilometer dari barat Ternate, Indonesia.

Bagaimanapun, ia tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

SUMBER: BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA GLOBAL

Rantau Sumbawa dilanda gempa bumi sederhana

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan kenyataan berlaku gempa bumi sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter, di Rantau Sumbawa, Indonesia.

Kenyataan itu berkata, gegaran berkenaan berlaku pada kedalaman 10 kilometer dan jarak 13 kilometer Timur Laut, dari Metaram, Indonesia, lapor BERNAMA.

Namun, kata kenyataan itu, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia ekoran gempa bumi berkenaan.

Categories
GLOBAL

Fiji dilanda gempa bumi, tiada tsunami

SUVA: Luar pantai Fiji dilanda gempa bumi magnitud 6.7 hari ini, namun ia terlalu dalam untuk mencetuskan sebarang kerosakan.

Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa berpusat pada kedalaman 534 kilometer dan sejauh 283 kilometer itu berlaku di timur ibu kota.

Penduduk tempatan berkata, mereka tidak merasai sebarang gegaran dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata, tiada ancaman tsunami susulan gempa itu yang berlaku jam 9.25 pagi waktu tempatan.

Kawasan itu sering mengalami gempa bumi jauh di dasar laut dan dilanda gempa magnitud 7.8 dua bulan lalu.

Fiji terletak dalam ‘Lingkaran Api Pasifik’, zon aktiviti tektonik di sekitar Pasifik yang kerap berlaku gempa bumi dan letusan gunung berapi.

-AFP

 

Categories
GLOBAL

Gempa kuat 6.6 skala richter landa Kepulauan Loyalty

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Gempa bumi kuat berukuran 6.6 pada skala Richter melanda tenggara Kepulauan Loyalty pada 9.03 minit pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan media memaklumkan, pusat gempa terletak di 923 kilometer Barat Daya dari Nadi, Fiji.

Gempa itu tidak mendatangkan ancaman tsunami kepada Malaysia.

SUMBER: BERNAMA​​

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA GLOBAL

11 terkorban gempa bumi landa Haiti, terkuat sejak 2010

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 7 OKT: Sekurang-kurangnya seramai 11 terkorban dalam kejadian gempa bumi kuat yang melanda Haiti pada kekuatan 5.9 skala richter hari ini.

Gempa bumi yang dicatatkan itu adalah yang terkuat sejak 2010.

Portal Berita THE SUN UK melaporkan Badan perlindungan awam negara itu mengeluarkan kenyataan mengatakan beberapa orang cedera dan dirawat di hospital.

Ia juga mengatakan rumah-rumah telah musnah di Port-de-Paix, Gros Morne, Chansolme dan Turtle Island – antara bangunan yang rosak ialah gereja Saint-Michel di Plaisance.

Gempa itu dirasakan ringan di ibukota, Port-au-Prince, dan berpusat kira-kira 12 batu barat laut dari pantai utara dengan kedalaman 7.3 batu.

Presiden Haiti Jovenel Moïse mencatatkan pada Twitter: “Saya mendesak penduduk untuk bertenang, berikutan laluan gempa bumi yang pusatnya terletak di pantai barat laut.

“Sistem pengurusan risiko dan cawangan-cawangan serantau Perlindungan Awam bersedia untuk membantu penduduk kawasan yang terjejas.”

Perdana Menteri Haiti, Jean-Henry Céant meminta orang ramai supaya “berhati-hati dan tenang” katanya di Twitter.