Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor peruntuk RM14.5 juta laksana program sukan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM14.5 juta untuk menjalankan pelbagai aktiviti di bawah Program Generasi Muda dan Sukan pada tahun lalu.

EXCO Mohd Khairuddin Othman berkata pecahan peruntukan melibatkan pembangunan generasi muda (RM5.26 juta), pembangunan sukan (RM7 juta) serta membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur sukan (RM2.24 juta).

“Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor komited melaksanakan program pembangunan sukan untuk melahirkan atlet pelapis yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara.

“Antara usaha dilakukan adalah memperkenakan Program Bakat, Program Pelapis dan Program Elit. Ketiga-tiga peringkat program ini merangkumi peruntukan berjumlah RM4.11 juta,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin berhubung peruntukan diluluskan bagi aktiviti sukan pada 2020 dalam Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata Selangor turut menggorak langkah dengan memanfaat media sosial dengan menganjurkan program e-sukan yang bersesuaian dengan trend baharu.

“Antara program yang dianjurkan pada 2020 adalah E-Sports Fifa Piala Budak Kampung, Selangor Xtiv Virtual E-Sport dan Selangor Xtiv Virtual Run.

“Aktiviti lain adalah Gelanggang Selangor Martial Arts Virtual, Pro Club Super League, Selangor Xtiv Video Challenge dan Selangor FIFA Pro Club League 2020,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM4.96 juta perkasa generasi muda dan PeBT

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM4.96 juta bagi tujuan pemerkasaan generasi muda dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) bagi 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, salah satu Dasar Belia yang akan diberi penekanan adalah Teras Keusahawanan dan Pekerjaan dengan penyediaan pelbagai insentif kepada belia di Selangor untuk menjadi usahawan berjaya.

“Kerajaan Negeri juga mahu merangsang aktiviti keusahawanan belia dengan memberi bantuan perniagaan yang disediakan kepada generasi muda.

“Aktiviti kesukanan yang melibatkan Generasi Muda Program Pesta Sukan Generasi Muda Selangor (GEN-S) akan diperluaskan dengan melibatkan belia- belia di universiti, kolej, serta sekolah-sekolah di seluruh Negeri Selangor dengan mengekalkan Teras Kesukanan dan Kecergasaan.

“Program #YouthPower bakal melahirkan Ikon Generasi Muda yang berwibawa dan meneruskan legasi yang berjaya dengan gabungan Pendidikan (Kemahiran) dan Usahawan Muda,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2019 (Belanjawan’19) di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut mencadangkan penganjuran Jelajah Muafakat Anak Muda ke setiap daerah dengan aktiviti kempen jauhi Dadah adalah memberi fokus kepada anak-anak muda di kampung dan desa.

Bagi memartabatkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT), Kerajaan Negeri mencadangkan supaya Blueprint Pembangunan Generasi Muda 2018-2022 diwujudkan untuk dijadikan asas gerak kerja PeBT serta dijadikan panduan dalam pembangunan generasi muda Negeri Selangor pada masa akan datang.

Inisiatif ini akan melibatkan pemegang taruh yang berkaitan di dalam pembangunan generasi muda Selangor dan pemimpin Penggerak Belia Tempatan yang berada di peringkat akar umbi.

Categories
SELANGOR

Generasi muda digesa tingkatkan pembangunan jati diri

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 OGOS: Generasi muda perlu supaya memberi penekanan terhadap elemen pembangunan jati diri yang cenderung ke arah kematangan, demikian kata Ahli Parlimen Belia Malaysia, Mohammad Hisham Sah Nuddin.

Beliau berkata, hal itu bagi memastikan golongan belia dapat bersedia dengan lebih berani dalam mendepani arus perubahan global yang pantas.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan masih ada dalam kalangan mereka yang berjaya mengurus perubahan ini dengan baik, tetapi perlu diperhebatkan lagi.

“Justeru, mereka perlu diberi kesedaran melalui program daripada kelab dan persatuan belia supaya tampil berani mengubah diri menjadi lebih baik.

“Pada masa sama, belia perlu memiliki keperibadian unggul yang mempunyai minda kelas pertama dan lengkap dengan ilmu pengetahuan serta sahsiah diri terpuji,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas ‘Forum Bual Bicara, Malaysia Baharu, Apa Belia Mahu’, di Dewan Kuliah 2, Universiti Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor, Mu’azammir Jili.

Hisham bagaimanapun berkata, pembangunan jati diri sahaja tidak memadai sekiranya individu itu tidak pandai merebut peluang untuk mengubah diri menjadi lebih baik.

“Justeru, pembabitan belia dalam kelab dan persatuan amat dialu-alukan misalnya Kelab Rakan Muda dan Kelab Belia Sukan, iaitu mereka berpeluang menyertai kerja kemasyarakatan secara bersama, selain dapat meningkatkan kemahiran diri.

“Hal ini juga bagi memastikan mereka supaya tidak ketinggalan dalam fasa belia itu sendiri,” katanya.

Sebelumnya, seramai 100 pelajar turut serta dalam sesi bual bicara yang berlangsung hampir tiga jam itu.

Categories
SELANGOR

Generasi muda terus zahir sokongan kukuh

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 MAC: Karnival Himpunan Rakyat yang bertemakan ‘Membangun Bangsa Memakmurkan Selangor Masa Depan Malaysia’ yang diadakan di Stadium Malawati di sini mendapat sambutan menggalakkan khususnya generasi muda.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kehadiran sambutan yang dipenuhi hampir separuhnya anak muda membuktikan rakyat Selangor terus mendukung dasar-dasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Kalau kita lihat kehadiran pada hari ini sebahagian besarnya adalah anak muda, menunjukkan golongan milennial hari ini merasakan aspirasi mereka dipenuhi oleh Kerajaan Negeri sejak kita diberikan mandat.

“Kita mahu membangunkan Selangor bukan sahaja maju dalam sektor ekonomi tetapi kita mahu jadikan negeri sebagai Negeri Penyayang yang menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama serta memberi perhatian kepada aspirasi golongan muda millenials,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Karnival Himpunan Rakyat, di Stadium Malawati, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, beliau yakin generasi muda juga adalah golongan yang cukup matang dalam menimbang baik buruk sesebuah kerajaan itu dengan pelbagai akses maklumat yang boleh diperolehi.

“Cuma saya sekadar mengingatkan bahawa tanggungjawab golongan milennial mencorak masa depan negara adalah milik mereka.

“Maka mereka harus berani membawa perubahan bukan sahaja mempertahan Selangor bahkan Malaysia akan terbentuk di bawah kerajaan baru yang peduli rakyat,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

2018: Pelan pembangunan generasi muda lebih inklusif

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 DIS: Kerajaan Negeri merangka pelan pembangunan generasi muda dengan lebih inklusif pada 2018.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri menyedari populasi golongan muda bawah 40 tahun di negeri itu melebihi 40 peratus.

Katanya, sebagai Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Selangor (PEMADAM), statistik masalah dadah di kalangan generasi muda amat membimbangkan ketika ini.

“Kajian yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dan universiti awam tempatan mendapati Kira-kira 40 peratus populasi penduduk adalah di bawah 40 tahun.

“Begitu juga dengan statistik yang diperolehi anak muda kini banyak terjebak dengan dadah jenis sintetik,” katanya.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri yakin program khusus untuk golongan muda amat penting dan sekaligus yakin mereka ini merupakan cerminan asas sebuah negeri.

Katanya, kemajuan teknologi moden khususnya jaringan sosial media turut diberi perhatian dan merupakan cabaran ketika ini.

“Gabungan badan bukan kerajaan, penggerak belia tempatan dan Team Selangor akan lebih diperlukan bagi menjalin kerjasama dalam merealisasikan program yang lebih inklusif.

“Setakat ini, kita menerima baik hubungan dan kerjasama erat dalam pelbagai program belia.

“Juga PEBT kini makin ke hadapan dalam membantu menjayakan usaha Kerajaan Negeri,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2018: Peningkatan kualiti ekonomi generasi muda diberi fokus

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 OKT: Peningkatan kualiti ekonomi generasi muda diberikan fokus penting dalam Belanjawan 2018 Selangor bagi memastikan ia menepati agenda pembangunan di negeri itu.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata fokus itu penting untuk mengangkat kualiti kehidupan generasi muda supaya lebih berdaya saing dan mampu menepati pasaran tenaga kerja.

“Ini dikaitkan dengan kadar pengangguran tinggi kini yang mendorong Kerajaan Negeri untuk komited menangani isu ini,” katanya kepada pemberita selepas pelepasan pelumba Jelajah Malaysia 2017 di Toyota Motor, Seksyen 15, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya inisiatif baru dilaksana, generasi muda negeri bakal menerima manfaat jangka panjang.

RAKYAT SELANGOR“Saya percaya akan ada inisiatif baru dan kalau ia dapat dimanfaatkan sebaiknya, tentunya kita akan mampu melonjakkan pembangunan sosial generasi muda untuk memenuhi tenaga kerja kini,” katanya.

Terdahulu, dasar pembangunan belia membabitkan 10 teras utama melibatkan keusahawanan dan pekerjaan, kepimpinan dan organisasi, teknologi maklumat dan organisasi.

Ia turut meliputi aspek kemasyarakatan, jaringan kesukarelaan, kebudayaan dan kesenian, kesejahteraan dan kesihatan, sukan dan kecergasan serta agama dan kepercayaan.

Amirudin berkata, usaha bagi merealisasikan keperluan itu dilaksanakan menerusi penubuhan Penggerak Belia Tempatan bagi melahirkan kepimpinan berdaya saing untuk menjadi agen perubahan kepada golongan belia di Selangor.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Peruntukan RM500,000 bantu NGO, organisasi muda

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 FEB : Sejumlah RM500,000 diperuntukkan bagi memperkasa pembangunan modal insan dan belia negeri itu dengan penglibatan pelbagai pertubuhan dan organisasi.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata peruntukan itu diberikan sebagai komitmen membantu golongan itu membabitkan penganjuran program pembangunan di seluruh negeri.

Perjumpaan NGO Belia bersama YB Amirudin Shari (ASRI) (2) (1)“Di bawah program pembangunan belia, kita teruskan PeBT sebagai salah satu saluran kita melaksanakan pelbagai program yang mana untuk tahun lepas saja lebih 620 program di peringkat akar umbi dan negeri.

“Bagi tahun ini, kita memfokuskan kepada usaha bantu pertubuhan dan organisasi dengan menyediakan bajet sejumlah RM500,000 sebagai geran kepada mereka untuk bersama kerajaan negeri menganjurkan program dan aktiviti mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas program minum petang bersama badan bukan kerajaan (NGO) Selangor di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik pelbagai pelaksanaan dan perancangan program yang selari dengan Dasar Belia Selangor.

“Komitmen ini diteruskan dan digabungkan lagi dengan pelbagai program dengan usaha yang dijalankan bersama di peringkat negeri,” katanya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini mengumumkan peruntukan belanjawan sejumlah RM25.08 juta diperuntukan bagi program generasi muda dan sukan.

Jumlah itu meliputi sukan, pendidikan, latihan dan kemahiran, keusahawanan dan pekerjaan, kepimpinan dan organisasi, teknologi maklumat dan komunikasi serta kemasyarakatan, jaringan dan kesukarelawanan.

EZY