Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Muda luang masa lebih dua jam lawat pameran sidang niaga Selangor

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah mencemar duli meluangkan masa lebih dua jam melawat gerai pameran di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 hari ini.

Baginda yang diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Pelaburan Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim melawat hampir 500 gerai pameran di sidang yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Antara gerai yang menggamit hati baginda adalah syarikat sarung tangan terkemuka, Top Glove; syarikat dron, Aerodyne; syarikat minuman Adraa by Rosyam (milik pelakon Rosyam Noor), syarikat sarang burung FG Walet (milik pelakon Fouziah Gous) dan syarikat makanan Miefoods (pemenang Ikon Agro Selangor 2020).

Tengku Amir Shah yang mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memulakan lawatan dari jam 11 pagi sehingga 1.30 tengah hari.

Turut mengiringi baginda EXCO Hal Ehwal Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim.

Sementara itu, Pengurus Kanan dan Pembangunan Perniagaan Syarikat Aerodyne Izham Zakaria ketika ditemui berkata Raja Muda Selangor melawat gerainya kira-kira 10 minit dan teruja dengan teknologi dron syarikat tersebut.

“Saya sempat menerangkan kepada Raja Muda Selangor berhubung teknologi dron ini dan baginda memuji kerana Malaysia mempunyai syarikat berkemahiran seumpama itu di negara ini,” katanya.

Selain itu, pengasas basikal dan skuter elektrik Tryke Timothy Wong bangga apabila baginda sudi melawat gerainya serta bertanya mengenai produk buatan Malaysia tersebut.

“Saya kagum minat yang ditunjuk baginda kepada produk basikal dan skuter elektrik kami, malah baginda memuji produk teknologi hijau itu yang dihasilkan anak Malaysia,” katanya.

Sidang SIBS 2021 yang membuka tirai hari ini sehingga Ahad diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai acara pameran terbesar di negara ini berdasarkan keluasan ruang pameran 13,000 meter persegi dan hampir 500 gerai pameran.