Categories
AGENDA NASIONAL

Gerakan umum bertanding PRK Tanjung Piai

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai hari ini mengumumkan parti itu akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor bulan depan.

“Jawatankuasa pusat Gerakan juga telah memutuskan supaya timbalan presiden parti Oh Tong Keong dilantik sebagai Pengarah Jentera Gerakan PRK itu, manakala Senator Teo Kok Chee akan mengetuai bilik gerakan parti itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil Tanjung Piai di Johor diadakan pada 16 November manakala hari penamaan calon ditetapkan para 2 November.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lalu, akibat mengalami komplikasi jantung.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Presiden Gerakan letak jawatan

SEREMBAN 16 SEPT: Datuk Seri Mah Siew Keong hari ini mengumumkan secara rasmi perletakan jawatannya sebagai Presiden Gerakan.

Siew Keong berkata, ini adalah susulan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lepas yang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen berbanding satu kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13.

“Tiga atau empat bulan lepas saya mendapat banyak rayuan daripada ahli parti supaya terus kekal sebagai Presiden, namun saya sebagai kapten telah berjanji jika keputusan parti lebih teruk dari dahulu, maka saya akan letak jawatan.

“Saya ucap terima kasih pada semua (ahli parti) dan hari ini secara rasmi saya tidak akan teruskan (memegang jawatan) sebagai Presiden,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Sembilan ke-43 di Wisma Gerakan di sini.

Ini adalah program terakhir beliau selaku Presiden parti.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gerakan umum keluar komponen BN

NASIONAL 23 JUN: Parti Gerakan sebulat suara memutuskan untuk keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN).

Dalam satu kenyataan jawatankuasa pusat parti itu berkata keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan serius dan komprehensif serta mengambil kira perkembangan politik semasa negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Sentimen akar umbi turut dipertimbangkan sementara pemilihan di peringkat cawangan sedang dijalankan di seluruh negara,” menurut jawatankuasa itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Gerakan benar-benar perlu memulakan perjalanan politik baharu dengan kebebasan dan tegas dalam mengejar apa yang dipercayai terbaik untuk negara dan rakyat Malaysia.

“Keputusan itu selaras dengan aspirasi baru, keperluan dan tuntutan rakyat pasca PRU14. Kami memutuskan bahawa Gerakan perlu mencartakan arah baru untuk mempertahankan dan meneruskan perjuangan parti,” kata jawatankuasa itu.

Menurut Gerakan, mereka meninggalkan BN dengan syarat baik dan menjadi parti bebas dalam blok pembangkang bagi menawarkan semak dan imbang kepada kerajaan Pakatan Harapan.

“Kami akan bekerjasama dengan pihak, individu dan kumpulan demi kepentingan negara dalam menegakkan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan demokrasi Malaysia.

“Kami juga amat komited untuk memelihara cara hidup Malaysia seperti yang kita tahu dan kita mahukan secara kolektif sebagai rakyat Malaysia,” kata jawatankuasa itu.

Pada 12 Jun lalu, empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak turut mengumumkan keluar daripada perikatan gabungan BN Pusat dengan membentuk gabungan baharu dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pengerusi BN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan empat parti tersebut iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) meninggalkan perikatan BN diambil selepas mengambil kira situasi politik semasa.

Menurutnya, keputusan pembubaran BN Sarawak selepas 44 tahun bersama BN Pusat adalah demi kepentingan rakyat Sarawak secara keseluruhannya.

Categories
NASIONAL

Bawa masuk parti tidak relevan dalam kabinet bukti retorik politik BN

Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 25 JUN: Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melaksanakan penstrukturan semula kabinet dengan melantik pimpinan MCA dan GERAKAN menjadikan ia antara kabinet terbesar dalam sejarah negara.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, berkata keputusan itu juga membuktikan tindakan berkenaan adalah untuk menarik kembali sokongan masyarakat bukan Melayu supaya kembali kepada Barisan Nasional (BN) selepas penolakan nyata pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Katanya, tindakan Najib juga bercanggah dengan apa yang ditonjolkan kelompok ‘Melayu Ultra’ yang dibawa badan bukan kerajaan (NGO) yang dibela Umno.

undi-bn-end“Keputusan itu seperti ingin melunturkan imej ‘Melayu Ultra’ antaranya Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) secara tidak langsung demi meraih sokongan bukan Melayu walaupun NGO ini turut memberi sumbangan penting bagi Umno.

“Pada masa sama, Najib secara tidak langsung mengakui hakikat sejarah negara yang mmepunyai perjanjian sosial dengan mengiktiraf masyarakat bukan Melayu yang mempunyai hak sama daripada segi undi dan pembetukan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu perlantikan Pengerusi MCA, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai yang dilantik ske dalam kabinet sebagai Menteri Pengangkutan, manakala Datuk Wee Ka Siong (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Sementara itu, Pengerusi GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong turut dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Lee Chi Leong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa), Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Kewangan), Datin Paduka Chew Mei Fun pula kembali memegang jawatan lama beliau iaitu sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

khalid samadPada masa sama, Khalid berkata, keputusan Najib merombak kabinet tidak akan berhasil bagi meraih sokongan bukan Melayu kerana MCA dan GERAKAN tidak lagi relevan, bahkan BN masih gagal menemui formula bagi mendapatkan semula sokongan bukan melayu.

“Keputusan yang dilakukan Najib juga satu bukti segala percakapan berkenaan penyatuan Melayu dan Umno-PAS adalah retorik kerana ia tidak boleh diguna pakai untuk membentuk Malaysia kerana tidak boleh membabitkan satu kaum sahaja.

“Malah, agenda hudud yang dilaungkan Umno untuk bersama PAS juga retorik dan hanya berniat untuk mencetuskan pergaduhan antara komponen Pakatan Rakyat.

“BN juga dilihat masih gagal memahami kehendak rakyat yang mahukan pimpinan yang telus, adil, bertanggungjawab dan bebas rasuah. Kalau ciri ini tiada, masyarakat tidak akan kembali kepada BN walaupun meletakkan MCA dan GERAKAN dalam kabinet,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Umno tolong jawab tindakan Gerakan ekstrim tolak hudud

TELUK INTAN, 29 MEI: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa Umno menjelaskan pendirian parti itu terhadap tindakan biadab Gerakan berkenaan usaha PAS melaksanakan hukum hudud selama ini.

Mahfuz berkata, Gerakan bertegas menolak hudud secara tidak demokratik apabila menyerahkan notis saman terhadap PAS untuk membawa satu rang undang-undang persendirian (private bill) berkenaan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 ke parlimen.

Memetik Harakah Daily, beliau juga berkata, Gerakan membuat demonstrasi di hadapan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, di samping mengugut membuat benteng manusia di hadapan Parlimen bagi menghalang Ahli Parlimen PAS membawa masuk rang undang-undang itu.

Mahfuz close baju petak 01“Adakah Umno sedar Gerakan yang mereka sokong dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan ini lebih teruk menolak hudud dengan cara penentangannya sangat merbahaya dan ekstrem yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat di negara ini.

“Saya minta Umno jawab adakah mereka bersetuju dengan segala tindakan Gerakan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama media yang turut dihadiri Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub anjuran Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat di Padang Tembak, di sini, semalam.

Mahfuz berkata, Umno perlu tahu calon mereka di Teluk Intan adalah presiden kepada parti yang sangat biadab dalam menentang hukum hudud dan bukan hanya melihat kepada DAP sahaja.

Tegas beliau, Umno perlu sedar Gerakan lebih teruk menentang hudud berbanding DAP yang menolak atas dasar perlembangaan dengan semangat sistem demokrasi.

Katanya, calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Dyana Sofya masih membuka ruang demokrasi dalam pendiriannya berkenaan hudud berbanding Gerakan yang menafikan hak rakyat PAS untuk membawa rang undang-undang melalui sistem demokrasi.