Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Negeri lulus 793 geran padanan PKS setakat Oktober

SHAH ALAM, 30 NOV: Sebanyak 793 permohonan Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Selangor diluluskan berjumlah RM3.8 juta daripada nilai keseluruhan geran itu sebanyak RM5 juta, setakat 30 Oktober.

EXCO Industri Kecil dan Sederhana Dato’ Teng Chang Khim berkata bagi tempoh sama, sebanyak 1,372 permohonan diterima bagi geran itu yang dikhususkan bagi membantu PKS Selangor mendigitalisasikan perniagaan mereka.

“Kelulusan Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor yang dilancarkan pada April 2021 dijalankan oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh bekas Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Ng Wan Peng dan Pengarah Urusan The Hive Southeast Asia Datuk Syed Haizam Jamalullail, yang merupakan seorang daripada lapan pemodal teroka pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Muhammad Hilman Idham (Bersatu-Gombak Setia) mengenai usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan produktiviti IKS, pada persidangan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Teng berkata antara lima bidang digitalisasi, permohonan yang paling banyak diterima adalah pemasaran digital (40.7 peratus), diikuti oleh sistem perakaunan (20.9 peratus), sumber manusia dan sistem ‘payroll’ (16.6 peratus), E-PoS System (11.2 peratus) dan e-dagang (10.7 peratus).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan inap desa harap syarat mohon geran padanan dilonggarkan

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) berharap syarat kelayakan permohonan geran padanan bagi tujuan pembaikan yang melibatkan peruntukan RM30 juta dalam Bajet 2022, dilonggarkan dan lebih fleksibel buat pemilik inap desa.

Presidennya Zohaime Muhamad Sori berkata kekangan syarat yang terlalu ketat, menyebabkan ada segelintir pemilik inap desa berputus asa dalam memohon peruntukan tersebut.

“Melalui geran sebelum ini, kami terpaksa melalui karenah birokrasi yang terlalu ‘rigid’ sehingga membebankan. Jadi kami berharap agar syarat kelayakan permohonan ini dapat dilonggarkan.

“Bagaimanapun, kami sangat menghargai keprihatinan kerajaan dalam membantu pemilik inap desa menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelancong, apatah lagi selepas hampir dua tahun tidak dapat beroperasi akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat Jumaat lepas, memperuntukkan RM1.6 bilion menerusi tujuh inisiatif utama bagi membantu sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik.

Antaranya, peruntukan RM30 juta geran padanan bagi tujuan pembaikan kepada pemilik inap desa dan 738 hotel bajet yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Mohd Khalid Harun menyifatkan pembentangan Bajet 2022 bagi sektor pelancongan, memenuhi semua keperluan yang diminta oleh industri itu.

“Jika hendak dibandingkan dengan bajet sebelum ini, kali ini kami cukup berpuas hati dengan apa yang diberi oleh kerajaan,” katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Michiel pula berharap, kerajaan lebih prihatin kepada industri perhotelan dan pelancongan yang terjejas teruk dan mengambil masa yang lama untuk kembali kukuh, walaupun selepas pandemik berjaya dikawal.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lulus RM500,000 geran padanan bantu peniaga beralih konsep maya

SHAH ALAM, 23 JUN: Selangor meluluskan dana hampir RM500,000 melalui Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membantu peniaga beralih dari konsep fizikal ke maya.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata pihaknya menerima 500 permohonan setakat ini dan menggalakkan lebih ramai peniaga mengambil peluang sama sehingga Ogos.

“Kita menjangka 350 permohonan akan diluluskan. Setakat ini, kerajaan telah meluluskan jumlah geran keseluruhan hampir RM0.5 juta.

“Walaupun tarikh pendaftaran kumpulan pertama tamat pada minggu lepas (15 Jun), PKS masih lagi boleh mendaftar pada Ogos untuk kumpulan seterusnya,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berucap pada sidang media secara maya sempena pengumuman keputusan e-Bazar Raya Selangor dan pelancaran Sidec TV melalui aplikasi Zoom hari ini.

Geran tersebut dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 12 April untuk membantu PKS melakukan transformasi digital.

Sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi manfaat 1,000 peniaga kecil dengan jumlah bantuan antara RM1,000 hingga RM5,000.

Lima bidang pendigitalan yang ditawarkan ialah e-dagang, sistem sumber manusia, sistem akaun, pemasaran digital dan sistem Electronic Point of Sale (e-PoS) dan gerbang pembayaran.

Berikut syarat-syarat kelayakan PKS:

– Berdaftar bawah undang-undang berkaitan di Malaysia
– Syarikat sekurang-kurangnya 51 peratus dimiliki rakyat Malaysia
– PKS yang mempunyai alamat berdaftar di Selangor atau beroperasi di Selangor sahaja
– Beroperasi sekurang-kurangnya setahun
– Mempunyai perolehan jualan tahunan sekurang-kurangnya RM300,000 dan tidak melebihi RM1 juta
– Terhad kepada satu permohonan bagi setiap PKS dan mereka dibenar memohon untuk tiga perkhidmatan digital dengan satu atau lebih pembekal perkhidmatan yang disahkan Sidec

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Geran padanan bantu peniaga kecil beralih ke konsep maya

SHAH ALAM, 12 APRIL: Program Geran Padanan Digitalisasi Perbadanan Kecil Sederhana (PKS) dilancarkan bagi membantu peniaga beralih dari konsep fizikal ke maya.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan antara RM1,000 hingga RM5,000 bakal memanfaatkan 1,000 usahawan kecil negeri ini bergantung kepada keperluan.

“Kelulusan nilai geran bergantung keperluan membabitkan aspek e-dagang, pameran digital, sistem sumber manusia, perakaunan dan pasaran elektronik.

“PKS yang kekurangan sumber digalakkan memohon inisatif ini demi mengukuhkan jangkauan pendigitalan perniagaan mereka,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan program berkenaan.

Turut hadir EXCO Industri Kecil dan Sederhana Dato’ Teng Chang Khim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron.

Amirudin berkata PKS yang ingin memohon perlu memenuhi beberapa syarat antaranya beroperasi selama setahun di negeri ini dan mencatat perolehan tahunan lebih RM300,000.

Beliau menambah permohonan berlangsung selama sebulan mulai 15 April, jam 12 tengah hari melalui pautan https://www.sidec.com.my/selangorgrant2021/.

“Beberapa panel agensi kerajaan akan menilai semua permohonan bagi memastikan agenda program berkesan sekali gus memberi pulangan kepada kerajaan,” katanya lagi.