Kes Rafizi Bukti Umno-BN Tak Mahu Telus Dan Bertanggungjawab

SHAH ALAM 2 OGOS : Kerajaan Selangor kesal terhadap pendakwaan yang dikenakan ke atas Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berhubung pendedahannya mengenai butiran perbankan National Feedlot Corporation (NFC).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan ke atas Rafizi membuktikan  komitmen kerajaan Umno-BN terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban yang diuar-uarkan Perdana Menteri ternyata hanya janji kosong.

“Kerajaan Negeri berpendapat rakyat Malaysia haruslah diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam memastikan wang rakyat ditadbir dan diurus secara adil dan beramanah.

“Bagi menepati janji Kerajaan Selangor untuk membanteras kegiatan rasuah di setiap peringkat, kita menyediakan satu dana khas (whistle blower fund) untuk membantu membiayai kos guaman Rafizi,” katanya semasa sidang media di SUK di sini semalam.

Menurut Abdul Khalid, dana itu diperolehi menerusi peruntukan Geran Selangorku sejumlah RM5 juta untuk membanteras rasuah.

Beliau berkata, dana itu akan digunakan kepada pihak yang dianiayai dalam usaha membanteras rasuah di negeri ini.

“Kerajaan Negeri boleh menggunakan dana tersebut untuk mempertahankan individu yang teraniaya supaya usaha membanteras rasuah dapat dilakukan dengan lebih efektif,” katanya lagi.

Mahkamah Seksyen Shah Alam menetapkan bayaran ikat jamin sebanyak RM15,000 terhadap Rafizi dan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad serta menetapkan tarikh perbicaraan kes ini pada 10 Septermber depan.

Rafizi ditahan polis atas pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Akan Jumpa Kerajaan Pusat Bincang Peruntukan Pembangunan

GOMBAK, 7 JULAI : Kerajaan Selangor akan mengadakan pertemuan khas dengan kerajaan pusat dengan harapan pusat dapat menambah peruntukan ke negeri untuk tujuan pembangunan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Selangor menyumbang kira-kira 23 peratus kepada jumlah pendapatan negara namun kerajaan pusat hanya mengembalikan kepada kerajaan Selangor kira -kira tiga peratus dalam bentuk pembangunan.

“Saya ingin bertemu dengan kerajaan pusat untuk mengingatkan mereka bahawa setiap pembangunan Malaysia adalah sumbangan dari negeri Selangor yang sangat besar.?

Abdul Khalid berkata, peruntukan yang sepatutnya disalurkan oleh kerajaan pusat itu penting untuk pembangunan Selangor.

Beliau menambah, Geran Selangorku adalah bonus kepada rakyat Selangor hasil keuntungan anak syarikat dan kutipan hutang daripada Talam Corporation Bhd.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab dengan penggunaan dana kerajaan, semua rakyat Selangor mesti merasai pembangunan di negeri ini,” ujar Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Program Penerangan Geran Selangorku di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Gombak, Greenwood di sini.

Turut hadir Exco-exco Selangor, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dan Adun Batu Caves, Amiruddin Saari.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Aala berkata MPS menjangka akan mendapat cukai taksiran sebanyak RM 50 juta untuk 2012.

“Kawasan industri akan dibangunkan di Selayang dengan nilai pembangunan kira-kira RM 10 bilion yang akan menjana pembangunan ekonomi di kawasan MPS ini,” katanya.

Tambah beliau, MPS akan membangunkan produk pelancongan di Selayang seperti Batu Caves, Taman Rimba Templer dan Batu Arang bagi menarik pelancong dalam dan luar negara.

“Batu Arang akan diwartakan sebagai kawasan pelancongan yang telah berumur 100 tahun,” katanya.

 

 

Categories
SELANGOR

RM 1.33 Juta Untuk Bina Pusat Wanita Berdaya Di Seluruh Selangor

GOMBAK, 7 JULAI : Dalam masa tiga bulan, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor akan mendapat Pusat Wanita Berdaya (PWB) tersendiri bagi meningkatkan taraf socio-ekonomi wanita di seluruh Selangor.

Rancangan ini akan dijayakan dengan peruntukan RM 1.33 juta dari Geran SelangorKu bagi membina 35 PWB baru. Setakat ini Kerajaan Negeri sudah membina 21 PWB di sekitar Selangor.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Rodziah Ismail berkata misi Pemberdayaan Wanita Selangor akan menyaksikan PWB menjadi hub aktiviti wanita yang akan menghubung jalin wanita setempat dan di seluruh Selangor.

“Ia akan menjana kreativiti dan inovasi ke arah meningkat kualiti hidup wanita, keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka,” kata Rodziah di satu majlis penyampaian cek Geran Selangorku untuk PWB berjumlah RM 1.33 juta.

Cek tersebut disampaikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa Program Penerangan Geran Selangorku di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Gombak, Greenwood di sini semalam.

Setiap PWB memberi peluang wanita menceburi bidang-bidang kemahiran seperti menjahit, memasak dan membuat kraftangan bagi menjana pendapatan tambahan bagi keluarga mereka.

 

 

Categories
SELANGOR

MB : Selangor Kaji Budaya Membaca Yang Lemah

SHAH ALAM, 30 JUN: Kerajaan Selangor akan mempertimbangkan peruntukkan di bawah Geran SelangorKU untuk membuat kajian mengenai budaya membaca yang masih rendah di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata peratusan rakyat Selangor – negeri yang paling maju – yang membeli buku masih rendah dan masalah ini perlu dikenalpasti dan diselesaikan.

“Peratusan yang rendah ini perlu dikaji, adakah rakyat tidak suka membaca? Atau kurangnya kedai yang menjual buku-buku bermanfaat kepada rakyat?” katanya ketika ucapan perasmian Hari Ilmu dan Pesta Buku Selangor 2012 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Turut hadir, Exco-exco Selangor, Dr. Halimah Ali dan Dr. Yaakob Sapari, ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan serta Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Mastura Muhamad.

Dalam majlis yang sama, Abdul Khalid turut mengambil bahagian dalam ’15minutes Reading Break’ bersama-sama hadirin.

Pesta Buku Selangor kali ke-7 berlangsung selama 11 hari mulai 29 Jun sehingga 9 Julai bermula pukul 10 pagi sehingga 9 malam di SACC.

Pada tahun ini, seramai 163 unit gerai buku dengan 79 pempamer mengambil bahagian termasuk Karangkraf, Al-Hidayah, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Sasbadi dan E-Media.

Pesta ini turut mendapat kerjasama dari jabatan-jabatan kerajaan dan sektor swasta seperti Jabatan Pelajaran Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam, Kumpulan Media Karangkraf, TVSelangor, dan Persatuan Seniman Paksi Rakyat.

Pada majlis itu, bekas wartawan tersohor Utusan Melayu Said Zahari dinobatkan sebagai tokoh Penulis Selangor 2012.

Manakala Prof Datuk Dr Raja Abdullah Yaakob dianugerahkan Tokoh Pustakawan Selangor 2012.

Said dan Raja Abdullah masing-masing menerima cek bernilai RM10,000 seorang.

Bertemakan ‘Baca dan Amalkan’, pesta buku ini merupakan suatu kesempatan terbaik kepada seluruh masyarakat untuk membawa ahli keluarga bagi mendapatkan bahan bacaan terkini.

Categories
SELANGOR

Penduduk Serdang Raya Gembira Jalan Sudah Diturap

SERDANG 23 JUN : Penduduk Serdang Raya kini boleh menarik nafas lega selepas kerja-kerja menurap jalan-jalan di kawasan itu selesai dan kini boleh digunakan.

Seorang penduduk, Eng Teck Hock, 51, ketika ditemui melahirkan perasaan gembira kerana jalan ini merupakan laluan utama bagi penduduk di sini untuk ke jalan utama.

“Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri serta Majlis Perbandaran Subang Jaya(MPSJ) kerana mengotakan janji untuk menurap jalan yang bermasalah ini,” katanya.

Sementara itu, Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM400,000 di bawah Geran Selangorku bagi kerja-kerja menurap jalan di kawasan ini.

Katanya, jalan ini rosak dan tidak diturap selama hampir 10 tahun dan tentunya menyukarkan pengguna serta penduduk di sini melakukan aktiviti harian.

“Sebelum ini jika terdapat kerosakan atau jalan berlubang, tindakan yang diambil hanyalah menampal dan ianya tidak mampu bertahan lama,” katanya yang juga Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram.

Manakala seorang lagi peniaga runcit di kawasan ini, Sin Lean Fatt, 48, berkata, jalan yang diturap ini memudahkan urusan peniaga dan juga pembeli kerana jalannya luas dan selesa.

“Sebelum ini keadaan jalan ini sesak kerana jalan berlopak-lopak dan ketiadaan parkir yang selesa bagi penduduk di kawasan ini,” katanya yang sudah tujuh tahun menjalankan perniagaan di sini.

Selain itu, Ean turut menyatakan terdapat 21 jalan kesemuanya di kawasan ini yang perlu diturap semula di bawah peruntukan Geran Selangorku pada tahun ini.

Categories
NASIONAL

Faekah : Dr Khir, Jangan Hina Penjawat Awam Lagi

SHAH ALAM, 17 JUN : Pemberian projek di bawah peruntukan Geran Selangorku tidak ditentukan Menteri Besar, sebaliknya diluluskan oleh jawatankuasa yang dianggotai pegawai tinggi kerajaan. Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, Geran Selangorku diurus secara telus dan teratur, sekali gus menutup ruang mana-mana pihak mengaut keuntungan atas angin sebagai orang tengah.

Jelasnya, setiap projek diberikan secara terus kepada kontraktor tanpa perlu ada pelobi. Tidak seperti era pemerintahan kerajaan Umno-BN yang hanya menyerahkan kontrak kepada kroni dan kaum keluarga sahaja.

“Dakwaan Dr Mohamed Khir Toyo bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkuasa sepenuhnya meluluskan kontrak dana Geran Selangorku demi memperkukuh kedudukan politik di negeri ini merupakan tuduhan jahat melampau.

“Lebih baik Dr Khir tutup mulut kerana beliau hanya akan membuka pekung di dada. Segala kesilapan dan kelemahan sepanjang dua penggal menjadi menteri besar akan habis terburai. ?Kerana beliaulah, ratusan juta hutang syarikat pemaju kepada kerajaan negeri tidak dikutip dan ribuan ekar tanah jatuh ke tangan pemaju dan tauke-tauke kaya,” selarnya.

Faekah berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Bekas Menteri Besar, Dr Khir yang mendakwa penggunaan peruntukan Geran Selangorku bernilai RM 300 juta tidak mengikut prosedur. Dr Khir dilaporkan berkata penggunaan dana itu membelakangkan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Faerkah menjelaskan Geran Selangorku tidak termasuk dalam perbendaharaan negeri. ?Justeru, penggunaannya tidak memerlukan kelulusan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.  ?Perkara yang sama dilakukan di peringkat Kerajaan Persekutuan di mana terdapat peruntukan yang dikelola terus dari Jabatan Perdana Menteri di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (Implementation Coordination Unit – ICU).

?(Ia) tidak melalui KSN mahupun Perbendaharaan.? Tambah Faekah, Geran Selangorku telah berjaya menyelesaikan masalah yang ditinggalkan bertahun-tahun oleh pentadbiran Dr Khir dan Menteri Besar Menteri Besar Umno-BN yang dulu, iaitu hutang Talam Corporation yang RM 319 juta.

Menurut Faekah, Dr Khir sepatutnya berasa malu kepada rakyat Selangor kerana kegagalan beliau mengutip hutang yang dimilikirakyat Selangor.Katanya, Geran Selangorku adalah hasil kebijaksanaan kerajaan Pakatan Rakyat mengutip hutang lapuk yang sengaja dilupakan Dr Khir.

“Setelah kita berjaya mengutip hutang tersebut dan mahu mengembalikan kepada rakyat Selangor melalui Geran Selangorku, sekonyong-konyong Dr Khir mahu mengambil bahagian. Faekah menerangkan, di bawah projek ICU, semua permohonan cadangan dari Adun dikemukakan kepada Pegawai Pembangunan Negeri untuk dipanjangkan kepada ICU.

Geran Selangorku pula diterajui oleh Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor. Jawatankuasa ini dianggotai Ketua Pentadbir Perbadanan Menteri Besar (MBI), Jurutera dan Jurunilai dari Jabatan Kerja Raya, Pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri, akauntan dan jurutera bebas serta pegawai-pegawai dari Pejabat Menteri Besar.

Kesemua projek yang dikemukakan kepada Jawatankuasa ini kemudiannya diunjurkan oleh ADUN, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Melalui geran ini juga, Kerajaan Negeri berusaha menghidupkan semula Geng Jalan (Road Gang) di PBT bagi melaksanakan projek yang mudah dengan cepat seperti penurapan semula jalan-jalan.
Di bawah Geran Selangorku, kelulusan projek dan sebut harga dilakukan oleh Jawatankuasa Pemandu yang tidak ada kepentingan.

Manakala pemberian kontrak pula dibuat oleh PBT atau PTD masing-masing dan pelaksanaan projek diaudit badan bebas termasuk JKR sebelum bayaran boleh dibuat oleh MBI. ?Kita faham ramai yang dengki dengan Geran Selangorku diurus secara telus dan teratur, sekali gus menutup ruang mana-mana pihak mengaut keuntungan atas angin sebagai orang tengah.

?Setiap projek diberikan terus kepada kontraktor tanpa perlu ada pelobi,? kata Faekah. ?Ini berbeza dengan zaman Dr Khir apabila projek-projek diberikan secara terus kepada kaum keluarga, biras, ipar duai, suku sakat dan kroni.

?Amalan hina ini telah berkubur bersama terkuburnya pemerintahan UMNO pada 2008.?

Categories
SELANGOR

Halimah : RM10,000 Untuk MAPPIM Perkasa Pendidikan Islam

SHAH ALAM, 19 MEI : Kerajaan Negeri Selangor akan memperuntukkan sejumlah RM10,000 kepada Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) yang mengambil inisiatif memartabatkan peranan guru dan ibu bapa di negeri ini.

Perkara itu diumumkan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali semasa merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam 2012 dan pelancaran MAPPIM di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.

Menurut Dr Halimah, menerusi ‘Geran Selangorku’ insentif itu disifatkan sebagai permulaan khusus buat MAPPIM melaksanakan aktiviti pertubuhan tersebut yang akan diserahkan dalam tempoh seminggu lagi.

“Untuk peruntukan selanjutnya, saya beri tempoh selama sebulan kepada MAPPIM bagi membuat kertas kerja secara rapi meliputi perancangan, aktiviti dan latihan yang akan dilaksanakan khususnya di Selangor,” katanya.

Majlis itu bertujuan untuk menghimpunkan para guru, ibu bapa dan ahli PIBG serta individu dalam satu forum ke arah memberi dan menerima idea-idea serta resolusi bersama dalam memperkasakan pendidikan Islam di Selangor.

Selain itu, ia bagi melaksanakan perkongsian ilmu dan persefahaman di antara PIBG sekolah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia dan PIBG sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam (Jais) negeri.

Hadir sama, Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman dan Presiden MPPIBGS dan MAPPIM, Misswadi Sarbini.

Dalam pada itu, Dr Halimah turut mengingatkan semua pihak termasuk ibu bapa dan guru untuk memainkan peranan mendidik generasi muda khusunya belia supaya tidak terjebak dalam gejala sosial tidak sihat.

Ini kerana menurutnya, pembentukan sahsiah dan jati diri yang baik akan melahirkan generasi berhemah tinggi.

“Gabungan ibu bapa dan guru ini mestilah diatur dengan sistematik supaya matlamat kerajaan Selangor untuk melahirkan modal insan yang berjaya dunia akhirat akan tercapai,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

MB : Kompleks Sukan Untuk Setiap Daerah

 

SHAH ALAM, 17 MEI: Setiap daerah di Selangor bakal mendapat kompleks belia melalui peruntukkan Geran Selangorku sebagai usaha membudayakan sukan.

Khabar gembira ini diumumkan sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Majlis Ramah Mesra Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Kontinjen Selangor Sukma 2012.

Menurut Abdul Khalid, sebanyak RM 8 juta diperuntukkan bagi pembinaan kompleks ini dan semua pegawai daerah diminta bersedia untuk melaksanakan program ini.

“Setiap daerah mendapat gelanggang belia. Satu gelanggang futsal, bola jaring dan dataran belia. Peruntukan telah dibuat dan sudah diberikan.

?Dari RM20 juta, RM 8 juta digunakan untuk persediaan,” katanya.

Turut hadir Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan Selangor, Dr. Ahmad Yunus Hairi, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Arif Abd Rahman selaku Timbalan Ketua Kontinjen.

Dr Ahmad Yunus yang ditemui dalam sidang media berkata, program kompleks belia ini akan diperluaskan ke seluruh 56 Dun di Selangor mengikut kesesuaian setempat.

“Kita menganggarkan sebanyak RM 200,000 semua prasarana yang akan dibuat dan perancangan kita ingin membuat di semua Dun dengan kos RM8 juta hingga RM10 juta.

?Bergantung kepada keperluan sebab antara spesifikasinya kalau tanah gambut kita akan adakan piling. Itu yang akan buat perbezaan dari segi harga,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dana Khas Bantu GLC Selangor Laksana Gaji Minima


SUBANG JAYA 12 MEI : Kerajaan negeri memperuntukkan dana khas untuk membantu Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Selangor bagi menjayakan misi Kerajaan Pakatan menyelaraskan gaji minima sebanyak RM 1,500 ke atas semua kakitangannya.

Dana tersebut menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diberikan sebagai usaha dan komitmen kerajaan negeri dalam menterjemahkan hasrat dan janji yang dibuat sebelum ini.

“Kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa yang terbatas namun kita masih menjalankan usaha untuk syarikat-syarikat GLC bagi merealisasikan hasrat gaji minima RM 1,500.

“Maka kita sediakan dana sebanyak RM5 juta hingga RM10 juta di bawah Geran Selangorku khusus bagi membantu syarikat-syarikat GLC yang tidak berkemampuan untuk memberi latihan kepada pekerja agar kesemua kakitangan layak menerima gaji RM 1,500.

“Sebagai contoh, kita boleh melatih seorang pekerja am atau pencuci pejabat untuk membuat kerja lain seperti ‘filing’ dan menjawab telefon bagi membolehkannya meningkatkan kemahiran diri seterusnya layak menerima gaji minima seperti yang digariskan,” jelas Abdul Khalid sewaktu sidang media pagi tadi ketika merasmikan kejohanan futsal industri piala Datuk Menteri Besar Selangor 2012 di sini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu kesemua syarikat GLC sudah melaksanakan dasar tersebut dan kerajaan negeri sentiasa memantau perlaksanaannya dari semasa ke semasa.

Menurut beliau lagi, seharusnya penyelarasan gaji minimum dilakukan melalui perbincangan ‘wage counsel’ yang diadakan setiap tahun atau dua tahun sekali bagi memutuskan gaji minima yang sesuai.

“Gaji minimum mestilah diputuskan hasil perbincangan antara kerajaan, kesatuan pekerja dan juga majikan dengan mengambil kira soal keuntungan dan inflasi pada masa tersebut.

“Atas prinsip itu juga, maka Pakatan Rakyat (PR) akan menganjurkan Majlis Himpunan Pekerja pada 13 Mei ini bagi membincangkan tawaran PR untuk menjelaskan mengenai dasar gaji minima yang ditawarkan,” ujar Abdul Khalid sambil menyeru semua hadir mendengar tawaran PR pada Ahad ini di Stadium Melawati Shah Alam.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Akan Lancar “Kempen Selangorku Bersih” Untuk Bantu SPR

PUTRAJAYA 19 APR : Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan sedia bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha membersihkan daftar pemilih khususnya di negeri Selangor melalui “Kempen SelangorKU Bersih”.

Pengumuman itu dibuat di lobi Ibu Pejabat SPR di sini sejurus selesai pertemuan antara rombongan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi SPR, Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Rombongan tersebut turut melibatkan Speaker Speaker Dewan Selangor, Datuk Teng Chang Khim, ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan Pengarah SPR Selangor, Dzulkifli Abdul Rahman.

“Kami telah mendengar taklimat SPR dan berbincang pelbagai isu melibatkan pilihanraya termasuk pembersihan daftar pemilih di Selangor yang melibatkan rekod perpindahan kawasan tanpa pengetahuan pengundi.

“Antara lain, kami memaklumkan kepada SPR bahawa Kerajaan Negeri memandang serius pergerakan dan pemindahan pengundi ke dalam Selangor dan mahu SPR mengambil langkah tertentu untuk membersihkan daftar pengundi,” jelas Abdul Khalid.

Dalam pertemuan yang sama juga, beliau memaklumkan kepada SPR usaha-usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri untuk menguatkan demokrasi di Selangor.

“Kita memperuntukkan RM 5 juta untuk Program Pendemokrasian di bawah Geran Selangorku.

“Ini inisiatif khusus bagi membolehkan semua pihak tanpa mengira parti politik membuat bantahan jika terdapat mana-mana pengundi yang meragukan,” beritahu Abdul Khalid.

Ketika diminta mengulas pertambahan senarai daftar pengundi yang meragukan di Selangor, beliau menjelaskan Kerajaan Negeri akan membantu pihak SPR memantau perkara berkenaan melalui Kempen Selangorku Bersih.

“Kempen ini akan melibatkan kakitangan Kerajaan Negeri seperti Ketua Kampung dan JKKK untuk membantu memastikan senarai daftar pemilih adalah bersih dan teratur.

“Ini kerana rakyat berhak mendapat sebuah kerajaan yang telus dan bertanggungjawab,” jawab Abdul Khalid.

Berhubung dakwaan kononnya Kerajaan Negeri tidak akan menyertai pilihanraya umum semata-mata untuk menggunakan sumber negeri bagi membiayai kempen pilihanraya Pakatan Rakyat di negeri lain, Abdul Khalid enggan mengulas lanjut.

“Exco nak dapat satu sen pun susah, inikan pula hendak bagi dekat negeri-negeri lain,” celah Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali yang berdiri di sebelah Abdul Khalid.

Categories
SELANGOR

Geran SelangorKu: 150 Projek Infrustruktur Diluluskan

SHAH ALAM, 14 APRIL: Sebanyak 150 projek inftrastruktur di seluruh negeri telah diluluskan menggunakan peruntukan di bawah Geran Selangorku yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa satu hingga empat.

Bagi fasa satu sebanyak 19 projek infrastruktur diluluskan dan akan dimulakan dalam waktu terdekat selepas proses pemilihan kontraktor selesai.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, fasa dua pula sebanyak 17 projek diluluskan, fasa tiga 37 projek dan fasa empat 77 projek.

“Bagi fasa satu dan dua, peruntukan yang diluluskan untuk kesemua projek ini sebanyak RM5.4 juta manakala fasa tiga dan empat masih di peringkat perbincangan.

“Projek- projek yang diluluskan ini melibatkan kerja membaiki, membina dan menurap semula jalan, memasang lampu jalan, membina longkang, menaik taraf masjid,  pembinaan inftrastuktur sukan seperti gelanggang futsal.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penerangan Geran Selangorku kepada penduduk di Sungai Ayer Tawar di Sabak Bernam sempena Program Khas Mesra Rakyat fasa tiga peringkat Daerah Sabak Bernam, semalam.

Geran Selangorku memperuntukkan sebanyak RM300 juta untuk projek inftrastruktur. Peruntukan itu hasil kejayaan kerajaan negeri mengutip semula hutang TALAM yang kemudian disalurkan semula kepada rakyat.

Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai pegawai kanan kerajaan negeri menentukan kelulusan projek berkenaan termasuk pemilihan kontraktor manakala proses sebut harga dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah.

Daripada 150 projek itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencatatkan jumlah tertinggi dengan 29 projek diikuti Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebanyak 27 projek, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) masing-masing 15 projek.

Mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, Sri Muda menerima kelulusan terbanyak dengan 31 projek, Meru (20), Telok Datok (13), Morib (14) dan Selat Klang (7).

Sementara itu, Program Khas Mesra Rakyat dimulakan dengan Menteri Besar menghadiri perhimpunan di Dewan Seri Bernam bersama pemimpin masyarakat diikuti sesi aduan rakyat yang memberi peluang orang ramai mengadu masalah secara terus kepada EXCO, pejabat daerah dan tanah.

Menteri Besar selaku Exco Pembangunan Tanah juga meluangkan masa hampir sejam untuk menyelesaikan beberapa masalah tanah yang diadu  kepada beliau.

Pada sebelah petang, Menteri Besar meramah mesra dengan golongan belia dan menyaksikan perlawanan futsal antara pasukan pilihan Menteri Besar dan pasukan pilihan belia tempatan sekali gus merasmikan Gelanggang Futsal Sungai Ayer Tawar. Pada malam pula diadakan ramah mesra dan jamuan rakyat di Stadium Mini Sabak Bernam.

Categories
SELANGOR

Peruntukan RM 22 Juta Untuk Pembangunan Luar Bandar

SABAK BERNAM, 13 APR :  Kawasan luar bandar di Selangor akan menerima peruntukan sebanyak RM22 juta untuk pembangunan .

Peruntukan ini merupakan sebahagian daripada agihan Geran Selangorku yang berjumlah  RM300 juta.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, agihan tersebut akan disalurkan kepada setiap kawasan DUN bertujuan memperbaiki infrastruktur tempat seperti jalanraya berlubang dan kemudahan-kemudahan asas.

Menurut Abdul Khalid agihan ini diberikan kepada Adun-Adun supaya proses agihan ini dapat dilakukan dengan lebih cepat dan tidak perlu menunggu sehingga tiga ke empat bulan.

“Sebelum ini prosiding seperti menurap jalan yang berlubang dilakukan dengan mengambil masa selama berbulan-bulan sedangkan rakyat setempat menanggung beban akibat jalan yang berlubang.

“Dengan peruntukan ini segala masalah ringan penduduk luar bandar akan dapat di selesaikan dengan segera,” katanya

Selain itu katanya, penduduk di luar bandar seperti di daerah Sabak Bernam turut menerima insentif daripada kerajaan negeri.

” Jika Subang Jaya menerima peruntukan pembangunan, kita akan beri juga kepada Sabak Bernam,” katanya ketika memberi ucapan mengenai pelaksanaan Geran Selangorku di Dewan Sungai Air Tawar, Sabak Bernam hari ini.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengambil pendekatan yang berbeza dalam isu pembangunan di luar bandar kerana ramai golongon muda yang berhijrah ke bandar untuk mencari kerja.

Jelas Abdul Khalid, kerajaan negeri akan membuat pembangunan yang sesuai bagi golongan belia di luar bandar supaya mereka tidak lagi perlu ke bandar untuk bekerja.

Selain itu, matlamat kerajaan negeri adalah untuk meningkatkan ekonomi penduduk di luar bandar seperti nelayan dan petani supaya mereka dapat menikmati kehidupan selesa.

Abdul Khalid hadir bersama barisan Exco-exco dan Adun-Adun yang terdiri daripada Ahmad Yunus Hairi, Yaakob Sapari, Xavier Jayakumar, Ronnie Liu Tian Khiew, Ng Suee Lim bersama Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) Daerah Sabak Bernam.