Categories
AGENDA GLOBAL

Masjid Hagia Sophia di Turki dibuka semula selepas 86 tahun

ISTANBUL, 25 JULAI: Masjid Hagia Sophia yang terkenal di Turki dibuka semula untuk ibadah buat pertama kalinya selepas 86 tahun dengan solat Jumaat, lapor agensi Anadolu.

Monumen ikonik itu berfungsi sebagai gereja selama 916 tahun sehingga penaklukan Istanbul, dan sebuah masjid dari tahun 1453 hingga 1934 – hampir 500 tahun – dan terakhir sebagai muzium selama 86 tahun.

Salah satu bangunan bersejarah di Turki paling banyak dikunjungi pelancong tempatan dan antarbangsa, pada 1985, semasa dijadikan muzium, Hagia Sophia dimasukkan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.

Pada 10 Julai, sebuah mahkamah Turki membatalkan keputusan Kabinet 1934 yang menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium, membuka jalan untuk ia digunakan kembali sebagai masjid selepas 86 tahun.

Di era baru Hagia Sophia, Pengarah Hal Ehwal Agama Turki  memantau perkhidmatan keagamaan di masjid, sementara Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan pula mengawasi kerja-kerja pemulihan serta pemuliharaan.

Khazanah seni bina itu juga  dibuka untuk pelancong domestik dan luar secara percuma.

Pada Khamis, pihak berkuasa tertinggi agama Turki melantik tiga imam dan lima muazin untuk Masjid Hagia Sophia.

Ketua Hal Ehwal Agama Turki (Diyanet) Ali Erbas berkata Mehmet Boynukalin, Ferruh Mustuer, dan Bunyamin Topcuoglu dilantik sebagai imam masjid.

Boynukalin adalah seorang profesor di Jabatan Sains Agama Universiti Marmara.

Menurut Erbas, mereka melantik ulama terkenal sebagai imam sesuai dengan tradisi Uthmaniyyah.

Selain itu Mustuer dan Topcuoglu telah memenangi pertandingan membaca al-Quran antarabangsa.

Ketika solat berlangsung, lukisan, gambar, dan mozek ditutup dengan tirai dan dibuka semula selepas selesai.

Pada Khamis, Presiden Turki melancarkan plat nama baharu Masjid Hagia Sophia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gereja tutup sehingga perintah kawalan tamat

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Gereja terus ditutup sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan sepenuhnya walaupun kerajaan dalam pengumuman terbaharu membenarkan rumah ibadat bukan Islam di kawasan zon hijau dibuka semula pada 10 Jun.

Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia Rev Dr Hermen Shastri berkata sama ada gereja akan dibuka semula pada 10 Jun, keputusan itu akan dikaji dengan bijaksana apabila tiba masanya.

“Kami berusaha untuk mengutamakan keselamatan orang ramai sebagai tanggungjawab kerohanian terpenting kami. Keadaan terkini masih sangat tidak menentu dan tidak stabil,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Hermen berkata, buat masa ini, perkhidmatan ibadah pada Ahad akan terus ditawarkan menerusi penstriman dalam talian.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MCA perlu mohon maaf buat tuduhan melulu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 OGOS: MCA dituntut memohon maaf kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana menuduh beliau serta pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menghormati penganut agama.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, MCA juga perlu memohon maaf kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), PKR, DAP dan Ketua Biskop Kuala Lumpur, Julian Leow, yang sebelum ini mendedahkan pihaknya sudah berbincang dengan PBT serta bersetuju gereja di Ladang Brehma, Kajang yang terbengkalai itu dirobohkan.

Katanya, Paderi Julian pada 19 Ogos lalu memberitahu penganut Gereja Holy Family di Kajang bahawa beliau bersetuju membenarkan MPKj meroboh gereja St Joseph itu, yang satu ketika dahulu digunakan pekerja Ladang Brehma.

ong-kian-ming“Maklumat mengenainya boleh diperolehi daripada PBT dan Kerajaan Negeri selain Perseketuan Kristian Malaysia dan gereja Katolik yang terlibat.

“Kenyataan itu tidak bertanggungjawab kerana MCA sepatutnya mendapatkan maklumat sebelum membuat tuduhan. Ketua Paderi Katolik itu sendiri merestui ia dirobohkan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Julian memaklumkan untuk menasihatkan paderi, Surain Durai Raj, yang pernah memimpin gereja itu bagi bekerjasama dan membantu PBT memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Gereja kecil di Jalan Saujana pada asalnya dibina di Ladang Brehma untuk memenuhi keperluan pekerja Katolik di situ.

Ekoran penutupan ladang dan pembangunan di sekitar kawasan tersebut, gereja itu sudah tidak lagi digunakan dan menjadi bangunan tidak sah di rizab jalan.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Ng Chok Sin menuduh MPKj bertindak melulu dan melakukan perobohan di tengah malam tanpa pengetahuan penganut Katolik di situ.

Chok Sin mendakwa Pakatan tidak menjaga hak agama orang bukan Islam dalam isu perobohan gereja terbabit selain menyalahkan Azizah yang merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Haniza: Keputusan NFA demo gereja Taman Medan contoh tak baik

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 DIS: Adun Taman Medan, Haniza Talha menyifatkan keputusan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap peserta protes sebuah gereja, di sini, pada 19 April lalu tidak menghairankan.

Katanya, keputusan penutupan kes itu memberikan contoh yang tidak baik dalam konteks keharmonian kaum di negara ini.

Namun, beliau kekal dengan pendirian bahawa insiden itu mempunyai agenda politik individu tertentu.

haniza“(Keputusan) ini memberi isyarat yang salah seolah-olah adalah ‘ok’ mengugut penganut agama lain dan desak untuk ikut kehendak serta kemahuan pihak yang mengugut.

“Jika kehidupan yang harmoni ingin diwujudkan, setiap kaum dan penganut agama (perlu) menghormati adat budaya serta agama lain,” katanya kepada Selangor Kini, di sini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulisnya berkata polis sudah melengkapkan siasatan dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara yang dianggap ‘tiada tindakan lanjut’ atau NFA.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang bertanya status siasatan peserta protes gereja.

Protes itu disertai hampir 50 orang termasuk dan turut dihadiri abang Ketua Polis Negara, Datuk Abdullah Abu Bakar.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Jangan main isu agama, tak salah rumah ibadat di premis perniagaan

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 APR:  Kewujudan rumah ibadat di premis perniagaan bukan asing dan dibenarkan Kerajaan Negeri, kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam, V Ganabatirau.

Beliau berkata, namun kewujudannya perlu dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat untuk rekod.

“Ia bukan suatu yang asing. Kewujudan rumah ibadat bukan sahaja gereja, bahkan kuil dan surau dibenarkan di dalam premis perniagaan. Ini  bukan sahaja berlaku di Selangor tetapi negeri lain.

PC YB Ganabatirao (3)“Ia tidak seperti perniagaan yang perlu memohon lesen, sebaliknya hanya perlu memaklumkan kepada PBT terlibat berkenaan kewujudan itu.

“Rumah ibadat ini perlu didaftarkan di ROS. Untuk gereja, ia juga perlu didaftarkan dalam rangkaian gereja di bawah ‘Mother Church’,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pertikaian salib gereja yang berlaku di Taman Medan, pada 19 April lalu.

Dalam insiden itu, kira-kira 50 individu berkumpul di luar gereja baharu yang terletak di sebuah rumah kedai menuntut salib yang dipasang dibuang kerana dikatakan mengancam cabaran agama Islam dan boleh menjejaskan akidah anak muda.

20150418222642Mengulas lanjut, Ganabatirau berkata, perkara itu tidak boleh dilihat dari sudut sentimen agama kerana Malaysia mengamalkan kebebasan beragama menurut Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Insiden ini jelas menunjukkan mereka tidak menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan rakyat negara ini bebas mengamal dan mempraktikan agama mengikut fahaman masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan protes itu berunsur hasutan dan tindakan akan diambil terhadap penduduk terlibat.

“Kalau pemimpin politik seperti Exco Kanan Selangor, Nik Nazmi boleh di tahan lokap hanya kerana menyertai demontrasi aman.

“Mengapa sehingga hari ini masih belum ada sebarang tindakan ke atas peserta demontrasi yang ternyata menimbulkan provokasi dan ketegangan dalam kalangan agama,” kata Ganabatirau.

-NFN-

Categories
SELANGOR

KPN perlu arah pegawai lain siasat kes Taman Medan

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 APR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak boleh terbabit dalam siasatan tunjuk perasaan di sebuah gereja, di Taman Medan dan perlu menyerahkannya kepada pegawai lain.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sikap sambil lewa beliau menunjukkannya tidak profesional kerana ahli keluarga sendiri terlibat dalam kes itu.

niknazmi“Tingkah laku mereka tidak melambangkan keperibadian umat Islam dan sangat memalukan .

“Apa yang lebih mengecewakan, kedaulatan undang-undang dan perlindungan sama rata tidak dipraktik secara adil masa kini,” katanya dalam kenyataan media.

Nik Nazmi berkata, setiap individu berhak mengamalkan budaya dan agama masing-masing yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tidak percaya dengan memaparkan lambang salib boleh menghakis kepercayaan atau keimanan individu.

“Setiap individu yang terlibat perlu cermin diri jika mereka rasa hal begitu remeh boleh mencabar kepercayaan kepada agama Islam,” katanya.

-NFN-

 

Categories
SELANGOR

Azizah: Islam tak didik ganggu simbol agama lain

SHAH ALAM 21 APR: Islam tidak pernah mendidik penganutnya bertindak mengarahkan simbol agama lain diturunkan.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, bantahan di Taman Medan itu mempunyai niat politik dan bertentangan Islam yang menganjurkan semangat hormat-menghormati antara pelbagai agama.

Meeting Wan Azizah isu banjir di Kajang (7)“Protes itu jelas berbaur politik kerana Islam tidak mengajar tindakan demikian,” katanya dipetik The Malay Mail Online.

Wan Azizah juga mengimbau kisah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendapati salib diturunkan ketika melawat gereja dan bertanya hal itu.

Kemudian Nik Aziz diberitahu salib diturunkan kerana kerja pengubahsuaian berjalan di gereja itu bukan sebab kehadiran beliau.

“Nik Aziz sangat prihatin berkenaan itu. Ini adalah Islam sebenarnya,” katanya yang juga Adun Kajang.