Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC uji Kelantan FC malam ini

SHAH ALAM, 6 FEB: Malam ini akan berlangsungnya perlawanan persahabatan pra musim pertama antara pasukan Selangor FC dan Kelantan FC.

Justeru, pasukan Gergasi Merah menerusi Facebooknya mengajak peminat setia pasukan itu hadir memberi sokongan pada perlawanan bertempat di Stadium UiTM di sini, pada jam 8.45 malam ini.

“Jom turun stadium. Tiket boleh dibeli melalui pautan https://ticket.tickethotline.com.my/club/selangor/4/home ,” kata pasukan itu.

Namun, Selangor FC mengingatkan hanya penyokong berusia 13 tahun keatas yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke dalam stadium berkenaan.

“Sekiranya didapati gagal dalam mematuhi terma dan syarat, anda tidak akan dibenarkan masuk dan tiada bayaran balik untuk pembelian anda.

“Jaga keselamatan dan kesihatan, patuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC lancar jersi ‘home’ di Stadium MBPJ Ahad ini, anjur pelbagai aktiviti menarik

SHAH ALAM, 13 JAN: Selangor FC melancarkan jersi ‘home’ bagi saingan Liga Super Malaysia musim baharu pada program Hari Jersi Selangor 2022 Ahad ini.

Pasukan Gergasi Merah itu menerusi Facebook memaklumkan pelancaran itu berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Sertai kami pada hari Ahad ini untuk pelancaran jersi di Hari Jersi Selangor 2022.

“Pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan pada hari itu untuk semua penyokong #GergasiMerah yang akan bersama memeriahkan suasana di stadium nanti,” maklumnya.

Pada pelancaran itu juga Selangor FC dengan kerjasama Team Selangor menganjurkan Klinik Bola Sepak Akar Umbi yang dibuka penyertaan kepada peserta berusia tujuh hingga 12 tahun.

“Program ini akan disertai oleh jurulatih pasukan Selangor FC yang akan mengendalikan sesi latihan pada hari tersebut.

“Slot penyertaan hanya dibuka untuk 240 orang sahaja dengan tiga slot berbeza iaitu 80 peserta untuk satu slot,” katanya.

Selangor FC mengingatkan hanya individu dan ibu bapa yang lengkap menerima dua dos pelalian sahaja dibenarkan hadir pada Hari Jersi Selangor 2022 yang bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Penyerang kelahiran Brazil jadi pemain import ketiga Gergasi Merah

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Selangor FC mengesahkan penyerang kelahiran Brazil Herlison Caion yang beraksi bersama pasukan kelab Thailand Muangkan United, sebagai import ketiga pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Berasal dari Caxias, pemain berusia 31 tahun itu mula menjinakkan diri dalam kancah bola sepak Asia sejak berusia 19 tahun apabila beraksi di Liga Korea bersama Gangwon FC (2009-10) dan kembali bermain di Korea Selatan pada 2018 bersama Daegu FC.

Dalam Liga Thailand, pemain berketinggian 184 sentimeter (cm) menjaringkan 34 gol dan 13 bantuan gol dalam 85 penampilan bersama Navy FC, PT Prachuap FC, Chonburi FC, Suphanburi FC dan Muangkan United dari 2019 hingga 2021.

Ketua jurulatih Selangor FC Michael Feichtenbeiner yakin penyertaan Caion ke kem Gergasi Merah adalah sesuatu yang positif berdasarkan pengalaman dan kebolehan dimiliki pemain itu.

“Saya gembira kami dapat menandatangani dan meyakinkan Caion untuk berpindah dari Thailand ke Malaysia. Beliau telah menjadi pemain yang dikenali dan terbukti kebolehannya dalam bola sepak Thailand sejak 4-5 tahun lepas.

“Dengan gaya bola sepaknya, beliau boleh menyesuaikan diri dengan bola sepak peralihan yang kami mahu mainkan. Kami memerlukan pemain yang boleh menjaringkan gol dan dengan pengalamannya menjaringkan banyak gol di Asia Tenggara, saya mempunyai perasaan yang baik dan keyakinan sepenuhnya kepadanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Caion yang pernah berkhidmat bersama pasukan Denmark, HB Koge pada 2015, berharap dapat bekerjasama demi mencapai rancangan ditetapkan oleh pasukan.

“Mengikut rancangan yang disampaikan kepada saya, kelab ini akan berusaha untuk mencapai kejayaan bersama. Saya percaya musim ini akan menjadi tahun dimana kelab akan mendapat pencapaian yang hebat kerana saya yakin kita mampu mendapatkannya,” katanya.

Caion adalah pemain keenam diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Samuel Somerville, Fazly Mazlan, Zahril Zabri and two Jordanian import players – Yazan Al-Arab and Baha Abdelrahman.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Peluang Gergasi Merah cabar kejuaraan Liga Super masih ada

SHAH ALAM, 23 MAC: Pelantikan jurulatih import baharu dan tempoh persiapan singkat antara faktor permulaan hambar Selangor FC untuk saingan Liga Super 2021, kata pengurusnya.

Mahfizul Rusydin bagaimanapun berkata masih terlalu awal menolak peluang Gergasi Merah untuk mencabar kejuaran atau menduduki kelompok pasukan terbaik musim ini.

“Saingan liga baru masuk perlawanan kelima dan kita yakin Selangor FC mampu bangkit kerana pasukan ini memiliki pemain bagus di setiap posisi.

“Selain itu kita juga menayangkan rakaman perlawanan kepada pemain, perkara ini penting kerana mereka dapat menilai prestasi masing-masing,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Berhubung gesaan penyokong supaya merehatkan ketua jurulatih Karsten Neitzel, beliau berkata adalah tidak adil meletakkan kesalahan kepada individu tertentu kerana bola sepak adalah permainan berpasukan.

Selangor FC hanya mengutip lima mata hasil satu kemenangan serta masing-masing dua seri dan dua kekalahan selepas lima perlawanan.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melantik Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih. Beliau berpengalaman menguruskan Bochum VFL, SV Eleversberg serta membawa Holstein Kiel ke divisyen dua Liga Jerman.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Gergasi Merah perlu pamer aksi bertenaga tentang Harimau Kumbang

SHAH ALAM, 18 MAC: Pemain Selangor perlu meneruskan aksi bertenaga apabila turun menentang Penang FA di laman sendiri pada Sabtu.

Pengurusnya berkata kebolehan mengikat juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 membuktikan kemampuan pasukan itu untuk melakar kejutan dalam saingan Liga Super tahun ini.

“Pemain semakin serasi dengan taktikal ketua jurulatih dari Jerman, Karsten Neitzel selain semangat berpasukan tinggi ketika mengatur serangan dan juga bertahan.

“Rentak ini perlu diteruskan, pemain perlu yakin dengan kemampuan dan kebolehan diri sendiri, ini kunci kejayaan,” kata Mahfizul Rusydin kepada SelangorKini hari ini.

Semalam, Selangor FC merentap ego juara Liga Super tujuh tahun berturut-turut apabila berjaya mengutip satu mata pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.

Gol Gergasi Merah dijaringkan penyerang import, Ifedayo Olusegun seawal minit keenam sebelum penyerang JDT, Bergson da Silva menyamakan kedudukan lima minit kemudian.

Penjaga gol Khairul Azhan Khalid muncul wira selepas berjaya menyelamatkan sepakan penalti Bergson pada minit ke-78.

Selangor kini menduduki tempat kelima menerusi satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Gergasi Merah tunggu keputusan pakar kecederaan Nor Hakim Hassan

SHAH ALAM, 15 JAN: Selangor masih menanti keputusan pakar perubahan sebelum mengesahkan sama ada Mohammad Nor Hakim Hassan mengalami kecederaan ligamen lutut atau Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Jurulatihnya B Sathianathan berkata sebarang keputusan untuk mencari pengganti pemain yang baru ditandatangani itu hanya akan diputuskan kemudian

“Dia belum disahkan (ACL) dan perlu melalui satu lagi pemeriksaan pakar. Setakat ini kita masih menunggu keputusan itu sebelum menentukan pengganti beliau,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Mohammad Nor Hakim antara pemain yang baharu ditandatangani Gergasi Merah dari Perak musim ini bagi menguatkan pasukan.

Sebelum ini, Selangor pernah kehilangan khidmat Wan Zack Haikal sepanjang musim 2019 akibat kecederaan ACL.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Gergasi Merah yakin mampu robek benteng JDT

SHAH ALAM, 3 OKT: Kudrat kesebelasan utama kem Selangor ditagih bagi merobek pertahanan juara Liga Super enam kali, Johor Darul Ta’zim (JDT), pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Larkin nanti.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon yakin Gergasi Merah mampu melaksanakan misi itu ekoran tahap kecergasan, kekuatan mental dan momentum kemenangan pemain berada pada tahap terbaik, kecuali Rufino Segovia dan Wan Zack Haikal yang masih dalam fasa pemulihan panjang.

“Setakat ini pemain berada dalam tahap baik kecuali ada beberapa kecederaan kecil tetapi tempoh rehat yang panjang dapat memberi ruang untuk pulih sebelum perlawanan menentang JDT.

“Selangor mempamerkan permainan agak baik sepanjang musim dan dalam aspek strategi serta teknikal pula mungkin tiada perubahan.

“Di kem latihan, para pemain berkobar menunggu perlawanan ini tetapi apa yang penting adalah untuk memastikan momentum, fokus dan kecergasan pemain sentiasa tinggi serta tidak terganggu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Johan Kamal berkata, pasukan Selangor turut mengaturkan beberapa perlawanan persahabatan bagi memastikan momentum dan kecergasan pemain dapat dikekalkan sebelum menjelang perlawanan pada 19 Oktober ini ekoran tempoh rehat yang panjang.

Menyentuh kelebihan bermain di gelanggang lawan pada separuh akhir pertama, beliau menyifatkannya sebagai satu kelebihan psikologi.

Bagaimanapun katanya, pemain memerlukan sokongan padu penyokong setia gergasi merah apabila bermain di halaman sendiri, pada 26 Oktober ini.

“Saya rasa daripada segi psikologi kita ada kelebihan tetapi sokongan penyokong adalah elemen penting sama ada untuk kita melakukan kebangkitan atau mempertahankan keputusan pusingan pertama,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Sathianathan kecewa aksi lewa pemain

LUMUT, 19 MEI: Jurulatih Selangor, B. Sathianathan kecewa selepas skuad Gergasi Merah gagal melakar kemenangan ke atas PKNP FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), di sini, malam tadi.

Pengendali berusia 60 tahun itu berkata, keputusan seri 1-1 tidak sepatutnya berlaku jika anak buahnya bermain dengan baik dan menyempurnakan peluang yang terhidang sepanjang 90 minit permainan.

“Pemain kena ubah sikap, jangan ambil sambil lewa, saya dah cakap dalam perbincangan sebelum perlawanan dengan pemain. Kita tak boleh pandang rendah keupayaan PKNP FC namun sebaliknya yang berlaku.

“Daripada sepakan penjuru hingga ke sepakan percuma, kita tidak ambil peluang itu. Ada (pemain) yang tendang bola tak sampai sasaran dan langsung tidak membahayakan kubu gol PKNP FC. Jadi, selepas ini semuanya kita kena betulkan,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Pada aksi tersebut, Selangor terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-28 hasil jaringan awang import, Olesegun Ifedayo sebelum PKNP FC berjaya menyamakan kedudukan melalui penyerang, G. Mugenthiran di minit ke-48.

Selain itu, Sathianathan berkata pemain tidak boleh menjadikan berpuasa sebagai alasan yang menyebabkan kegagalan untuk beraksi pada tahap terbaik kerana rata-rata pemain PKNP juga berpuasa, namun dilihat lebih agresif.

Dalam pada itu, beliau memuji aksi ditampilkan pemain PKNP FC yang bersungguh-sungguh sehingga berjaya mengunci pergerakan anak buahnya sepanjang perlawanan.

“Lebih 80 peratus serangan yang kita lakukan ke kubu mereka berjaya dipatahkan. Selain itu, taktik melengah-lengahkan masa permainan yang dilakukan juga berjaya menyekat kita daripada terus melancarkan serangan,” katanya.

Sementara itu, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim memuji aksi yang dipamerkan anak didiknya dalam mengimbangi corak permainan pasukan lawan.

Beliau berkata, walaupun hanya menggunakan dua tenaga import iaitu Yashir Pinto dan Pedro Victor namun mereka masih mampu melancarkan serangan selain menjaringkan gol penyamaan dalam perlawanan itu.

Mengulas aksi menentang Kuala Lumpur di tempat lawan pada 26 Mei ini, Abu Bakar berharap keputusan positif dapat dicatatkan bagi memperbaiki kedudukan semasa di tangga ke-10 daripada 12 pasukan yang bersaing dalam Liga Super.

– BERNAMA