Categories
GLOBAL

‘Bulan Berdarah’ paling lama tarik jutaan pemerhati

NAIROBI 28 JUL: Fenomena Bulan Berdarah menyatukan seluruh peminat astrologi dan pemerhati bintang dunia awal pagi tadi untuk menyaksikan gerhana bulan penuh paling panjang di abad ke 21 ini.

Ribuan pemerhati dari Tanjung Harapan ke Asia Barat, dan dari Kremlin hingga ke Pelabuhan Sydney, menumpukan pandangan ke arah bintang-bintang demi menyaksikan fenomena bulan yang menjadi gelap sebelum bertukar oren, coklat dan kemerahan.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) gerhana bulan penuh itu berlangsung selama 1 jam, 42 minit dan 57 saat. Walaupun ia didahului dengan gerhana separa, ini bermakna bulan akan menghabiskan masa hampir empat jam di dalam bayangan umbra Bumi.

Gerhana bulan penuh itu dapat disaksikan dengan jelas dari Eropah, Russia, Afrika, Asia Barat dan kebanyakan negara Asia dan Australia walaupun awan dikatakan menutupi bulan di beberapa kawasan.

Gerhana itu tidak akan dapat dilihat dari Amerika Utara atau sebahagian besar Pasifik.

Profesor astronomi di University of Cambridge, Andrew Fabian memberitahu Reuters, ia dipanggil Bulan Berdarah kerana sinar matahari memancar menerusi atmosfera Bumi dalam perjalanan ke bulan, dan atmosfera bumi menjadi merah sama seperti ketika matahari terbenam.

“Pada masa yang sama, Marikh bergerak lebih dekat ke Bumi berbanding fenomena sama sejak 2003, jadi beberapa pemerhati mungkin akan dapat melihat sebutir bintang berwarna oren kemerahan yang sebenarnya adalah planet itu.”

Pengarah eksekutif Persatuan Astronomi Diraja, Robert Massey, yang menyaksikan gerhana itu dari Laut Mediterranean berkata dapat menyaksikan gerhana bulan penuh dan Marikh berada dekat pada satu malam yang sama adalah sesuatu yang jarang berlaku dan sangat luar biasa.

SUMBER: REUTERS

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA GLOBAL

Gerhana bulan penuh paling lama abad ke-21 malam ini

LONDON 27 JUL: Fenomena ‘bulan berdarah’ akan dapat dilihat di kebanyakan tempat di seluruh dunia, malam ini hingga awal esok, apabila bulan memasuki bayangan bumi untuk gerhana bulan paling lama dalam kurun ke-21.

Gerhana penuh akan berlangsung selama satu jam, 42 minit dan 57 saat, dengan gerhana separa berlaku sebelum serta selepasnya bererti bulan berada dalam bayangan umbra bumi selama tiga jam 54 minit, kata NASA (Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan).

Gerhana kali ini dapat dilihat dari Eropah, Afrika dan Timur Tengah antara waktu matahari terbenam hingga tengah malam pada 27 Julai selain antara tengah malam hingga matahari terbit pada 28 Julai di sebahagian besar Asia serta Australia.

“Ia digelar bulan berdarah kerana cahaya dari matahari melalui atmosfera bumi sebelum mengenai bulan, manakala atmosfera mengubah warnanya merah, sama seperti terjadi kepada matahari apabila terbenam,” kata profesor astronomi di Universiti Cambridge, Andrew Fabian.

Apabila bulan memasuki bayangan bumi yang berbentuk kon, ia berubah daripada dicahayakan matahari menjadi gelap. Bagaimanapun, sedikit cahaya masih sampai ke bulan kerana dibiaskan atmosfera bumi.

“Jika kamu berdiri di atas bulan ketika gerhana ini, kamu dapat melihat matahari dan bumi akan menghalang serta menutup matahari.

“Lingkaran bumi akan berkilau kerana cahaya dibiaskan atmosfera bumi,” katanya.

Pada hari sama, planet Marikh paling terang apabila bergerak lebih hampir dengan bumi bererti pemerhati mungkin dapat dilihat sesuatu seperti bintang berwarna oren kemerahan, yang sebenarnya ‘planet merah’ berkenaan.

Apabila ditanya sama ada gerhana berkenaan mungkin satu petanda buruk, Fabian sekadar ketawa.

“Sudah pasti tidak. Astrologi bukan bidang kami,” katanya.

Gerhana bulan kali ini juga tidak dapat dilihat dari Greenland, Amerika Syarikat dan Kanada. Gerhana bulan seterusnya dengan tempoh sepanjang itu akan dapat dilihat semula pada 2123. – Reuters/Agensi

INFO: 10 bandar posisi terbaik melihat gerhana bulan

Kaherah, Mesir (9.30pm/Jumaat)
Dubai, Emiriah Arab Bersatu (11.30pm/Jumaat)
Perth, Australia (3.30am/Sabtu)
Limassol, Cyprus (10.30pm/Jumaat)
Bangkok, Thailand (2.30am/Sabtu)
New Delhi, India (1am/Sabtu)
Bucharest, Romania (10pm/Jumaat)
Moscow, Russia (10.30/Jumaat)
Nairobi, Kenya (10.30pm/Jumaat)
Santorini, Greece (10.30pm/Jumaat)

Categories
NASIONAL

Fenomena gerhana bulan penuh dan Marikh hujung bulan ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 JUL: Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh dan Planet Marikh dengan jarak lebih dekat bermula 27 dan 28 Julai ini.

Jurucakap Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (Mosti) berkata, fenomena itu boleh dilihat melalui teleskop yang disediakan di perkarangan pintu masuk Planetarium Negara.

Katanya, beberapa teleskop disediakan khas Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Kelab-Kelab Falak dan Persatuan Stargazer pada kedua-dua hari tersebut.

“Bagaimanapun, kenampakan kedua-dua fenomena berkenaan bergantung kepada keadaan cuaca.

“Orang ramai digalak hadir ke Planetarium Negara dan tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena luar biasa ini,” katanya dalam kenyataan.

Pada 27 Julai, program pencerapan Planet Marikh dijalankan bermula jam 9 malam hingga 11.30 malam, manakala program pencerapan gerhana bulan penuh pula diadakan pada 28 Julai bermula 1 pagi hingga 7 pagi.

Siaran langsung melalui Facebook Planetarium juga akan dibuat bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat lintas langsung berkenaan fenomena itu.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22735484 atau laman sesawang www.planetariumnegara.gov.my atau laman Facebook Planetarium Negara.

Categories
NASIONAL

Fenomena gerhana bulan penuh 31 Januari ini

OLEH SABIRAH AZIZ

Sumber gambar dari ANGKASA

SHAH ALAM, 19 JAN: Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang akan berlaku pada 31 Januari ini, dijangka mengambil masa lima jam 17 minit, bermula jam 6.51 petang hingga 12.08 tengah malam (1 Februari).

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dalam kenyataan berkata, di Semenanjung, gerhana sedang berlaku ketika bulan terbit di ufuk timur, manakala di Sabah dan Sarawak, ia akan bermula selepas bulan terbit.

Katanya, fasa gerhana penuh maksimum adalah pada jam 9.29 malam dan keseluruhan gerhana berakhir, pada jam 12.08 tengah malam iaitu pada 1 Februari.

“Keadaan sama turut berlaku di timur Eropah, timur Afrika, Asia, Australia dan Amerika Utara.

“Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris serta keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra bumi. Bulan perlahan-lahan akan bertukar daripada warna putih mutiara kepada warna kemerahan dan kembali ke warna aslinya sepanjang tempoh lima jam.

“Warna kemerahan dapat dilihat ketika fasa penuh gerhana bulan pada 31 Januari ini, berbeza dari gerhana bulan penuh lain bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan di atmosfera atas bumi dan kedudukan bulan di sepanjang orbitnya,” katanya.

Ketika hampir berlakunya gerhana pada 31 Januari ini, bulan sebenarnya baru saja melepasi ‘perigee’ (bulan paling hampir ke bumi dalam orbitnya), iaitu sehari sebelumnya dengan jarak 358,993 kilometer dari bumi, sekali gus menjadikan gerhana kali ini ‘Gerhana Supermoon’.

Supermoon akan berlaku apabila bulan berada pada jarak kurang 360,000 km dari bumi dan tiada peralatan tertentu diperlukan untuk melihat fenomena ini, namun penggunaan teleskop dan binokular akan dapat membantu untuk melihat dengan lebih jelas.

Bagi membolehkan orang awam menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh, Observatori Negara Langkawi, ANGKASA, akan mengadakan aktiviti pencerapan menggunakan beberapa teleskop mudah alih yang akan disediakan kepada pengunjung dan penyertaan adalah percuma.

Terdapat beberapa lokasi lain yang boleh dikunjungi orang ramai untuk aktiviti pencerapan iaitu di Planetarium Negara Kuala Lumpur, Balai Cerap Teluk Kemang di Port Dickson, Balai Cerap Selangor di Sungai Lang Parit Baru dan Sungai Ayer Tawar, Selangor dan Balai Cerap Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara, Melaka.

Orang ramai juga boleh mengunjungi Pantai Tok Jembal di Terengganu, Menara Tun Mustapha di Kota Kinabalu, Sabah dan Balai Cerap Kota Bharu di Kampung Kubang Rawa, Salor, Kelantan.

Fenomena gerhana bulan penuh akan berlaku sekali lagi, pada 28 Julai dan akan turut kelihatan di Malaysia.