SHAH ALAM 9 MAC : Bermula sebaik sahaja Matahari terbit, seluruh Malaysia bakal dapat menyaksikan Fenomena Gerhana Matahari Separa dengan kemuncak berlaku sekitar jam 8.23 pagi bergantung kepada kawasan dan lokasi.
Falak Online melaporkan Fenomena Gerhana Matahari berlaku apabila tiga jasad besar di angkasa lepas, Bumi, Bulan dan Matahari berada di dalam kedudukan selari.
Hasil daripada kedudukan yang unik ini, jasad Bulan berupaya menutupi jasad Matahari, lalu mengakibatkan bentuk Matahari di langit menjadi tidak bulat seperti biasa, dan akan kelihatan seolah-olah hilang sebahagiannya.
Pada lokasi tertentu, jasad Matahari hilang keseluruhannya, lalu terjadilah fenomena Gerhana Matahari Penuh.
Bagi di Malaysia, sebahagian besar Matahari tertutup (bukan sepenuhnya). Fenomena yang ini dikenali sebagai fenomena Gerhana Matahari Separa.
Kali terakhir penduduk Malaysia dapat melihat fenomena Gerhana Matahari Separa ialah pada bulan Januari 2010.
Bagi penduduk di Utara Malaysia, anda dapat melihat matahari sudahpun kelihatan ‘hilang’ sedikit sebahagian daripada sisinya ketika matahari terbit.
Bagi penduduk ke arah Selatan Malaysia, anda dapat lihat matahari dalam keadaan sempurna bulat ketika ia terbit, dan berpeluang melihat sentuhan pertama, iaitu saat jasad Bulan kali pertama mula kelihatan di salah satu sisi Matahari, lebih kurang lima ke enam minit selepas terbitnya Matahari.
Selain itu peratusan Matahari tertutup juga bergantung kepada lokasi. Semakin ke selatan, semakin banyak peratusan Matahari akan tertutup.
Sementara itu Masjid Negeri Shah Alam dijadualkan mengadakan aktiviti cerapan Gerhana Matahari itu disusuli Solat Sunat Gerhana pada jam 8.45 pagi.
EZY