Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Eksport getah asli susut enam peratus pada Ogos 2020, China destinasi utama

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Eksport getah asli Malaysia turun enam peratus kepada 42,658 tan metrik pada Ogos 2020 berbanding 45,386 tan metrik pada Julai 2020 dengan China menjadi destinasi eksport terbesar, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Destinasi utama eksport getah asli adalah China dengan 46.8 peratus daripada jumlah eksport pada Ogos 2020 diikuti Jerman (10.1 peratus), Finland (4.3 peratus), Iran (3.0 peratus) dan Turki (2.4 peratus), kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport pada Ogos 2020 sebanyak RM3.0 billion. Bagaimanapun, nilai eksport ini turun 5.2 peratus berbanding RM3.2 billion yang dicatatkan pada Julai 2020.

Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 6.6 peratus pada Ogos 2020 kepada 44,543 tan metrik berbanding 41,801 tan metrik pada bulan sebelumnya, manakala berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, ia mencatatkan penurunan sebanyak 22.7 peratus.

Stok getah asli menunjukkan trend menurun sejak Mei 2020 dan ia terus menyusut pada bulan Ogos 2020 sebanyak 0.7 peratus kepada 233,537 tan metrik berbanding 235,156 tan metrik pada Julai 2020.

“Harga purata bagi lateks pekat merekodkan peningkatan kepada 467.71 sen sekilogram berbanding Julai 2020 (467.20 sen sekg) dan Getah Mutu Malaysia 20 turut meningkat kepada 538.68 sen sekg berbanding 497.86 sen sekg bagi tempoh yang sama”.

Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan bahawa penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Ogos 2020 ialah 46,745 tan metrik, turun 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Industri pembuatan sarung tangan getah merupakan industri utama dengan penggunaan sebanyak 35,542 tan metrik atau 76.0 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pasaran getah dijangka diniaga dalam jajaran kecil

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Pasaran getah Malaysia dijangka didagangkan dalam jajaran kecil minggu depan dengan kecenderungan meningkat, demikian menurut Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Presidennya Denis Low berkata hujan yang turun sesekali di kawasan pengeluaran getah akan memberi kesan kepada produktiviti getah, sekali gus mendorong peningkatan harga.

“Permintaan yang banyak akan wujud berikutan China membuka semula lebih banyak kemudahan pengeluarannya, namun, bekalan adalah rendah akibat keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Kita telah melihat harga getah yang mengukuh untuk beberapa minggu pada masa ini dan ini akan menentukan penanda aras harga komoditi itu agar kekal kukuh pada tahap ini,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah diniagakan kebanyakannya rendah, diheret turun oleh pasaran niaga hadapan getah serantau yang lemah, di samping kebimbangan peningkatan ketegangan Amerika Syarikat-China yang menjejaskan sentimen pasaran.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk gred tayar SMR 20 turun 12 sen kepada 537 sen sekilogram, manakala susu getah pukal jatuh satu sen kepada 470 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan getah fizikal LGM bagi SMR 20 turun 8.5 sen kepada 540 sen sekilogram manakala susu getah pukal rendah setengah sen kepada 470 sen sekilogram.

-BERNAMA