Categories
SELANGOR

SELCAT: Kesal Dengan Tuduhan Tanpa Bukti

SHAH ALAM, 5 MAC : Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) melahirkan kekesalan terhadap tindakan sesetengah pihak yang telah membuat kenyataan dan tuduhan terhadap penyelewengan dalam pemberian kontrak pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), namun tidak tampil mengemukakan sebarang bukti.

Pengerusinya, Datuk Teng Chang Kim berkata, SELCAT sebagai jawatankuasa dewan hanya berkuasa untuk membuat siasatan berdasarkan bukti yang dikemukakan, tetapi tidak mempunyai kuasa untuk membuat rampasan, sitaan dan menangkap orang perseorangan bagi mendapatkan keterangan.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya pihak-pihak tertentu yang suka membuat tuduhan sama ada tehadap jabatan kerajaan mahupun anak-anak syarikat negeri Selangor untuk membentangkan bukti.

“Saya rasa kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang telah membuat kenyataan dan tuduhan terhadap KSSB dan SELCAT, yang kononnya banyak bukti tetapi langsung tidak membantu pihak Selcat dalam pendengaran awam.

Kita memang mengalu-alukan bukti tersebut. Tanpa bukti tersebut, kita tidak dapat bergerak, sebaliknya hanya bergantung kepada bukti yang dibentangkan. Adalah lebih baik sekiranya kita mendapat laporan berhubung perkara berkenaan,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan pendengaran Awam Selcat pagi tadi.

Teng berkata, isu penyelewengan yang dibangkitkan terhadap KSSB ini tidak mempunyai laporan audit, sebaliknya hanya berdasarkan kepada laporan negatif oleh pihak tertentu.

Sementara bagi pendengaran awam ke atas Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang akan turut didengar pada hari berikutnya, ia bergantung kepada laporan audit yang disediakan.

Justeru jelasnya, tugas SELCAT akan menjadi lebih mudah kerana mendapat bantuan dan rujukan daripada laporan audit kedua-dua syarikat berkaitan (GLC) kerajaan Selangor tersebut.

Beliau dalam pada itu turut berharap supaya semua pihak dapat memahami dengan lebih mendalam lagi peranan sesebuah jawatankuasa dewan seperti Selcat yang hanya bertindak berdasarkan laporan atau bukti yang diterima.

“Ada menteri yang menuduh SELCAT ibarat mati hidup semula. Tapi sekurang-kurangnya Selcat hidup semula. Tapi menteri ini perlu tahu kalau di parlimen yang sudah bersidang lebih 50 tahun, jawatankuasanya seperti hidup segan mati tak mahu. Itu lagi teruk.

Tetapi dalam SELCAT kita dapat menjalankan beberapa pendengaran awam ke atas tuduhan-tuduhan terhadap jabatan kerajaan dan berdasarkan laporan audit kita berjaya mendedahkan penyelewengan dan kelemahan pentadbiran dalam kerajaan sama ada kelemahan itu berpunca daripada kerajaan dahulu atau sekarang tanpa perlu menyorokkan apa-apa,” tegasnya.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebelum ini mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa terdapatnya kegiatan rasuah dengan pemberian permit perlombongan pasir dan mencabar kerajaan negeri untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Namun Noh tidak mengemukakan sebarang prosiding bagi membolehkan beliau memberi keterangan dalam sesi SELCAT.

 

 

MB: Kerajaan Selangor Sebelum 2008 Dipenuhi Salahlaku

SHAH ALAM, 5 MAC: Polisi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor terdahulu yang diterajui oleh Barisan Nasional dipenuhi oleh tindakan salahlaku pemimpin-pemimpin parti politik terbabit.

“Polisi dan dasar Kerajaan Pusat yang turut diamalkan di Negeri Selangor sebelum 2008 dipenuhi dengan unsur-unsur rasuah, layanan berat sebelah dan perbuatan menyuap pihak-pihak yang berkepentingan,”kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dikeluarkan sekretariat akhbarnya semalam.

Khalid memberitahu, Kerajaan Negeri Selangor hari ini mempunyai pandangan yang berbeza dari kerajaan terdahulu bagi memastikan pembangunan yang tulen dan rancak.

“Kerajaan Negeri Selangor mempunyai pandangan yang berbeza mengenai unsur-unsur yang diperlukan untuk pembangunan tulen dan lebih rancak.

“Pertama sekali kita perlu memastikan bahawa ketelusan dan kebertanggungjawab menjadi teras kepada mana-mana perniagaan, terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Perdana Menteri perlu mengubah budaya semua GLC dan menegaskan betapanya pentingnya mempratikkan amalan korporat yang baik. Kegagalan beliau mengambil tindakan ini hanya akan memburukkan lagi ketirisan ekonomi yang sudah berlaku selama beberapa dekad,” menurutnya lagi.

Khalid juga menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak untuk membangunkan negeri ini.

Selain itu beliau dalam kenyataannya itu berkata permintaan Perdana Menteri itu tidak membawa sebarang makna sekiranya beliau gagal membendung amalan tidak sihat yang menghalang pembangunan sebenar.

“Kerajaan Negeri Selangor sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk membangunkan lagi negeri ini.

“Bagaimanapun, permintaan Perdana Menteri itu tidak membawa sebarang makna jika beliau terus mengalakkan dan membenarkan berlakunya amalan-amalan korporat yang menghalang pembangunan sebenar, membantutkan persaingan dan menyuburkan amalan tidak sihat,” katanya lagi.

Dasar penswastaan yang dilaksanakan kerajaan pusat hari ini juga dilihat tidak memberi keuntungan kepada rakyat negara ini.

“Semakin jelas kepada rakyat Malaysia bahawa dasar penswastaan yang dilakukan Kerajaan Pusat hanya memberi keuntungan kepada syarikat swasta sedangkan rakyat menanggung kerugian.

“Kerajaan Pusat menggunakan wang pembayar cukai untuk menutup kegagalan penswastaan tanpa menghasilkan sebarang pembangunan seperti yang diharapkan,” menurut kenyataan itu lagi.

Katanya kerajaan Negeri Selangor komited untuk melaksanakan pembaharuan terhadap dasar penswastaan untuk menghentikan agihan keuntungan tidak seimbang kepada kroni dengan melakukan penyusunan semula supaya rakyat menikmati faedah hasil penswastaan ini.

“Jika Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri benar-benar ikhlas dengan usaha ini, kita menantikan sokongan mereka terhadap pembaharuan ini,” katanya lagi.