Categories
AGENDA GLOBAL

Korban Covid-19 seluruh dunia lepasi satu juta

MOSCOW, 29 SEPT: Jumlah kematian global akibat Covid-19 sudah melepasi sejuta orang, lapor agensi berita Sputnik.

Menurut Johns Hopkins University, korban di seluruh dunia sehingga kini seramai 1,000,555, dengan 33,273,720 kes disahkan dan 23,056,480 kes pulih.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac.

Menurut badan kesihatan global itu jumlah kematian di seluruh dunia sudah melebihi 996,000 orang, dengan bilangan kes 33,034,598.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Korban Covid-19 global lepasi 900,000, jumlah kes 27.6 juta

NEW YORK, 10 SEPT: Korban Covid-19 global pada Rabu sudah melepasi 900,000 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Jumlah korban kini mencecah 900,079 manakala terdapat lebih 27.6 juta kes di seluruh dunia, menurut data Johns Hopkins University.

Amerika Syarikat kekal negara paling teruk diancam dengan 6,356,310 kes dan 190,649 kematian, menyumbang kepada lebih 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian global.

Brazil mencatatkan jumlah kematian kedua tertinggi di dunia, sebanyak 127,464 diikuti India dengan 73,890 korban.

India baru-baru ini mengatasi Brazil sebagai negara yang merekodkan jumlah kes kedua tertinggi di dunia, melebihi 4.3 juta.

Negara yang mencatatkan lebih 30,000 kematian termasuk Mexico, Britain, Itali, Perancis dan Peru.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Kes dunia cecah 25.2 juta, hampir 847,000 kematian

SHAH ALAM, 31 OGOS: Pandemik Covid-19 mencecah 25.2 juta kes dengan hampir 847,000 kematian setakat ini, sejak virus mula dikesan di China pada Disember tahun lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), purata kes harian dunia pula menunjukkan penurunan lebih kurang 250,000 kes berbanding 282,000 kes sebelum ini.

“Kes harian di Amerika Syarikat dan Brazil masing-masing menunjukkan penurunan sekitar 43,000 kes dan 34,000 kes, bagaimanapun jumlah harian di India menunjukkan kenaikan iaitu sekitar 78,000 kes.

“Kadar kematian dunia pula kini menurun kepada 3.36 peratus atau sekitar 847,000 kes dan kadar kesembuhan pula meningkat 68.77 peratus atau sekitar 17.3 juta kes,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM bersiap siaga menghadapi kemungkinan pertambahan kes dari luar negara dalam tempoh empat bulan akan datang apabila musim sejuk melanda negara berkenaan.

Beliau berkata walaupun jangkitan di dalam negara masih terkawal, pemantauan kes di negara seperti India, Korea Selatan, Jepun, Sepanyol dan Perancis sekarang menunjukkan peningkatan seiring penurunan suhu semua negara terbabit.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Lebih 23 juta kes global, korban cecah 800,000

PARIS 23 OGOS: Angka kematian global akibat Covid-19 kini sudah melangkaui 800,000 mangsa dengan lebih 23 juta kes dilaporkan di 196 negara.

Angka itu melonjak meskipun banyak negara memperketat larangan dalam usaha memerangi penularan jangkitan kes baharu, lapor AFP.

Amerika Syarikat mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 175,416, diikuti Brazil (113,358), Mexico (59,610), India (55,794) and Britain (41,403).

Eropah Barat terutama Sepanyol, Itali Jerman dan Perancis mengalami tahap jangkitan yang tidak terjangka dalam tempoh beberapa bulan ini, memberi kebimbangan berlakunya penularan gelombang kedua.

Sementara di Asia, Korea Selatan pula mencatatkan pertambahan kes yang membawa keadaan tidak terkawal, sekali gus menjadi negara terbaharu yang mengumumkan akan meningkatkan pelbagai larangan dalam usahanya membendung jangkitan baru.

Angka yang meningkat itu berlaku selepas badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengatakan pada Jumaat bahawa dunia seharusnya dapat mengendalikan wabak itu dalam masa kurang daripada dua tahun.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Angka korban seluruh dunia lebih 633,000

WASHINGTON 25 JULAI: Angka korban disebabkan pandemik Covid-19 kini sudah meragut lebih 633,000 nyawa sejak mula menular di China hujung tahun lalu.

Selain itu, lebih 15.5 juta orang dijangkiti wabak maut itu sehingga semalam, menurut sumber rasmi kepada AFP.

Amerika Syarikat (AS) merekodkan 144,305 kematian diikuti Brazil (84,082), Britain (45,554), Mexico (41,908) dan Itali (35,092).

Selain itu, India melepasi 30,000 kematian mengatasi Perancis sebagai negara keenam paling terjejas.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menggesa negara Eropah untuk ketatkan kawalan susulan peningkatan yang masih berlaku sehingga kini yang sudah mencecah tiga juta orang.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Pendekatan bersasar langkah wajar tangani isu moratorium

Oleh Aishah Mohmad Afandi

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Kadar pengangguran yang tinggi turut mengundang masalah peningkatan pinjaman tidak berbayar (NPL), terutamanya ketika tempoh-tempoh berlakunya krisis.

NPL merujuk keadaan apabila individu atau peminjam berkenaan secara berterusan dalam tempoh 3-6 bulan terbukti gagal melunaskan sebarang bayaran prinsipal atau faedah berjadual yang ditetapkan.

Dalam keadaan semasa misalnya, bukan setakat NPL menjadi tumpuan malah risiko kerugian peruntukan pinjaman juga ketara serta berkemungkinan meningkatkan nisbah rosot nilai pinjaman kasar.

Situasi sedemikian sudah pasti memberi kesukaran kepada pihak bank kerana ia boleh menyebabkan agensi penarafan bertindak menyemak turun penarafan sektor perbankan secara global.

Sejajar hasrat mengurangkan NPL akibat faktor kehilangan kerja serta pengurangan gaji atau upah susulan impak pandemik Covid-19, kerajaan bertindak mengumumkan langkah moratorium selama enam bulan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dengan matlamat memacu mudah tunai atau kewangan orang ramai.

Menurut Kementerian Kewangan, moratorium bayaran balik pinjaman oleh institusi kewangan yang bermula sejak 1 April, 2020 dianggarkan berjumlah kira-kira RM51.4 bilion setakat 6 Julai, 2020.

Pada awal bulan ini, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata bank pusat itu tidak berhasrat melanjutkan langkah berkenaan kerana memberi kesan yang sebaliknya mahu dielak oleh pihak bank.

Mungkin ada yang terfikir, apa salahnya jika pihak bank melanjutkan moratorium berkenaan demi membantu pelanggannya? Jika ya, apakah ia dalam bentuk moratorium secara menyeluruh atau secara bersasar?

Perlu diingat, sektor perbankan yang stabil adalah teras atau amat penting bagi usaha pemulihan negara dan kita sedaya upaya mengelak keadaan yang pernah dialami Amerika Syarikat (AS) ketika krisis pada 2007 sehingga 2010.

Sebarang pemulihan yang perlahan bagi sektor kewangan dalam tempoh pasca mana-mana krisis kewangan, berkemungkinan besar akan mencetuskan satu lagi krisis kredit sepertimana yang telah berlaku di AS berikutan penularan COVID-19.

Pendekatan Mengikut Setiap Kes : Langkah Global

Oleh kerana pelaksanaan moratorium secara menyeluruh akan memberi tekanan tambahan terhadap sistem kewangan dari segi menjejaskan aliran tunai, bank-bank di peringkat global telah mengambil pendekatan berdasarkan atau mengikut setiap kes terbabit bagi menanganinya dengan mengambil kira impak ekonomi terhadap peminjam.

Berikut adalah pendekatan dilaksanakan beberapa negara:

Singapura: Sebagai langkah awal bagi mengelak berlakunya kegagalan pembayaran itu, bank pusat Singapura menawarkan bantuan pinjaman untuk individu dan syarikat. Individu boleh mengemukakan permohonan kepada bank-bank bagi menangguhkan pembayaran prinsipal dan kadar faedah pinjaman perumahan sehingga 31 Dis, 2020. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menangguhkan pembayaran pinjaman prinsipal bagi pinjaman bertempoh, juga sehingga akhir tahun ini.

Thailand : Bank-bank di Thailand telah mengumumkan pakej bantuan hutang pada awal Mac lepas yang menawarkan tempoh pembayaran balik pinjaman sehingga setahun lamanya.

United Kingdom : Beberapa bank di Britain telah menawarkan penangguhan bayaran gadai janji dan pinjaman dalam usaha mengelak potensi berlakunya kegagalan peminjam berbuat demikian akibat krisis COVID-19. Ia turut menawarkan untuk menaikkan had kad kredit pelanggan terbabit bagi tempoh tertentu serta mengecualikan fi ke atas wang pendahuluan tunai kad kredit.

Itali: Pada awal Mac lepas, kerajaan Itali telah mengumumkan langkah untuk menggantung semua pembayaran gadai janji ketika negara itu melaksanakan perintah berkurung bagi membendung COVID-19. Kumpulan pelobi perbankan Itali, ABI berkata peminjam turut menawarkan kemudahan penangguhan bayaran hutang kepada firma kecil dan keluarga.

Amerika Syarikat : Dua firma gadai janji terkemuka Fannie Mae dan Freddie Mac telah memberi kelonggaran kepada pelanggan masing-masing dalam bentuk menurunkan atau menangguhkan pembayaran pinjaman perumahan sehingga 12 bulan.

Kesan Berpanjangan Sektor Perbankan

Pada April, Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata walaupun bank berada dalam situasi tekanan yang tidak pernah dialami sebelum ini, sektor itu dijangka mampu bertahan kerana bank-bank ini mempunyai kedudukan modal yang kukuh dan melepasi syarat peraturan.

Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2019, penampan modal bank-bank pada Februari 2020 ialah RM121 bilion, manakala penanggung insurans sebanyak RM23.6 bilion pada akhir 2019.

Penampan ini melebihi jumlah minimum peraturan dan lebih dua kali ganda semasa krisis Kewangan Global pada 2008. Ini telah membolehkan bank, institusi kewangan dan penanggung insurans melaksanakan langkah-langkah seperti enam bulan moratorium di samping bantuan untuk isi rumah dan perniagaan.

Bagaimanapun, selepas hampir enam bulan dan dengan pelaksanaan moratorium berkenaan, penampan modal boleh menjadi lemah sekira bank terus mengeluarkannya.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Anthony Dass berkata kemudahan moratorium enam bulan itu memberikan banyak masa untuk peminjam menyusun semula kewangan mereka, sementara fasa berikutnya sepatutnya lebih menjurus kepada moratorium secara bersasar.

“Tiadanya aliran tunai kepada bank untuk jangka masa yang lebih lama akan menyebabkan jurang tunai yang berpanjangan. Ini akan menjejaskan mudah tunai kewangan bank. Ia juga akan meninggalkan impak ke atas pendapatan langsung dan margin faedah bersihnya,” kata beliau kepada Bernama.

Meskipun beberapa bank telah mengumumkan mereka tidak akan melanjutkan moratorium melebihi enam bulan, ada juga yang telah mengumumkan mereka akan menyediakan moratorium berdasarkan sasaran.

Golongan yang disasarkan melibatkan mereka yang kehilangan pekerjaan kerana pandemik atau mengalami penurunan gaji dalam proses itu, yang menyebabkan mereka berhadapan dengan kekangan kewangan untuk melunaskan pinjaman.

Bagaimanapun, untuk mereka yang masih bekerja dan menerima gaji seperti biasa, moratorium bagi mereka berakhir pada 30 Sept, 2020, dan pembayaran disambung semula pada Oktober.

Menurut statistik, jumlah pinjaman yang dibayar semula kepada sistem perbankan telah menunjukkan penurunan sejak moratorium diperkenalkan.

Pada Januari 2020, jumlahnya ialah RM109.8 bilion sementara pada Mei 2020, ia mencatatkan RM78.3 bilion.

Sementara itu, jumlah pinjaman yang dibayar oleh sektor isi rumah menunjukkan 50 peratus pengurangan daripada RM31.1 bilion kepada RM16.3 bilion pada Mei 2020.

Situasi sukar: Menilai Semula Kewangan Anda

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Afzanizam Mohd Rashid berkata mereka yang menghadapi masalah kewangan kerana kehilangan pekerjaan atau pengurangan sumber pendapatan seharusnya tampil dan bersikap jujur dengan bank mengenai masalah yang mereka hadapi.

“Kita mempunyai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang ditubuhkan di bawah payung Bank Pusat. Ia boleh menjadi pengantara kepada peminjam yang berkelayakan,” kata beliau.

Beliau menambah peminjam juga boleh membiayai dan menyusun semula pinjaman mereka kerana kadar faedah yang rendah membolehkan peminjam membayar bank pada kadar faedah yang rendah juga.

Setakat tahun ini, Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah diturunkan sebanyak 125 mata asas atau bersamaan 1.25 peratus.

Penyusunan semula hutang boleh dilakukan apabila peminjam berhadapan kesukaran kewangan sehingga menghalang pembayaran semula pinjaman pada waktu yang telah ditetapkan.

Sementara itu, pembiayaan semula hutang digunakan pada asas yang lebih meluas berbanding penyusunan semula, yang mana peminjam memanfaatkan pinjaman yang baharu diperoleh menerusi terma yang lebih baik untuk melunaskan pinjaman sebelumnya.

“Yang pastinya, bank juga akan memahami bahawa ini adalah masa yang sukar untuk semua dan bersikap jujur mengenai kedudukan kewangan anda akan memberi manfaat kepada anda untuk tempoh jangka masa panjang. Berdiam diri hanya akan menambah tekanan tambahan di masa akan datang,” kata beliau.

Tinjauan Mencabar Untuk Semua

Walaupun pengangguran dijangka meningkat kepada enam peratus tahun ini, lebih tinggi daripada kadar yang dialami semasa krisis kewangan 1887 dan 2008, kekangan kewangan akan menjadi masalah kepada banyak pihak kerana ekonomi kemungkinan berhadapan dengan kemelesetan.

Ini telah mendorong bank pusat merendahkan OPR ke paras 1.75 peratus, paras terendah sejak 2004.

Meskipun beberapa penganalisis percaya masih ada ruang untuk satu lagi penurunan iaitu sehingga 1.50 peratus, ada pihak percaya kadar asas itu akan kekal sehingga akhir tahun ini kerana ekonomi telah mula pulih selepas berakhirnya Covid-19.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Rabu lepas memutuskan kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.00 peratus dan 1.50 peratus.

MPC akan mengadakan mesyuarat seterusnya pada 10 Sept dan 3 Nov tahun ini.

Pandemik Covid-19 telah memberikan kesan yang ketara ke atas ekonomi global. Keadaan ekonomi global terus lemah dengan pertumbuhan global diunjurkan negatif pada tahun ini, kata bank pusat.

BNM telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada -2 peratus hingga 0.5 peratus, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) -3.8 peratus dan Bank Dunia -3.1 peratus.

Menurut BNM, pengurangan OPR dapat memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepat kadar pemulihan ekonomi.

Bagi perniagaan, cabaran tetap ada terutamanya untuk sektor perkhidmatan dan pelancongan yang mana kedua-dua sektor ini tidak dapat beroperasi dengan kapasiti penuh kerana sempadan antara negara masih lagi ditutup sehingga diberitahu kelak.

Pada 2018, sektor perkhidmatan menyumbang kira-kira 52.96 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sementara pelancongan merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK, selepas pembuatan dan komoditi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19 global: 566,075 maut, lebih 12.79 juta kes positif

PARIS, 13 JULAI: Sekurang-kurangnya 566,075 penduduk dunia amut akibat pandemik Covid-19 sejak ia dikesan di China Disember lalu.

Kes positif di seluruh dunia membabitkan 196 negara dan wilayah direkodkan sekurang-kurangnya 12,798,410 kes, lapor AFP.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 6,811,600 disahkan pulih.

Sejak 1900 GMT pada Ahad, 4,442 kematian dan 202,975 kes baharu direkodkan di seluruh dunia.

Brazil menjadi negara paling tinggi mencatatkan kematian pada Ahad dengan 1,071 kematian, diikuti Amerika Syarikat (AS) (636) dan India (551).

AS terus menjadi negara paling teruk terkesan akibat pandemik Covid-19 apabila mencatatkan jumlah kumulatif kematian 135,066 daripada 3,282,554 kes.

Selepas AS, Brazil dengan 71,469 kematian daripada 1,839,850 kes, United Kingdom (UK) (44,819 kematian daripada 289,503 kes), Itali (34,954 kematian daripada 243,061 kes) dan Mexico (34,730 kematian daripada 295,268 kes).

Negara yang mempunyai kadar kematian tertinggi adalah Belgium dengan 84 kematian per 100,000 penduduk, diikuti UK (66), Sepanyol (61), Itali (58) dan Sweden (55).

Jumlah itu diperoleh AFP daripada data yang dikumpul hasil maklumat daripada pihak berkuasa negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Bagaimanapun ia tidak memaparkan jumlah sebenar kes berikutan kebanyakan negara hanya menjalankan ujian ke atas kes bergejala dan serius.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19 global: Lebih 527,000 maut, kes positif 11,145,640

PARIS 5 JULAI: Sekurang-kurangnya 527,241 penduduk dunia menjadi mangsa korban Covid-19 sejak pandemik itu mula dikesan di China pada Disember lalu.

Amerika Syarikat (AS) terus mendominasi kedudukan senarai negara terjejas teruk apabila merekodkan 129,584 kematian daripada 2,818,588 kes dengan sekurang-kurangnya 790,404 kes pulih.

Menerusi data dikumpul dari pihak berkuasa negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya 11,145,640 kes positif dilaporkan di 196 negara dan wilayah, lapor AFP.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 5,727,400 disahkan pulih.

Brazil yang berada di belakang AS mencatatkan 63,174 kematian daripada 1,539,081 kes; United Kingdom (UK) (44,198 kematian daripada 284,900 kes); Itali (34,854 kematian daripada 241,419 kes); dan Perancis (29,893 kematian 203,367 kes).

Belgium kekal sebagai negara tertinggi merekodkan kadar kematian berbanding jumlah penduduk iaitu 84 kematian per 100,000 penduduk negara itu, diikuti UK (65), Sepanyol (61), Itali (58) dan Sweden (54).

China tidak termasuk Hong Kong dan Macau mengesahkan 83,545 kes jangkitan termasuk 4,634 kematian dan 78,509 pulih.

Negara-negara Eropah pula merekodkan 199,050 kematian daripada 2,710,595 kes; AS dan Kanada (138,304 kematian daripada 2,923,905 kes); Amerika Latin dan Caribbean (124,355 kematian daripada 2,806,243 kes); Asia (37,000 kematian daripada 1,432,118 kes); Asia Barat (17,472 kematian daripada 811,831 kes); Afrika (10,927 kematian daripada 451,075 kes) dan Oceania (133 kematian daripada 9,882 kes).

Mengambil kira kebanyakan negara hanya menjalankan ujian saringan ke atas kes bergejala dan serius, angka berkenaan hanya mencerminkan sebahagian kes yang berlaku di seluruh dunia.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Angka kematian global lepasi setengah juta

ANKARA, 29 JUN: Jumlah korban Covid-19 di seluruh dunia kini melepasi 500,000 pada Ahad lapor agensi berita Anadolu menurut data Johns Hopkins University yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Seramai 500,108 penduduk di seluruh dunia menjadi korban sementara lebih 5.08 juta pesakit sembuh manakala jumlah kes kini mencecah 10 juta.

AS terus kekal negara paling teruk diancam menyaksikan lebih 2.53 juta orang dijangkiti sementara lebih 125,700 pesakit meninggal dunia.

Brazil mempunyai jumlah kes dan kematian Covid-19 paling tinggi di Amerika Latin dan bilangan kes kedua tertinggi di dunia dengan 1.31 juta jangkitan.

Rusia, India, Itali, Sepanyol dan United Kingdom antara negara paling teruk terjejas.

Virus maut itu sudah merebak ke 188 negara dan wilayah sejak ia mula dikesan pada penghujung tahun lalu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Kes global lepasi 10 juta, angka korban hampiri 500,000

PARIS, 29 JUN: Sekurang-kurangnya seramai 499,510 penduduk dunia menjadi korban Covid-19 sejak virus itu mula dikesan di China pada Disember lalu.

Sekurang-kurangnya 10,058,010 kes jangkitan direkodkan di 196 negara dan wilayah dengan sekurang-kurangnya 4,998,900 kes sembuh, lapor AFP.

Data dikumpul daripada pihak berkuasa negara dan maklumat disalurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu bagaimanapun dipercayai hanya mewakili sebahagian daripada jumlah sebenar yang terkesan.

Ini kerana kebanyakan negara hanya menjalankan ujian ke atas individu bergejala dan kes serius.

Sebanyak 4,059 kematian dan 173,156 kes direkodkan di seluruh dunia pada Ahad.

Negara yang merekodkan kematian tertinggi dalam tempoh 24 jam adalah Brazil dengan 1,109 kematian diikuti Mexico (602) dan Amerika Syarikat (AS) (454).

AS yang menjadi negara paling teruk terjejas setakat ini merekodkan 125,709 kematian daripada 2,534,981 kes. Sekurang-kurangnya 679,308 orang disahkan pulih.

Brazil menjadi negara kedua paling teruk dengan 57,070 kematian daripada 1,313,667 kes; United Kingdom (UK) (43,550 kematian daripada 311,151 kes); Itali (34,738 kematian daripada 240,310 kes) dan Perancis (29,778 kematian daripada 199,343 kes).

Sementara itu Belgium menjadi negara paling tinggi merekodkan kadar kematian berbanding populasi negara itu dengan 84 kematian per 100,000 penduduk diikuti UK (64), Sepanyol (61), Itali (57) dan Sweden (52).

Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19 dan penyelesaian sukar kadar faedah

Oleh Aishah Afandi

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Kadar faedah memainkan peranan penting dalam sistem kewangan. Sebagai faktor utama dalam menentukan daya tarikan aset di seluruh dunia, ia dipantau dengan rapat oleh penganalisis, ahli ekonomi serta pelabur.

Bagaimanapun, ketika pandemik Covid-19 menjejaskan dengan teruk ekonomi global dan menyebabkan negara-negara jatuh ke dalam kemelesetan, bank-bank pusat di seluruh dunia telah mengambil langkah menurunkan kadar faedah untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna dan mudah tunai kewangan.

Jadi, bagaimanakah sebenarnya cara ia berfungsi?

Kita ambil contoh pinjaman perumahan. Biasanya, kadar faedah ke atas gadai janji berada antara 4.0 peratus dan 4.5 peratus, bergantung kepada bank, tetapi apabila bank pusat menurunkan kadar, pinjaman menjadi murah dan dengan itu lebih berpatutan.

Sehubungan itu, pengguna akan mempunyai wang tambahan yang membolehkan mereka membelanjakannya dan seterusnya membantu menyokong pertumbuhan ekonomi.

Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa penurunan kadar faedah hanya berfungsi sebagai langkah tambahan oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi.

Memandangkan pandemik itu telah menjadi krisis global, kerajaan di seluruh dunia telah menyuntik bertrilion dolar ke dalam ekonomi masing-masing dalam pelbagai bentuk seperti bantuan kerajaan, subsidi upah, pemotongan cukai dan moratorium.

Di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi iaitu Pakej Rangsang Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM260 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bernilai RM35 bilion bagi menjana semula ekonomi tempatan.

Langkah-Langkah Global

Amerika Syarikat: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) telah menurunkan kadar faedahnya kepada hampir sifar susulan pandemik Covid-19 yang menyebabkan aktiviti perniagaan terbantut.

Pengerusi Fed, Jerome Powell berkata kadar faedah rendah itu dijangka kekal sehingga 2022 sehingga ekonomi pulih daripada pandemik tersebut.

England: Bank of England mengekalkan kadar faedahnya pada 0.1 peratus bulan ini selepas menurunkannya pada Mac. Terdapat ura-ura dalam kalangan ahli ekonomi yang kuasa besar ekonomi itu dijangka mengambil pendekatan kadar faedah negatif.

Bank pusat itu juga mengumumkan pakej rangsangan bernilai £100 bilion bagi membantu ekonomi United Kingdom mendepani impak Covid-19.

Eropah: Bank Pusat Eropah menurunkan kadar faedahnya kepada 0.5 peratus pada April apabila pandemik tersebut menjejaskan ekonomi rantau itu.

Bank pusat itu meminjamkan 1.3 trilion euro kepada bank-bank zon Eropah pada kadar faedah negatif sehingga serendah -1.0 peratus, dengan syarat bank-bank terus memberi pinjaman kepada perniagaan.

Rusia: Rusia mengurangkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak 100 mata asas kepada 4.50 peratus pada Jumaat — paras terendah sejak era pra-Soviet apabila bank pusatnya merasakan keperluan untuk menurunkan perbelanjaan berian kredit berikutan penguncupan ekonominya.

Indonesia: Bank pusat republik itu mengurangkan kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas kepada 4.25 peratus minggu lepas selepas mengekalkannya pada 4.5 peratus dalam tempoh tiga bulan lepas sejajar dengan kadar inflasi terendah negara itu dalam tempoh hampir dua dekad.

Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo berkata penurunan kadar itu menyediakan rangsangan yang amat diperlukan bagi pemulihan ekonomi di tengah-tengah penularan pandemik tersebut.

Thailand: Bank pusat negara itu memperkenalkan langkah-langkah bantuan hutang tambahan termasuk penurunan kadar faedah sebanyak dua hingga empat mata peratusan bagi kad kredit dan pinjaman peribadi semasa penularan pandemik itu.

Sudut Pandangan Malaysia

Ketua Ahli Ekonomi Ambank Group Dr Anthony Dass berkata terdapat kemungkinan besar Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan 50 mata asas lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Julai depan.

“Pengurangan itu akan memberi lonjakan yang diperlukan bagi pemulihan ekonomi berikutan penularan Covid-19.

“Ini akan membantu menstabilkan ekonomi negara selain mendorong kejayaan pakej rangsangan ekonomi termasuk pelan Pemulihan Ekonomi Negara,” katanya.

Dass yang juga anggota Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi, juga menyifatkan tindakan mengurangkan OPR itu sebagai bertepatan ketika kerajaan menyasarkan untuk mendapatkan pinjaman berjumlah RM35 bilion menerusi pinjaman dalam negara bagi membiayai peningkatan defisit.

“Mudah tunai dalam pasaran pinjaman tempatan adalah mencukupi ketika ini. Selain itu, tiada sebarang tekanan inflasi pada masa ini,” katanya.

Langkah pengurangan 50 mata asas kepada 2.0 peratus pada Mei lepas telah menjadikan OPR Malaysia yang terendah sejak Krisis Kewangan Global pada 2008-2009.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan mengadakan mesyuarat keempatnya pada 7 Julai depan.

Seorang lagi penganalisis berkata langkah pengurangan OPR yang akan diputuskan pada mesyuarat tersebut juga dijangka dapat merangsang mudah tunai kewangan dalam suku akan datang berikutan kadar pengangguran yang kian meningkat akibat impak Covid-19.

“Sejajar dengan jangkaan Bank Dunia dan BNM mengenai kemelesetan pada tahun ini akibat pandemik global itu, adalah penting untuk memastikan pengguna mempunyai mudah tunai mencukupi bagi mengelak kuasa beli mereka terjejas selain membolehkan perniagaan terus beroperasi,” katanya.

Menurutnya, kadar faedah yang rendah pada masa ini mungkin memberi kesan terhadap simpanan deposit tetap namun ia lebih bersifat jangka pendek kerana ekonomi diunjur pulih pada tahun depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

WHO: Eropah pusat sebar Covid-19, fasa pandemik

GENEVA 14 MAC: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata Eropah kini menjadi pusat penyebaran Covid-19 global yang memasuki fasa pandemik dan memberi amaran mustahil untuk mengetahui tempoh wabak menjadi kritikal.

Benua itu kini lebih banyak melaporkan kes dan kematian berbanding gabungan kes di seluruh dunia, selain China, kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, lapor AFP.

“Eropah kini menjadi pusat penyebaran pandemik,” katanya bercakap pada sidang media yang diadakan secara maya bagi mengelak sebarang kemungkinan penyebaran virus dalam kalangan wartawan.

“Lebih banyak kes kini dilaporkan setiap hari daripada yang dilaporkan di China,” katanya merujuk kepada angka global.

Virus itu, yang pertama kali muncul di China pada Disember, kini membunuh lebih 5,000, dengan kes di seluruh dunia mendahului 134,000.

Tedros berkata sementara langkah mengurangkan program sosial, negara juga perlu mengambil pendekatan komprehensif.

“Anda tidak boleh melawan virus jika anda tidak tahu di mana ia berada,” katanya.