Categories
AGENDA NASIONAL

Polis: Video pengunjung sesak bukan di GM Klang, Kompleks PKNS Shah Alam

SHAH ALAM, 9 MEI: Polis menafikan video tular memaparkan orang ramai berpusu-pusu tanpa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) untuk membeli-belah berlaku di GM Klang atau Kompleks PKNS Shah Alam.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata penelitian melalui perbandingan tempat yang ditunjukkan dalam video mendapati ia berbeza dengan bentuk fizikal kedua-dua premis tersebut.

“Pemantauan juga mendapati tiada berlaku sebarang pelanggaran pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh orang ramai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai tidak membuat kesimpulan sendiri berkaitan sesuatu isu yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab.

Arjunaidi menambah pihaknya terus meningkatkan rondaan dan pemantauan di semua lokasi orang ramai bagi memastikan SOP PKP dipatuhi.

Terdahulu, Polis Selangor mengesan satu video klip selama 19 saat yang tular melalui media sosial dan didakwa sesetengah pihak berlaku sama ada di GM Klang atau Kompleks PKNS Shah Alam.

Categories
SELANGOR

GM Klang sedia persekitaran beli-belah selamat, selesa

KUALA LUMPUR, 17 MAC: GM Klang menyediakan persekitaran membeli-belah yang selamat dan selesa untuk pengunjung di pusat borong terkemuka itu, seiring usaha negara dalam memerangi penularan Covid-19.

Pengurus Pengiklanan dan Promosinya Norsuhaida Othman berkata menjangkakan peningkatan pengunjung ke kompleks itu menjelang musim perayaan, GM Klang akan memastikan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan wabak itu dipatuhi.

Beliau berkata GM Klang bukan sahaja menjadi tumpuan orang ramai bagi persiapan Hari Raya, malah menjadi lokasi pilihan bagi peniaga dan usahawan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) untuk menambah stok jualan perniagaan mereka.

“Peniaga dan usahawan PKS mengambil peluang ini untuk merancakkan kembali aktiviti perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik sebelum ini dan mula menambah stok bisnes dengan pelbagai pilihan di GM Klang untuk diniagakan sama ada di bazar, pasar, mahupun secara dalam talian.

“Kami juga dapati ramai sudah mampu untuk mempertingkatkan pembelian stok mereka, ini mungkin disebabkan oleh insentif kerajaan yang diterima,” katanya dalam kenyataan.

Beliau optimis situasi itu adalah petanda positif yang mampu menjadikan transaksi perniagaan dan ekonomi kembali rancak.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat borong GM Klang dibuka sepenuhnya hari ini

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Pusat borong GM Klang dibuka sepenuhnya bermula hari ini, selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan sektor ekonomi lain beroperasi seperti biasa.

Pengurus Pengiklanan dan Promosi GM Klang Norsuhaida Othman berkata pembukaan pusat borong itu merupakan berita gembira buat para peniaga untuk mengembalikan sumber pendapatan yang terjejas sebelum ini, selain membolehkan orang ramai mendapatkan keperluan terutama menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

“Dengan ketibaan sambutan Tahun Baru Cina Jumaat ini, orang ramai berpeluang mendapatkan barang-barang keperluan perayaan yang lain di saat-saat akhir kerana sebelum ini mereka hanya boleh mendapatkannya secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan.

Norsuhaida berkata pihak GM Klang sentiasa komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat selaras dengan penetapan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat kepada pengunjung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

GM Klang komited sediakan persekitaran selamat untuk komuniti

KUALA LUMPUR, 1 DIS: GM Klang mengambil langkah pantas melakukan aktiviti pembersihan dan disinfeksi di kawasan yang terlibat selepas pengesahan kes positif Covid-19, semalam.

Pengurus Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam GM Klang Norsuhaida Othman berkata aktiviti pembersihan dan disinfeksi telah pun dijalankan secara menyeluruh di kawasan yang terlibat.

“Memang sudah menjadi tanggungjawab dan keutamaan GM Klang untuk sentiasa melakukan yang terbaik bagi memastikan persekitaran yang selamat untuk komuniti kami.

“Pusat Borong GM Klang akan beroperasi seperti biasa dari 10.00 pagi hingga 7.00 malam kecuali unit kedai terlibat yang akan kekal ditutup buat masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

GM Klang menerusi laman sosial memaklumkan akan terus memantau perkara ini dari semasa ke semasa dan meminta orang ramai bertenang serta sentiasa peka dan prihatin terhadap situasi semasa selain mengikuti saluran rasmi media sosial syarikat untuk informasi terkini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

GM Klang lancar kempen ‘Sokong Tempatan, Beli Tempatan’

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Pusat Pemborong GM Klang melancarkan kempen penghujung tahun bertemakan “Support Local, Shop Local” bermula dari 23 November hingga 23 Disember ini bagi menggalakkan orang ramai membeli-belah barangan perniagaan tempatan.

Penolong Pengurus Komunikasi Korporat dan Hubungan Awamnya Nur Faezah Mohd Arsad berkata matlamat mereka ialah menekankan kepentingan membeli barangan tempatan dan kesan positif ke atas sosioekonomi, selain menjadikan GM Klang menjadi pilihan tunggal yang muncul di minda pengguna apabila memikirkan untuk membeli barangan tempatan.

“Ia juga satu tanda sokongan untuk kempen Beli Barangan Malaysia seperti yang digalakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Selain menyokong pembelian barangan tempatan di GM Klang, kempen itu juga diadakan secara dalam talian untuk kesedaran orang ramai.

Pembeli boleh menyokong perniagaan tempatan dengan menyertai peraduan media sosial GM Klang dalam Facebook atau Instagram dengan langkah mudah seperti memuat naik foto membeli-belah produk tempatan, melengkapkan kapsyen mengapa kempen “Beli Barangan Malaysia” adalah bagus, diikuti dengan menambah tanda pagar #SupportLocalShopLocal dan tag akaun GM Klang,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Nur Faezah berkata 10 pemenang akan dipilih dan menerima baucar berjumlah RM7,000 untuk dibelanjakan di GM Klang bagi membeli jenama dan produk tempatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Lim Seng Kok berkata kempen ini juga akan menggalakkan komuniti GM Klang untuk membeli belah dengan selamat termasuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), menggunakan e-dompet atau e-pembayaran atau menggunakan kaedah penghantaran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Perniagaan tempatan ini telah bersama kami dan kami perlu bersama mereka semasa semasa PKPB, terutamanya dalam bulan percutian hujung tahun. Ia mengukuhkan tanggungjawab dan kemampuan kami menyediakan persekitaran membeli-belah yang selamat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

GM Klang sedia platform galak orang ramai belanja dalam talian

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Orang ramai kini berpeluang untuk mendapatkan produk dan promosi barangan dari para pemborong GM Klang dengan mengikuti program ‘Live GM Klang’ di platform digital rasmi mereka, tanpa perlu berkunjung ke pusat borong tersebut.

GM Klang dalam kenyataan hari ini memaklumkan berikutan situasi semasa yang tidak membenarkan rentas negeri dilakukan, program secara langsung itu akan membawa penonton menerokai kedai-kedai di GM Klang dan berkongsi promosi-promosi menarik yang ditawarkan.

“Situasi kini telah mendorong lebih banyak bidang perniagaan tertumpu secara dalam talian dan kini menjadi trend orang ramai untuk mendapatkan barang keperluan dan seiring perkembangan ini, GM Klang mula memvariasikan mesej di platform digital rasmi kami.

“Melalui segmen ulasan produk ini yang bersiaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penonton boleh berinteraksi dengan selebriti-selebriti jemputan pada slot-slot terpilih,” katanya.

Menurut kenyataan itu, platform media sosial ini bukan sahaja tertumpu kepada promosi perniagaan dan produk semata-mata, tetapi juga pelbagai video Tik Tok sebagai hiburan santai kepada pengikut-pengikut media sosial mereka.

“Selain itu, GM Klang juga memaparkan konsep ‘unboxing’ yang diketengahkan dalam segmen On X On GM Klang, dan para penonton pastinya akan lebih teruja untuk melihat barangan yang dibeli di GM Klang dan didemontrasikan dengan lebih terperinci,” menurut GM Klang.

GM Klang juga menjalankan pelbagai kempen dan peraduan untuk para pengunjung dan menawarkan pelbagai hadiah menarik.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI SELANGOR

GM Klang lancar kempen sokong beli barangan tempatan

KLANG, 17 SEPT: Pusat Pemborong GM Klang melancarkan kempen #KasiSupportBaranganTempatanLah sebagai inisiatif dalam membantu usaha meningkatkan ekonomi negara yang sedang berdepan dengan ancaman penularan Covid-19.

Pengurus Pengiklanan & Promosi GM Klang Norsuhaida Othman berkata kempen itu merupakan antara usaha pusat berkenaan untuk memupuk usaha membeli barangan dan jenama tempatan di samping menyemai semangat cinta akan negara dalam kalangan pembeli secara tidak langsung.

Katanya ia juga sebagai tanda sokongan terhadap Kempen Beli Barangan Malaysia yang disarankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Seiring dengan kempen ini, ia adalah usaha kami untuk mempromosikan peniaga-peniaga tempatan di sini khususnya, kerana kami turut wujudkan slot peniaga tempatan di sini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen berkenaan di sini, semalam.

Norsuhaida berkata kempen bermula 31 Ogos sehingga 30 September depan itu turut menawarkan peluang memenangi insentif membeli belah RM300 tiap seorang, di mana pengunjung hanya perlu berswafoto di lokasi menarik sekitar GM Klang bersama topi eksklusif berharga RM5 yang boleh dibeli di pusat khidmat kompleks itu, dan memuat naik gambar di laman sosial mereka, dengan ‘tag’ GM Klang beserta #supportbarangantempatan.

“Sepuluh pemenang bertuah akan diumumkan pihak kami pada bulan Oktober nanti,” katanya.

Sementara itu, Norshuhaida turut menyampai hadiah cabutan bertuah kepada lima orang pengunjung GM Klang bulan Ogos lepas yang menyaksikan setiap pemenang membawa pulang baucar membeli-belah di kompleks itu bernilai RM1,000.

Katanya program cabutan bertuah akan diteruskan sehingga Disember ini dan pengunjung yang ingin menyertai cabutan itu hanya perlu berbelanja RM100 di mana-mana kedai di kompleks berkenaan.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hari Kebangsaan: GM Klang anjur kempen sokong barang tempatan

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Pusat Pemborong GM Klang menghidupkan suasana hari kebangsaan negara dalam kalangan pengunjung tahun ini dengan tarikan topi eksklusif Merdeka melalui kempen ‘Kasi #SupportBaranganTempatan Lah’.

Kempen yang bermula dari 31 Ogos hingga 30 September di kompleks itu merupakan tanda sokongan terhadap Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 seperti saranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Ia bagi menunjukkan sokongan kepada barangan dan jenama tempatan di kompleks itu selain sebagai usaha mempertingkatkan ekonomi negara dan semangat cintakan negara dalam kalangan pengguna,” menurut GM Klang dalam kenyataan semalam.

GM Klang memaklumkan kempen itu turut memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan topi eksklusif Merdeka dengan harga RM5 selain berpeluang memenangi insentif beli-belah barangan dan jenama tempatan bernilai RM300.

Pengunjung boleh mendapatkan topi eksklusif Merdeka di kaunter perkhidmatan GM Klang atau ketika sesi ramah mesra bersama maskot Gina & Mat bermula September ini.

Untuk menyertai dan memenangi hadiah-hadiah istimewa semasa kempen itu, pengunjung perlu berswafoto dengan memakai topi Merdeka itu di kawasan menarik GM Klang dan memuat naik gambar di Facebook atau Instagram dengan ‘tag’ GM Klang serta tanda pagar #supportbarangantempatan.

GM Klang akan memilih dan mengumumkan 10 pemenang bertuah pada Oktober.

Di samping itu, GM Klang juga mengedarkan bendera tangan serta membuat pelbagai persiapan hiasan bendera bagi memeriahkan suasana sambutan kemerdekaan ketika negara sedang berjuang memerangi pandemik Covid-19.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

GM Klang pembekal mainan, barang bayi terbesar di Asia Tenggara

KLANG, 8 JULAI: Pusat Pemborong GM Klang yang popular sebagai ‘syurga” beli-belah, kini muncul sebagai pmbekal produk mainan dan barangan bayi terbesar dan pertama di Asia Tenggara iaitu GM International Exhibition (M) Sdn Bhd (GMIE).

GIME yang terletak di aras 5 Blok B di pusat pemborong itu menawarkan 10,000 sampel produk mainan dan barangan bayi untuk dipilih sendiri oleh peniaga dan usahawan tempatan sebelum membuat pembelian bagi perniagaan mereka.

Pengurus Pengiklanan dan Promosi GM Klang, Norsuhaida Othman berkata mana-mana peniaga atau usahawan yang masih tercari-cari pembekal secara borong produk mainan dan barangan bayi dengan harga jauh lebih murah, GIME adalah pilihannya.

Ini kerana katanya, GIME bertindak sebagai platform pengantara yang amat diyakini secara terus antara pengilang dan usahawan malah semua urusan pembelian termasuk penghantaran ke pintu kedai peniaga diuruskan oleh syarikat berkenaan.

“Kira-kira 70 peratus produk mainan dan barangan bayi yang ditawarkan oleh GIME diimport dari China manakala selebihnya adalah buatan tempatan, Indonesia, Filipina dan Vietnam.

“Menerusi barangan yang dipamerkan di GIME ini, peniaga dan usahawan boleh melihat sendiri produk berkenaan dan memperoleh maklumat terperinci mengenainya selain boleh mengujinya sehingga mereka puas hati sebelum membuat pembelian,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata antara barangan yang ditawarkan oleh GIME adalah pelbagai permainan elektronik, figura, anak patung, permainan luar dan kereta sorong bayi dengan kualiti kesemua produk tersebut sentiasa menjadi keutamaan kepada syarikat berkenaan.

Tambahnya, menerusi khidmat yang ditawarkan GIME, peniaga dan usahawan tidak lagi perlu menempah barangan berkenaan secara sendiri dari luar negara dan ini dapat menjimatkan masa, wang serta tenaga mereka.

Bukan itu sahaja, Norsuhaida berkata, GIME turut menawarkan servis tambahan seperti proses pengeluar peralatan tulen (OEM), tempahan khas permainan dan khidmat import-eksport mengikut permintaan pelanggan.

“Bagi peniaga dan usahawan yang baru berjinak dalam dunia perniagaan, GIME turut menyediakan khidmat membantu golongan ini untuk membuat tempahan. Usahawan juga akan diberi penerangan mengenai jumlah pesanan paling minimum yang boleh dilakukan mengikut jenis barangan.

“Apa yang penting, mana-mana perniagaan yang mahu memborong barangan daripada GIME, mereka harus berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” katanya menambah mereka juga boleh melayari laman web gmie.com.my untuk melihat katalog barangan.

GIME dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 7 malam.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Tiada kes koronavirus di GM Klang

SHAH ALAM, 5 FEB: GM Klang menafikan terdapat kes koronavirus 2019 berlaku di pusat pemborong tersebut sebagaimana tular di laman sosial sejak semalam.

Dalam kenyataan pihaknya memandang serius penyebaran berita palsu berkenaan kerana mencemar kredibiliti dan mengganggu aktiviti perniagaan di situ.

“Perkara ini dipercayai tercetus daripada pengumuman yang telah dibuat oleh khidmat pelanggan GM Klang yang berkongsikan kepada para pengunjung mengenai langkah-langkah pencegahan koronavirus disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Bagaimanapun, niat baik itu disalahertikan oleh sesetengah pihak yang beranggapan pengumuman itu dibuat kerana terdapat kes koronavirus di pusat pemborong itu.

“Kami juga telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya siasatan dan tindakan susulan dapat dilakukan,” kata kenyataan itu.

Categories
SELANGOR

Tujuh juta kunjungi GM Klang setahun

KLANG, 1 DIS: GM Klang memberi impak besar dalam sektor pelancongan di Selangor khususnya Klang berikutan kemampuan pusat pemborong terbesar itu menjadi salah satu tarikan pelancongan di daerah itu.

Pengarah Urusannya, Datuk Lim Seng Kok berkata, sehingga kini GM Klang berjaya menarik kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara, kira-kira enam hingga tujuh juta setahun.

“Tahun ini adalah ulang tahun ke-10 GM Klang dan kita berasa bangga serta bertuah kerana mendapat sokongan hebat dari pelbagai pihak.

“Ramai yang datang dari seluruh negara dan luar seperti Singapura, Brunei, Filipina, Indonesia serta Thailand,” katanya.

Pengunjung yang hadir pada Majlis Malam Kemuncak Gempak Karnival di GM Klang pada 30 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada media pada program Gempakarnival Sempena Ulang Tahun ke-10 GM Klang di sini, malam tadi.

Seng Kok berkata, selain mengunjungi GM Klang, orang ramai turut mengambil kesempatan untuk bermalam dan melawat tempat menarik lain di daerah itu.

Katanya, kejayaan ini diraih dengan adanya sokongan padu Tourism Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Kita bekerjasama bukan sahaja dengan MPK tetapi juga Tourism Selangor untuk memperkenalkan Klang kepada semua pelanggan GM Klang dan ini juga sebab kita sediakan ruang bergambar menarik berlatar belakang tulisan ‘Saya Sayang Klang’,” katanya.

Categories
SELANGOR

GM Klang mahu jadikan Klang hub komersial Asia

KLANG, 1 DIS: Pusat pemborong, GM Klang bertekad menjadikan Klang sebagai hub komersial Asia sekali gus membuka peluang kepada pengusaha industri kecil dan sederhana tempatan mengeksport produk masing-masing ke rantau ini.

Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata, rancangan jangka panjang itu boleh direalisasikan berikutan status Klang sebagai pelabuhan ke-12 terbesar dunia.

“Harapan saya Klang bukan sahaja sebagai pelabuhan besar tetapi hub komersial kerana ramai peniaga antarabangsa akan datang ke GM Klang untuk mencari produk masing-masing.

“Selain pelabuhan, Klang juga memiliki kemudahan logistik lain yang baik seperti gudang, perindustrian dan pengangkutan,” katanya.

Pengarah Urusan GM Klang, Dato’ Lim Seng Kok. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada media pada program Gempakarnival Sempena Ulang Tahun ke-10 GM Klang di sini, malam tadi.

Seng Kok berkata, pihaknya yakin usaha itu dapat membangunkan ramai usahawan terutama golongan muda tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.

Selain sektor pemborong, peluang anak muda terlibat dalam sektor peruncitan juga terbuka luas apabila GM Klang menyediakan pelbagai produk pada harga borong.

“Saya hendak menggalakkan lebih ramai anak muda untuk berkecimpung dalam perniagaan, tambahan pula peluang pekerjaan ketika ini juga kurang,” katanya.