Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aplikasi tempah tiket Go Selangor dilancar tahun depan, mudahkan pelancong pilih destinasi

PETALING JAYA, 10 DIS: Aplikasi Go Selangor yang dilancarkan Februari depan memudahkan pengguna menempah tiket ke pelbagai destinasi percutian negeri ini secara dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad berkata tempahan tiket melalui aplikasi rasmi pelancongan negeri itu meliputi taman tema, premis inap desa dan hotel.

“Ketika ini, aplikasi tersebut sedang giat dibangunkan dan dijangka tersedia kepada orang ramai pada Februari nanti.

“Rancangan kita adalah untuk mendigitalisasikan industri dan penggiat pelancongan seperti pemandu pelancong, pengusaha inap desa, hotel dan taman tema serta agensi pelancongan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Konvensyen Global Tourism Selangor di Hotel New World di sini hari ini.

Konvensyen selama dua hari bermula semalam disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan menghimpunkan seramai 4,400 penggiat industri pelancongan.

Pada 26 November, Amirudin berkata Kerajaan Negeri membangunkan aplikasi Go Selangor dengan kerjasama syarikat pemula tempatan Tourplus dan disokong Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Menurutnya, semua perniagaan layak menyertai aplikasi berkenaan secara percuma.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aplikasi Go Selangor rancakkan pelancongan mulai Februari

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri membangunkan aplikasi rasmi pelancongan Go Selangor yang dijangka tersedia kepada orang ramai awal Februari tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata aplikasi itu dibangunkan Tourism Selangor dengan kerjasama syarikat pemula tempatan Tourplus selain disokong Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

“Tourism Selangor dengan kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ akan memberi tumpuan kepada pendigitalan pelancongan bagi membantu operator pelancongan Selangor beranjak dalam talian.

“Ia akan menjadi aplikasi rasmi pelancongan negeri bagi memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Selangor memasuki era digitalisasi (dengan) sasaran fasa pertama membantu 100,000 PKS mendigitalkan aplikasi Go Selangor menjelang 2022,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan semua perniagaan layak menyertai aplikasi berkenaan secara percuma.

Katanya, pelancong boleh menggunakan aplikasi itu untuk tempahan hotel, pemindahan lapangan terbang, tiket tarikan, baucar spa dan makanan, lawatan sehari serta menyesuaikan lawatan peribadi.