Categories
AGENDA SUKANKINI

Bekas juara remaja dunia ikut jejak Zii Jia kemuka rayuan kepada BAM

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei mengikuti jejak pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia mengemukakan rayuan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berikutan penggantungan selama dua tahun ke atasnya.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja Dunia 2018 menghantar surat rayuan berkenaan melalui e-mel semalam.

“Kami baru sahaja menerima surat rayuan daripadanya semalam. Oleh itu, kita akan melalui proses yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jin Wei, mengumumkan persaraan dan keluar dari BAM pada September tahun lepas sebelum bergerak sebagai profesional, digantung daripada beraksi di mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 31 Okt 2021.

Pada Isnin, Zii Jia mengemukakan surat rayuan berhubung penggantungan selama dua tahun oleh BAM berikutan tindakannya meninggalkan badan induk sukan itu.

Semalam, kedua-dua pihak mengadakan pertemuan berhubung rayuan dikemukakan yang membawa kepada keputusan yang baik.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberi restu kepada Zii Jia untuk menjadi pemain profesional.

“Saya gembira kami dapat selesaikan isu ini dengan BAM selepas mendapat restu Tan Sri untuk menjadi pemain profesional,” kata Zii Jia melalui hantaran di Facebook semalam.

Pada Jumaat, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunos mengumumkan bahawa BAM tidak akan mendaftar Zii Jia dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Jan.

Keputusan itu dibuat selepas pemain berusia 23 tahun itu meninggalkan BAM untuk menjadi pemain profesional pada 11 Jan dan mengatakan tidak mampu berdepan tekanan dan ‘gaya hidup’ di BAM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BAM gantung Zii Jia, Jin Wei dua tahun

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Pemain badminton perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia yang mahu berhenti daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), terpaksa membayar harga yang tinggi apabila badan itu memutuskan untuk menggantungnya daripada bermain dalam kejohanan antarabangsa untuk tempoh dua tahun.

Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunood berkata pihaknya tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan untuk tempoh dua tahun, bermula 18 Januari.

Jahaberdeen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perundangan BAM berkata persatuan itu telah pun mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pemain nombor tujuh dunia itu, sejak beliau menghantarkan surat peletakan jawatannya pada 11 Januari.

“Bagaimanapun Zii Jia tetap dengan keputusannya, dan pada satu daripada perbincangan tersebut berkata yang beliau tidak dapat tahan tekanan berada di dalam skuad kebangsaan dan gaya hidup ditetapkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di samping memberikan beberapa terma, yang kami tolak.

“Terma tersebut adalah untuk beliau mempunyai pasukan kejurulatihannya dan kakitangan sokongannya sendiri, merancang kejohannnya sendiri dan untuk mempunyai penajanya sendiri. Kami dengan berat hati membuat keputusan sukar ini demi kepentingan negara dan kesan kewangan, selepas membimbing pemain ini selama 11 tahun,” katanya dalam satu sidang media di ABM di sini hari ini.

BAM juga membuat keputusan untuk mengenakan tindakan kepada bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei yang secara tiba-tiba meninggalkan BAM atas alasan kesihatan, dengan hukuman yang sama bermula 31 Oktober 2021.

Untuk bermain dalam sebarang kejohanan diiktiraf Persekutuan Badminton Dunia (BWF) seseorang pemain itu perlu didaftarkan menerusi persatuan badminton kebangsaan.

Bagaimanapun Jahaberdeen berkata, pada masa ini BAM tidak bercadang untuk mengenakan denda kepada kedua-dua pemain tersebut.

Jahaberdeen berkata pemain-pemain itu boleh membuat rayuan pada bila-bila masa, manakala pintu untuk mereka kembali kepada BAM juga masih terbuka.

Sebelum ini BAM telah menggantung pemain seperti Tan Chung Seang dan Toh Ee Wei kerana meninggalkan kem latihan negara. Bagaimanapun Ee Wei kemudiannya menyertai semula BAM.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jin Wei tidak sertai Master Malaysia – BAM

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei tidak akan menyertai Kejohanan Master Malaysia 2020.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan menyesahkan Jin Wei tidak akan mengambil bahagian dalam kejohanan yang menampilkan pemain terbaik dunia di Axiata Arena, Selasa hingga Ahad ini.

“Pihak kejurulatihan percaya pemain berumur 19 tahun itu memerlukan lebih banyak masa untuk kembali cergas sebelum kembali beraksi,” kata BAM.

Pemain dari Pulau Pinang itu sebelum ini mendapat lampu hijau daripada doktornya untuk kembali ke gelanggang bagi memastikan impiannya ke Olimpik tercapai, selepas menjalani pembedahan membuang sebahagian ususnya berikutan sakit dalam perut.

Jin Wei yang memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Remaja 2018, telah menunjukkan prestasi luar biasa pada Master Malaysia 2019 selepas mengetepikan pemain Jepun, Akane Yamaguchi dan He Bingjiao dari China untuk layak ke separuh akhir, tetapi tewas kepada pemain Thailad Ratchanok Inthanon.

Jin Wei yang pernah berada pada kedudukan 30 pemain terbaik dunia untuk musim 2019 kini jatuh pada kedudukan 53, manakala bagi kedudukan ‘Road to Tokyo’ (kelayakan Olimpik), beliau berada pada tangga 181. Hanya 34 pemain akan ke Tokyo.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Tahniah Goh Jin Wei – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan atlet badminton negara, Goh Jin Wei yang merangkul kejuaraan remaja dunia.

Menerusi twitter, beliau berkata, kemenangan Jin Wei melalui kejohanan badminton dunia itu dapat memacu prestasinya di arena antarabangsa.

“Saya berharap kemenangan ini juga memberi galakan kepada pemain badminton muda negara yang lain,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Jin Wei melengkapkan musim cemerlang apabila merangkul kejuaraan remaja dunia buat kali kedua di Markham, Kanada.

Remaja berusia 18 tahun itu membuat penampilan terakhir dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia, terlalu kuat buat Line Christophersen dari Denmark apabila menang mudah 21-13, 21-11 untuk dinobat sebagai juara perseorangan wanita.

Ini adalah gelaran kedua Jin Wei selepas menang pada 2015, malah kejayaannya hadir hanya sebulan selepas dia memahat sejarah merangkul pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik Remaja.