Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih RM1 juta diagih kepada golongan B40 – Ganabatirau

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: Lebih RM1 juta diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) seluruh Selangor bagi mengurangkan beban ditanggung ekoran penularan Covid-19.

EXCO kerajaan prihatin berkata dana melalui tiga program itu menyasarkan penduduk terkesan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

Katanya, bantuan bermula April lalu dengan program pertama melibatkan 1,160 peniaga kecil yang menerima RM400 setiap seorang selain RM300,000 kepada 5,000 pekerja ladang dalam bentuk makanan asas.

“PKP mengakibatkan banyak program tertangguh jadi kita ada baki peruntukan. Kita gunakan hampir RM348,000 membeli makanan sihat dan keperluan kesihatan untuk 5,700 penduduk mendepani PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan),” kata V Ganabatirau selepas Program Pemberian Barangan Perlidungan Kesihatan dan Makanan Berkhasiat Mukim Ujong Permatang hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan beras, milo, bijirin serat, biskut, pelitup muka, pencuci tangan serta cecair pembasmi kuman kepada 100 penduduk.

Menurutnya, bantuan disalur melalui penghulu kampung supaya matlamat sumbangan sampai kepada keluarga memerlukan.

Categories
AGENDA NASIONAL

1.27 juta individu dijangka lalui saringan PeKa B40

PONTIAN, 26 OKT: Lebih 1.27 juta individu dijangka menjalani ujian saringan kesihatan Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) di klinik swasta dan klinik kesihatan di seluruh negara pada tahun hadapan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pengumuman penurunan had umur penerima skim berkenaan daripada 50 tahun ke atas kepada 40 tahun ke atas adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah melakukan saringan pemeriksaan kesihatan agar tindakan pengesanan dan rawatan dapat dilakukan.

“Mengikut data terkini, kita telah menyaring 130,000 individu yang berusia 50 tahun untuk jalani pemeriksaan darah tinggi, kencing manis, kolesterol, buah pinggang, dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampungku Peringkat Daerah Pontian Sihat di Mukim Penghulu Serkat di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan membuat perancangan terperinci mengenai pembinaan dan menaik taraf hospital termasuk Hospital Pontian serta klinik di seluruh negara, selepas menerima peruntukan RM30.6 bilion dalam Belanjawan 2020.

Beliau berkata melalui peruntukan itu, hanya sebuah hospital baharu akan dibina iaitu di Kampar, Perak.

“Hanya satu hospital baharu sahaja yang akan dibina manakala selebihnya penambahbaikan dan menaik taraf dan hendak tekankan saya lebih pentingkan menaik taraf klinik kita dan cukupkan fasiliti-fasiliti, kemudahan dan keupayaan klinik kita,” kata beliau.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika mengulas mengenai peruntukan diterima KKM dalam Belanjawan 2020.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Golongan B40 disaran libatkan diri dalam perniagaan

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Libatkan diri dalam perniagaan, walaupun berniaga kecil-kecilan, untuk meningkatkan pendapatan ke arah kehidupan yang lebih baik.

Mesej itu disuarakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah B40 yang tinggal di bandar dalam usaha mempertingkatkan tahap sosioekonomi mereka dan keluar daripada kemiskinan bandar.

Seterusnya, mereka perlu memperkembangkan perniagaan itu.

“Kami dapati ada sesetengah komuniti di Malaysia tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup untuk memperkembangkan perniagaan mereka.

“Mereka amat statik, dan sebaik saja mereka peroleh cukup wang untuk membiayai keperluan harian, mereka tidak melakukan sebarang usaha untuk memperkembangkan perniagaan yang mereka ceburi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pembasmian Kemiskinan: Pembangunan Inklusif dan Sejahtera Dalam Malaysia Baharu, bersempena Hari Antarabangsa Yayasan Sejahtera 2019, di sini hari ini.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan harus mendidik mereka tentang keperluan untuk memperkembangkan dan memperluaskan perniagaan supaya mereka dapat keluar daripada kemiskinan di kawasan bandar.

Perdana menteri menjelaskan fenomena itu berlaku di seluruh dunia, yang mana penduduk dari kawasan luar bandar berhijrah ke bandar dengan harapan supaya mereka dapat mencari kerjaya yang lebih sesuai dan meraih pendapatan lebih baik di kawasan bandar.

“Ia sebenarnya menggambarkan kemiskinan luar bandar. Disebabkan itu, mereka datang ke bandar, tetapi mereka datang tanpa kelulusan yang sesuai dan prospek yang wajar.

“Jika mereka tidak membenarkan diri mereka dilatih, maka pendapatan mereka akan rendah. Bagaimanapun, kami boleh membantu dengan memberi mereka latihan, mewujudkan peluang, dan memperbanyakkan tawaran pekerjaan, supaya mereka tidak tergolong dalam kalangan miskin bandar,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana kerajaan Pakatan Harapan dapat mengawal harga barangan ketika kos sara hidup terus menjadi masalah utama, Dr Mahathir berkata, kerajaan melakukan yang terbaik untuk mengawal harga barangan, dan mengharapkan kerjasama sektor swasta supaya harga barangan terus rendah, sungguhpun mereka sendiri perlu memperoleh keuntungan yang munasabah.

“Harga barangan tidak ditetapkan oleh kerajaan, melainkan bagi barangan tertentu. Jika kami menetapkan harga bagi semua barangan, maka ia akan menjadi ekonomi terkawal, bukan lagi ekonomi bebas.

“Dalam ekonomi bebas, sektor swasta berpeluang untuk menetapkan harga tetapi jika harga menjadi tidak munasabah, (atau) mereka memperoleh keuntungan yang melampau, ketika itu mungkin kerajaan akan campur tangan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Skim Smart Sewa bantu golongan B40

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: Kerajaan Negeri berusaha memastikan tiada kelompok dalam kalangan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) ketinggalan memiliki kediaman sendiri dengan menyediakan Skim Smart Sewa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah ini diambil berikutan 35 peratus daripada 50,000 tawaran Rumah Selangorku yang diluluskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor berdepan masalah pembiayaan pinjaman institusi kewangan disebabkan pelbagai isu seperti tunggakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan kad kredit.

“Melalui skim yang disebutkan tadi, sehingga kini sebanyak 341 unit rumah telah disewakan dengan kadar sewaan bermula daripada RM450 sebulan sehingga RM700 sebulan.

“Sebanyak 101 unit telah disiapkan pada awal tahun ini dan bakal disewakan dalam masa terdekat, manakala sebanyak 541 unit dijangka dapat disiapkan pada pertengahan tahun ini hingga awal tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu Hibiscus 3 di Bandar Seri Coalfields di sini, hari ini.

Amirudin berkata, selain skim Smart Sewa, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) merangka rancangan pembangunan menyeluruh untuk membina rumah mampu milik di seluruh kawasan RAC di Selangor.

Katanya, MBI Selangor dan RAC akan bekerjasama dalam membangunkan aset-aset ini dengan memberi tumpuan kepada pembangunan berorientasikan transit (TOD) termasuk rumah mampu milik.

“Langkah ini bertujuan membina komuniti yang mampan, pembangunan tersebut akan menyediakan kawasan perumahan yang sesuai dan mampu dimiliki serta menyediakan jaringan hubungan yang baik di samping turut meningkatkan ekonomi di sekitar pusat TOD dan komuniti sekitar.

“Inisiatif bersama ini juga mencerminkan sokongan Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan visi Selangor untuk menjadi Negeri Pintar menjelang 2025, yang menghubungkan kemudahan pengangkutan awam bersepadu bersama perumahan mampu milik,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN giat promosi Geran Sepadan untuk golongan B40

KAMPAR, 18 OGOS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan terus menggiatkan promosi skim insentif Geran Sepadan untuk menggalakkan lebih ramai ibu bapa daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) menabung dalam skim berkenaan.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata ini kerana peruntukan yang disediakan kerajaan Persekutuan sejak 2003 berjumlah RM1 bilion hanya digunakan sejumlah RM2.41 juta sahaja setakat ini.

Katanya jumlah penerima yang mendapat manfaat berkenaan adalah terlalu kecil iaitu seramai 1,670 pendeposit dengan bilangan akaun sebanyak 1,803 sehingga 31 Mac 2019.

“Kita akan melipatgandakan promosi dan kempen mengenai Geran Sepadan ini bagi memastikan golongan B40 mendapat sepenuhnya manfaat yang telah disediakan kerajaan kerana kita tidak mempunyai tempoh masa tertentu untuk mencapai sasaran selagi peruntukan sebanyak RM1 bilion itu belum habis digunakan sepenuhnya,” katanya.

Wan Saiful bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 peringkat negeri yang dirasmikan Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim di Arena Rakyat Tualang Sekah di sini, hari ini.

Wan Saiful berkata insentif Geran Sepadan diberikan secara percuma sehingga RM10,000 untuk sebuah keluarga B40 membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak mereka.

Beliau berkata perkara itu diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa memegang jawatan Perdana Menteri ketika itu pada pembentangan Bajet 2003.

Sementara itu, Wan Saiful berkata pihaknya menyasarkan jumlah simpanan sebanyak RM1 bilion dengan 500,000 akaun baharu akan dibuka pada tahun ini.

“Sehingga 30 Jun tahun ini, sejumlah 256,000 akaun baharu telah dibuka dan ini merupakan cabaran bagi PTPTN bagi memastikan sasaran dapat dicapai dengan melakukan pelbagai strategi selain pelbagai langkah baharu perlu diambil termasuk mengadakan kerjasama dengan semua kerajaan negeri.

Terdahulu, Hasnul Zulkarnaian dalam ucapan perasmiannya berkata Perak adalah antara yang terawal menjadikan SSPN sebagai inisiatif kepada rakyat di negeri itu dengan menyediakan sumbangan dalam bentuk akaun SSPN kepada anak kelahiran Perak di bawah program Tabung Simpanan Pendidikan Negeri Perak yang disalurkan melalui Yayasan Perak.

Beliau berkata menerusi program itu yang diperkenalkan sejak 2010, setiap kelahiran baharu akan menerima RM200 sebagai sumbangan yang dimasukkan terus ke akaun SSPN.

“Saya yakin kerajaan negeri akan meneruskan program ini pada tahun seterusnya demi masa depan anak-anak kelahiran negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, PTPTN turut menyampaikan sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 960 anak-anak asnaf melibatkan 24 kawasan Parlimen di negeri ini menerusi peruntukan wakalah zakat PTPTN berjumlah RM96,000.

Menerusi sumbangan itu, setiap pelajar yang terpilih menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka PTPTN melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI

Tidak yakin punca B40 enggan libat dalam bidang usahawan

JASIN, 2 JUN: Tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri antara punca menyebabkan golongan berpendapatan rendah (B40) enggan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, kata Menteri Pembangunan Usahawan.

Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, ini kerana golongan berkenaan sering bimbang mereka akan gagal dalam menyaingi pasaran dengan usahawan lain pada peringkat awal perniagaan.

“Kita sentiasa mengalakkan orang Melayu, terutama dalam kalangan B40, supaya lebih berani ke depan dan kreatif kerana banyak peluang dan ruang disediakan untuk membantu mereka memulakan perniagaan.

“Tapi saya lihat hari ini, yang datang lebih banyak hanya meminta wang, sedangkan banyak kaedah permulaan perniagaan yang telah diaturkan oleh kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ihya Ramadan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) bersama Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Jasin di Masjid Al-Ghaffar, di sini malam ini.

Turut hadir, Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md Arip.

Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, selain tidak yakin dengan kemampuan diri, golongan B40 juga dilihat kurang mempunyai maklumat mengenai kaedah untuk memulakan perniagaan.

Dalam pada itu, beliau berkata selain golongan B40, kumpulan anak muda juga perlu berani mengemukakan cadangan kepada kementerian, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Menurutnya, kerajaan sentiasa komited mencari ruang agar golongan berkenaan tidak terpinggir dan ketinggalan dari segi pendapatan, seiring sasaran menjadi negara usahawan 2020.

– BERNAMA