Categories
PENDAPAT RENCANA

Makanan ‘hipster’ tinggi gula lonjak kes diabetes golongan muda

Oleh Muhammad Basir Roslan

Artikel ini ditulis bersempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada setiap 14 Nov. Tahun ini sambutan bertemakan ‘Akses Kepada Penjagaan Diabetes: Jika Bukan Sekarang, Bila Lagi?’.

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Peredaran masa membawa bersama perubahan dalam kebanyakan aspek kehidupan termasuk pemakanan, dan sejak tahun-tahun kebelakangan ini kita dapat melihat “kegilaan”, khususnya golongan muda, terhadap makanan dan minuman ‘hipster’ yang unik.

Antara yang popular ialah pisang goreng bersalut keju, teh ais boba dan ‘Milo ais kepal’ (ketulan ais dikisar dan dikepal sebelum disiram dengan cairan Milo pekat, susu krimer manis dan ditabur kacang hancur). Kesemua makanan dan minuman ini mempunyai kandungan gula yang amat tinggi dan disifatkan oleh pakar kesihatan awam sebagai “keterlaluan”.

Jika dilihat pada corak pemakanan sedemikian, tidak hairanlah apabila didapati berlaku peningkatan kes diabetes dalam kalangan orang muda berusia bawah 40 tahun di negara ini sejak 11 tahun yang lalu, dan ini bukanlah satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun ke atas menunjukkan trend peningkatan, bermula dengan 11.2 peratus pada 2011, meningkat kepada 13.4 peratus (2015) dan yang terkini, 18.3 peratus atau 3.9 juta orang daripada populasi negara (2019).

Statistik ini dijangka terus meningkat apabila survei NHMS dilaksanakan pada 2023 nanti.

Makanan hipster merosakkan

Timbalan Pengarah Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), Bahagian Kawalan NCD, Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata pemakanan yang tidak sihat, termasuk makanan dan minuman hipster, merupakan antara faktor risiko utama peningkatan kes diabetes dalam kalangan warga muda saban tahun.

Menurutnya, pemakanan yang tidak sihat itu termasuklah pengambilan makanan secara berlebihan, makanan yang tinggi kandungan gula, lemak dan garam selain kurang makan sayur-sayuran, buah-buahan dan serat.

“Kita boleh lihat sendiri betapa hebatnya populariti pelbagai makanan dan minuman hipster dalam kalangan orang muda kita. Makanan ini pula amat mudah didapati walaupun di warung di tepi jalan, selain turut diiklankan secara meluas khususnya menerusi media sosial.

 

“Bagi mengira kandungan kalori, ini bergantung pada kuantiti makanan dan minuman yang diambil. Satu gelas teh boba (bersaiz 500 ml) misalnya, mempunyai kira-kira 300 hingga 500 kilokalori (kcal).

“Cuba bandingkannya dengan satu senduk nasi (75 kcal). Bermaksud, kilokalori satu gelas teh boba bersamaan lima senduk nasi. Sekeping pisang goreng berkeju bersaiz biasa pula mempunyai 190 kcal. Bayangkan betapa tingginya kandungan gula dalam makanan viral sebegini,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Beliau berpandangan antara faktor produk sedemikian begitu popular dalam kalangan generasi muda ialah kerana sifat golongan itu yang mudah terpengaruh dengan hantaran media sosial dan strategi pemasaran peniaga serta pempengaruh media sosial dan rakan sebaya.

Menurut beliau, corak pemakanan tidak sihat itu juga lazimnya bermula sedari peringkat kanak-kanak.

Kurangnya pemeriksaan kesihatan berkala

Dr Feisul Idzwan yang juga pakar perubatan kesihatan awam, berkata masalah NCD seperti diabetes dalam kalangan orang muda turut diburukkan lagi oleh hakikat bahawa masih ramai rakyat Malaysia tidak menjadikan saringan kesihatan berkala, baik ujian gula dalam darah, kolesterol dan juga pemeriksaan tekanan darah, sebagai gaya hidup.

Padahal katanya saringan kesihatan boleh dilakukan di mana-mana klinik kesihatan kerajaan dan juga swasta, selain turut ditawarkan di bawah program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Menurut beliau, antara punca masalah itu ialah kurang kesedaran akan kepentingan saringan kesihatan di samping pelbagai alasan lain, antaranya tiada kemudahan pengangkutan untuk ke fasiliti kesihatan, tiada masa akibat kerja, perlu menjaga ahli keluarga, malah ada juga yang takut tentang keputusan yang bakal diterima, lantas memutuskan tidak mahu ambil tahu.

“Saya ingin tekankan betapa pentingnya untuk kita mengesan penyakit NCD seperti diabetes pada peringkat awal. Jika dapat dikesan awal, penyakit diabetes lebih mudah untuk dikawal, dan risiko komplikasi juga dapat dikurangkan.

“Jika penyakit diabetes terkawal, seseorang pesakit boleh kekal dalam kesihatan yang baik hingga ke akhir hayat. Oleh itu, dicadangkan setiap rakyat Malaysia yang dewasa menjalani saringan kesihatan setiap tahun. Jenis saringan kesihatan bergantung pada jantina, umur dan tahap risiko kesihatan individu (termasuklah sejarah penyakit dalam keluarga),” katanya.

Jelas beliau, penyakit diabetes yang tidak dikesan dari awal dan tidak dirawat boleh menyebabkan kesan yang lebih teruk seperti kegagalan buah pinggang (nefropati diabetik), kerosakan pada retina (retinopati diabetik), penyakit jantung koronari dan mati pucuk.

Perbaiki pemakanan, gaya hidup

Orang awam berjoging di Taman Tasek Ampang Hilir, Kuala Lumpur pada 17 Jun 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas Kerajaan membenarkan aktiviti riadah di taman awam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, pakar perunding endokrinologi dan obesiti di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur Dr Saiful Kassim pula berpandangan trend membimbangkan tentang peningkatan kelaziman diabetes dalam kalangan generasi Y (lahir pertengahan 1980-an hingga 2000) berpunca daripada “keracunan makanan disebabkan pilihan sendiri” dan kurang pergerakan fizikal.

“Ini perlu diperbaiki melalui gaya hidup aktif dengan melakukan pergerakan fizikal setiap 30 hingga 60 minit setiap hari serta berjalan kaki 50 kali dari satu dinding ke satu dinding lain di rumah.

“Pergerakan fizikal juga adalah perkara paling penting berbanding senaman intensif, kerana senaman amat sukar dilakukan jika seseorang itu sudah tua atau mengalami osteoartritis (sakit sendi yang ketara). Namun jika ingin bersenam, anda digalakkan untuk melakukannya minimum 150 minit setiap minggu, selain melakukan aktiviti berjalan pantas selama 30 minit, lima hari seminggu,” katanya.

Beliau turut menasihati ahli masyarakat agar mengamalkan pemakanan harian yang sederhana dan seimbang, iaitu makanan yang terdiri daripada makanan berserat tinggi yang berkhasiat serta makanan rendah karbohidrat dalam kuantiti yang sesuai.

Pensyarah kanan Jabatan Sains Bioperubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Dr Sharifah Sakinah Syed Alwi pula berkata tabiat pemakanan yang sihat antara lain ialah mengambil buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh serta makanan kaya protein dalam nisbah yang berpatutan seperti makanan laut, daging tanpa lemak, kekacang dan produk soya.

“Selain itu, pengambilan makanan yang rendah lemak tepu atau trans, rendah kolesterol, sodium dan gula dapat membantu mengekalkan kesihatan badan yang baik. Senaman yang kerap juga dapat menambah baik kawalan gula dalam darah terutamanya untuk pesakit diabetes jenis 2, merendahkan risiko penyakit kardiovaskular dan mengurangkan berat badan,” katanya.

Beliau turut menegaskan pentingnya semua pihak berpadu tenaga menghentikan amalan pengambilan makanan tinggi kandungan gula dan kurang nutrisi tersebut bagi membina generasi Keluarga Malaysia yang lebih sihat dan bebas penyakit NCD seperti diabetes.

Sisipan

Penyakit diabetes atau kencing manis berlaku apabila paras gula dalam darah menjadi tinggi yang disebabkan oleh badan tidak dapat menghasilkan insulin mencukupi atau tidak dapat menggunakan insulin dengan betul.

Data terkini Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) menunjukkan hampir 537 juta orang dewasa di seluruh dunia (10.5 peratus daripada keseluruhan populasi orang dewasa) hidup dengan diabetes, dan angka itu diramal meningkat kepada 643 juta (11.3 peratus) menjelang 2030 dan 783 juta (12.2 peratus) menjelang 2045.

Diabetes terbahagi kepada dua jenis yang biasa. Jenis 1 berlaku apabila pankreas tidak berupaya menghasilkan insulin kerana sel-sel yang menghasilkan insulin telah dirosakkan oleh sistem imun tubuh sendiri, dan ini biasanya memerlukan rawatan suntikan insulin.

Jenis 2 pula merujuk kepada insulin tidak sensitif yang sedia ada dalam badan pesakit dan biasanya terjadi kepada mereka yang mempunyai sejarah kencing manis dalam keluarga. Ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan dalam bentuk pil ataupun gabungan bersama rawatan insulin.

Antara tanda dan gejala utama diabetes ialah dahaga keterlaluan, kerap kencing, cepat letih, luka lambat sembuh serta rasa kebas atau mencucuk di kaki atau tangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Golongan muda ada penyakit, obesiti antara 109 maut akibat Covid-19

SHAH ALAM, 5 JUN: Tujuh individu berusia antara 20 hingga 40 tahun yang menghidap pelbagai penyakit termasuk obesiti antara 109 kematian akibat Covid-19 yang direkodkan hari ini.

Ketua pengarah kesihatan menerusi kenyataan memaklumkan semua warga tempatan itu adalah dua wanita dan lima lelaki berusia antara 27 hingga 39 tahun.

Jelas Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, mangsa menghidap penyakit tiroid, dislipidemia, kencing manis, darah tinggi, obesiti, jantung dan cerebral palsy (kelumpuhan otak).

Kematian melibatkan wanita berusia 38 dan 39 tahun manakala lelaki berusia antara 27 hingga 36 tahun. Kes direkodkan di Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Kelantan.

Baki 102 kematian pula merupakan individu berusia 41 hingga 98 tahun termasuk tiga warga asing.

Hari ini Selangor merekodkan 33 kematian diikuti Johor (22), Kuala Lumpur (12), Negeri Sembilan (sembilan), Kelantan (enam), Kedah dan Melaka (lima), Perak (empat), Labuan (tiga), Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang (dua) serta Terengganu dan Wilayah Persekutuan (satu).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

80 peratus ‘pembawa senyap’ Covid-19 di Selangor babit golongan muda

SHAH ALAM, 15 MEI: Golongan berusia 20 hingga 40 tahun dikesan sebagai ‘pembawa senyap’ virus Covid-19 di negeri ini kerana tidak mengalami sebarang simptom.

Pengurus Selangor Health Care (Selcare) berkata perkara itu dikenal pasti menerusi program saringan komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor bermula 8 Mei lalu, lapor Berita Harian.

“Kumpulan ini adalah golongan produktif, mereka keluar bekerja, melakukan pelbagai aktiviti tanpa menyedari sebenarnya mereka positif Covid-19 sekali gus boleh menjangkiti individu lain.

“Berdasarkan saringan bermula 8 hingga 11 Mei lalu, hampir 80 peratus individu yang positif tanpa gejala adalah daripada kumpulan usia berkenaan,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika dihubungi hari ini.

Inisiatif Kerajaan Selangor bagi mengesan wabak itu disambung semula mulai Selasa ini melibatkan Dewan Serbaguna MPAJ dan Dewan Serbaguna MPAJ AU2 mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.

Setakat ini seramai 8,585 individu disaring di Dewan Undangan Negeri Kajang, Semenyih, Sungai Ramal, Balakong, Teratai dan Dusun Tua, Lembah Jaya dan Pandan Indah.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 388 kes Covid-19 dikesan dengan hampir keseluruhan melibatkan pesakit tanpa gejala.

Categories
ADN SELANGOR

Ramai anak muda hilang kerja akibat PKP, kerajaan perlu bantu

SHAH ALAM, 13 MEI: Golongan anak muda antara paling terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, kata Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik.

Najwan Halimi berkata ramai mengadu kehilangan sumber pendapatan biarpun mereka dari kalangan individu berkemahiran atau memiliki tahap pendidikan tinggi.

“Ramai anak muda diberhentikan kerja hingga terpaksa menganggur akibat wabak Covid-19 kerana majikan lebih mengutamakan pekerja lama yang dianggap banyak pengalaman.

“Saya sarankan mereka cari peluang yang ada untuk tambah pendapatan seperti membawa Grab. Cuba apa yang ada asalkan ia menjamin rezeki halal,” katanya ketika diwawancara menerusi program Cendol Pak Ya, hari ini.

Beliau juga berharap Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada golongan anak muda dalam pelan rangsangan ekonomi akan datang .

“Walaupun ramai mengeluh tapi ia perlu dilakukan. Saya harap lepas PKP ini, kerajaan Persekutuan dan negeri akan memberi sokongan untuk bantu golongan ini,” kata Najwan.

Categories
SELANGOR

ADN muda Selangor sambut baik turun had umur mengundi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 JUL: Langkah kerajaan meminda had umur mengundi kepada 18 tahun disambut baik Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor.

ADN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, bagaimanapun kerajaan perlu memberi lebih banyak pendedahan atau akses untuk golongan muda untuk mengetahui tentang proses demokrasi dan pengetahuan asas berkaitan sistem pentadbiran negara.

 

 

“Saya menyambut baik langkah ini kerana banyak negara maju lain turut memberi hak mengundi kepada mereka berumur 18 tahun.

“Bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan sebelum 18 tahun lagi mereka mendapat akses kepada pengetahuan asas tentang demokrasi seperti proses mengundi, kerajaan dan hal berkaitan kerana kita tidak mahu golongan muda ini ada yang tidak dapat membezakan antara Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jamaliah berkata, isu kematangan tidak timbul sama sekali kerana ianya adalah satu perkara yang subjektif dan tidak boleh diukur melalui umur seseorang.

Katanya, beliau yakin kerajaan telah membuat kajian mendalam sebelum membentangkan pindaan ini di Parlimen.

ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli pula berkata, langkah ini satu usaha ke arah perubahan lebih progresif dan demokratik di bawah era pentadbiran Malaysia Baharu.

 

“Saya menyambut baik cadangan ini kerana sebahagian besar penduduk negara adalah terdiri daripada anak muda.

“Mereka wajar diberi ruang seluasnya untuk menentukan corak masa depan negara dengan menentukan kepimpinan negara melalui pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya.

Categories
NASIONAL

Beban hutang faktor utama golongan muda tidak dapat beli rumah

SHAH ALAM, 7 JUN: Selain deposit pembelian rumah yang tinggi, cabaran kritikal yang biasa dihadapi kebanyakan golongan muda untuk melayakkan mereka membeli rumah pertama adalah masalah berkaitan pelbagai hutang, dan antara yang sering menjadi rintihan ramai kalangan mereka adalah hutang kad kredit, hutang beli kenderaan, dan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Bagi Azmeer Abu Bakar, 27, kegagalan melangsaikan hutang PTPTN dan kegagalan membayar hutang pinjaman kenderaan mengikut tempoh yang ditetapkan; merupakan punca utama yang mengakibatkan beliau tidak dapat membeli rumah sendiri kerana ia menyukarkan beliau membuat sebarang pinjaman lagi untuk membeli rumah.

“Oleh kerana saya mempunyai tunggakan pinjaman kenderaan dan PTPTN yang belum diselesaikan, saya akhirnya berhadapan dengan masalah CCRIS (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat),” kata penyelia di sebuah kilang pembuatan di Shah Alam itu kepada Bernama di sini baru-baru ini.

“Dengan adanya nama saya disenaraikan dalam rekod CCRIS, saya berhadapan dengan masalah untuk memiliki rumah sendiri kerana permohonan pinjaman perumahan saya tidak dapat diluluskan oleh pihak bank,” tambahnya.

Katanya prosedur pihak bank yang ketat menyukarkan pinjaman perumahan dibuat, walaupun tunggakan pinjaman kenderaan dan PTPTN yang ditanggungnya itu tidak besar.

“Apabila sesorang itu telah mempunyai rekod CCRIS memang nama tidak ‘cantik’ untuk membuat pinjaman perumahan, mungkin saya perlu tunggu duit simpanan mencukupi selain simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), supaya saya dapat selesaikan tunggakan pinjaman kenderaan dan PTPTN,” tambahnya yang sebelum ini memohon Rumah Selangorku.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan berkata hampir 50,000 tawaran Rumah Selangorku diluluskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sehingga Mac lepas, namun menurutnya daripada jumlah itu, kira-kira 35 peratus permohonan Rumah Selangorku berdepan masalah pembiayaan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan disebabkan pelbagai isu utama termasuk tunggakan PTPTN dan kad kredit.

Rumah Selangorku ditawarkan kepada penduduk di negeri ini yang mempunyai pendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri.

Seorang lagi pekerja swasta yang ingin dikenali sebagai Nor, turut berkongsi cabaran sama dan berkata masalah hutang kad kredit sering menyulitkan ramai orang muda sepertinya untuk memiliki kediaman sendiri.

Nor yang berusia 30 tahun berkata walaupun beliau telah memasang impian untuk memiliki kediaman sendiri sejak dua tahun lalu, tetapi impian itu masih belum dapat dipenuhi sehingga kini.

“Penggunaan kad kredit itu bukan disebabkan kita berbelanja ikut nafsu, tetapi disebabkan gaji yang kecil dan pada masa sama perbelanjaan keperluan harian yang tinggi, itu antara faktor yang menyebabkan saya terpaksa menngunakan alternatif lain iaitu menggunakan kad kredit.

“Saya pernah memohon untuk mendapatkan rumah mampu milik daripada kerajaan negeri (Selangor), tetapi permohonan tidak diluluskan bank disebabkan masalah ini, jadi buat masa ini terpaksalah menyewa,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sokongan PR Melonjak 52 %, Merentasi Kaum Terutama Golongan Muda

Anwar

PETALING JAYA, 7 MEI: Undi popular yang diraih Pakatan Rakyat (PR) meningkat kepada 5,623,984 atau 52 peratus, meninggalkan pencabarnya BN dalam saingan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) Ahad lalu.

Analisis awal juga menunjukkan peningkatan tersebut berlaku ekoran sokongan padu yang diterima dari pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan muda tanpa mengira faktor kaum.

Menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, satu kajian lengkap akan dikeluarkan dalam beberapa hari lagi dan beliau yakin kajian tersebut akan membuktikan terdapat penipuan dan penyelewengan dalam pilihan raya tersebut.

“Undi rakyat menunjukkan bahawa rakyat negara ini bersatu membentuk satu keluarga Malaysia.

“Mereka mengundi simbol yang membawa harapan baru untuk Malaysia seperti yang diperjuangkan oleh PR,” kata beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Bagaimanapun menurut beliau PRU-13 itu dicemari dengan pelbagai insiden penipuan dan penyelewengan yang dilakukan oleh BN dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PRU-12 pada 2008 lalu, BN dinafikan majoriti buat pertama kali apabila hanya memenangi 140 dari 222 parlimen keseluruhan, manakala 82 yang lain dimenangi PAS, PKR dan DAP yang ketika itu masih belum membentuk PR.

BN ketika itu memperolehi undi popular sebanyak 4.08 juta undi atau 50.6 peratus manakala PAS, DAP dan PKR memperolehi 3.79 juta atau 49.4 peratus.

Dalam PRU-13 baru-baru ini, majoriti kerusi dimenangi BN terus merosot apabila hanya menang di 133 kerusi parlimen, sebaliknya PR menunjukkan peningkatan kepada 89 kerusi parlimen.

Mengikut perbandingan kerusi DUN seluruh negara pula, kerusi yang dimenangi PR turut meningkat dari dari 198 DUN dalam PRU-12 kepada 229, manakala BN menunjukkan penyusutan dari 307 kerusi DUN kepada 275 kerusi DUN sahaja.