Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Utama dos penggalak kepada golongan berisiko dijangkiti wabak

KLANG, 24 OKT: Penerima vaksin jenis Sinovac di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) boleh mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari bagaimanapun mencadangkan pemberian dos penggalak itu diberi kepada golongan rentan, warga emas dan petugas barisan hadapan yang berdepan risiko jangkitan wabak.

Menurutnya, kesan sampingan mungkin membabitkan kelompok awal penerima vaksin tetapi data di luar negara menunjukkan keberkesanan mencapai sehingga 87 peratus dan penggunaannya turut disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka yang ingin dos penggalak boleh dapatkan secara percuma di program suntikan yang dilaksanakan kerajaan pusat, setiap vaksin mempunyai selang waktu sehingga enam bulan sebelum keberkesanannya berkurang.

“KKM putus untuk beri kepada penerima Sinovac, tetapi bagi saya lebih baik suntik golongan rentan, warga emas, doktor dan barisan hadapan terlebih dahulu,” katanya selepas meninjau hari pertama Selvax Remaja di Dewan Serbanguna Majlis Perbandaran Klang Pandamaran Jaya di sini, hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Golongan berisiko tinggi disuntik dos ketiga vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 dalam usaha meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan pandemik berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keutamaan pemberian dos ketiga itu akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan dan pesakit kurang daya tahan imun (terimunokompromi).

Selain itu, beliau berkata turut diberikan keutamaan adalah warga tua dengan komorbiditi serta individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang dan kesemuanya akan dilaksanakan apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

“Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata kesemua perincian berhubung pelaksanaan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

— BERNAMA