Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB serah bantuan makanan, ringan beban masyarakat Orang Asli

GOMBAK, 17 OKT: Dato’ Menteri Besar hari ini menyerahkan sejumlah 430 bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di sini yang terbeban dengan pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program Satu Keluarga Satu Bakul Makanan itu adalah kesinambungan daripada program seliaan EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian.

“Saya hanya menyampaikan dan ini merupakan program pusingan ketiga kita agihkan kepada masyarakat Orang Asli.

“Sumbangan ini bagi memastikan penduduk tidak terbeban dan tidak terputus bekalan makanan terutama dalam situasi Covid-19,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penduduk selepas program bersama Masyarakat Orang Asal di Dewan Pejabat JKOA Gombak, Gombak pada 17 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kampung Orang Asli Batu 12 pada Program Jelajah Prihatin Dato’ Menteri Besar ke Perkampungan Orang Asli Gombak di sini hari ini.

Amirudin turut meluangkan masa beramah mesra bersama masyarakat Orang Asli dan melihat hasil kraftangan penduduk di situ.

Sebelum ini Loy Sian berkata sebanyak 6,000 bakul makanan diedar secara berperingkat kepada keluarga Orang Asli yang terkesan akibat Covid-19 di seluruh negeri.

Agihan itu dibuat dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Chamber of Commerce in Hong Kong and Macau dan Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia membabitkan peruntukan RM450,000 meliputi beras, gula, garam dan minyak masak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua projek Rumah SelangorKu di Gombak diteruskan semula

GOMBAK, 3 OKT: Projek Rumah SelangorKu Nilam dan Kristal di Taman Mutiara Selayang, dekat sini yang terbengkalai sejak 2013 akan disambung pembinaannya, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail berkata projek berjalan semula selepas sembilan keluarga setinggan di Kampung Bendahara yang tinggal di tapak pembangunan itu setuju dipindahkan.

“Selepas selesai isu pemilikan tanah penghuni setinggan, ini bermakna kita boleh terus laksanakan projek (Rumah SelangorKu). Pembeli tak akan menunggu lama lagi.

“Projek ini dah terbengkalai lama hampir sembilan tahun. Lepas ini akan diteruskan dan jangka siap dalam tempoh setahun,” katanya ditemui di Dewan Rakyat, Padang Awam Batu Caves semalam.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar menyerahkan tawaran milikan tanah atau Notis 5A kepada 19 penduduk setinggan daerah ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tawaran membabitkan 10 penduduk Kampung Sungai Tua manakala baki dari Kampung Bendahara yang diberikan tanah gantian di Kuang dan Batu Arang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air 41 kawasan di Gombak pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 26 SEPT: Bekalan air 41 kawasan di Gombak yang terjejas akibat pembaikan paip pecah berhampiran Jejambat Ampang Point, Jalan Ampang pulih sepenuhnya jam 8 malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan sebentar tadi.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor ingin turut memohon kerjasama para pengguna untuk melaporkan sebarang kejadian paip bocor atau pecah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi memastikan tindakan pembaikan dapat dilakukan dengan segera,” katanya.

Air Selangor juga menasihatkan pengguna merujuk saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau talian 15300 bagi mendapatkan maklumat berkaitan.

“Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.

Semalam, 41 kawasan di wilayah Gombak berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah berhampiran Jejambat Ampang Point.

Categories
AGENSI SELANGOR

Paip pecah: Bekalan air 41 kawasan di Gombak pulih 71 peratus

SHAH ALAM, 26 SEPT: Pemulihan bekalan air di 41 kawasan terjejas di Gombak akibat kerja pembaikan paip pecah berhampiran Jejambat Ampang Point mencapai 71 peratus setakat jam 12 tengah hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Facebook memaklumkan 12 kawasan masih belum pulih dan tempoh pemulihan berbeza bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada jam 10 malam.

Semalam, sebanyak 41 kawasan di wilayah Gombak berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah berhampiran Jejambat Ampang Point.

Senarai lengkap kawasan terjejas dimuatkan di Facebook Air Selangor. Pengguna juga boleh merujuk aplikasi Air Selangor, Instagram dan Twitter atau hubungi talian 15300.

12 kawasan yang masih belum pulih adalah seperti berikut:

1. Kg. Tasik Permai
2. Kg. Ampang Indah
3. Kg. Indah Permai
4. Kg. Ampang Campuran
5. Taman Bukit Indah
6. Taman Dagang Permai
7. Taman Fairuza Ampang
8. Taman Permai Jaya Ampang
9. Taman / Kg. Tasek Tambahan
10. Taman TTDI Jaya Bukit Indah Ampang
11. Taman Sri Bayu Ampang
12. Taman Sri Baru Ampang

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air di Gombak pulih 63 peratus, 15 kawasan dalam proses pembaikan

SHAH ALAM, 26 SEPT: Pemulihan bekalan air di 41 kawasan terjejas di Gombak akibat kerja pembaikan paip pecah berhampiran Jejambat Ampang Point mencapai 63 peratus setakat jam 10 pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata 15 kawasan masih belum pulih dan tempoh pemulihan berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan air agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, sebanyak 41 kawasan di wilayah Gombak berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah berhampiran Jejambat Ampang Point.

Senarai lengkap kawasan terjejas dimuatkan di Facebook Air Selangor. Pengguna juga boleh merujuk
aplikasi Air Selangor, Instagram dan Twitter atau hubungi talian 15300.

15 kawasan yang belum pulih bekalan air:

1. Kampung Muhibah Ampang
2. Kampung Tasik Permai
3. Kampung Ampang Indah
4. Kampung Indah Permai
5. Kampung Ampang Campuran
6. Taman Bukit Indah
7. Taman TTDI Jaya Bukit Indah Ampang
8. Taman Halaman Kesuma
9. Taman Dagang Permai
10. Taman Bukit Ampang
11. Taman Fairuza Ampang
12. Taman Permai Jaya Ampang
13. Taman / Kampung Tasek Tambahan
14. Taman Sri Bayu Ampang
15. Taman Sri Baru Ampang

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air 41 kawasan terjejas di Gombak pulih 34 peratus

SHAH ALAM, 26 SEPT: Pemulihan bekalan air di 41 kawasan terjejas di Gombak akibat kerja pembaikan paip pecah berhampiran Jejambat Ampang Point mencapai 34 peratus setakat jam 8 pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata tempoh masa pemulihan berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada jam 10 malam, hari ini.

“Air Selangor ingin menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.” katanya menerusi Facebook.

Semalam, sebanyak 41 kawasan di wilayah Gombak berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah berhampiran Jejambat Ampang Point.

Senarai lengkap kawasan terjejas dimuatkan di Facebook Air Selangor. Pengguna juga boleh merujuk
aplikasi Air Selangor, Instagram dan Twitter atau hubungi talian 15300.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Lebih 70 individu disyaki positif Covid-19 di saringan tiga DUN

GOMBAK, 21 JUN: Kadar jangkitan Covid-19 menerusi Saringan Komuniti yang diadakan di Dewan Beringin Seri Gombak semalam masih tinggi melebihi kadar nasional.

Dato’Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari berkata jumlah yang hadir seramai 1,200 orang dengan lebih 70 individu disyaki positif wabak.

“Bagi fasa ketiga ini tumpuan adalah di kawasan yang mempunyai kadar positif yang tinggi dari nasional dan ia diperoleh dari fasa sebelum ini.

“Sebagai contoh kadar positif di Sungai Tua dan Gombak Setia ini adalah tinggi pada saringan lepas iaitu enam hingga lapan peratus.

“Hari ini daripada 1,200 kita dapati 70 lebih yang positif dan masih melebihi kadar nasional dengan enam peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan Saringan Komuniti bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Gombak Setia dan Taman Templer.

Pada 9 Jun Dato’ Menteri Besar berkata saringan fasa tiga diteruskan di kawasan mencatatkan kes tinggi selain sektor industri dan perkilangan dengan sasaran 100,000 individu diuji.

Amirudin berkata sejak diperkenalkan tahun lalu, Kerajaan Negeri menyaring penduduk menerusi program fasa satu ketika PKP 1.0 hingga PKP 2.0 dan fasa dua sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Perubahan butiran pusat nilai Covid-19 di empat daerah

SHAH ALAM, 8 JUN: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di empat daerah mengalami perubahan butiran melibatkan lokasi, waktu operasi dan nombor telefon.

Jabatan Kesihatan Daerah Selangor (JKNS) memaklumkan CAC yang terlibat ialah Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak, Hulu Langat, Sepang dan Hulu Selangor.

“Sekiranya anda pesakit positif Covid-19 yang menjalani rawatan di rumah dan mengalami sebarang gejala, sila hubungi nombor CAC. Pasukan pemantauan di rumah akan membantu anda.

“Sekiranya gejala anda bertambah teruk, sila hubungi 999 atau ke hospital terdekat dengan kenderaan sendiri,” katanya menerusi Facebook.

Orang ramai boleh melayari Facebook rasmi JKNS untuk mendapat maklumat lanjut mengenai CAC.

Kemas kini butiran CAC di Klinik Kesihatan empat daerah:

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di Gombak pulih sepenuhnya, KL capai 57 peratus

SHAH ALAM, 8 APRIL: Bekalan air yang terjejas akibat kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates pulih sepenuhnya di wilayah Gombak.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pemulihan di wilayah Kuala Lumpur pula mencapai 57 peratus.

“Sehingga jam 6 pagi, sejumlah 66 peratus bersamaan 38 daripada 58 kawasan mendapat bekalan air sepenuhnya yang mana para pengguna yang terjejas di Gombak pulih sepenuhnya.

“Manakala, sejumlah 20 kawasan di Kuala Lumpur masih belum pulih,” katanya menerusi Facebook.

Air Selangor memaklumkan orang ramai boleh mendapatkan maklumat senarai kawasan yang belum menerima bekalan air dengan merujuk pautan https://www.airselangor.com/status-terkini-pemulihan…/…

Sebelum ini, 58 kawasan membabitkan Gombak dan Kuala Lumpur dilaporkan mengalami gangguan air berjadual antara 48 hingga 68 jam bermula 6 April berikutan kerja penyelenggaraan beberapa aset utamanya tahun ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air Selangor gerakkan 29 lori tangki ke kawasan terjejas

SHAH ALAM, 6 APRIL: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggerakkan 29 lori tangki air ke kawasan terjejas susulan kerja penggantian injap pada jajaran paip air mentah di Empangan Klang Gates.

Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri berkata pihaknya memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis serta upacara pengebumian.

“Air Selangor turut menyediakan kemudahan pembelian air kepada pihak industri atau pelanggan komersial dengan membuat pembayaran di kaunter khidmat pelanggan.

“Pelanggan perlu menyediakan kenderaan atau lori tangki yang disewa sendiri. Pengambilan air boleh dilakukan di dua stesen di Jalan TPP 5/17, Taman Perindustrian Puchong 5/17 dan stor Air Selangor Hulu Langat, Seksyen 13, Jalan P/4 Bandar Baru Bangi,” katanya dalam kenyataan.

Elina menambah pusat khidmat setempat turut dibuka bersebelahan padang bola Hospital Kuala Lumpur dan kawasan letak kenderaan My Capital, Jalan Jejawi, Bangsar bagi memudahkan pengguna membuat aduan serta berhubung terus dengan pegawai khidmat pelanggan.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerja penggantian injap yang bermula jam 9 pagi tadi dijangka selesai jam 9 malam ini manakala loji dan sistem agihan akan distabilkan sebelum bekalan air disalur kepada pengguna.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas secara berperingkat dan berbeza bergantung jarak lokasi premis pengguna serta tekanan air pada sistem agihan,” katanya.

Sebelum ini, agensi memaklumkan 58 kawasan membabitkan Gombak dan Kuala Lumpur mengalami gangguan air berjadual antara 48 hingga 68 jam bermula hari ini berikutan kerja penyelenggaraan beberapa aset utamanya tahun ini.

Pengguna boleh melayari https://www.airselangor.com/scheduled-water-supply-disruption-notice/ bagi mendapatkan maklumat lanjut atau menerusi media komunikasi rasmi Air Selangor.

Antaranya aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram serta laman sesawang http://www.airselangor.com.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Selenggara paip: 58 kawasan Gombak, KL alami gangguan air mulai esok

SHAH ALAM, 5 APRIL: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menjalankan proses gantian injap jajaran air paip mentah dari Empangan Klang Gates selama tiga hari mulai esok.

Agensi berkata susulan itu operasi Loji Rawatan Air Wangsa Maju dan Bukit Nanas akan dihenti tugas.

“Sebanyak 58 kawasan sekitar Gombak dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula jam 9 pagi esok dan dijangka pulih jam 5 pagi pada 9 April.

“Pengguna dinasihatkan menyimpan air secukupnya untuk kegunaan seisi rumah dan pastikan bekas simpanan ditutup,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Pengguna boleh melayari https://www.airselangor.com/scheduled-water-supply-disruption-notice/ bagi mendapatkan maklumat lanjut atau menerusi media komunikasi rasmi Air Selangor.

Antaranya aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram serta laman sesawang http://www.airselangor.com.

Berikut adalah kawasan terjejas:

Categories
AGENSI SELANGOR

Gombak antara empat daerah catat kes Covid-19 terendah

SHAH ALAM, 28 MAC: Empat daerah di Selangor mencatatkan kes baharu terendah iaitu bawah angka 10 semalam, lapor Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Menurutnya, ia membabitkan Gombak dengan lapan kes, Hulu Selangor (tiga), Kuala Selangor (dua) dan Sabak Bernam (satu).

“Bagaimanapun Petaling merekodkan kes jangkitan Covid-19 tertinggi dengan 126 kes, majoriti kes berpunca dari saringan kontak rapat iaitu 99 kes.

“Ia diikuti Hulu Langat dengan 66 kes dan mukim Kajang tertinggi dengan 40 kes dari saringan kontak rapat dan pekerja,” katanya menerusi Facebook.

JKNS turut melaporkan Klang mencatatkan 32 kes baharu, diikuti Kuala Langat (23) dan Sepang (22).

Semalam, Selangor mencatatkan 283 kes baharu Covid-19, terendah direkodkan pada tahun ini. Kes tertinggi dilaporkan pada 30 Januari lalu dengan 3,285 kes.