SHAH ALAM, 27 DIS: Wakil rakyat kawasan yang tidak terjejas dengan kejadian banjir mengambil inisiatif turun padang membantu penduduk terkesan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama menggunakan pendekatan mewujudkan pusat pengumpulan barangan keperluan bagi menggalakkan orang ramai di kawasannya menyumbang bagi membantu mangsa banjir.

“Barangan-barangan yang telah kami sumbangkan termasuklah tilam, kotak makanan kering, lampin bayi, roti, dan biskut.
“Terima kasih kepada semua penyumbang budiman yang berbesar hati memberi sumbangan kepada mereka yang terkesan akibat bencana banjir ini,” kata Jamaliah Jamaluddin ketika dihubungi SelangorKini.
Jamaliah berkata selain mengedar barangan keperluan, beliau bersama 15 sukarelawan dari Bandar Utama turut terbabit dalam kerja pembersihan di beberapa kawasan terjejas sejak Isnin lalu.
Sementara itu, ADN Rawang berkata beliau bersama 300 sukarelawan terdiri daripada pusat khidmatnya, pelajar institusi pengajian tinggi serta Angkatan Muda KEADILAN terlibat dengan kerja pembersihan.

“Kami melakukan gotong-royong membersihkan 50 rumah-rumah yang terjeas di sekitar Klang terutamanya di Kampung Sungai Pinang.
“Usaha ini walaupun tidak seberapa namun diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir. Kita berharap lebih ramai pihak tampil membantu mangsa,” kata Chua Wei Kiat.
Pada Khamis lalu beliau bersama 80 sukarelawan membersihkan 20 rumah di kawasan Kampung Orang Asli Pulau Indah.
