Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Grab Malaysia taja 9,000 penghantaran percuma di Selangor

SHAH ALAM, 6 JULAI: Sebanyak 9,000 penghantaran percuma ditaja Grab Malaysia dalam membantu peniaga kecil di Selangor selepas berkerjasama dengan Kerajaan Negeri sejak setahun lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata Grab Malaysia membantu peniaga bazar Ramadan berniaga secara dalam talian menerusi GrabFood dan ia diperluas pula kepada GrabExpress dengan membantu peniaga kecil meluaskan jangkauan pelanggan dalam memasarkan produk.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Grab Malaysia yang tampil membantu kita dalam memudahkan urusan pelbagai lapisan masyarakat di Selangor.

“Saya difahamkan yang GrabExpress membantu peniaga kecil dengan menawarkan 9,000 penghantaran percuma bernilai RM225,000 ditaja oleh Grab Malaysia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik di antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan Grab Malaysia hari ini.

Sebagai penghargaan, katanya, Kerajaan Selangor akan memperuntukkan sejumlah kad SIM percuma kepada rakan penghantar Grab bagi membantu mengurangkan kos operasi mereka.

Pada 8 April tahun lalu, Grab Malaysia dilaporkan bersedia menjayakan bazar Ramadan digital (e-Bazar Ramadan) demi keselesaan rakyat menerusi jalinan kerjasama dengan Kerajaan Selangor dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Ketuanya Sean Goh berkata pihaknya mahu menyokong dan menggalakkan usahawan menggunakan khidmat pembayaran tanpa tunai serta mengembangkan capaian perniagaan menerusi perkhidmatan GrabPay, GrabFood dan GrabExpress.

Categories
AGENDA NASIONAL

Grab Malaysia siap sedia untuk khidmat penumpang motosikal

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Syarikat E-hailing, Grab Malaysia siap sedia untuk melaksanakan peningkatan dan inovasi keselamatan produknya bagi khidmat penumpang motosikal sekiranya negara memulakan perkhidmatan teksi motosikal sebagai satu khidmat pengangkutan.

Ketua Grab Malaysia, Sean Goh dalam satu kenyataan hari ini berkata, syarikat itu juga mencadangkan agar peraturan Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) membenarkan pembangunan satu set berasingan yang ketat mengenai ciri-ciri keselamatan khas motosikal berkenaan bagi melindungi orang awam.

“Grab menyatakan sokongan secara prinsip kepada Kabinet bagi permintaan penggunaan perkhidmatan motosikal di Malaysia namun pada masa yang sama menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan penggunaan perkhidmatan itu.

“Ketika kerajaan mempertimbangkan undang-undang bagi perkhidmatan motosikal di Malaysia, kami percaya adalah penting untuk menitikberatkan aspek kritikal perkhidmatan ini – keselamatan penunggang, penumpang dan masyarakat keseluruhannya dengan mengambil kira infrastruktur jalan raya, keadaan trafik dan rekod keselamatan,” katanya.

Goh berkata, pada masa kini perkhidmatan penumpang motosikal Grab adalah nombor satu di Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Sehingga kini, Grab mewujudkan peluang pendapatan kepada lebih 10,000 rakan motosikal menerusi perkhidmatan GrabFood dan GrabExpress di sekitar Lembah Klang, Kuching, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Melaka dan Johor Bahru.

“Kita akan terus mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan untuk semua rakyat Malaysia termasuk belia, individu yang kurang upaya dan mereka yang lain yang mencari peluang pendapatan,” katanya.

Pada Rabu lalu, Kabinet meluluskan cadangan untuk mewujudkan khidmat penumpang motosikal seperti perkhidmatan GoJek, namun satu kajian dari aspek perundangan akan dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Grab sentiasa utamakan keselamatan pemandu, penumpang

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia sentiasa memberi keutamaan untuk melindungi keselamatan komunitinya, dan tetap komited untuk memastikan keselamatan pemandu dan penumpangnya supaya tidak terdedah kepada risiko .

Grab dalam satu kenyataan berkata, ia juga akan terus membangunkan penyelesaian berasaskan teknologi, kesedaran komuniti dan program pendidikan.

“Pada masa ini, kami mempunyai pelbagai peralatan seperti butang kecemasan dan ciri ‘berkongsi perjalanan saya’ apabila kedua-dua pihak dapat berkongsi maklumat perjalanan dan lokasi GPS secara langsung dengan rakan-rakan dan/atau orang tersayang, dan pengesahan swafoto penumpang atau sistem pengecaman wajah penumpang yang baru dilancarkan.

“Walaupun kami berusaha ke arah insiden sifar, beberapa kejadian berlaku dan disebabkan oleh individu yang mempunyai niat berbahaya atau berniat jahat,” katanya sambil menarik perhatian kepada insiden baru-baru ini apabila seorang pemandu Grab di Sabah, Mohammad Hanafiee Jaafar dibunuh.

Grab berkata ia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengurangkan kadar insiden di platformnya dan sentiasa mengambil langkah-langkah perlu dalam keadaan kecemasan, termasuk berkongsi maklumat yang relevan dengan pihak berkuasa dan membantu mempercepat siasatan sebaik mungkin.

Sebaik sahaja perkara itu dilaporkan, Grab bekerjasama dengan PDRM dan memberikan semua maklumat yang diperlukan untuk membantu siasatan. Ini termasuk gambar suspek dan maklumat dari ciri pengesahan swafoto penumpang yang dibangunkan dalam aplikasi Grab. Teknologi ini banyak membantu siasatan PDRM yang membawa kepada penahanan dua suspek dalam kes ini, ” katanya.

Syarikat itu berkata pasukan Grab akan menghubungi keluarga Mohammad Hanafiee untuk membuat persiapan dan memberikan sokongan yang diperlukan.

“Bagi pihak keluarga Grab, kami merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga rakan Grab kami, Mohammad Hanafiee. Allahyarham adalah seorang individu yang bekerja dengan rajin dan pemandu berprestasi tinggi. Kami sangat sedih bahawa kejadian itu berlaku ketika dia bekerja keras untuk mencari nafkah, “katanya.

Syarikat itu juga meminta orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat peribadi mangsa di media sosial demi menghormati privasi keluarga semasa masa sukar ini.

Pada Ahad, tular di media sosial mengenai kehilangan Mohammad Hanafiee sebelum kereta yang dipandunya ditemukan di tapak Bazar Ramadan di Indah Permai di Sepanggar pada jam 12.30 pagi keesokan hari.

Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing dipercayai terlibat dalam kejadian itu. Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku membunuh mangsa sebelum membuang mayatnya di kawasan semak di Tuaran.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Siasat segera kematian pemandu Grab

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 JUN: Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan segera susulan penemuan mayat pemandu Grab yang dipercayai mati dibunuh, semalam.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, pihak bertanggungjawab perlu dikenakan hukuman setimpal kerana setiap nyawa amat berharga.

“Pihak berkuasa dan yang berkaitan juga perlu meningkatkan keselamatan orang awam bagi membolehkan masyarakat hidup dalam keadaan selesa tanpa berasa khuatir akan keselamatan diri,” katanya dalam kenyataan.

Haniza turut mengucapkan takziah kepada keluarga pemandu Grab, Aiman Nosri, 27, yang ditemui mati selepas tidak pulang ke rumah selama dua hari.

Mangsa ditemui tertiarap dengan kesan melecet di leher di tempat duduk belakang Perodua Myvi miliknya.

Sementara itu, Grab Malaysia hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Ketua Grab Malaysia, Sean Goh berkata, mangsa seorang pemandu terbaik dan berdedikasi berdasarkan maklum balas penumpang.

“Beliau adalah pemandu yang berdedikasi dan terbaik berdasarkan maklum balas penumpang dan sangat dihargai pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Grab turut meminta jasa baik semua pihak supaya tidak berkongsi maklumat peribadi mangsa dalam media sosial atau membuat spekulasi berkenaan kejadian yang berlaku.