Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program RiDE tiada di negeri lain, harap timbang tambah kuota

SHAH ALAM, 9 DIS: Usaha Selangor meneruskan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) dimanfaatkan penghantar makanan negeri ini berikutan sukar diperoleh di tempat lain.

Teruja mendengar inisiatif itu diteruskan tahun depan, Mohd Huzaimi Ab Rashid, 34, yang sudah dua tahun bekerja dengan syarikat penghantaran Grab Food tidak sabar memohon bantuan apabila dibuka kelak.

Mohd Huzaimi Ab Rashid

“Sebelum ini saya tidak pernah tahu berkenaan tawaran itu. Jadi, saya tidak akan mensia-siakan peluang untuk mohon bantuan memandangkan bukan mudah dapat RM500 di bawah RiDE.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana tidak meminggirkan penghantar makanan. Mereka sedar pendapatan kami tidak menentu selain sering berdepan risiko kemalangan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mohamed Sabri Abdul Shukor, 29, yang menyambut baik pelaksanaan itu pula enggan melepaskan peluang memohon bantuan terbabit ekoran tidak sempat berbuat demikian tahun ini.

Mohamed Sabri Abdul Shukor

Bapa dua anak yang berkhidmat sepenuh masa dengan Shopee Food dan Grab Food sejak tujuh tahun lalu berharap banyak kuota disediakan supaya lebih ramai golongan sepertinya mendapat manfaat.

“Saya memang tahu mengenai inisiatif ini cuma tak sempat mohon. Apabila peluang diberikan sekali lagi, sudah pasti saya akan manfaatkan dan harap tak terlepas lagi,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Atiq Ahmad Ridwan, 20, berkata inisiatif tersebut menyuntik semangat untuk terus berkhidmat sebagai penghantar makanan dan barangan.

Muhammad Atiq Ahmad Ridwan

“Walaupun saya baharu sebulan bekerja, bantuan ini semestinya dapat meringankan beban kerana bukan dilahirkan dalam keluarga senang.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pembantu kedai makan, pendapatan tidak cukup untuk membantu ibu bapa dan sembilan adik beradik. Jadi, saya amat hargai jika dapat bantuan ini,” katanya.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntukan RM2 juta untuk meneruskan inisiatif RiDE susulan permohonan memberangsangkan dalam kalangan belia penghantar makanan.

Program RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 10,000 tebus rebat RM20 ke PPV setakat 22 Oktober

SHAH ALAM, 27 OKT: Sebanyak 10,416 rebat RM20 bagi perjalanan ulang-alik ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab ditebus setakat 22 Oktober lalu.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata manakala seramai 14,307 individu memohon rebat itu bagi tempoh sama.

Menurut Ahmad Azri Zainal Nor, daripada jumlah itu sebanyak 10,610 permohonan dilulus dengan peruntukan bernilai RM101,254.

“Sambutan memberangsangkan dan kita mengalu-alukan orang ramai yang belum menerima vaksin ambil peluang ini sebelum tarikh tutup pada 30 November depan,” katanya kepada SelangorKini.

Rebat RM20 bagi perjalanan ke PPV itu adalah usahasama dengan Grab dan permohonan boleh dibuat ibu bapa bagi kegunaan anak-anak.

Sebelum ini inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk negeri ini berusia 50 tahun ke atas dibuka mulai 20 Jun lalu.

Namun pada 6 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat perjalanan tersebut dibuka kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira usia.

Permohonan rebat yang dibuka 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Pendaftaran boleh dibuat melalui rebatpengangkutangrabvaksin.borangmbiselangor.com

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Cadang tempoh rebat ke PPV dilanjut, benar dua kali tebus

SHAH ALAM, 1 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bercadang melanjutkan tempoh penebusan rebat RM20 sehingga November bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata inisiatif yang tamat hujung bulan ini memanfaatkan 7,930 individu daripada keseluruhan 10,117 permohonan setakat Ogos.

“Kita cadang penebusan dilanjut mungkin sehingga November sebagai persediaan jika kerajaan memutuskan memberi vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau berkata MBI juga akan memohon kepada negeri untuk membenarkan orang ramai menebus rebat yang ketika ini terhad untuk sekali perjalanan kepada dua kali.

Ahmad Azri menjelaskan cadangan itu bagi meningkatkan jumlah penebusan yang setakat ini hanya menggunakan 10 peratus daripada peruntukan RM1 juta.

“Ada sedikit penurunan permohonan mulai awal Ogos, sebab itu kita beri cadangan baharu kepada kerajaan supaya lebih ramai dapat menikmatinya,” katanya lagi.

Permohonan rebat menggunakan perkhidmatan Grab yang dibuka mulai 20 Jun sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur antara 1 Julai hingga 30 September.

Sebelum ini, inisiatif yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk berusia 50 tahun ke atas tetapi diperluas ke semua peringkat usia.

Pendaftaran boleh dibuat melalui rebatpengangkutangrabvaksin.borangmbiselangor.com.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

9,290 terima bantuan tambang RM20 ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 9 OGOS: Sebanyak 9,290 permohonan rebat RM20 bagi perjalanan ulang-alik ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab diluluskan setakat ini.

Berdasarkan perkongsian infografik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, sebanyak 5,466 baucar rebat telah digunakan dengan peruntukan RM109,326 diluluskan.

Data turut menunjukkan sebanyak 12,550 permohonan diterima sejak dibuka kepada orang ramai pada 20 Jun, yang sah bagi perjalanan ke PPV seluruh negeri dan Kuala Lumpur.

Orang ramai boleh memohon rebat itu dengan mendaftar menerusi rebatpengangkutangrabvaksin.borangmbiselangor.com untuk perjalanan mulai 1 Julai hingga 30 September.

Sebelum ini, inisiatif dengan peruntukan RM1 juta menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk berusia 50 tahun ke atas sebelum diperluas ke semua peringkat usia.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

8,239 penduduk terima bantuan tambang RM20 seorang ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerajaan Negeri meluluskan 8,239 permohonan rebat RM20 bagi perjalanan ulang-alik ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab setakat semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan peruntukan sejumlah RM68,400 diluluskan bagi pemberian inisiatif itu.

“Sehingga 1 Ogos, Inisiatif Rebat Pengangkutan ke PPV kerjasama dengan Grab Malaysia telah menerima 11,223 permohonan. Sebanyak 8,239 permohonan telah diluluskan dengan peruntukan RM68,400.

“Pendaftaran masih dibuka. Daftar di https://rebatpengangkutangrabvaksin.borangmbiselangor.com/,” katanya menerusi Facebook.

Permohonan rebat yang dibuka 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Sebelum ini, inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk berusia 50 tahun ke atas tetapi diperluas ke semua peringkat usia.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

8,500 mohon rebat RM20 ke pusat vaksin, 3,000 telah ditebus

SHAH ALAM, 28 JULAI: Sebanyak 8,500 permohonan rebat RM20 diterima bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab sehingga semalam.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata daripada jumlah tersebut, hampir 7,000 permohonan diluluskan sejak dibuka 20 Jun lalu.

Ahmad Azri Zainal Nor menjelaskan dalam tempoh sama, seramai 3,000 individu pelbagai lapisan umur menebus rebat untuk ke pusat vaksin sekitar Lembah Klang.

“Majoriti pemohon berusia antara 20 hingga 40 tahun memandangkan golongan ini celik teknologi dan mempunyai akaun Grab.

“Alhamdulillah, penerimaan begitu menggalakkan kerana kelonggaran juga diberi kepada mereka yang terlepas semasa mendapat dos pertama vaksin dan ditebus untuk suntikan dos kedua,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan tablet kepada pelajar Sekolah Agama Menengah (SAM) Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen 11 di sini hari ini.

Mereka yang menerima tarikh vaksin boleh memohon dengan mendaftar di www.platselangor.com dan tekan butang Inisiatif MBI Bisnes Amal.

Permohonan rebat yang dibuka 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Sebelum ini, inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk berusia 50 tahun ke atas tetapi diperluas ke semua peringkat usia.

Categories
AGENSI SELANGOR

MBI teliti pinda borang rebat ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 21 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI meneliti keperluan meminda format borang permohonan rebat RM20 bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Langkah itu susulan kerajaan membenarkan individu belum mendapat janji temu hadir terus ke PPV bagi mendapat suntikan mulai 1 Ogos, kata ketua tanggungjawab sosial korporatnya.

“Kami (MBI dan Grab) akan teliti keperluan meminda format borang permohonan agar mereka yang belum mendapat tarikh vaksin boleh memohon lebih awal.

“Asalkan penggunaan baucar tersebut digunakan sebelum 30 September,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika dihubungi hari ini.

Beliau menjelaskan rebat tersebut tidak boleh diberikan serta-merta berikutan ia perlu disemak supaya memenuhi syarat ditetapkan.

Permohonan rebat melalui perkhidmatan Grab yang dibuka 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Sebelum ini, inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk berusia 50 tahun ke atas tetapi diperluas ke semua peringkat usia.

Pendaftaran boleh dibuat melalui www.platselangor.com dan tekan butang Inisiatif MBI Bisnes Amal.

Pada 16 Julai, kerajaan mengumumkan warga Selangor dan Kuala Lumpur yang belum mendapat janji temu suntikan vaksin boleh datang terus ke PPV tertentu mulai 1 Ogos.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantu ibu bapa daftar, tuntut rebat Grab ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 10 JULAI: Anak-anak diminta membantu ibu bapa atau ahli keluarga yang berusia lanjut menuntut rebat e-panggilan Grab bagi pengangkutan ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata kebanyakan golongan itu juga sukar membuat pendaftaran kerana tidak mahir menggunakan teknologi

Ahmad Azri Zainal Nor menjelaskan keadaan itu menyebabkan bilangan pendaftaran warga emas berusia 50 tahun ke atas masih rendah dengan anggaran 200 permohonan setakat semalam.

“Saya berharap anak-anak boleh bantu ibu bapa daftar rebat ini menggunakan akaun Grab mereka bagi memudahkan proses mengambil suntikan vaksin.

“Tidak semestinya orang yang daftar itu kena naik, tetapi mereka perlu ada tanggungjawab pastikan perjalanan pergi dan balik ibu bapa masing-masing dalam keadaan baik,” katanya dalam temu bual secara maya hari ini.

Sebelum ini inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk negeri ini berusia 50 tahun ke atas.

Namun pada 6 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat perjalanan tersebut dibuka kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira usia.

Permohonan yang dibuka pada 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh negeri dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Orang ramai boleh melayari pautan www.platselangor.com dan tekan butang Inisiatif MBI Bisnes Amal untuk mendaftar.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mohon rebat RM20 ke pusat vaksin mulai hari ini

SHAH ALAM, 20 JUN: Orang ramai boleh memohon rebat RM20 bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negeri menggunakan Grab mulai hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tawaran khusus buat warga Selangor berumur 50 tahun ke atas, sah untuk perjalanan mulai 1 Julai.

“Rebat sebanyak RM20 disediakan, tebus dengan membuat pesanan pengangkutan menerusi aplikasi Grab. Permohonan rebat dibuka hari ini (20 Jun) dan rebat sah hingga 30 September 2021,” katanya di Facebook.

Layari www.platselangor.com dan klik Inisiatif MBI Bisnes Amal untuk pendaftaran.

Inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bakal memanfaatkan hampir 50,000 penduduk negeri ini.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan pakej bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan tersebut memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Grab lancar program tingkat akses, maklumat vaksin

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Grab melancarkan program di seluruh rantau ini yang bertujuan meningkatkan akses dan maklumat mengenai vaksin untuk semua pihak berkepentingan di platformnya selain menggalakkan semua penumpang, pemandu dan rakan kongsi penghantaran mendapatkan vaksin.

Syarikat perkhidmatan e-hailing itu, dalam kenyataan semalam, berkata bagi menyokong akses mudah vaksin Covid-19 dan menggalakkan pihak berkepentingan mendapat vaksin, Grab komited untuk memberi subsidi masa, kos dan usaha untuk pemandu dan rakan kongsi penghantaran.

“Kami juga melanjutkan dana perlindungan cuti perubatan mereka untuk menampung potensi kehilangan pendapatan akibat kesan sampingan daripada vaksin Covid-19 secara percuma dan meliputi kos vaksinasi untuk semua pekerja dan ahli keluarga terdekat mereka yang tidak dilindungi oleh skim vaksinasi negara.

“Bagi memerangi maklumat salah dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap vaksin Covid-19, Grab akan bekerjasama dengan kerajaan Asia Tenggara dan pihak berkuasa kesihatan untuk menerbitkan maklumat vaksin yang tepat dan kesihatan awam lain dalam aplikasi Grab,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Grab akan melancarkan survei Covid-19 Snap Survey, platform yang membolehkan kerajaan bekerjasama dengan Grab untuk menjalankan tinjauan kilat dalam kumpulan sampel yang luas untuk mengumpul data masa nyata mengenai sentimen vaksin.

“Grab merancang untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan tempatan di seluruh rantau ini untuk menawarkan sokongan mobiliti, komunikasi dan logistik bagi rancangan penggunaan vaksin negara melalui rangkaian armada daratnya dan aplikasi pengguna yang digunakan secara meluas.

“Matlamat kami adalah untuk mencapai status vaksin sepenuhnya untuk semua pekerja Grab, pemandu dan rakan kongsi penghantaran menjelang akhir 2022,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Operasinya, Russell Cohen, berkata pelancaran vaksin Covid-19 sedang menggerakkan Asia Tenggara ke dalam mod pemulihan dan ini akan membolehkan orang ramai dan perniagaan beroperasi dengan lebih yakin terhadap keselamatan mereka sendiri, memacu aktiviti ekonomi dan komuniti yang diperbaharui.

“Tetapi terdapat banyak cabaran untuk penyampaian vaksin, terutamanya di rantau yang luas dan pelbagai ini.

“Kami telah bekerjasama rapat dengan kerajaan di seluruh Asia Tenggara sepanjang tahun lepas untuk menangani cabaran pandemik di pelbagai bidang dan berharap dapat memainkan peranan kami dalam memastikan mereka mempunyai akses kepada maklumat dan sumber yang tepat untuk mendapatkan vaksin,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Grab perkenal program bantu peniaga kecil ceburi ekonomi digital

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Aplikasi terkemuka di Asia Tenggara, Grab berkata lebih 10,000 individu telah menyertai ekonomi gig di Malaysia, manakala bilangan peniaga yang mengalihkan perniagaan mereka ke dalam talian menokok dua kali ganda setiap bulan antara Mac dan Mei 2020 berbanding sebelum pandemik Covid-19.

Maklumat ini terkandung dalam Edisi Kedua ‘Grab for Good : Social Impact Report’ yang dikeluarkan hari ini.

Menurut laporan itu, memandangkan negara sedang mempercepatkan langkah ke arah pendigitalan lebih luas, Grab akan memperkenalkan program Grab Digital Small-Biz (GDS) bertujuan untuk membantu perniagaan kecil menyesuaikan diri dengan normal baharu ini.

Program ini memiliki alat dan inisiatif yang membantu perniagaan fizikal beralih ke dalam talian, serta membantu mereka yang sudah berada di platform Grab mengembangkan keterlihatan dan menyesuaikan operasi mereka ke dunia yang semakin digital.

Pengarah Urusan Grab Malaysia Sean Goh berkata, perniagaan kecil dan usahawan mikro yang sudah memasuki ke dalam talian menyaksikan peningkatan sebanyak 25 peratus dalam hasil mereka melalui platform Grab sepanjang tempoh ini.

Antara Mac dan April 2020, Grab Malaysia telah melancarkan 11 inisiatif bagi menyokong perniagaan kecil, pemacu serta rakan kongsi penghantaran, barisan hadapan termasuk komuniti yang terjejas oleh Covid-19.

Program GDS akan memudahkan sama ada dengan kaedah memberi usahawan sebuah kedai digital dalam platform Grab atau melalui integrasi e-pembayaran.

Antara komponen utama program ini adalah harga GrabExpress yang lebih rendah, sokongan iklan percuma termasuk iklan yang boleh disesuaikan, serta membantu mereka menerima bayaran dalam talian melalui Remote GrabPay Link dan membaiki keterlihatan perniagaan melalui segmen ‘Nearby Merchants’ di aplikasi Grab.

Grab turut bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha untuk menghubungkan usahawan luar bandar dengan ekonomi digital melalui pelbagai inisiatif yang merangkumi Shop Malaysia Online, DesaMall dan Inisiatif Digital Selangor-Grab.

“Syarikat swasta seperti Grab menggunakan platform dan teknologi untuk mencari jalan bagi membolehkan usahawan kecil mikro atau perniagaan agar terus berlangsung terutama dalam tempoh yang mencabar ini.

“Memang masa hadapan adalah tidak menentu tetapi kita adalah komuniti yang tahu bagaimana menghadapi kesusahan dan berkembang maju,” kata Goh.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kempen Zakat On Grab galak pemandu mencarum

SHAH ALAM, 10 JUN: Lembaga Zakat Selangor menganjurkan kempen Zakat On Grab mulai 1 Jun hingga 30 September ini khusus untuk pemandu syarikat e-panggilan yang belum mencarum di agensi itu.

Ketua divisyen komunikasi korporatnya berkata sehingga Februari lalu, seramai 549 pemandu mencarum pendapatan mereka secara bulanan dengan LZS.

“Justeru, kami mengalu-alukan lebih ramai pemandu e-panggilan untuk menyertai kempen ini sekali gus berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik,” kata Datin Norajun Ainun Mohd Hashim kepada SelangorKini hari ini.

Pendaftaran boleh dibuat dengan melayari grab.com/my/blog/driver/car/menjadikan-sumbangan-zakat-lebih-mudah/ atau https://zakatselangor.com.my/promosi dan imbas kod QR.

Pemandu bertuah akan menerima hadiah utama telefon pintar, jam pintar (hadiah kedua) dan kad hadiah petrol bernilai RM100 (sagu hati).