Categories
AGENDA NASIONAL

Membaca, belajar perkara baharu resipi kejayaan pelajar terbaik Kuis

KAJANG, 2 DIS: Sering membaca dan belajar malam antara resepi kejayaan Aida Shafinaz Mohamed Shafit yang diumum penerima Anugerah DiRaja Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Graduan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) berjaya meraih gelaran tersebut menerusi Majlis Konvokesyen Kuis kali ke-23 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuis semalam.

Aida Shafinaz Mohamed Shafit

Terkejut namanya diumum sebagai penerima anugerah tertinggi, Aida Shafinaz, 24, berkongsi hobinya yang sering meluangkan masa lapang dengan membaca buku berunsurkan fiksyen, biografi dan fantasi.

Sifat sentiasa ingin tahu membuatkan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) itu menerokai perkara baharu dan bercita-cita menjadi diplomat antarabangsa pada masa akan datang.

Berhasrat melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di Kuis dan Ijazah Doktor Falsafah di luar negara, gadis kelahiran Amerika Syarikat itu turut menjadikan ibu bapa dan adik beradiknya sebagai pendorong kejayaan.

“Ibu saya seorang guru bahasa Inggeris dan bapa pula doktor, manakala kakak, abang juga doktor dan adik pula bakal doktor. Mereka pembakar semangat saya untuk terus belajar dan meraih kejayaan.

“Walaupun adik beradik saya semuanya doktor tetapi ia tidak menjadi penghalang untuk saya meneruskan dalam bidang komunikasi kerana yang penting kita minat dengan apa yang kita lakukan dan tidak perlu mengikut orang,” katanya kepada SelangorKini.

Sejak kecil sentiasa dididik untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya tiga jam belajar pada waktu malam dan sehingga kini ia menjadi kebiasaan buat Aida Shafinaz malah masa akan dipanjangkan sedikit apabila tibanya hari peperiksaan.

Menurutnya, selain membaca beliau turut menghabiskan masa terluang dengan menonton filem dan bermain bola jaring.

“Semua aktiviti ini juga boleh buatkan minda saya cergas, sebagai contoh dengan membaca dan menonton filem pada masa sama sebenarnya kita belajar dan dapat pengetahuan baru,” katanya yang menetap di Seri Kembangan.

Aida Shafinaz turut berterima kasih kepada pensyarah dan rakannya yang banyak memberi tunjuk ajar dan sokongan sepanjang belajar di Kuis.

“Pensyarah banyak membantu dalam bidang akademik dan memberikan sokongan moral sepanjang pengajian saya di sini,” katanya.

Mengulas Kuis menjadi pilihan, beliau berkata institusi itu amat bagus dan mempunyai pelbagai kelengkapan pembelajaran yang memudahkan pelajar menuntut ilmu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kuis lahir lebih 24,000 graduan sejak 1995

SHAH ALAM, 2 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) berjaya melahirkan seramai 24,213 graduan sejak ditubuhkan 25 tahun lalu.

Rektornya Profesor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata kejayaan graduannya diiktiraf dalam pelbagai sektor sama ada kerajaan mahupun swasta.

“Kecemerlangan ini sekali gus meningkatkan imej Kuis sebagai sebuah institusi pengajian tinggi di bawah kelolaan Kerajaan Negeri yang terkemuka,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak ke-25 kolej itu di Pusat Konvensyen Kuis, Bangi hari ini.

Beliau berkata kolej itu turut berdepan pelbagai cabaran untuk menjadi institusi pendidikan yang menyediakan pengajian akademik berteraskan tauhid, sesuai dengan keperluan zaman.

“Usaha ini didokong pensyarah dan warga kerja yang memiliki sifat mudarris, mu`allim, muaddib, murabbi, dan mursyid. Memetik kata-kata Buya Hamka: “Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh”,” kata Dr Ab Halim lagi.

Kuis yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ehsan memulakan operasi dengan menumpang di Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jamaah, Seksyen 11 Shah Alam.

Categories
AGENDA NASIONAL

75,000 graduan terjejas peluang kerja tahun ini – menteri

BANGI, 28 SEPT: Kira-kira 25 peratus atau 75,000 orang daripada 300,000 graduan pada tahun ini diunjurkan terjejas peluang mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, akibat impak Covid-19, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata Kajian Pengesanan Graduan 2019 yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menunjukkan 41,161 graduan pada tahun lepas masih belum bekerja, dan dengan unjuran 75,000 bagi tahun semasa, maka dianggarkan 116,161 graduan perlu diberikan perhatian untuk kebolehpasaran mereka.

Berucap pada pelancaran Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (Penjana KPT-CAP) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, beliau berkata, KPT mengambil beberapa ikhtiar untuk membantu graduan terjejas.

“Ini termasuklah menyediakan kemudahan bantuan dana kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuklah inisiatif MyBrain Science; Biasiswa Menteri Pengajian Tinggi dan Bantuan Kewangan pelajar OKU (Orang Kelainan Upaya),” katanya selain mencadangkan penerusan pelaksanaan program MyBrain 15.

Noraini berkata, KPT juga melaksanakan proses padanan pekerjaan kepada graduan yang masih belum bekerja dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi portal MyFutureJobs, selain memperkenalkan Skim Pembiayaan Mikro dengan kerjasama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) bagi membantu mahasiswa mengembangkan perniagaan.

Beliau berkata KPT akan memeterai memorandum persefahaman dengan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dimana PUNB akan membiayai program keusahawanan berkonsepkan mentor-mentee, untuk membolehkan bimbingan secara langsung daripada usahawan yang berjaya.

Selain itu katanya, bagi memudahkan bakal graduan membangunkan kerjaya dan meningkatkan kebolehpasaran mereka, KPT membangunkan portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT) yang menyediakan padanan pekerjaan; permohonan program reskilling dan upskilling; permohonan penajaan melanjutkan pengajian; dan kaunseling kerjaya.

“Kementerian yakin inisiatif seumpama ini mampu memberikan impak dan nilai tambah kepada graduan, terutamanya dalam menangani isu kebolehpasaran graduan,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata Kajian Pengesanan Graduan 2019 menunjukkan seramai 189,543 graduan atau 63.5 peratus daripada 330,557 graduan pada tahun lepas, berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian mereka.

“Manakala 49,875 graduan atau 16.7 peratus sedang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi; 4,029 atau 1.3 peratus sedang mengikuti latihan meningkatkan kemahiran; manakala 13,943 atau 4.7 peratus menerima tawaran pekerjaan dan sedang menunggu penempatan,” katanya.

Sementara itu Noraini berkata, seramai 20,000 graduan dijangka mendapat manfaat di bawah program Penjana KPT-CAP yang melibatkan sinergi dengan lebih 100 buah syarikat dengan tiga program utama, iaitu Job Matching and Replacement, Program Berterusan Keusahawanan dan Gig Economy.

“Saya yakin melalui strategi yang betul, kita mampu mencapai kejayaan yang lebih cemerlang bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan dan dalam masa yang sama menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi negara,” katanya dan menyatakan pelaksanaan dan pemantauan program itu akan bermula pada 16 Okt depan sehingga 31 Dis dengan penempatan bermula 1 Jan 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Minat ‘bundle’ lonjak jadi usahawan berjaya, tembusi pasaran global

KOTA BHARU, 16 OGOS: Minat mendalam terhadap pakaian bundle atau terpakai mendorong wanita muda ini menceburi perniagaan itu, dan tidak sampai dua tahun, perniagaan pakaian terpakai berjenama yang bermula dengan modal RM50 tersebut berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Che Anis Farahin Che Omar, 25, berkata minatnya terhadap pakaian terpakai bermula sejak di bangku sekolah dengan hampir kesemua pakaian yang dipakainya adalah pakaian bundle.

“Saya mengusahakan perniagaan ini bersama suami, Ahmad Afiqq Asmadi, 27, pada 2018 secara dalam talian atas nama Rumah Bundle.

“Kami membekalkan pakaian vintaj melalui platform Grailed dan Etsy yang khusus untuk pakaian era tersebut dan mendapat sambutan memuaskan termasuk dari luar negara seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Teluk Kintang, Jalan Sabak baru-baru ini.

Menurut lulusan Diploma Pengurusan Perniagaan daripada Politeknik Kota Bharu itu, beliau mengaplikasikan ilmu yang ditimba semasa pengajian untuk menjalankan perniagaannya.

“Boleh dikatakan lebih 80 peratus yang dipelajari dalam bidang ini membantu saya terus berjaya dalam perniagaan, malah saya turut didedahkan cara berniaga dalam talian serta membuat iklan di laman sosial seperti Facebook dan juga Instagram,” kata ibu kepada seorang anak berusia dua tahun itu.

Menurutnya beliau memperoleh bekalan dari dalam dan luar negara, khususnya Thailand.

“Kebiasaannya, baju yang diperoleh akan dijual kepada pelanggan bermula harga serendah RM10 sehingga RM150 bergantung kepada kondisi dan juga jenama baju berkenaaan,” katanya.

Che Anis Farahin berkata susulan sambutan memuaskan itu, beliau membuka sebuah kedai atas nama Rumah Bundle yang kini menjadi tumpuan peminat pakaian terpakai berjenama selain turut membekalkan pakaian terpakai secara pukal ke luar negara.

“Saya tidak pernah sesekali menyangka perniagaan pakaian terpakai ini mampu memberi hasil pulangan yang lumayan, malah dapat menyamai pendapatan ‘orang makan gaji’.

“Justeru, saya sarankan siswazah yang masih menganggur agar menceburi bidang perniagaan dengan memanfaatkan platform media sosial kerana modal yang diperlukan tidak besar,” katanya yang kini meraih hasil jualan puluhan ribu ringgit sebulan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

TalentCorp lancar inisiatif #KisahSiswa, bantu kerjaya graduan

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini melancarkan inisiatif #KisahSiswa, sebuah inisiatif kebolehpasaran graduan, untuk membantu anak muda merangka perancangan kerjaya strategik, bagi menghadapi cabaran perubahan lanskap pasaran pekerjaan, kesan pandemik Covid-19.

Ketua Bahagian Graduan dan Bakat Baharu TalentCorp Mohamad Nazrul Aziz berkata, #KisahSiswa merupakan inisiatif di bawah kerangka ‘Young Employable Student’ (YES!), satu kerjasama di antara TalentCorp, Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan rakan strategik industri, dalam melengkapkan graduan dengan elemen kebolehpasaran dan kemahiran, selaras keperluan semasa industri dan sektor ekonomi utama negara.

Menurutnya, #KisahSiswa juga menyediakan saluran informasi dalam talian, yang akan berkongsi maklumat dan hebahan berkaitan kebolehpasaran graduan, acara berkaitan pekerjaan dan peluang pekerjaan, sesi perkongsian ilmu bersama industri dan forum dalam talian secara interaktif.

Katanya, melalui maklumat yang dikumpulkan dan pemahaman yang jelas tentang cabaran unik yang dihadapi graduan negara susulan daripada Covid-19, inisiatif itu dijangka berpotensi menjadi asas untuk menggubal strategi di peringkat kebangsaan, dan memperkukuhkan ekosistem bakat secara keseluruhan bagi merapatkan jurang dan ketidaksepadanan bakat pasaran pekerjaan negara.

“Kita juga perlu memberi penekanan kepada pentingnya kerjasama erat semua pihak untuk mencari penyelesaian, dan terus mendaya upaya ekosistem bakat tempatan, melangkaui situasi pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Nazrul berkata, sebagai memulakan perjalanan #KisahSiswa mereka, bakat muda digalakkan untuk mendaftarkan diri dalam talian bermula 28 April lalu melalui; www.surveymonkey.com/r/KisahSiswa .

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif TalentCorp yang dilaksanakan dengan kerjasama sektor awam dan swasta, layari www.talentcorp.com.my/our-work/employer-partner .

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pendapatan graduan kritikal dalam tempoh 10 tahun

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 MAC: Trend pendapatan bulanan graduan universiti peringkat ijazah pertama mencatat kejatuhan drastik dalam tempoh 10 tahun.

Naib Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN), Faiz Fadzil berkata, senario itu lebih parah apabila 2017 menyaksikan kejatuhan 84.89 peratus bagi graduan berpendapatan RM3,000 dan ke atas, berbanding 55 peratus bagi yang berpendapatan RM2,000 ke bawah.

Katanya, senario itu bukan sahaja terjadi kepada lepasan ijazah pertama, malah graduan lepasan PhD turut berkongsi nasib sama.

“Peratusan mereka berpendapatan RM3,000 ke atas jatuh 43 peratus, sebaliknya pendapatan diperoleh lepasan PhD sebanyak RM1,500 bertambah 19.7 peratus berbanding 2.7 peratus pada 2016 dan 0.5 peratus pada 2008.

“Manakala lepasan sijil dan diploma juga menunjukkan senario sama apabila semakin ramai berpendapatan RM1,500 ke bawah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak berbangga dengan pengumuman 1.9 juta peluang pekerjaan dicipta kepada graduan sejak 2010 hingga 2016 di bawah program Transformasi Nasional (TN50).

Pada masa sama, Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2016 juga merekodkan 61 peratus pengangguran adalah dalam kalangan anak muda.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Sikap memilih menteri punca ramai graduan menganggur

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 FEB: Sikap menteri yang memilih dalam mendedahkan statistik kebolehpasaran graduan menjadi punca peningkatan tahap pengangguran, di negara ini.

Berhubung kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, pada sidang media selepas majlis pelancaran TRC Edu Centre di Politeknik Ungku Omar, pada 20 Februari lalu.

Beliau berkata, kadar purata kebolehpasaran graduan di institusi pengajian tinggi negara ini meningkat sebanyak empat peratus bagi tempoh empat tahun, mulai 2014 hingga 2017.

Mahasiswa Pakatan Harapan yang terdiri daripada Na’im Brundage (Mahasiswa Keadilan Malaysia), Khuzairi Mazlan (Mahasiswa Amanah Nasional) dan Leong Yu Sheng (DAPSY Biro Hal Ehwal Varsiti) membidas kenyataan itu.

“Apabila kajian itu diteliti, peratusan peningkatan kebolehpasaran graduan meningkat dengan kadar lebih rendah jika tempoh masa lebih panjang digunakan.

“Contohnya, jika kiraan dibuat berdasarkan tempoh masa sembilan tahun, maka kadar kebolehpasaran graduan meningkat 3.2 peratus, dari tahun 2008 hingga 2017. Oleh itu, kadar peningkatan boleh dikatakan meningkat jauh lebih rendah jika diambil tempoh masa sembilan tahun dari empat tahun seperti dinyatakan,” kata mereka dalam kenyataan.

Berdasarkan kajian sama, walaupun kadar peratusan kebolehpasaran mungkin meningkat 1.4 peratus dalam tempoh lapan tahun, namun daripada segi jumlah pengangguran dalam kalangan graduan selepas enam bulan tamat pengajian sudah meningkat seramai 20,574, pada tahun 2016.

“Ia jelas menunjukkan walaupun peratusan kebolehpasaran graduan meningkat, namun daripada segi jumlahnya lebih ramai graduan menganggur selepas enam bulan tamat pengajian, dari tahun ke tahun,” katanya.

Sementara itu, Mahasiswa Pakatan Harapan turut membidas kenyataan Idris berkenaan fungsi Taman Ilmu, baru-baru ini.

“Walaupun projek Taman Ilmu sudah lama terbengkalai dan diberikan nafas baru oleh pelbagai pihak, namun persoalan utama adalah ke mana perginya peruntukan RM300 juta.

“Kami mendesak supaya satu siasatan dijalankan bagi mendapat pengesahan jika terdapat unsur pecah amanah dalam urusan pemberian tender pembinaan Taman Ilmu itu,” kata mereka.

Mahasiswa Pakatan Harapan juga tidak bersetuju dengan sikap lepas tangan Idris berkenaan isu Taman Ilmu itu apabila beliau membuat kenyataan bahawa ia sebuah projek Kerajaan Negeri bukan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Dato’ Seri Idris Jusoh perlu tahu bahawa rakyat Terengganu tidak akan lupa fakta utama berkenaan projek itu yang diilhamkan beliau sendiri ketika mentadbir negeri terbabit sebagai Menteri Besar.

“Kami menggesa setiap graduan tempatan yang menganggur untuk menghukum kerajaan Barisan Nasional yang sudah gagal dalam tanggungjawab mereka untuk menyediakan peluang pekerjaan mencukupi,” kata kenyataan itu.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bebaskan anak muda daripada bebanan hutang

Rata-rata anak muda di Malaysia telah dibebani hutang yang banyak termasuk mereka yang baru tamat pengajian di IPTA atau IPTS ekoran daripada pinjaman pendidikan yang mereka mohon ketika belajar, disusuli pula kad kredit dan kereta selepas bekerja. Malah ada yang membuat pinjaman peribadi atas pelbagai sebab tetapi tidak mampu untuk membayarnya.

1. Perkara ini amat membimbangkan kerana terdapat di antara mereka ini yang diisytiharkan muflis dalam usia yang terlalu muda di mana ia memberi kesan buruk bukan sahaja pada diri mereka sendiri tetapi ekonomi negara.

Semua rakyat Malaysia perlu sedar tentang perkara ini. Pengurusan kewangan seharusnya dilakukan dengan bijak untuk mengelakkan diri menjadi sebahagian daripada statistik tersebut.

2. Namun banyak juga faktor lain yang menyebabkan rakyat semakin tersepit dengan bebanan hutang yang tinggi seperti minimum gaji yang rendah di samping kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sebagai contoh, rata-rata graduan berkelulusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang ditawarkan pekerjaan di sektor swasta terutama perkilangan masih mendapat gaji permulaan sekitar RM1,600 dan RM2,200 sebulan sama seperti dua dekad lalu yang mana ketika itu kos sara hidup tidak seperti hari ini.

Bayangkan dengan gaji sebanyak itu mereka terpaksa menanggung kos sara hidup yang meningkat berkali ganda dan bebanan hutang lain yang perlu ditanggung.

3. Selain itu, jumlah graduan yang keluar dari IPTA dan IPTS terlalu ramai setiap tahun, sedangkan pasaran pekerjaan begitu terhad.

Ini menyebaban kadar pengangguran meningkat dan mereka telah terperangkap dengan hutang terutama pinjaman pelajaran sebelum mendapat pekerjaan lagi.

4. Saya ingin mengesa pihak berkuasa mengkaji kebolehpasaran siswazah dalam usaha menyelesaikan masalah gagal membayar pinjaman pelajaran ini. Apa yang kita boleh lihat situasi ketika ini, banyak pekerjaan diberikan kepada warga asing.

5. Saya juga berharap agar segera membebaskan pelajar daripada hutang pendidikan khususnya kerana masa depan mereka masih lagi jauh dan mereka tidak boleh dibiarkan menjalani kehidupan dengan bebanan hutang yang banyak.

Sandrea Ng
Naib Ketua
Angkatan Muda KEADILAN Perak
Parti KEADILAN Rakyat

Categories
NASIONAL

Selama 22 tahun gaji graduan cuma naik RM200

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Permulaan gaji graduan perlu diberikan perhatian khusus Kerajaan Persekutuan ekoran permulaan gaji pada 2017 adalah RM2,000 berbanding tahun 90-an RM1,800.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian berkata, selama 22 tahun ini, kadar gaji hanya meningkat lebih kurang RM200 sahaja.

“Sekarang mee goreng pun berharga RM5, kalau dulu hanya RM2 sahaja,” katanya di Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya Kerajaan Persekutuan perlu pada masa sama serius menangani masalah pengangguran.

Kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot menyatakan fenomena pengangguran graduan perkara biasa setiap negara membangun membuktikan Kerajaan Persekutuan tidak serius menangani isu itu.

“Sekarang kita mengalami isu serius iaitu tahap pengangguran tinggi di kalangan graduan dan belia.

“Kita jangan hanya melihat kepada peratusan sahaja tetapi perlu merujuk angka jumlah bilangan graduan dan belia menganggur. Angkanya sangat membimbangkan.

“Ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan tidak serius untuk menangani isu yang membelenggu rakyat negara ini,” katanya.

Terdahulu, dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, Richard Riot menyatakan kadar pengangguran pada 2015 meningkat 1.2 peratus iaitu 273,600 berbanding 248,000 pada 2014.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

PROGRESS bantu graduan cari peluang kerja

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 25 JAN: Kerajaan Negeri mengumumkan pelaksanaan inisiatif siswazah khas dikenali sebagai Graduate Employability Enhancement Programme for Smart Selangor (PROGRESS) Batch 2 sebagai sebahagian daripada inisiatif “Merakyatkan Negeri Selangor” dan kempen “Smart Selangor”.

Exco Pendidikan, Pembangunan, Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, objektif PROGRESS adalah meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyediakan peluang latihan kerja dengan syarikat terpilih.

“Pada batch pertama lebih daripada 90 peratus peserta program ini berjaya mendapat pekerjaan dan kini PROGRESS dibuka permohonan untuk batch keduanya.

“Program ini terbuka kepada graduan sedang mencari pekerjaan dan mahukan program yang boleh mempertingkatan peluang mendapatkan kerja adalah digalakkan untuk membuat permohonan menyertai program ini,” katanya dalam kenyataan.

16299953_1351045031612583_4230697224021867897_oDifahamkan program ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu latihan kelas sebulan (lapan kemahiran insaniah atau soft skills) dan program perantisan selama enam bulan di syarikat terpilih berserta elaun.

Program ini terbuka kepada seluruh anak Selangor mahupun bermastautin lebih dari lima tahun beserta mempunyai ijazah sarjana muda dan berumur 27 tahun ke bawah.

Program bakal berlangsung selama 29 hari bermula 19 Februari hingga 19 Mac ini.

Orang ramai boleh layari Facebook PROGRESS untuk sebarang maklumat lanjut.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Job Fair peluang graduan teroka dunia pekerjaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 DIS: Karnival Selangor Job Fair 2016 memberi peluang kepada golongan muda untuk mengisi keperluan kekosongan pekerjaan dalam bidang profesional dan kemahiran.

kuis 6Penyelaras program, Daniyel Mat Jusoh berkata, graduan diberi peluang untuk membuat permohonan pekerjaan secara terus di syarikat tempatan pilihan mereka.

“Ini bukan program julung kalinya memandangkan setiap tahun karnival ini dilaksanakan sebagai landasan graduan lepasan institut pengajian tinggi awam dan swasta atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk memohon pekerjaan.

“Lebih mudah apabila mereka boleh terus membuat permohonan dan diberi peluang untuk ditemuduga oleh syarikat dan agensi pekerjaan yang mengambil bahagian dalam karnival tahun ini.

“Kita harapkan graduan yang masih mencari pekerjaan atau mahukan peluang pekerjaan lebih baik boleh menggunakan peluang ini sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas penganjuran pertandingan stompers di Dataran Kemerdekaan, di sini, pagi ini.

Pada masa sama, karnival yang berlangsung 31 Disember ini akan disertai lebih 35 syarikat swasta dan agensi pekerjaan yang menawarkan pelbagai kekosongan jawatan dalam pelbagai bidang profesional dan kemahiran.

Antara syarikat utama seperti Pos Malaysia, Aeon Berhad, Kumpulan Naza serta syarikat GLC milik Kerajaan Negeri untuk jawatan tetap dan kontrak.

-NFN-

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

TPPA: 250,000 graduan menganggur, apa nasib mereka?

Oleh : Ermizi Muhamad

SHAH ALAM 16 FEB : Saranan Kerajaan Persekutuan supaya golongan muda bersedia menerima pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dibidas Ahli Parlimen Kapar, Manivannan Gowind.

Menurutnya, golongan muda terpaksa bergelut dengan tekanan ekonomi yang menyebabkan golongan itu sukar mendapatkan pekerjaan, walaupun mempunyai kemahiran dan pendidikan.

TPPA“Perjanjian yang membuka ruang kepada bangsa Amerika ini menyukarkan golongan muda mendapatkan pekerjaan sekaligus menjadikan kehidupan mereka semakin terbeban kerana wujudnya persaingan daripada pihak luar.

“Keadaan ini meningkatkan lagi ruang pengangguran dan saranan agar golongan ini menerima TPPA sememangnya tidak boleh diterima,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Beliau mengulas saranan Ahli Jawatankuasa Kaukus TPP, Datuk Irmohizam Ibrahim yang menjelaskan golongan muda perlu membuat persediaan menerima TPPA kononnya sebagai asas kepada golongan ini untuk lebih berdaya saing.

Bagaimanapun kata Manivannan, Kerajaan Persekutuan gagal memberi penumpuan terhadap kesan jangka panjang yang perlu ditanggung golongan muda selepas perjanjian tersebut dimeterai, awal Februari lalu.

“Sekarang ini pun ada lebih kurang 250,000 graduan yang masih menganggur dan kerajaan semudahnya menyarankan golongan ini menerima TPPA.

“Bagaimana nasib mereka selepas ini? Persaingan ini sebenarnya penganiayaan bagi rakyat sendiri,” katanya.

EZY