Categories
NASIONAL

Yahya Sahri: “Noh Bela Kroni, Aniaya Penanam Nenas”

TANJONG KARANG, 1 APRIL : Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar sepatutnya membela nasib kebajikan peserta penanam Nanas dan bukan membela kroninya Hamzah Apandi yang menerajui syarikat Grand Entity Holding Sdn Bhd (GEHSB).” tegas Pegawai Penyelaras DUN Permatang, Yahya Sahri di sini.

Menurut Yahya, dua individu yang perlu tampil memberikan penjelasan iaitu Noh Omar yang juga Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani  dan pemilik GEHSB, Hamzah Apandi,digesa tidak melarikan diri daripada menyelesaikan masalah bayaran balik kepada bank.

” Noh Omar sewajarnya bukan membela Hamzah Apandi, Noh kena membela peserta kerana peserta yang membuat pinjaman,di sini dikatakan projek perkongsian pintar tetapi akhirnya menjadi perkongsian yang putar belit,” kata Yahya dalam sidang media di Dewan JKKK Kampung Gulang-Gulang di sini.

Yahya berkata syarikat GEHSB yang mengendalikan projek penanaman Nanas itu mempunyai rekod pencapaian yang buruk.

” Kalau tengok kertas kerja yang ditulis sendiri oleh pengurus GEHSB, Hamzah Apandi dia sebut sendiri pengalaman bermula pada 2006 dan gagal , ini dia sebut sendiri, pada 2007 yang mendapat pengiktirafan Kementerian Pertanian projek itu pun gagal, 2008 terus mendapat projek ini dan disokong oleh agensi di bawah Noh Omar dan Agro Bank.

” Bagaimana kedua-dua agensi ini memberikan sokongan sedangkan rekod menunjukkan syarikat ini gagal dalam menunjukkan kejayaan dalam melaksanakan projek.

” Peserta mengambil pinjaman, duit tidak sampai kepada peserta dan terus ke akaun GEHSB, bagaimana bank buat undertaking itu, prosedurnya adalah salah.

” Kita minta Noh Omar menjawab bagaimana Agro Bank langsung tidak telus dan menganiaya,bank sepatutnya memasukkan duit itu kepada peserta,” kata Yahya.

Yahya juga mendakwa beliau sudah membuat semakan terhadap pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapati GEHSB tidak pernah memfailkan penyata kewangan kepada pihak SSM serta tidak patuh kepada Akta Syarikat.

“Seorang menteri yang menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang ini langsung tidak prihatin, beliau yang hanya menyokong Hamzah Apandi kerana dia adalah orang dia, kita mahu Noh Omar jawab persoalan ini,” ujarnya.

Jumlah keseluruhan wang yang dilaburkan oleh peserta ialah RM408,000 dan jumlah ini tidak termasuk kadar bantuan yang diberikan oleh Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM) sebanyak RM2,400 seekar.

Dalam perjanjian itu agihan keuntungan projek ini ialah 60 peratus kepada GEHSB dan 40 peratus kepada peserta.

Categories
NASIONAL

Noh Omar Di Dakwa Aniaya Penanam Nenas

TANJONG KARANG,1 APRIL :Seramai 34 peserta penanaman Nenas berkelompok di Taman Agroteknologi (TKPM) di Bestari Jaya kecewa dengan sikap Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani,Datuk Seri Noh Omar yang didakwa lepas tangan ekoran kegagalan projek itu seraya menggesa beliau turun padang melihat sendiri apa yang sebenarnya berlaku dan berdialog secara terbuka.

Bertempat di Dewan JKKK Kampung Gulang-Gulang di sini,seramai lebih 10 peserta yang mewakili kumpulan itu menyatakan perasaan kesal dengan sikap Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga menteri bertanggungjawab.

Dalam sidang media semalam, para peserta memprotes dengan Noh dengan pelbagai slogan yang berbunyi ” Kami Peserta Dianiaya,Noh Sila Jawab” , “Hamzah Penipu,Mana Duit Kami RM400,000” dan “Noh Omar Sokong Pandi” sambil membawa sebiji Nenas sebagai simbolik mendesak Noh Omar agar serius menyelesaikan masalah itu.

Menurut jurucakap peserta penanaman Nenas, Mohd Fadzli Sharif, peserta terpaksa berhadapan dengan tuntutan mahkamah daripada pihak Agro Bank  di mana para peserta merasakan diri mereka dianiaya apabila janji untuk pulangan hasil projek ini dimungkiri.

” Masalah utama yang timbul sekarang ialah kegagalan GEHSB untuk membayar ansuran bulanan kepada Agro Bank. Akaun pinjaman telah tertunggak lebih setahun dan tuntutan saman berjumlah purata RM17,000 untuk seorang peserta.

“Pihak kami telah beberapa kali menemui pihak pengurusan GEHSB iaitu Hamzah Apandi untuk menyelesaikan masalah-masalah ini namun tiada apa-apa tindakan dan beliau dihubungi malah talian telefon juga tidak aktif,” katanya.

Fadzli menjelaskan, pihak Agro Bank sepatutnya menuntut bayaran bagi melunaskan pinjaman kepada pihak GEHSB kerana termaktub dalam akujanji bahawa syarikat itu yang akan membuat bayaran balik.

Beliau juga berkata,perkara ini akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis jika hal sedemikian tidak menemui jalan penyelesaian seraya menuntut siasatan dilaksanakan pihak berkuasa jika wujud unsur salah laku.

“Pihak Agro Bank telah menyalurkan pinjaman atau dana sebanyak RM100,000 lagi dipercayai untuk memulihkan projek ini. Pihak kami hairan bagaimana Agro Bank begitu mudah menyalurkan pinjaman walaupun mengetahui keadaan GEJSB yang tenat dan tidak berdaya maju.

” Pihak Agro Bank juga perlu menarik balik segala tuntutan saman terhadap peserta kerana wang RM12,000 telah dikreditkan terus kepada akaun GEHSB dan akujanji daripada GEHSB untuk membayar balik pinjaman peserta perlu dikuatkuasakan,”katanya.

Tambah Fadzli lagi,pihak GEHSB telah berjumpa dengan Noh Omar dan membuat sidang akhbar menyatakan dakwaan kononnya pihak PKPS telah mengambil alih 50 ekar tanah untuk diusahakan tanaman nanas tetapi projek itu gagal.

“Kami menuntut agar segala bantuan,insentif dan apa jua kemudahan daripada LPNM diberikan kepada peserta.Pihak GEHSB perlu membayar hasil jualan Nanas untuk tahun 2010 dan 2011 mengikut perjanjian yang telah dipersetujui.

“Pihak GEHSB perlu mematuhi terma-terma dalam perjanjian yang ditandatangani dengan peserta. Bukan niat kami untuk mempolitikkan perkara ini tetapi kami mahu hak kami sebagai peserta yang telah melabur lebih RM400,000 dalam projek penanaman Nanas ini,” katanya.

Sementara itu menurut Surirumah, Salbiah Senan,50, yang ditemui berkata yang tidak mempunyai pendapatan  merasa kecewa dengan kejadian ini kerana dahulu beliau dijanji dengan pulangan yang lumayan menyertai projek ini.

” Apabila kami mendapat surat saman, dan sudah jatuh hukum maka kita merasa sedih, minta pihak syarikat tersebut membayar hutang itu kepada pihak Agro Bank.

” Kami termakan dengan janji-janji yang akan diberi faedah-faedah dalam projek ini, jadi kami semua teraniaya,” kata.