Categories
NASIONAL

Dewan Rakyat lulus RUU Pemansuhan GST

KUALA LUMPUR 8 OGOS: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini menerusi suara majoriti.

 RUU itu sebahagian daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan pada September ini.
“Akhirnya cukai barang dan perkhidmatan (GST) sudah mati,” kata beliau sebelum rang undang-undang tersebut dibacakan kali ketiga di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Cukai Jualan 2018.
RUU melibatkan kedua-dua cukai itu akan dibentangkan di Dewan Negara pada mesyuarat kali ini.
Sementara itu, beliau turut mengesahkan bahawa SST tidak akan dikenakan terhadap projek pembangunan kerajaan.
Ia sekaligus akan menjimatkan enam peratus perbelanjaan kerajaan.

GST diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) mulai 1 April 2015 pada kadar enam peratus.

Kadar GST ditetapkan pada sifar mulai 1 Jun lalu oleh kerajaan Pakatan Harapan.

 

 

Categories
NASIONAL

Guan Eng dedah RM18 bilion wang balik cukai input GST lesap

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan sejumlah RM18 bilion wang daripada Tabung Bayaran Balik GST diseleweng ekoran baki sedia ada hanya sekitar sekitar RM1.49 bilion.

Menurutnya, kedudukan tunggakan bayaran balik GST sehingga 31 Mei 2018 adalah sebanyak RM19.39 bilion bahkan Kerajaan terdahulu yang dipimpin Barisan Naisonal (BN) telah gagal membayar tuntutan cukai input dalam masa dua minggu.

“Rekod Jabatan Kastam DiRaja Malaysia yang disahkan menunjukkan bahawa jumlah tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST lebih daripada dua minggu adalah sebanyak RM19.4 bilion setakat 31 Mei 2018.

“Daripada jumlah tunggakan RM19.4 bilion ini, sebanyak RM9.2 bilion (47% daripada jumlah) adalah dari 2018, RM6.8 bilion (35%) dari 2017, RM2.8 bilion (15%) dari 2016 and RM0.6 bilion (3%) dari tahun 2015.

“Tunggakkan besar bayaran balik sampai melebihi dua tahun ini berlaku bukan sahaja kerana garis panduan tidak dipatuhi sepenuhnya, tetapi dianggap sebagai satu peluang oleh kerajaan terdahulu untuk menyelewengkan wang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bacaan Kali Kedua Untuk Pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat.

Katanya, tunggakan bayaran balik adalah disebabkan kelemahan aliran tunai Kerajaan Persekutuan akibat kekurangan disiplin fiskal, pembaziran berleluasa dan pertambahan hutang yang besar.

“Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh pentadbiran lama merupakan pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik cukai untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit supaya mereka dapat menunjukkan keadaan lebihan.

“Saya amat terperanjat apabila diberitahu bahawa tunggakan ini berlaku akibat kegagalan kerajaan terdahulu memasukkan kutipan GST ke dalam akaun amanah yang dikhaskan untuk melunaskan tuntutan cukai GST.

“Sebaliknya, Kerajaan Barisan Nasional telah merompak akaun amanah tersebut dengan memasukkan wang tunai kutipan cukai GST terus kepada kumpulan wang disatukan sebagai hasil untuk dibelanja dengan sewenang-wenangnya.

“Wang ini kemudiannya tidak dikeluarkan daripada kumpulan wang disatukan dan tidak dimasukkan ke dalam akaun amanah seperti yang diharapkan. Bak kata pepatah Melayu, harapkan pegar, pegar makan padi,” katanya.

Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan berpendirian bahawa tunggakan bayaran balik cukai GST wajib dilangsaikan dalam masa terdekat kerana ia bukan wang Kerajaan tetapi milik rakyat dan syarikat-syarikat.

“Kita (Kementarian Kewangan) akan mengambil langkah untuk mengkaji pelbagai cara untuk memperoleh dana mencukupi untuk membuat pembayaran balik penuh kepada pembayar cukai pada tahun depan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Hanya 43.5% jumlah perkhidmatan dikenakan cukai SST – Guan Eng

KUALA LUMPUR 8 OGOS: Kerajaan akan hanya mengenakan cukai kepada 43.5 peratus jumlah perkhidmatan pada kadar enam peratus dalam pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September ini, berbanding 64.8 peratus jumlah perkhidmatan di bawah cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 bagi bacaan kali kedua berkata, pelaksanaan cukai perkhidmatan yang baharu akan mengekalkan model dan skop kenaan berasaskan Akta Cukai Perkhidmatan 1975 yang sudah dimansuhkan selaras pengenalan GST pada tahun 2014.

Namun begitu katanya, beberapa penambahbaikan kepada model dan skop kenaan sedia ada perlu dibuat bagi memudahkan pentadbiran cukai, mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan meminimakan kelemahan yang terdapat di dalam sistem percukaian seperingkat.

“Antara penambahbaikan yang akan dilakukan adalah, nilai ambang jualan tahunan atau nilai had jualan perniagaan bagi tujuan pendaftaran cukai perkhidmatan juga akan diseragamkan kepada RM500,000 setahun bagi semua perkhidmatan bercukai.

“Bagi perkhidmatan restoran seluruh negara, katanya kerajaan akan diberikan kelonggaran dan dicadangkan akan dikenakan cukai perkhidmatan hanya apabila jualan tahunan mereka mencecah RM1 juta setahun,” jelasnya.

Bagi penambahbaikan Skop Kenaan Cukai Perkhidmatan, Guan Eng berkata, kepelbagaian layanan cukai adalah bercanggah dengan prinsip ketelusan dan berpotensi menjadi kelemahan yang boleh dimanipulasi bagi tujuan pengelakan cukai selain merumitkan proses pentadbiran cukai.

Sehubungan itu, katanya bagi tujuan pelarasan, dicadangkan beberapa jenis perkhidmatan bercukai dibuat penambahbaikan dan penyeragaman.

Antaranya, perkhidmatan penginapan (hotel) diluaskan meliputi penginapan dan sarapan (bed and breakfast) (B(amp)B), penginapan berkongsi, pangsapuri perkhidmatan dan inap desa.

Restoran diluaskan meliputi perkhidmatan penyediaan makanan minuman katering, bawa pulang, trak makanan dan penyediaan makanan minuman di kedai runcit.

Perkhidmatan insurans dan takaful kepada perniagaan (B2B) diluaskan meliputi perlindungan insurans am yang ditawarkan kepada individu (B2C) tetapi tidak meliputi insurans perubatan.

“Selain itu, cukai turut diluaskan kepada semua jenis perkhidmatan yang disediakan di kelab malam, kelab persendirian dan kelab golf/lapang sasar, perkhidmatan sewa-pandu meliputi semua penyewaan kenderaan serta semua bentuk perkhidmatan telekomunikasi.

“Beberapa perkhidmatan baharu juga akan dikenakan cukai perkhidmatan enam peratus, seperti aktiviti perjudian yang terdiri daripada nombor ramalan, kasino, kelab, loteri dan lumba kuda; perkhidmatan penerbangan serta catar kapal terbang (termasuk helikopter) domestik dan juga perkhidmatan teknologi maklumat,” katanya lagi.

Di samping itu, menurut Guan Eng, kadar cukai perkhidmatan bagi kad kredit dan kad caj akan dikenakan pada kadar spesifik RM25 setahun bagi kedua-dua kad utama dan kad tambahan.

Beliau turut menyentuh berkenaan kemudahan di bawah cukai perkhidmatan terdahulu iaitu sistem kontra yang mana akan dikekalkan.

Melalui kemudahan ini, penyedia perkhidmatan boleh menolak cukai perkhidmatan di dalam penyata bayaran bagi perkhidmatan yang dibatalkan, ditamatkan atau apa-apa sebab yang lain seperti mengurangkan premium atau diskaun, jelasnya.

Dengan penurunan beban cukai ini, Kerajaan Persekutuan berharap kekayaan negara akan dapat dikongsi dengan lebih meluas lagi di pelbagai lapisan masyarakat, khususnya bagi golongan kurang berkemampuan dan juga kelas menengah, katanya.

Beliau menambah, jumlah barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai SST adalah 10 kali ganda lebih besar dan sebanyak RM17 bilion dari segi kutipan cukai dijangka akan dipulangkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat pada tahun ini melalui perubahan sistem cukai ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

GST kadar sifar hasilkan perbelanjaan pengguna lebih kukuh

KUALA LUMPUR 28 JUL: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar, berkuat kuasa 1 Jun, akan diterjemahkan kepada perbelanjaan pengguna dan jualan yang lebih kukuh untuk peruncit, terutama semasa tempoh tanpa cukai tiga bulan dan sehingga Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dikembalikan semula pada 1 Sept, kata RAM Rating Services Bhd.

Ketua Penilaian Pengguna dan Perindustrian, Kevin Lim, berkata agensi penarafan itu menjangka sektor runcit menjadi antara penerima manfaat utama sentimen pengguna yang lebih bersemangat dan pelbagai langkah yang dicadangkan oleh kerajaan baharu untuk mengurangkan kos sara hidup.

“Sejajar dengan itu, kami telah menyemak semula prospek negatif terhadap sektor runcit (sejak Oktober 2016) kepada stabil.

“Sentimen pengguna telah meningkat dengan ketara berikutan Pilihanraya Umum ke-14 pada Mei 2018,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, indeks sentimen pengguna Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) – barometer keyakinan pengguna – melonjak kepada 132.9 mata pada suku kedua tahun ini.

Lim juga berkata, perbelanjaan pengguna dan jualan runcit dijangka akan menjadi normal sedikit selepas pelaksanaan semula SST.

“Bagaimanapun, beban cukai keseluruhan ke atas pengguna akan jauh lebih ringan, dengan kutipan cukai kerajaan dianggarkan mencatat RM21 bilion setahun, kurang separuh daripada jumlah yang dikumpul menerusi GST,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Proses tuntutan semula GST tidak efisien

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Walaupun pembekal di setiap peringkat boleh membuat tuntutan semula pembayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), namun ia jelas gagal menghalang kenaikan berganda harga barangan di peringkat pengguna.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, hal ini ekoran proses tuntutan yang mengambil masa panjang memberi masalah besar aliran tunai operasi peniaga.

“Akibatnya, kos perniagaan meningkat dan kos ini akan terpaksa ditanggung pengguna dalam bentuk harga barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi.

“Saya akan mendedahkan pada masa akan datang berkenaan punca sebenar di sebalik kegagalan kerajaan terdahulu melakukan pembayaran balik GST kepada rakyat dengan cepat serta tepat pada masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hanya dikenakan pada satu peringkat iaitu pengeluar sahaja.

Katanya, Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) amat komited mencari jalan terbaik bagi mengurangkan beban kewangan rakyat khususnya mereka yang terkesan dengan kos sara hidup tinggi.

“Dengan melaksanakan SST yang sudah ditambah baik, kerajaan PAKATAN mengembalikan semula jumlah kutipan cukai sekitar RM23 bilion kepada rakyat,” katanya.

Categories
NASIONAL

SST vs GST: Pemimpin Umno bercanggah?

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR,19 JULAI: Pemimpin pembangkang turut mengakui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mengutip lebih banyak wang daripada poket rakyat, berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sebelum ini, Ahli Parlimen Rembau, Mohd Khairy Jamaluddin menerusi Twitter mencadangkan Kerajaan menurunkan kadar GST ke paras sama dengan SST.

“Kenyataan Yang Berhormat Rembau jelas bercanggah dengan kenyataan Yang Berhormat Pekan bahawa SST lebih membebankan daripada GST.

“Jelas sekali satu-satunya pihak yang mempolitikkan isu ini adalah Umno,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Guan Eng berkata, ini membuktikan dalam Umno sendiri terdapat dua pendapat bercanggah dengan satu pihak memburukkan dasar kerajaan Pakatan Harapan, manakala satu pihak lagi mengakui SST adalah kutipan cukai lebih rendah kepada rakyat.

Katanya, Kementerian Kewangan sebelum ini terkejut apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno mengeluarkan kenyataan mengelirukan dengan mendakwa rakyat akan terbeban jika GST dimansuhkan dan SST diperkenalkan semula.

“SST yang kita perkenalkan nanti adalah sistem percukaian yang ditambahbaik berbanding dahulu,” katanya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

SST kembalikan RM23 bilion aliran tunai rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan semula pada September ini dijangka menambah aliran tunai RM23 bilion setahun untuk kegunaan rakyat dalam pasaran.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, hal itu ekoran SST hanya mengutip RM21 bilion setahun, berbanding Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM44 bilion setahun yang dikutip daripada poket rakyat.

“Setakat ini, Yang Berhormat Pekan masih belum memberikan jawapan, bagaimana SST akan lebih membebankan rakyat berbanding GST jika kutipan yang dijangkakan daripada SST hanyalah RM21 bilion untuk tempoh setahun, sementara GST dijangka mengumpul RM44 bilion bagi 2018.

“Rakyat Malaysia masih belum menerima maklum balas bagaimana GST dikatakan lebih baik berbanding SST, walaupun GST memerah kutipan cukai yang lebih tinggi sebanyak RM23 bilion,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Guan Eng berkata, RM23 bilion yang dikembalikan kepada rakyat akan merangsang permintaan pengguna swasta dan meningkatkan keyakinan pelabur serta menjana pertumbuhan ekonomi lebih rancak.

Katanya, barangan yang dikenakan cukai SST juga lebih sedikit iaitu hanya 38 peratus daripada bakul barangan dan perkhidmatan Indeks Harga Pengguna (CPI), berbanding 60 peratus bakul barangan dan perkhidmatan CPI bagi GST.

“Kerajaan Pakatan Harapan tidak menafikan rakyat mungkin akan terkesan daripada segi kewangan susulan pelaksanaan SST tetapi hampir separuh ringan berbanding GST,” katanya.

Categories
NASIONAL

Zeti: Kuasa beli meningkat selepas GST sifar

NASIONAL 18 JUN: Anggota Majlis Penasihat Kerajaan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berharap pengguna akan terus menikmati harga barangan yang lebih rendah, susulan keputusan kerajaan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu berkata, sehubungan itu para peruncit perlu berkongsi kebaikan itu kepada pengguna.

Zeti turut memaklumkan cukai berkadar sifar itu telah meningkatkan perbelanjaan dalam kalangan rakyat.

“Ia sesuatu yang baik. Ramai pengguna mengakui ekonomi semakin rancak sekarang dan ramai orang mula membelanjakan wang.

“Tetapi kami berharap peruncit juga akan berkongsi manfaatnya kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat harian CEP di Menara Ilham, di sini, hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan GST berkadar sifar berkuatkuasa 1 Jun selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14, pada 9 Mei lepas.

GST yang diperkenalkan kerajaan terdahulu pada 2015 dengan kadar enam peratus akan dihapuskan dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Sept ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Usah tertipu dakyah di media sosial GST naikkan harga barang

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 3 JUN: Orang ramai disaran tidak terpedaya dengan penyebaran propaganda di media sosial kononnya penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menyebabkan harga barangan semakin mahal.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, propaganda itu dibuat bagi memburukkan pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Harga barang tidak akan naik sekiranya peniaga memenuhi undang-undang dan peraturan harga barang akan turun,” katanya pada Program Penyerahan Sumbangan Hari Raya di Masjid At-Takwa Selayang Baru, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, peniaga yang menaikkan harga barangan boleh dikenakan tindakan kerana melanggar dasar kerajaan yang mahu meringankan tekanan kos sara hidup rakyat.

Terdahulu, terdapat pihak di media sosial facebook cuba mengelirukan orang dengan mendakwa harga barang semakin naik selepas cukai GST dimansuhkan.

Pihak terbabit turut mengelirukan orang ramai dengan memuatnaik foto resit pembelian kononnya sebelum dan selepas GST dikurangkan.

Bagaimanapun foto resit pembelian yang dikatakan selepas GST dikuatkuasakan sebenarnya resit pembelian lama.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Penghapusan GST kurangkan beban rakyat berperingkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 3 JUN: Penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bakal menyaksikan kos sara hidup rakyat bakal berkurangan secara beransur-ansur.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebelum ini rakyat menanggung kesan kenaikan harga barangan secara berlapis apabila GST dikenakan di pelbagai peringkat.

“Penghapusan GST ini pastinya memberikan impak kepada kos sara hidup rakyat keseluruhannya kerana kos GST itu akan berkurangan sebanyak enam peratus.

“GST ini bukan sahaja enam peratus tetapi dalam banyak keadaan ianya bertindih atau berlapis menyebabkan rakyat bayar lebih enam peratus.

“Walaupun kesannya tidaklah serta merta tetapi secara beransur harga barang akan jadi lebih murah berbanding harga sebelum ini,” katanya kepada Media Selangor selepas menghadiri Program Sumbangan Hari Raya di Masjid At-Taqwa Selayang Baru, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, penghapusan GST menyebabkan rakyat mampu berbelanja lebih untuk menampung keperluan keluarga masing-masing.

Mohamed Azmin juga menggesa pihak bertanggungjawab menjalankan pemantauan harga barangan dan mengambil tindakan kepada pihak yang sengaja menaikkan harga barangan sesuka hati.

GST yang diperkenalkan 1 April 2015 diletakkan pada kadar sifar peratus pada 1 Jun apabila Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umun Ke-14 lalu.

=EZY=

Categories
NASIONAL

PRESMA jamin harga makanan turun

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 MEI: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) memberi jaminan harga makanan di restoran ahlinya akan diturunkan selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan pada kadar sifar peratus, berkuat kuasa 1 Jun ini.

Presidennya, Ayoob Khan Muhamad Yakub berkata, pihaknya memerlukan sebulan bagi menstruktur dan menilai semula harga makanan selepas enam peratus cukai GST itu ditolak.

“PRESMA tidak menolak perkara itu sukar dilaksanakan, namun percaya masalah harga dapat diselesaikan dalam kadar segera.

“Saya berharap pengguna juga memainkan peranan dan mereka bersuara jika harga tidak diturunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar PRESMA dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Masjid Ar Rahah, Kampung Kerinchi, semalam.

Kiraa-kira 250 anak yatim diraikan dalam majlis berkenaan yang turut dihadiri Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Categories
NASIONAL

Syarikat pakaian terkenal sudah mula laksana GST 0%

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 MEI: Tinggal dua hari saja lagi negara akan menyaksikan perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada kadar sifar peratus.

Bagaimanapun sudah ada syarikat jenama pakaian terkenal, Brands Outlet melaksanakan langkah tersebut lebih awal berbanding premis perniagaan lain.

Pengguna, Rosharyati Ariffin berkata, tindakan tersebut sememangnya dinanti orang ramai memandangkan ada yang sudah membeli-belah untuk keperluan hari raya.

“Ini juga menunjukkan bahawa mereka peka dan prihatin dengan pengguna, tidak perlu tunggu sehingga 1 Jun,” katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kadar GST pada tahap sifar berkuatkuasa 1 Jun ini.

Kementerian Kewangan memaklumkan, langkah pengenaan GST pada kadar sifar itu akan terpakai di seluruh negara.

Pemansuhan GST merupakan antara 10 janji PH untuk dilaksanakan dalam masa 100 hari kerajaan mentadbir Putrajaya.