PUTRAJAYA, 16 JAN: Sebuah gudang menyimpan acuan sarung tangan milik kilang WRP Asia Pacific Sdn Bhd di Kawasan Perusahaan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang terbakar malam ini.
Pusat Gerakan Operasi Selangor dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada 7.12 malam dan tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA, Sepang, Cyberjaya dan Serdang bersama-sama 53 anggota dikerah ke tempat kejadian.
“Kebakaran melibatkan gudang yang menyimpan acuan sarung tangan itu terbakar 50 peratus. Tiada mangsa yang terlibat,” menurut kenyataan itu.
Api dapat dikawal sepenuhnya pada 8.45 malam.
-BERNAMA