Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

5,200 penduduk Gugusan Semarak dikenakan PKPD mulai hari ini

PETALING JAYA, 6 Ogos: Seramai 5,200 penduduk di Gugusan Semarak, PJU 5, Kota Damansara di sini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam tadi.

Pegawai Daerah Petaling Dato’ Johary Anuar berkata pelaksanaan PKPD itu susulan peningkatan kes Covid-19 terutama dalam kalangan penduduk bukan warganegara.

“Sepanjang tahun 2021, Gugusan Semarak merekodkan sebanyak 350 kes positif Covid-19. Kawasan ini menunjukkan trend peningkatan kes yang ketara kebelakangan ini.

“Turut membimbangkan juga terdapat kes positif di kalangan bukan warganegara yang tidak dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling,” katanya pada sidang media di kawasan berkenaan tengah malam tadi.

Beliau berkata pemberian vaksin akan dilaksanakan kepada penduduk seperti PKPD di beberapa kawasan di Petaling Jaya sebelum ini.

“PKD Petaling akan melaksana aktiviti saringan dan selepas mengenal pasti penduduk yang negatif kita akan jalankan aktiviti vaksinisasi kepada mereka.

“Selain itu kita juga akan mengedarkan 1,040 bakul makanan kering kepada semua penduduk. Bakul makanan kering ini adalah sumbangan daripada Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad,” katanya.

Tambahnya, PKPD Gugusan Semarak melibatkan 13 blok pangsapuri lima tingkat dengan 1,040 unit rumah membabitkan 5,200 individu yang terdiri 60 peratus warganegara dan 40 peratus lagi warga asing.

Pada 4 Ogos, Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan Gugusan Semarak antara 13 lokaliti yang dikenakan PKPD bermula 6 Ogos sehingga 19 Ogos depan.