Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakyat digesa amal gaya hidup sihat, kurangkan pengambilan gula

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Rakyat Malaysia digesa mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan gula dalam diet masing-masing, memandangkan penyakit kencing manis dan ‘budaya gula’ kini semakin menjadi norma biasa dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata penyakit kencing manis atau diabetes adalah antara masalah utama di Malaysia, dengan satu daripada lima orang dewasa dalam negara mengalami penyakit berkenaan dengan risiko komplikasi serius.

Beliau berkata menurut data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun ke atas telah meningkat daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 13.4 peratus pada 2015, manakala pada 2019 ia berjumlah 18.3 peratus atau melibatkan 3.9 juta daripada populasi dewasa.

“Diabetes menjejaskan tubuh badan kita, melibatkan mata, buah pinggang, dan juga sistem saraf, disusuli dengan komplikasi lain seperti tekanan darah tinggi dan serangan jantung. Ia adalah ‘resipi’ kepada penyakit yang kini menjadi pembunuh nombor satu di Malaysia,” katanya semasa berucap di Forum Hari Diabetes Sedunia 2021 yang dianjurkan secara maya dengan tema ‘Access to Diabetes Care in a century of insulin discovery,’ di sini semalam.

Turut hadir sebagai panel forum ialah Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit) Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha, dan Ketua Unit Endokrin Hospital Putrajaya, Datuk Dr Zanariah Hussein

Dr Feisul berkata kerajaan sedar dengan isu ini, dan telah membangunkan strategi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi meningkatkan usaha memerangi penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, serangan jantung dan kanser.

“Dengan meningkatkan program kesedaran serta usaha saringan di samping inisiatif dan dasar peringkat makro, kementerian berharap dasar lain seperti lanjutan cukai gula yang diumumkan dalam Bajet 2022 dapat membantu rakyat Malaysia menguruskan pengambilan tinggi minuman manis semasa dengan lebih baik, ” katanya.

Sementara itu Dr Zanariah yang juga pakar perubatan perunding dan ahli endokrinologi berkata, beliau tidak sabar-sabar untuk melihat lebih banyak perkembangan yang membolehkan doktor memberikan penjagaan yang lebih baik kepada penghidap diabetes.

“Kita telah melangkah jauh sejak penemuan insulin, tetapi rawatan dan pengurusan diabetes akan melihat satu set cabaran yang berbeza, terutamanya dalam dunia pasca pandemik. Daripada menggunakan pendekatan bersepadu dalam penjagaan kepada meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam penglibatan kita dengan pesakit, kita berharap untuk melihat lebih banyak perkembangan,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

APMM tahan remaja lelaki seludup 1 tan gula

TAWAU, 21 APRIL: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang remaja lelaki di kedudukan 1.5 batu nautika dari Sungai Pukol, Sebatik di sini, selepas cuba menyeludup keluar lebih satu tan gula bersubsidi ke Indonesia, pada Jumaat.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata remaja tempatan berusia 18 tahun itu ditahan pada 5.15 petang selepas pihaknya yang dalam Ops Pluto terserempak bot jongkong dikendalikan suspek membawa muatan gula seludup itu sebelum periksa.

“Pemeriksaan awal mendapati bot jongkong tersebut membawa muatan gula bersubsidi tanpa dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, tahanan dan barang rampasan kira-kira RM50,000 itu ditunda ke Jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, pihaknya akan terus meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras dan mengurangkan perlanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

Katanya, orang ramai disarankan untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan salah laku jenayah maritim menerusi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kurang penggunaan gula dalam minuman

BATU GAJAH, 13 JAN: Syarikat pengeluar minuman di negara ini diminta mengurangkan kandungan gula berbanding menggunakan gula alternatif dalam setiap produk minuman dihasilkan, menjelang pelaksanaan cukai ke atas minuman bergula, mulai 1 April ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, hal itu kerana penggunaan gula alternatif bagi menggantikan gula sebenar akan meningkatkan kos sesuatu produk.

“Ini akan menjadi satu isu (kenaikan kos) dalam kalangan syarikat pengeluar minuman kerana kita mahu mereka mengurangkan kadar gula dalam produk minuman (paket atau tin).

“Tidak bermakna minuman itu tidak mengandungi gula jika kadar penggunaan gula dikurangkan, cuma rasa minuman itu akan jadi lain sedikit berbanding jika menggunakan gula dengan jumlah yang banyak,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah serta Kempen Anti Merokok peringkat Parlimen Batu Gajah yang turut dihadiri anggota parlimennya, V. Sivakumar, di sini hari ini.

Pada 2 November 2018s, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 berkata, kadar cukai 40 sen seliter akan dikenakan terhadap minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum.

Katanya, ia membabitkan minuman mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain melebihi 5 gram per 100 mililiter serta jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 mililiter.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Harga gula turun 10 sen bermula 1 September

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 27 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan penurunan harga gula sebanyak 10 sen bagi setiap kilogram, berkuatkuasa 1 September ini.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan dilakukan itu bersesuaian dengan dengan trend penurunan harga gula di pasaran dunia.

“Dengan penurunan ini, pengguna akan menikmati harga kawalan gula bertapis baharu itu RM2.85 sekilogram bagi gula pasir kasar dan RM2.95 sekilogram bagi gula pasir halus.

“Kerajaan juga prihatin terhadap isu kos sara hidup dialami rakyat yang mana turut disumbangkan kerana kenaikan harga barangan keperluan lain,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulan KPDNHEP di sini, hari ini.

Beliau berkata, harga kawalan gula disemak kali terakhir oleh kerajaan pada 1 Mac tahun lalu.

Categories
NASIONAL

MSM akur kekalkan harga gula

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Pengeluar gula bertapis terbesar negara, MSM Malaysia Holdings Bhd menghormati keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan harga gula bertapis.

Peneraju pasaran itu dengan penguasaan pasaran tempatan sebanyak 60 peratus berkata, gula diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Penentuan Harga Maksimum – No.2, Peraturan 2017).

“Orang ramai perlu yakin MSM komited menyediakan bekalan gula mencukupi untuk negara, terutama sempena sambutan perayaan Aidilfitri akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Syarikat itu berkata, walaupun terdapat penurunan beransur-ansur harga gula mentah antarabangsa, namun komoditi gula global beroperasi secara sukar dalam persekitaran pasaran tidak menentu.

“Kami terus berbincang dengan kerajaan dan sentiasa memaklumkan kepada mereka berkenaan perkembangan terkini pasaran gula global dan berharap mencapai hasil positif ,” kata MSM.

MSM ialah anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd dan produk utamanya, Gula Prai adalah jenama gula premium di Malaysia.

*Sumber: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Hapuskan monopoli gula bukan naikkan harga

OLEH Gooi Hsiao Leung

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Zakaria Arshad selaku Presiden Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mengenai gesaan menaikkan harga gula sebanyak 40 sen sekilo seharusnya tidak dilayan oleh Kerajaan Umno BN.

Pada 1 Mac yang lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengesahkan kenaikan harga gula sebanyak 11 sen daripada RM 2.84 kepada RM 2.95 untuk setiap satu kilogram.

Adakah hanya selepas dua bulan berlalu, Kerajaan Umno BN tergamak untuk menaikkan harga gula sekali lagi sebanyak 29 sen apabila bulan puasa ramadhan dan perayaan Eid al-Fitr semakin dekat dalam sebulan dua lagi.

Setelah kerajaan menarik balik subsidi gula dalam bulan Oktober 2013, harga borong gula telahpun naik ke RM2,680 satu ton. Pada masa yang sama, MSM Malaysia telah menaikan harga produk premium seperti caster, icing, dan “brown sugar” sebanyak 30%.

Manakala kini, harga gula mentah antarabangsa telah turun kepada US$0.15 setiap paun berbanding kepada harga US$0.22 setiap paun dalam bulan November dan Disember lalu. Jadi tidak ada justifikasi mengapa harga gula perlu dinaikkan lagi untuk membebankan rakyat?

Kerajaan hari ini sanggup meragut lebih wang rakyat melalui GST, kini peningkatan kos sara hidup menjadi beban terhadap rakyat kebanyakan.

Adakah barisan Najib Razak mahu melihat rakyatnya lebih menderita dengan kenaikan harga barang?

Harapan rakyat adalah supaya Kerajaan Umno BN tidak peduli dengan gesaan pengeluar ini.

Meskipun jika dilihat situasi sebelum ini, setiap kenaikan harga barang bermula dengan gesaan pihak tertentu, seolah-olah ada kerjasama tersembunyi antara kerajaan dan pengeluar untuk ‘menghalalkan’ perlaksanaan harga barang.

Sebaliknya, kerajaan Umno BN seharusnya menghapuskan dasar monopoli gula yang selama ini menguntungkan individu-individu tertentu sehingga memperoleh hasil mencecah berbilion ringgit.

Kerajaan sepatutnya membuka ruang persaingan untuk industri gula agar harga gula dapat bersaing di pasaran domestik untuk memastikan harga pasaran yang paling rendah. Dengan berlakunya ‘perang harga’ dan mekanisme harga siling, kerajaan sebenarnya mampu memastikan rakyat tidak berbeban dengan harga gula semata-mata.

Saya menggesa Umno BN bertindak untuk menghapuskan monopoli, di mana yang kaya bertambah kekayaan rakyat pula semakin derita.

 

* Gooi Hsiao Leung adalah Ahli Parlimen Alor Setar
Parti KEADILAN Rakyat

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Harga gula patut dikurangkan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berpendapat harga runcit gula di negara ini sepatutnya dikurangkan dan tidak bertambah berdasarkan kepada pasaran global harga gula mentah.

Katanya, sebelum 2015, dua pengeluar gula tunggal Malaysia membeli gula mentah melalui kontrak kerajaan jangka panjang (LTC) untuk mengimport bekalan gula mentah.

“Bagi 2009-2011, harga gula mentah yang ditetapkan adalah US $17.50 100lbs, manakala bagi 2012-2014, harga bagi satu 100lbs adalah US $26.00.

tony pua“Sistem pembelian gula mentah LTC kemudiannya dimansuhkan dan pengeluar membeli bekalan gula mentah mereka secara langsung berdasarkan pasaran global harga gula mentah,” katanya.

Beliau dalam sidang media di Lobi Parlimen berkata, antara Januari 2012 hingga Disember 2014, harga bekalan gula mentah pengeluar adalah US $26 setiap 100lbs.

“Mereka boleh menjual gula pada RM2.84 per kilogram (kg) dan tidak mempunyai masalah untuk mendapat keuntungan.

“Persoalan yang perlu ditanya ialah pasaran global harga gula mentah adalah lebih kurang US $ 18.16 per 100lbs, mengapa kerajaan BN melihat ia sesuai untuk meningkatkan lagi harga gula runcit kepada RM2.95 setiap kg?

“Malah, selepas mengambil kira perbezaan dalam kadar pertukaran sepanjang tempoh masa, harga gula sepatutnya dikurangkan dan tidak bertambah,” katanya.

Pua turut mempersoalkan rasionalnya kerajaan menaikkan harga gula kerana harga gula mentah di pasaran dunia mengalami penurunan sejak dua tahun lalu sehingga menambah penderitaan rakyat.

“Kami menggesa kerajaan untuk bukan sahaja menarik balik kenaikan harga baru-baru ini iaitu 11 sen untuk harga runcit gula sebaliknya menurunkan lagi harga siling dari RM2.84 setiap kg untuk mencerminkan harga global yang jauh lebih rendah bagi gula mentah, lebih dua tahun lalu.

“Ini perlu dilakukan dengan segera tanpa sebarang pampasan atau subsidi yang dibayar kepada pengeluar,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Naik 11 sen, tiada lagi ‘manis’ gula

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 MAC: Tindakan Putrajaya menaikan harga gula pada kadar 11 sen bagi setiap sekilogram, terus membebankan rakyat khususnya berpendapatan rendah.

Hasil tinjauan SelangorKini di laman sosial mendapati kebanyakan masyarakat menyatakan rasa tidak puas hati berhubung perkara itu, sejak semalam.

Antaranya, Khyle Zuhair menyindir tindakan terbabit dengan beranggapan seolah manisnya rasa gula semakin ‘hilang’.

“Gula naik 11 sen membuatkan rasa gula semakin pahit,” tulisnya.

Tidak terkecuali bagi Rizal Jaafar yang menyindir akan ada menteri Umno tampil mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal mengulas kadar kenaikan baru itu.

“Harga gula naik. Saya jamin akan keluar kenyataan seperti, ‘baguslah, rakyat Malaysia perlu kurangkan penggunaan gula’.

gula“Nampaknya istilah untung itu sudah mula musnah,” katanya.

Sementara itu, pengguna media sosial, DH DM pula percaya, tidak mustahil menteri akan membandingkan harga gula di negara ini dengan negara luar sebagai alasan tindakan kenaikan berkenaan.

“Kenapa harus banding harga negara sendiri dengan negara orang lain? Kalau negara lain makan benda kotor, negara kena ikut jugakah?” sindirnya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, (KPDNKK) menyatakan penetapan harga baharu itu dibuat di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2017.

Harga gula sebelum ini ialah RM2.84 sekilogram.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

FOMCA bimbang peniaga ambil kesempatan kenaikan harga gula

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 FEB: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) bimbang peniaga akan menjadikan kenaikan harga gula sebagai alasan untuk menaikkan harga barang makanan.

yusuf fomcaTimbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ia mampu memberikan kesan peningkatan perbelanjaan pengguna dan inflasi selain menjadikan isu kesihatan sebagai alasan walaupun kenaikan sekitar 10 sen.

“Apa yang kita risaukan adalah rantaian kesan kenaikan harga makanan sedangkan ia tidak memberikan kesan besar sebenarnya walaupun 10 sen.

“Peniaga boleh menggunakan satu kilogram gula untuk pelbagai perkara tetapi bimbang mereka mungkin menaikkan harga minuman contohnya sekarang RM1.50 tetapi dinaikkan lagi 10 sen menjadikannya RM1.60,” katanya.

Beliau berkata, harga gula tidak perlu diapungkan kerana ia masih memerlukan kelulusan kerajaan sebelum kenaikan harga dilakukan sebagai barangan kawalan.

Harga gula meningkat sehingga RM0.11 sekilogram walaupun belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan dibuat.

Sekilogram gula kini berharga RM2.95 iaitu peningkatan empat peratus sejak pelarasan harga terakhir, pada tahun 2013.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Harga gula naik 11 sen

SHAH ALAM, 2 MAC: Harga gula dilaporkan meningkat sehingga 11 sen sekilogram, berkuatkuasa semalam walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat setakat ini.

Perkara terbabit disahkan Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng, lapor portal Malaysiakini.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui aplikasi Whatsapp.

“Saya menerimanya kira-kira jam 3 petang melalui WhatsApp. Tiada surat rasmi,” katanya.

Chee Meng turut menyifatkan kenaikan itu sebagai sederhana kerana kali terakhir harga barangan itu meningkat sebanyak RM0.20 sekilogram.

Ekoran kenaikan itu, sekilogram gula kini berharga RM2.95, meningkat empat peratus sejak pelarasan harga terakhir, pada 2013.

Sementara itu, menurut laporan Oriental Daily, kenaikan terbabit berpunca daripada peningkatan harga gula di pasaran antarabangsa, ditambah penyusutan nilai ringgit.

Adun Bahau, Chew Seh Yong mendakwa, beliau menerima rungutan daripada orang ramai sejak awal pagi semalam susulan kenaikan harga gula.

“Setelah mendapat penjelasan daripada pihak berkaitan, akhirnya memang disahkan kerajaan bersetuju dengan kenaikan 11 sen sekilogram ini.

“Beberapa peniaga sudah menjual dengan harga terbaru ini, manakala ada pekedai runcit hanya akan menaikkan harga selepas pengumuman dibuat kerajaan,” katanya kepada akhbar berkenaan.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

FOMCA: Wujudkan dasar elak kenaikan harga makanan jika harga gula naik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 NOV: Gabungan pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA) mahu Kerajaan Persekutuan mewujudkan dasar baru bagi menangani isu kenaikan harga makanan sekiranya harga gula dinaikkan.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kenaikan harga gula bakal menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menaikan harga makanan sekaligus membebankan pengguna.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu memantau pengusaha makanan dari menaikkan harga sesuka hati.

“Kita menjangkakan kenaikan harga makanan berlaku, harap KPDNKK ambil tindakan, kalau peniaga ambil kesempatan naik harga harga sewenang-wenangnya, gunakan akta pencatutan.

YUSOF FOMCA“Malah, kerajaan perlu wujudkan dasar baru kepada peniaga restoren sebagai contoh kenaikan hanya berlaku pada minuman yang bergula sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa yang sama, Yusof mahu kenaikan terbabit tidak membebankan pengguna dan tidak mendadak.

Katanya, dari sudut positif, pengurangan gula dalam makanan adalah usaha yang baik bagi mengelakkan masalah kesihatan.

“Kerajaan perlu wujudkan kempen kesedaran tentang pengambilan gula dengan lebih berkesan.

“Pengguna boleh menggunakan jenis gula yang lain sebagai alternatif gula sedia ada,” katanya.

Khamis lalu, Kerajaan sedang mengkaji permintaan pengeluar gula bagi menaikkan harga gula berikutan kos gula mentah yang semakin meningkat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata perbincangan mengenai perkara itu telah dilakukan sejak sebulan lalu.

Hamzah diminta mengulas kenyataan MSM Malaysia Holdings Bhd yang meminta kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20 peratus kerana kos gula mentah dikatakan meningkat 40 peratus sejak awal tahun ini serta memberi kesan terhadapt margin syarikat.

Beliau berkata harga pasaran gula dunia kini mencecah US$0.26 sen (US$1=RM4.40) bagi satu paun (1PAUN=0.5KG) berbanding US$0.16 Sen pada 2013.

=EZY=

Categories
NASIONAL SELANGOR

Asnaf Gembira Tidak Dilupakan Kerajaan Negeri Selangor

Gmbr yb rodziah kuala selangor 03

KUALA SELANGOR, 19 JULAI : Kira-kira 150 golongan Asnaf di sini gembira apabila Kerajaan Negeri tidak melupakan mereka di bulan Ramadan yang mulia ini.

Antara penerima tersebut,  Zaidah Jamil, 65, melahirkan rasa terharunya kerana golongan warga emas sepertinya tidak pernah diabaikan Kerajaan Negeri daripada menerima sumbangan seperti itu.

“Syukur sangat atas bantuan ini. Kalau tiada bantuan ini, tak dapatlah makcik hendak menyambut ibadah puasa dan Aidilfitri dengan rasa gembira,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Anisah Johari, 57, mengucapkan syukur apabila ada pihak yang prihatin untuk membantunya sekeluarga menyambut ibadah puasa pada tahun ini.

Beliau yang mewakili ibu saudaranya itu berkata, wang dan barangan makanan asas yang diterima itu akan digunakan sepanjang Ramadan untuk menampung keperluan harian mereka.

?Saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan ikhlas ini kerana ia amat bermakna buat kami sekeluarga,? katanya.

Gmbr yb rodziah kuala selangor 02

Bantuan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian seperti beras, gula dan minyak masak itu disampaikan Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail di Balai Penghulu, Masjid Barakah, Kampung Assam Jawa.

Rodziah ketika ditemui berkata, sumbangan itu adalah bagi meraikan golongan kurang bernasib baik bagi memastikan mereka dapat menjalani ibadah puasa dalam keadaan selesa dan penuh makna.

“Program ini adalah program tahunan yang dijalankan Kerajaan Negeri di bawah portfolio kebajikan untuk memilih mereka yang berpendapatan rendah menerima sedikit bantuan wang ringgit dan barangan keperluan harian.

“Tujuannya ialah supaya keluarga yang kurang bernasib baik ini dapat menikmati bulan Ramadhan dan Aidilfitri dalam keadaan sederhana,” katanya.

Tambah Rodziah, program ini akan diteruskan lagi di masa akan datang untuk memudahkan Kerajaan Negeri merekodkan bantuan yang sesuai untuk diserahkan kepada keluarga yang memerlukan di negeri ini.

Hadir sama, Adun Ijok, Dr Idris Ahmad.

Gmbr yb rodziah kuala selangor 01